Jenis Pembedahan Jantung
Pembedahan jantung perlu dilakukan untuk membetulkan masalah pada jantung. Malah, ia juga boleh dilakukan bagi golongan kanak-kanak dan orang dewasa.

Masalah berkaitan jantung tidak selalunya memerlukan prosedur pembedahan. Kadangkala, ia dapat ditangani dengan perubahan gaya hidup, pengambilan ubat-ubatan atau prosedur bukan pembedahan. Tetapi, pembedahan jantung perlu dilakukan untuk membetulkan masalah pada jantung. Malah, ia juga boleh dilakukan bagi golongan kanak-kanak dan orang dewasa.

Hasil pembedahan jantung pada orang dewasa sering kali menjadi sangat baik. Pembedahan jantung dapat mengurangkan simptom, meningkatkan kualiti hidup dan meningkatkan peluang hidup. Selain daripada situasi kecemasan, ianya penting bagi anda untuk bersiap sedia sebelum menjalani pembedahan dan mengetahui proses yang terlibat serta risiko yang boleh berlaku.

Sekarang, jom ketahui beberapa jenis pembedahan jantung yang ada.

1. Coronary Artery Grafting Bypass (CABG)

Coronary artery bypass grafting (CABG) adalah jenis pembedahan jantung yang paling biasa dilakukan. Ia juga kadangkala disebut sebagai pembedahan pintasan jantung atau pembedahan pintasan arteri koronari.CABG boleh meningkatkan aliran darah ke jantung dan prosedur ini biasanya digunakan untuk merawat individu dengan penyakit jantung koronari (CHD) yang teruk. Selain itu, pakar bedah juga dapat merawat beberapa arteri koronari yang tersumbat sekali gus dalam satu pembedahan.

Lama kelamaan, plak boleh mengeras atau pecah (terbuka). Plak yang mengeras ini akan menyempitkan arteri koronari dan mengurangkan aliran darah yang kaya dengan oksigen ke jantung. Ini boleh menyebabkan sakit dada atau ketidakselesaan yang disebut angina. Sekiranya plak pecah, gumpalan darah dapat terbentuk di permukaannya. Sebahagian besar gumpalan ini dapat menyekat aliran darah melalui arteri koronari. Ini juga adalah penyebab paling kerap bagi serangan jantung. Lama kelamaan, plak pecah juga akan mengeras dan menyempitkan arteri koronari.

Arteri atau vena yang dipintas (bypass) akan melewati bahagian arteri koronari yang tersumbat, bagi mewujudkan aliran darah baru untuk mengalir ke otot jantung. Selalunya, ini dilakukan bagi lebih daripada satu arteri koronari dalam pembedahan yang sama.

2. Pembaikan atau penggantian injap jantung

Bagi membolehkan jantung berfungsi dengan baik, darah mesti mengalir dalam satu arah sahaja. Injap jantung memungkinkan ini untuk berlaku dengan injap yang sihat terbuka dan ditutup dengan tepat semasa jantung sedang mengepam darah.

Jika boleh, pakar bedah akan berusaha memperbaiki injap yang rosak, kerana ini adalah prosedur yang kurang invasif berbanding penggantian injap. Pembedahan pembaikan injap paling kerap dilakukan untuk merawat regurgitasi injap mitral.

Tetapi, sekiranya injap sudah tidak dapat diperbaiki, ia mungkin akan diganti. Injap penggantian boleh melibatkan injap mekanikal buatan yang diperbuat daripada logam, atau injap tisu semula jadi dari haiwan tertentu, yang dirawat khas untuk kegunaan manusia. Namun begitu, tidak semua orang sesuai bagi jenis pembedahan ini.

Pada masa ini, pembedahan untuk mengganti injap adalah rawatan tradisional bagi orang yang sihat. Walau bagaimanapun, prosedur kateter mungkin merupakan pilihan yang lebih selamat bagi pesakit yang mempunyai keadaan yang menjadikan pembedahan jantung terbuka sangat berisiko.

3. Pembaikan Aneurysm

Aneurysm adalah bonjolan seperti belon di dinding arteri atau otot jantung. Bonjolan ini boleh berlaku sekiranya dinding arteri melemah. Tekanan dari darah yang bergerak melalui arteri atau jantung menyebabkan kawasan yang lemah membengkak.

Lama kelamaan, aneurysm dapat tumbuh dan pecah, menyebabkan pendarahan berbahaya di dalam badan. Ia juga dapat menyebabkan pecahan pada satu atau lebih lapisan dinding arteri. Ini kemudian menyebabkan pendarahan ke dalam dan di sepanjang lapisan dinding arteri.

Seterusnya, aneurysm di jantung paling kerap berlaku di ruang kiri bawah jantung (ventrikel kiri). Membaiki keadaan ini melibatkan prosedur pembedahan untuk menggantikan bahagian arteri atau dinding jantung yang lemah dengan tampalan atau cantuman.

4. Pembedahan ‘maze’

Pembedahan ‘maze’, atau ablasi pembedahan (surgical ablation) adalah prosedur yang biasanya disarankan untuk merawat masalah degupan jantung tidak teratur (fibrilasi atrium) apabila kaedah lain seperti penggunaan ubat, terapi ‘cardioversion’ (reset elektrik), atau ablasi kateter/ jantung tidak berjaya.

‘Maze’ bukanlah satu singkatan, sebaliknya, ia menggambarkan secara terperinci tentang tisu parut yang terbentuk akibat pembedahan ini. Doktor akan membuat rangkaian luka pada bahagian jantung yang mengawal degupan jantung anda. Selepas pembedahan, tisu parut terbentuk untuk menghentikan isyarat yang tidak teratur dan mengatur degupan jantung anda.

Bergantung pada cadangan doktor anda, pembedahan ‘maze’ boleh dilakukan dengan kombinasi cryoablation (pembekuan) dan ablasi frekuensi radio (panas).

5. Pemindahan jantung

Transplantasi atau pemindahan jantung adalah pembedahan untuk menggantikan jantung seseorang yang berpenyakit dengan jantung yang sihat daripada penderma yang sudah meninggal dybua. Sebilangan besar pemindahan jantung dilakukan pada pesakit yang mengalami masalah kegagalan jantung peringkat akhir.

Kegagalan jantung adalah keadaan di mana jantung sudah rosak atau lemah. Akibatnya, ia tidak dapat mengepam darah yang mencukupi untuk memenuhi keperluan tubuh. Pesakit dalam senarai menunggu jantung daripada penderma masih menerima rawatan berterusan untuk masalah kegagalan jantung dan keadaan perubatan lain. Alat bantuan ventrikel (VAD) atau jantung tiruan total (TAH) mungkin digunakan untuk merawat pesakit ini.

6. Rawatan arrhythmia

Arrhythmia adalah masalah dengan kadar atau irama degupan jantung. Semasa ia berlaku, jantung boleh berdegup kencang, terlalu perlahan, atau dengan irama yang tidak teratur. Penggunaan ubat tertentu biasanya merupakan rawatan pertama untuk masalah ini. Sekiranya ubat tidak berfungsi dengan baik, doktor mungkin mengesyorkan anda menjalani pembedahan. Sebagai contoh, pembedahan boleh dilakukan untuk menanam alat pacu jantung atau cardioverter defibrillator (ICD). Rawatan arrhythmia lain adalah seperti pembedahan ‘maze’ yang ada juga disebut dalam senarai ini.

Alat pacu jantung (pacemaker) adalah alat kecil yang diletakkan di bawah kulit dada atau perut anda. Wayar akan menghubungkan alat pacu jantung ke ruang jantung anda. Peranti ini menggunakan denyutan elektrik rendah tenaga untuk mengawal irama jantung yang mana sebilangan besar alat ini mempunyai sensor bagi  menghidupkan peranti hanya jika irama jantung anda tidak normal.

ICD pula adalah alat kecil lain yang diletakkan di bawah kulit dada atau perut anda. Peranti ini juga disambungkan ke jantung anda dengan wayar. Selain itu, ICD memeriksa degupan jantung anda untuk mengetahui jika ada berlakunya situasi arrhythmia berbahaya. Sekiranya peranti mengesannya, ia akan menghantar kejutan elektrik ke jantung anda untuk memulihkan irama jantung yang normal.

7. Kemasukan alat bantu ventrikel (ventricular assist device – VAD) atau jantung tiruan keseluruhan (total artificial heart – TAH)

VAD adalah pam mekanikal yang digunakan untuk menyokong fungsi jantung dan aliran darah pada individu yang mempunyai jantung lemah. Doktor mungkin mengesyorkan VAD jika anda mengalami kegagalan jantung yang tidak bertindak balas terhadap rawatan atau jika anda sedang menunggu proses pemindahan jantung. Anda boleh menggunakan VAD untuk waktu yang singkat atau selama berbulan-bulan mahupun bertahun-tahun, bergantung pada keadaan anda.

Seterusnya, TAH pula adalah alat yang menggantikan dua ruang bawah jantung (ventrikel). Anda mungkin mendapat manfaat daripada TAH jika kedua-dua ventrikel anda tidak berfungsi dengan baik kerana kegagalan jantung tahap akhir. Meletakkan kedua-dua alat ini memerlukan pembedahan jantung terbuka.

SUMBER

https://www.asahq.org/whensecondscount/preparing-for-surgery/procedures/heart-surgery/

https://www.nhlbi.nih.gov/health-topics/heart-surgery

https://www.nhsinform.scot/tests-and-treatments/surgical-procedures/heart-surgery

https://healthcare.utah.edu/cardiovascular/treatments/heart-surgery-bypass-valve.php

Summary
Jenis Pembedahan Jantung
Article Name
Jenis Pembedahan Jantung
Description
Pembedahan jantung dapat mengurangkan simptom, meningkatkan kualiti hidup dan meningkatkan peluang hidup. Jom ketahui beberapa jenis pembedahan jantung yang ada.
Author
Publisher Name
Ceria Sihat
Tagged: