Takbir Raya Aidilfitri

Bila menyebut tentang takbir raya Aidilfitri sudah pastinya kita tahu bahawa raya telah pun tiba. Bagi raya Aidilfitri takbir raya akan mula berkumandang pada ketika tenggelam matahari malam hari raya Aidilfitri.

Takbir raya dilaungkan bagi meluahkan rasa bersyukur terhadap Allah SWT yang telah memberi peluang kepada kita menyempurnakan ibadah pada bulan Ramadan.Melaungkan takbir adalah sunnah Rasulullah SAW dan para sahabat.

Laungan takbir raya juga menjadi lambang penyatuan ummah kerana umat Islam membesarkan dan melaungkan takbir yang sama di seluruh pelusuk dunia, ianya boleh menyejukkan jiwa, memberi ketenangan fikiran dan melapangkan hati untuk bermaafan, serta menyuburkan ikatan ukhuwah dalam mengukuhkan ikatan persaudaraan umat Islam

Takbir Mursal & Takbir Muqayyad

Terdapat dua jenis takbir yang dibahagikan oleh ulama iaitiu Takbir Mursal dan Takbir Muqayyad.

1. Takbir Mursal

Nama lain bagi Takbir Mursal adalah Takbir Mutlak, hal ini demikian kerana takbir mursal tidak terikat dengan waktu solat. Kaedahnya kita disunatkan untuk bertakbir sepanjang masa apabila tenggelam matahari pada malam Hari Raya Aidilfiri dan Hari Raya Aidiladha sehingga takbiratulihram Solat Hari Raya.

Takbir ini dilaungkan secara terus menerus, berulang ulang tanpa batas bilangan. Para ulama bersepakat  bahawa  Takbir Mursal bagi Hari Raya Aidilfitri adalah lebih ditekankan berbanding Hari Raya Aidiladha.

2. Takbir Muqayyad

Berbeza dengan takbir Mursal, takbir muqayyad terikat dengan perlaksanaan solat-solat maktubah iaitu solat fardhu lima waktu. Bermulanya tenggelam matahari pada malam hari raya Aidiladha, kita disunatkan untuk bertakbir selepas setiap kali solat fardhu. Takbir hanya dilaungkan sebanyak SATU PUSINGAN sahaja.Takbir Muqayyad ini hanya dilakukan pada ketika Hari Raya Aidiladha sahaja.

Daripada Ali dan Ammar R.Anhuma bahawa Rasulullah SAW maksudnya:

Baginda SAW sentiasa bertakbir pada Hari Arafah selepas solat al-Ghadah (Subuh) dan menghentikan selepas solat Asar hari terakhir bagi Hari-Hari Tasyriq.” — Riwayat al-Hakim (no. 1111) dengan sanad yang sahih. Bacaan Takbir yang dilaungkan hendaklah nyaring atau (Jahar) sebagai syiar kaum Muslimin.

Waktu Untuk Bertakbir

Waktu bertakbir bagi Hari Raya Aidilfitri dan Aidiladha adalah berbeza. Amalan ini diperolehi daripada perbuatan Nabi Muhammad SAW dan para sahabat, seterusnya diwarisi kepada generasi ulama seterusnya.

Hari Raya Aidilfitri

Pada Hari Raya Aidlfitri kita akan melakukan Takbir Mursal yang bermula selepas terbenamnya matahari pada malam raya, setelah masuk waktu Maghrib 1 Syawal sehinggalah takbiratulihram bagi solat Hari Raya Aidilfitri.

Hari Raya Aidiladha

Pada Hari Raya Aidiladha  Takbir Muqayyad akan bermula pada waktu Subuh Hari Arafah dan berterusan sehingga tamat waktu Asar pada Hari Tasyriq yang ketiga.

Ini bermaksud apabila masuk waktu Subuh 9 Zulhijjah, disunatkan bagi orang yang tidak pergi menunaikan haji untuk bertakbir setiap kali selesai menunaikan solat fardhu sehinggalah waktu Asar 13 Zulhijjah, menjadikan waktu bertakbir itu 5 hari 4 malam.

 Namun, bagi mereka yang menunaikan haji, adalah disunatkan melaungkan takbir bermula gelincirnya matahari, setelah masuk waktu Zuhur Hari Raya Aidiladha (10 Zulhijjah) sehingga terbitnya fajar sadiq, yakni masuk waktu Subuh pada 13 Zulhijjah.

Bagi mereka yang sudah selesai selesai bertahallul yang kedua, mereka boleh bertakbir sehingga waktu Asar, sama seperti orang lain. Sunat melaungkan takbir dengan suara yang tinggi dan nyaring untuk menzahirkan syi’ar agama.

Diriwayatkan dari Nafi’ yang menceritakan; Adalah Ibnu Umar r.a. bertakbir pada hari raya korban dan juga hari raya fitrah; ia bertakbir dan meninggikan suaranya”. – Riwayat Imam ad-Daruqutni dan al-Baihaqi

Bagi Wanita pula ianya dikecualikan, hendaklah wanita melafazkan takbir dengan suara yang perlahan sahaja.

Perkara ini ada dijelaskan dalam kitab Kifayatul-Akhyar; “Disunatkan mengangkat suara dengan takbir bagi para lelaki sahaja, tidak bagi perempuan”. (Lihat halaman 151)

Lafaz Takbir Raya Lengkap Beserta Terjemahan dan Teks Rumi

*اَللهُ أَكْبَرُ، اَللهُ أَكْبَرُ، اَللهُ أَكْبَرُ،

Allahu akbar Allahu akbar Allahu akbar

لاَ إِلَهَ إِلاَّ اللهُ وَاللهُ أَكْبَرُ،

Laa ilaaha illallahu wallahu akbar

اَللهُ أَكْبَرُ وَلِلهِ الحَمْدُ

Allaahu akbar walillaahil hamd’  Ulang * 3 kali

اَللهُ أَكْبَرُ، اَللهُ أَكْبَرُ، اَللهُ أَكْبَرُ،

Allahu akbar Allahu akbar Allahu akbar

اللهُ أَكْبَرُ كَبِيرًا، وَالحَمْدُ لِلهَ كَثِيرًا، وَسُبْحَانَ اللهِ بُكْرَةً وَأَصِيلاً،

Allahu akbar kabiiraa Walhamdulillaahi katsiiraa Wasubhaanallaahi bukrataw wa asiillaa

لاَ إِلَهَ إِلاَّ اللهُ وَلاَ نَعْبُدُ إِلاَّ إِيَّاهُ مُخْلِصِينَ لَهُ الدِّينَ وَلَوْ كَرِهَ الكَافِرُونَ،

Laa ilaaha illallallahu Walaa na’budu illaa iyyaahu Mukhlishiina lahuddiin Walau karihal kaafiruun

لاَ إِلَهَ إِلاَّ اللهُ وَحْدَهُ، صَدَقَ وَعْدَهُ، وَنَصَرَ عَبْدَهُ، وَأَعَزَّ جُنْدَهُ وَهَزَمَ الأَحْزَابَ وَحْدَهُ،

Laa ilaaha illallallahu wahdah Sadaqa wa’dah Wanasora ‘abdah Wa a’azza jundahu Wahazamal ahzaaba wahdah

لاَ إِلَهَ إِلاَّ اللهُ وَاللهُ أَكْبَرُ،

Laa ilaaha illallaahu wallaahu akbar

اَللهُ أَكْبَرُ وَلِلهِ الحَمْدُ

Allaahu akbar walillaahil hamd’

Maksudnya

Allah Maha Besar, Allah Maha Besar, Allah Maha Besar

Tidak ada Tuhan melainkan Allah dan Allah Maha Besar

Allah Maha Besar dan bagi Allah segala puji-pujian Dan Subhanallah (Maha Suci Allah) pagi dan petang

Tidak ada Tuhan melainkan Allah, Kami tidak menyembah kecuali kepada-Nya, Dengan ikhlas untuk Agama (Islam), Walaupun dibenci oleh golongan kafir

Tidak ada Tuhan melainkan Allah yang Esa, Yang benar janji-Nya, Dan yang menolong hamba-Nya, Dan yang memuliakan tentera-tentera-Nya (tentera Muslimin), Dengan mengalahkan tentera Ahzab dengan keesaan-Nya

Tidak ada Tuhan melainkan Allah dan Allah Maha Besar, Allah Maha Besar dan bagi Allah segala puji-pujian

Berikut adalah sedikit sebanyak maklumat berkaitan dengan takbir solat aidilfitri dan aidiladha. Semoga bermanfaat dan selamat beramal. Wallahu’alam!

SUMBER:

https://www.mysumber.com/takbir-raya.html

https://akuislam.com/blog/ibadah/takbir-raya/

https://madrasahmujahadah.com/takbir-hari-raya-aidilfitri-aidiladha/

Summary
Kaifiat Melaungkan Takbir Raya Aidilfitri dan Aidiladha
Article Name
Kaifiat Melaungkan Takbir Raya Aidilfitri dan Aidiladha
Description
Bila menyebut tentang takbir raya Aidilfitri sudah pastinya kita tahu bahawa raya telah pun tiba. Bagi raya Aidilfitri takbir raya akan mula berkumandang pada ketika tenggelam matahari malam hari raya Aidilfitri.
Publisher Name
Ceria Sihat
Tagged: