Kaedah puasa selang-seli
Kaedah puasa selang-seli(intermittent fasting) merupakan proses yang melibatkan tempoh yang dibolehkan untuk makan dan sebaliknya.

Kaedah puasa selang-seli (intermittent fasting) merupakan proses yang melibatkan tempoh yang dibolehkan untuk makan dan sebaliknya. Walaupun ramai individu berjaya mengurangkan berat badan melalui cara ini, ianya bukanlah seperti pelan diet biasa dan lebih kepada pilihan kehidupan sihat yang dilakukan untuk mendapatkan kesan positif pada kesihatan anda.

Terdapat beberapa cara untuk melakukan puasa selang-seli ini dan kesemuanya melibatkan pemisahan hari atau minggu bagi tempoh makan atau tempoh berpuasa.

Semasa tempoh berpuasa, anda mungkin makan dalam kadar sedikit atau tidak makan langsung.

Berikut merupakan kaedah puasa selang-seli yang paling terkenal:

Cara 16/ 8

Kaedah puasa selang-seli ini memerlukan individu untuk menahan lapar selama 16 jam dan 8 jam seterusnya dibolehkan untuk makan. Semasa tempoh 8 jam itu, anda boleh makan sebanyak mana makanan yang anda mahu, yang mana kebiasaannya merangkumi 3 kali makan.

Selain itu, ia direka khas dengan mengambil kira latihan yang dibuat dan lebih sesuai dilakukan dalam kalangan mereka yang melakukan latihan dengan tujuan estetika dan peningkatan fizikal.

Kelebihan:

  • Mengawal hormon dengan lebih baik.
  • Merupakan kaedah yang boleh dilakukan setiap hari.
  • Mempunyai jadual makan yang tetap dan membantu mengurus rasa lapar.
  • Lebih cepat berasa kenyang dalam tempoh 8 jam yang dibolehkan untuk makan.

Kelemahan:

  • Jadual makan boleh menjadi tidak praktikal bagi sesetengah individu.
  • Biasanya hanya boleh dilakukan bagi mereka yang melakukan latihan di pagi hari sahaja.

Puasa 24 jam atau Cara ‘Makan-Henti-Makan’

Kaedah puasa selang-seli ini merangkumi puasa selama 24 jam, sebanyak sekali atau dua kali seminggu. Sebagai contoh, jika anda selesai makan pada pukul 8 malam pada hari Isnin, anda hanya boleh makan pada pukul 8 malam keesokan harinya sahaja.

Selain itu, cara ini hanya boleh dilakukan sebanyak 1 hingga 3 kali setiap minggu sahaja. Biasanya, ia kerap diamalkan sebanyak 2 kali seminggu.

Kelebihan:

  • Mudah disesuaikan dengan gaya hdup anda.
  • Pantang daripada pengambilan kalori untuk tempoh masa yang panjang membantu anda mendapatkan kesan yang lebih efektif.
  • Mengurangkan masalah kesihatan yang berlaku disebabkan oleh insulin.

Kelemahan:

  • Tempoh yang terlalu lama untuk menahan diri daripada makan.
  • Boleh mendatangkan masalah kesihatan terutamanya bagi individu dengan kadar gula dalam darah yang rendah.

Diet nisbah 5:2

Kaedah puasa selang-seli ini membolehkan anda mengambil hanya 500 hingga 600 kalori pada 2 hari yang tidak berturut dalam seminggu. Jadi, anda boleh makan secara normal bagi 5 hari yang lain. Contohnya, jika anda menetapkan hari Isnin dan Selasa sebagai hari untuk mengurangkan pengambilan kalori, jadi anda boleh makan apa sahaja yang anda mahukan bermula dari hari Rabu hinggalah hari Ahad.

Kelebihan:

  • Ujian klinikal menunjukkan bahawa pengurangan kalori sekurang-kurangnya selama 5 hari dalam sebulan boleh mencegah atau merawat penyakit kardiovaskular dan kencing manis.
  • Boleh mengurangkan lemak dan kadar insulin.
  • Sejenis diet yang fleksibel, jadi individu boleh menukarnya menjadi 4:3 iaitu 4 hari biasa dan 3 hari berpuasa untuk mendapat kesan yang lebih efektif. Ada juga yang menetapkan 6:1 iaitu 6 hari biasa dan 1 hari berpuasa setelah mencapai berat badan yang diinginkan.

Kelemahan:

  • Susah untuk diamalkan pada awalnya sekiranya tidak biasa.
  • Boleh mengalami keadaan kelaparan yang melampau.
  • Mendapat kesan sampingan kerana tidak makan untuk tempoh lama seperti gastrik atau pening kepala.
  • Ada kemungkinan untuk makan secara berlebihan yang seterusnya membuatkan anda tidak berupaya menurunkan berat badan dan mencapai matlamat anda.

Puasa selama 20 jam atau Diet Pahlawan (Warrior)

Secara amnya, kaedah puasa selang-seli ini merangkumi 20 jam berpuasa diikuti dengan 4 jam yang dibolehkan untuk makan.

Selain itu, semasa tempoh berpuasa dalam sehari, diet ini membolehkan anda mengambil makanan yang sedikit seperti beberapa hidangan buah-buahan atau sayur-sayuran yang mentah mahupun beberapa hidangan protein seperti susu protein jika diperlukan. Namun, hidangan tersebut haruslah diambil dalam kuantiti yang sedikit sahaja.

Kelebihan:

  • Membolehkan anda mendapat manfaat daripada peningkatan hormon pertumbuhan (growth hormone).
  • Tidak memerlukan anda untuk berfikir tentang makanan apa yang perlu diambil dengan kerap.

Kelemahan:

  • Mudah berasa lapar.
  • Boleh menyebabkan ketidakselesaan kerana perut tidak mendapat kandungan nutrien yang mencukupi.

Kesimpulannya,

Dengan mengurangkan pengambilan kalori, kesemua cara ini boleh menyebabkan pengurangan berat badan selagi mana anda tidak makan secara berlebihan semasa tempoh yang dibolehkan untuk makan tersebut.

Di samping itu, ramai individu mendapati bahawa cara 16/8 adalah kaedah yang paling mudah untuk dilakukan, senang dikawal dan juga senang diikuti. Walaupun kebanyakan kaedah puasa selang-seli ini adalah berkesan, pastikan anda memilih cara yang paling sesuai dengan gaya hidup anda serta kaedah yang membolehkan anda mendapatkan manfaat yang banyak.

SUMBER

https://www.insider.com/types-of-intermittent-fasting

https://health.clevelandclinic.org/intermittent-fasting-4-different-types-explained/

Summary
Kaedah puasa selang-seli
Article Name
Kaedah puasa selang-seli
Description
Kaedah puasa selang-seli (intermittent fasting) merupakan proses yang melibatkan tempoh yang dibolehkan untuk makan dan sebaliknya.
Publisher Name
Ceria Sihat
Tagged: