Jangan Mencetus Kebimbangan Awam Mengenai COVID-19
Seiring dengan penularan pandemic COVID-19, ramai pihak tidak bertanggungjawab menyebarkan maklumat palsu yang meletakkan orang ramai dalam tahap ‘panik’ dan ketakutan yang tidak sepatutnya berlaku.

Seiring dengan penularan pandemic COVID-19, ramai pihak tidak bertanggungjawab menyebarkan maklumat palsu yang meletakkan orang ramai dalam tahap ‘panik’ dan ketakutan yang tidak sepatutnya berlaku. Berikut adalah pendapat jurnalis dan kes-kes berita palsu mengenai COVID-19 yang telah berlaku di negara Malaysia.

Jangan Panik, Malaysia! Dengarlah Nasihat KKM, Bukannya Berita Palsu

Dalam keadaan penularan wabak COVID-19 sekarang ini, adalah penting bagi seorang jurnalis atau sesiapa sahaja untuk mengetahui maklumat asas mengenai COVID-19. Selain itu, mereka juga bertanggungjawab dalam mencari sumber yang boleh memberi maklumat sahih mengenai wabak tersebut kepada orang ramai.

Pihak media seharusnya menggunakan suara yang dipercayai seperti pakar kesihatan, ketua komuniti dan seseorang yang boleh dirujuk oleh masyarakat. Namun begitu, langkah-langkah ini perlu diikuti dengan panduan yang betul.

Sebarang berita palsu atau tindak balas diskriminasi dengan tujuan untuk menakutkan masyarakat awam dan menyebarkan ‘panik’, tidak perlu dikongsikan atau dipersembahkan tanpa kajian yang kritikal.

Media memainkan peranan yang besar bagi membasmi berita palsu dan membantu masyarakat awam bertanyakan soalan-soalan yang tepat.

Apa yang penting, saat inilah kita perlu bergantung kepada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) bagi berkongsi kepada masyarakat awam mengenai maklumat rasmi yang sahih, berbanding menggunakan sumber daripada pihak lain yang hanya bertujuan untuk meningkatkan publisiti pihak terlibat.

Sebagai pembaca, kita seharusnya tidak menyebarkan kiriman-kiriman yang tidak mempunyai sumber yang sah, tidak mengira niat kita sama ada baik atau buruk. Sebaliknya, jadikan Kementerian Kesihatan Malaysia sebagai sumber utama bagi perkembangan COVID-19. Pilihlah penyedia berita anda dengan baik.

Jalankan tugas kita sebagai rakyat Malaysia yang bertanggungjawab dan ikutilah langkah-langkah mudah berikut bagi membendung penularan wabak COVID-19:

  • Sentiasa memastikan badan dan tangan anda bersih
  • Elakkan tempat yang sesak dan dipenuhi orang ramai
  • Bawa topeng muka sekiranya perlu
  • Rujuklah pakar perubatan dengan segera sekiranya anda berasa kurang sihat

Pakar perubatan sentiasa bersedia dan bekerja keras untuk menangani masalah ini. Marilah bersama-sama membantu mereka, bukannya menyebarkan berita-berita palsu yang boleh menimbulkan panik.

Bukit Bintang Dipenuhi Dengan Pelancong China? Pihak Pusat Membeli Belah Menyatakan Ia Tidak Benar

Pada tanggal 6 Mac yang lalu, Pavilion KL dan Berjaya Times Square telah tampil ke hadapan bagi mematahkan tuduhan melalui klip video yang tular baru-baru ini, yang memberi amaran kepada orang awam bahawa Bukit Bintang harus dihindari kerana kawasan tersebut dipenuhi dengan pelancong-pelancong dari China.

Pihak Pavilion KL telah menolak kenyataan dalam klip video tersebut sebagai tidak benar dan ia bertujuan untuk menjatuhkan bisnes-bisnes yang terdapat di sekitar Bukit Bintang. Bukan itu sahaja, penularan video terbabi turut menyebabkan orang ramai panik dan takut untuk melawat kawasan itu.

Manakala, pihak pengurusan Berjaya Times Square turut menafikan satu rakaman audio yang melibatkan seorang lelaki berbahasa Mandarin menyatakan bahawa seramai 40 orang warga China daripada kawasan yang terjejas dengan Covid-19 berada di apartmen Berjaya Times Square.

Kedua-dua pihak pengerusan Pavilion KL dan Berjaya Times Square telah membuat laporan polis dan aduan ke Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) bagi siasatan lanjut mengenai individu yang terbabit dalam penyebaran berita palsu tersebut.

Seorang Jurnalis Dikenakan Tindakan Akibat Kiriman FB Yang Mencetuskan Kebimbangan Awam

Dalam bulan Januari yang lalu, seorang jurnalis yang dikenali sebagai Ibu Yati, mengeluarkan tiga kenyataan mengenai virus Covid-19 secara terbuka melalui akaun Facebook beliau. Kenyataan tersebut meningkatkan kebimbangan dan ketakutan orang ramai mengenai penularan virus tersebut.

Walau bagaimanapun, beliau mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret, atas tiga tuduhan memuat naik kenyataan yang bertujuan mencetus kebimbangan terhadap orang ramai di Facebook.

Ketiga-tiga kenyataan di Facebook tersebut telah dibaca di Pejabat Jabatan Siasatan Jenayah Komersial, Bukit Aman pada tanggal 26 Januari 2020. Beliau didakwa mengikut Seksyen 505 (b) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Ingatlah, jangan menyebarkan sebarang berita sebelum mengetahui kesahihannya. Selidiklah dahulu kebenarannya dan dapatkanlah maklumat rasmi tentang Covid-19 yang sah melalui saluran yang betul seperti Kementerian Kesihatan Malaysia dan Majlis Keselematan Negara.

SUMBER

https://www.malaymail.com/news/malaysia/2020/01/27/coronavirus-dont-panic-malaysians-listen-to-moh-not-xenophobes/1831771

http://www.dailyexpress.com.my/news/146939/journalist-charged-with-coronavirus-fear-mongering-on-fb

https://www.theedgemarkets.com/article/bukit-bintang-crowded-chinese-tourists-coronavirushit-areas-malls-say-its-not-true

Summary
Jangan Mencetus Kebimbangan Awam Mengenai COVID-19
Article Name
Jangan Mencetus Kebimbangan Awam Mengenai COVID-19
Description
Dalam artikel ini kami kongsikan pendapat jurnalis dan kes-kes berita palsu mengenai Covid-19 yang telah berlaku di negara Malaysia.
Publisher Name
Ceria Sihat
Tagged: