ayat perintah

Ayat perintah digunakan bertujuan untuk memberikan perintah, suruhan, ajakan, menyatakan keiginan,harapan atau larangan untuk melakukan sesuatu. Jenis-jenis ayat perintah adalah :

  • Ayat suruhan
  • Ayat larangan
  • Ayat silaan
  • Ayat permintaan
  • Ayat ajakan

Ayat perintah ditujukan kepada orang kedua dan kata ganti nama diri ketiga.

Namun, Bahasa Melayu mempunyai pelbagai jenis ayat untuk menyampaikan sesuatu maksud yang sama.
Bahasa Melayu dianggap sebagai sebuah bahasa yang sentiasa hidup serta menarik kerana mempunyai pelbagai jenis ragam ayat.


Pembaca mudah merasa jemu jika penulis hanya menggunakan sejenis ragam ayat sahaja semasa menulis.
Untuk menjadi sasterawan atau penulis yang baik jenis ragam ayat ini perlu dimasukkan didalam penulisan mengikut kesesuaian.

Jenis-jenis ayat bahasa Melayu dapat digolongkan kepada empat ragam:

  1. Ayat penyata:
  • Ayat transitif dan ayat intransitif
  • Ayat aktif dan ayat pasif
  • Ayat songsang
  • Ayat nafi
  • Ayat inti dan ayat gabungan
  1. Ayat perintah
  2. Ayat tanya
  3. Ayat seru

JENIS-JENIS AYAT PERINTAH

Ayat Suruhan

Ayat suruhan adalah ayat memberikan arahan kepada seseorang supaya orang kedua akan melakukan sesuatu.
Subjek ayat terdiri daripada ganti nama diri orang kedua seperti kamu, awak,engkau dan sebagainya.
Ayat suruhan boleh dilembutkan dengan menggunakan partikel -lah. Contoh :

  • Pergi dari sini.
  • Makan ubat ini.
  • Pergi mandi dan tidur.
  • Menyeberanglah dengan hati-hati.
  • Pergilah makan supaya nanti tidak lapar.

Bagi kata kerja transitif yang menerima awalan men-,awalan tersebut perlu digugurkan dalam ayat suruhan jenis ini. Contoh:

  • Kamu tunggu saya sekejap.
  • Kamu masak dengan hati-hati.
  • Awak pergi beli roti.
  • Engkau jaga budak ini.

Dalam binaan ayat suruhan dan ayat perintah jenis lain yang mengandungi kata kerja tak transitif dan menerima awalan, awalan tersebut tidak boleh digugurkan. Contoh:

  • Bertenanglah kamu disitu.
  • Berusahalah supaya dapat mencapai cita-cita.
  • Memandulah dengan selamat.
  • Makanlah dengan pelahan.
  • Bacalah doa ini sebelum memulakan perjalan.

ayat perintah

Ayat Silaan

Ayat silaan digunakan untuk menjemput atau mempersilakan seseorang. Boleh dikenalpasti menggunakan kata silaan seperti sila, sudi dan jemput.
Kata silaan boleh juga menerima partikel- lah bagi menghaluskan perintah. Contoh :

  • Sila masuk.
  • Sila serahkan kertas jawapan anda.
  • Sila duduk disni.
  • Jemputlah makan.
  • Jemputlah hadir ke majlis perkahwinan anak saya nanti.
  • Sudilah menjamah makanan yang disediakan.

Ayat Larangan

Ayat larangan ialah ayat yang digunakan untuk menghalang seseorang daripada melakukan sesuatu. Boleh dikenalpasti menggunakan kata larangan seperti jangan,usah atau tak usah.
Ayat larangan juga boleh dilembutkan dengan menggunakan partikel- lah. Contoh :

  • Jangan lari.
  • Janganlah lari.
  • Tidak usah duduk di atas lantai.
  • Tidak usahlah duduk di atas lantai.
  • Usah dipedulikan orang yang sombong.
  • Usahlah dipedulikan orang yang sombong.

Ada jenis ayat larangan lagi yang bersifat umum yang tidak menggunakan kata larangan dan tidak menerima partikel –lah. Contoh:

  • Dilarang merokok.
  • Dilarang memancing.
  • Dilarang makan dan minum.
  • Dilarang meniru.
  • Dilarang bercakap.
  • Dilarang menggunakan telefon semasa memandu.

Ayat larangan dapat juga dilembutkan dengan menggunakan perkataan harap pada bahagian hadapannya. Contoh:

  • Harap jangan merokok.
  • Harap jangan membuat bising.
  • Harap jangan makan dan minum.
  • Harap jangan meniru.

Ayat Permintaan

Ayat permintaan berfungsi untuk meminta atau memohon seseorang melakukan sesuatu. Ayat permintaan menggunakan kata permintaan seperti tolong, mohon dan minta. Contoh :

  • Tolong basuh baju ini.
  • Tolong beri perhatian semasa didalam kelas saya.
  • Mohon memberi kerjasama semua.
  • Mohon jasa baik tuan puan untuk menghormati majlis.
  • Minta pulangkan semula buku-buku yang telah dipinjam.
  • Minta semua senyap semasa berada di dalam dewan seminar.

Ayat Ajakan

Ayat ajakan digunakan untuk mengajak seseorang. Ayat ini menggunakan kata ajakan mari, ayuh dan jom. Kadangkala subjek ayat ini menunjukkan kata ganti nama diri kita. Contoh :

  • Mari pergi sekolah.
  • Mari kita pergi sekolah.
  • Ayuh pergi bermain
  • Ayuh kita pergi bermain

Bahasa Melayu kaya dengan pelbagai ragam ayat untuk menapakkan Bahasa melayu cantik dan indah. Semoga Ayat perintah yang kami kongsikan dapat memberi ilmu tambahan kepada anda dalam pengunaan seharian ataupun untuk pembelajaran.

SUMBER:

https://en.wikipedia.org/wiki/Library

http://www.lubbockfol.org/

https://ms.wikipedia.org/wiki/Jenis-jenis_ayat_bahasa_Melayu#Ayat_perintah

https://gowtheswaan.blogspot.com/2017/12/ayat-perintah.html

Summary
Jenis-jenis Ayat Perintah
Article Name
Jenis-jenis Ayat Perintah
Description
Ayat perintah digunakan bertujuan untuk memberikan perintah atau suruhan untuk melakukan sesuatu. Jenis-jenis ayat perintah adalah
Author
Publisher Name
Ceria Sihat
Tagged: