tapeworm infection
Cacing Pita adalah sejenis cacing yang berbentuk rata dan mempunyai beberapa segmen pada badannya.

Jangkitan Cacing Pita berlaku pada manusia biasanya boleh menyebabkan beberapa simptom namun jangkitan ini mudah dirawat. Namun, kadangkala dalam sesetengah kes ia mengakibatkan masalah yang lebih serius dan boleh mengancam nyawa. Itulah sebabnya amat penting bagi anda untuk mengenali simptom Jangkitan Cacing Pita dan mengetahui bagaimana cara untuk melindungi diri serta keluarga anda daripadanya.

Memakan daging yang mentah daripada haiwan yang dijangkiti merupakan punca utama Jangkitan Cacing Pita pada manusia. Cacing Pita adalah sejenis cacing yang berbentuk rata, mempunyai beberapa segmen pada badannya dan tinggal di dalam usus beberapa haiwan. Haiwan boleh dijangkiti oleh parasit ini ketika bermain, berguling di padang rumput atau minum air yang tercemar.

Simptom Jangkitan Cacing Pita

Ramai individu yang dijangkiti oleh Cacing Pita tidak mengalami sebarang simptom dan tidak menyedari kehadiran parasit tersebut dalam sistem tubuh mereka.

Sekiranya tanda-tanda dan simptom hadir, ia biasanya terdiri daripada keletihan, Sakit Perut, pengurangan berat badan, dan Cirit-Birit.

Simptom mungkin berbeza bergantung kepada jenis Cacing Pita. Simptom yang mungkin dialami termasuklah:

  • Kehadiran telur, larva, atau Cacing Pita dewasa dalam najis
  • Sakit perut
  • Muntah
  • Loya
  • Kelemahan umum
  • Usus radang
  • Cirit-birit
  • Pengurangan berat
  • Selera makan berubah
  • Kesukaran tidur. Boleh juga berpunca dari simptom lain.
  • Pening
  • Kekejangan yang teruk.
  • Kekurangan zat makanan
  • Kekurangan vitamin b12, dalam kes-kes yang sangat jarang berlaku

Punca Jangkitan Cacing Pita

Tedapat enam jenis Cacing Pita yang telah dikenalpasti dapat menjangkiti manusia. Ia boleh dikategorikan mengikut jenis haiwan yang dijangkitinya. Contohnya, cacing pita ‘Taenia saginata’ daripada daging lembu, Taenia solium daripada babi, dan Diphyllobothrium latum  daripada ikan.

Cacing Pita mempunyai tiga peringkat jangka hayat iaitu telur, peringkat matang yang dipanggil larva, dan peringkat dewasa di mana cacing boleh menghasilkan lebih banyak telur. Oleh kerana Cacing Pita pada peringkat larva dapat masuk ke dalam otot perumahnya, jangkitan boleh berlaku apabila anda memakan daging yang mentah atau kurang masak daripada haiwan perumah yang dijangkiti.

Ada juga kemungkinan untuk anda mendapatkan Jangkitan Cacing Pita daripada makanan yang disediakan oleh individu yang dijangkiti. Telur Cacing Pita boleh disebarkan melalui pergerakan usus jadi, ia boleh berada dalam najis anda. Oleh itu, seseorang yang tidak mencuci tangan dengan betul selepas membuang air serta kemudian menyediakan makanan boleh mencemari makanan tersebut dengan telur Cacing Pita.

Diagnosis Jangkitan Cacing Pita

Individu yang mengesyaki dirinya telah dijangkiti Cacing Pita atau mempunyai simptom yang dinyatakan di atas haruslah berjumpa dengan doktor. Sesetengah pesakit mungkin boleh mengesan jangkitan itu sendiri dengan memeriksa najis mereka untuk melihat kehadiran Cacing Pita dewasa. Walau bagaimanapun, doktor masih diperlukan untuk memeriksa najis dan menghantar sampelnya ke makmal. Doktor juga akan memeriksa kawasan sekitar dubur pesakit untuk memeriksa sebarang kehadiran telur atau larva Cacing Pita.

Ujian diagnostik berikut boleh dijalankan dan ia bergantung kepada jenis larva Jangkitan Cacing Pita:

  • Ujian Darah: Dilakukan bertujuan untuk mencari antibodi yang berpunca dari jangkitan.
  • Imbasan Pengimejan: Prosedur ini termasuklah X-ray di dada, imbasan ultra bunyi, imbasan CT, atau imbasan MRI.
  • Ujian Organ: Doktor mungkin akan memeriksa organ anda, sama ada ia berfungsi dengan baik atau tidak.

Faktor Risiko Jangkitan Cacing Pita

Faktor-faktor yang boleh meningkatkan risiko kepada Jangkitan Cacing Pita termasuklah:

  • Kebersihan diri. Tidak membasuh tangan atau tidak mandi dengan kerap dapat meningkatkan risiko pemindahan bahan tercemar ke dalam mulut anda.
  • Pendedahan kepada haiwan ternakan. Perkara ini boleh menjadi masalah di kawasan yang tidak melakukan pelupusan najis (manusia dan haiwan) dengan cara yang betul.
  • Melancong ke negara-negara yang sedang membangun. Jangkitan Cacing Pita berlaku dengan lebih kerap di kawasan yang mempunyai amalan kebersihan yang kurang baik seperti di negara-negara yang sedang membangun.
  • Makan daging mentah atau kurang masak. Memasak dengan cara yang tidak betul mungkin gagal membunuh semua telur cacing dan larva yang terkandung dalam daging yang tercemar.
  • Hidup di kawasan endemik. Pendedahan kepada telur Cacing Pita adalah lebih tinggi di bahagian-bahagian tertentu di dunia. Sebagai contoh, risiko anda mendapat jangkitan Cacing Pita daripada babi (Taenia solium) lebih besar di kawasan Amerika Latin, China, Afrika sub-Sahara atau Asia Tenggara di mana babi bebas berkeliaran.

Rawatan Jangkitan Cacing Pita

Sesetengah individu yang mengalami Jangkitan Cacing Pita tidak memerlukan rawatan kerana Cacing Pita keluar dari badannya dengan sendiri. Namun begitu, terdapat juga individu lain yang tidak menyedari akan jangkitan yang mereka alami kerana mereka tidak mengalami sebarang simptom. Walau bagaimanapun, jika anda didiagnosis dengan Jangkitan Cacing Pita, doktor mungkin akan memberikan ubat kepada anda untuk menghapuskannya.

Rawatan yang paling biasa diberikan adalah melibatkan ubat-ubatan oral yang toksik kepada Cacing Pita dewasa, termasuklah:

  • Praziquantel (Biltricide)
  • Albendazole (Albenza)
  • Nitazoxanide (Alinia)

Ubat yang diberikan doktor anda bergantung kepada spesies Cacing Pita yang terlibat dan perumah jangkitan. Namun begitu, ubat-ubatan ini hanya menyasarkan Cacing Pita dewasa dan bukannya telur, jadi amatlah penting untuk anda mengelakkan diri anda daripada mendapat Jangkitan Cacing Pita secara langsung. Selain itu, anda perlu sentiasa mencuci tangan selepas anda menggunakan tandas dan sebelum anda makan.

Untuk memastikan jangkitan anda telah dibersihkan, doktor mungkin akan mengambil sampel najis anda dan memeriksanya pada selang masa tertentu selepas anda selesai mengambil ubat yang diberikan. Rawatan yang berjaya bermaksud najis anda telah bebas daripada telur Cacing Pita, larva atau proglottid. Hasilnya ini boleh dilihat jika anda menerima rawatan yang sesuai untuk jenis Cacing Pita yang menyebabkan jangkitan anda.

– Rawatan untuk jangkitan invasif

Merawat jangkitan cacing pita invasif bergantung kepada lokasi dan kesan jangkitan.

  • Ubat anthelmintik.Seperti Albendazole (Albenza), boleh mengurangkan beberapa sista Cacing Pita. Doktor anda akan memantau sista secara berkala menggunakan imbasan pengimejan seperti ultrabunyi  atau X-ray untuk memastikan ubat tersebut berkesan terhadap sista tersebut.
  • Terapi anti-radang. Kematian sista Cacing Pita boleh menyebabkan bengkak atau keradangan dalam tisu atau organ dalaman anda, jadi doktor boleh mengesyorkan ubat kortikosteroid, seperti prednisone atau dexamethasone, untuk mengurangkan keradangan.
  • Terapi anti-epilepsi. Sekiranya penyakit yang anda alami menyebabkan kekejangan, ubat-ubatan anti-epilepsi boleh menghalangnya.
  • Penempatan tiub kekal. Sejenis jangkitan invasif yang dipanggil hydrocephalus boleh menyebabkan terlalu banyak cecair berkumpul pada otak. Doktor anda akan mengesyorkan untuk meletakkan tiub kekal (shunt) di kepala anda bagi mengalirkan cecair tersebut.
  • Pembedahan. Sama ada sista boleh dikeluarkan secara pembedahan atau tidak, ia bergantung kepada lokasi dan simptomnya. Sista yang terbentuk di hati, paru-paru dan mata biasanya akan dikeluarkan dari badan kerana ia boleh mengancam fungsi organ dalaman.

Sumber:

https://www.webmd.com/a-to-z-guides/tapeworms-vs-pinworms

https://www.healthline.com/health/how-to-get-rid-of-tapeworms

https://www.medicalnewstoday.com/articles/170461

https://www.webmd.com/digestive-disorders/tapeworms-in-humans

Summary
Jangkitan Cacing Pita (Tapeworm Infection) - Simptom, Punca, Diagnosis, Faktor Risiko dan Rawatan
Article Name
Jangkitan Cacing Pita (Tapeworm Infection) - Simptom, Punca, Diagnosis, Faktor Risiko dan Rawatan
Description
Jangkitan Cacing Pita berlaku pada manusia biasanya boleh menyebabkan beberapa simptom namun jangkitan ini mudah dirawat.
Publisher Name
Ceria Sihat
Tagged: