jam badan
Setiap individu mempunyai jam badan yang tersendiri.

Adakah anda pernah terfikir mengapa ada individu yang lebih produktif pada waktu pagi sementara ada juga yang produktif pada waktu petang? Mengapa ada subjek yang boleh diberi tumpuan selama sejam dan mengapa ada subjek yang boleh diberi tumpuan hingga 3 jam? Menurut satu artikel yang ditulis oleh Sue Shellenbarger, setiap individu mempunyai jam badan yang tersendiri.

Jam badan kita ini sebenarnya boleh memberi kesan terhadap penggunaan tenaga dan perhatian, serta membantu menentukan waktu terbaik untuk melakukan tugas yang spesifik.

Ramai orang yang menguruskan masa mereka berdasarkan beberapa aspek tetapi sering melupakan aspek utama iaitu jam badan kita sendiri. Walaupun ianya bukanlah mudah untuk menetapkan aktiviti harian berdasarkan jam badan, ia mungkin berbaloi untuk dicuba dahulu memandangkan ia dikatakan boleh memberi manfaat pada kesihatan kita.

Gangguan irama sirkadian (circadian rhythm) telah dikaitkan dengan masalah seperti diabetes, tekanan, demensia dan obesiti. Apabila jam badan kita dapat melaraskan segala fungsi metabolik, kardiovaskular dan kelakuan secara serentak dengan stimuli yang lain, ia akan memberi kelebihan dalam kehidupan seharian kita.

Contohnya, bagi aspek perlakuan kognitif, kebanyakan golongan dewasa melakukan kerja dengan lebih baik bagi ketika waktu hampir tengah hari. Keupayaan untuk fokus dan memberi penumpuan kemudian akan mula berkurangan selepas itu. Ramai individu lebih mudah terganggu pada waktu tengah hari hingga sekitar jam 4 petang. Semuanya berbeza mengikut jam badan sendiri.

Selain itu, kadar penumpuan kita juga biasanya berkurangan selepas makan. Pada masa yang sama, anda pastinya pernah berasa mengantuk dan tertidur tersengguk-sengguk selepas makan tengah hari. Bila bos datang, baru sibuk buat kerja semula.

Namun begitu, adakah anda tahu bahawa rasa kepenatan sebegini sebenarnya boleh meningkatkan tahap kreativiti seseorang? Luar biasa bukan? Bagi kebanyakan golongan dewasa, masalah yang memerlukan pemikiran secara meluas lebih mudah dilakukan pada waktu petang kerana rasa penat atau lemah membolehkan minda kita untuk meneroka variasi penyelesaian yang ada.

Mari kita beralih pada aspek sukan pula memandangkan kini, makin ramai individu yang sudah mengambil langkah untuk hidup dengan lebih sihat. Jadi, sekiranya anda ingin lakukan aktiviti fizikal dan mengurangkan kadar kecederaan, bersenamlah sekitar jam 3 hingga 6 petang. Jika anda ingin bermain permainan raket, lakukannya pada jam 2 hingga 6 petang kerana dalam tempoh itu, cengkaman anda untuk memegang raket adalah lebih kukuh. Cuba biasakan jam badan anda dengan jadual tersebut.

Sekarang, aspek yang paling dinantikan iaitu waktu makan! Secara amnya, cuba anda fikir, adakah tempoh terbaik bagi seseorang untuk makan benar-benar wujud atau hanya sekadar teori sahaja? Menurut pakar, untuk mengelakkan kenaikan berat badan, hadkan pengambilan makanan pada waktu aktif anda. Pandangan yang biasa kita dengar adalah makan secara sedikit tetapi berterusan adalah lebih baik berbanding makan secara sekali gus pada satu masa sahaja.

waktu makan

Mari kita lihat perbandingan yang melibatkan dua kumpulan tikus dengan pengambilan kadar kalori yang sama. Satu kumpulan dibenarkan untuk makan setiap saat manakala satu lagi kumpulan adalah terhad untuk makan selama 8 jam (tempoh aktif) sahaja. Keputusannya menunjukkan bahawa kumpulan tikus kedua ternyata lebih kurus, mempunyai kadar kolesterol dan gula dalam darah yang lebih berbanding kumpulan lagi satu.

JADI,

ANDA MAHU JADI KUMPULAN YANG MANA?

Setiap individu lebih mengenali dirinya sendiri. Ada yang berfungsi lebih baik pada waktu pagi, ada pula yang berfungsi lebih baik pada waktu petang. Perbezaan ini tidak seharusnya menjadi satu isu yang membezakan diri kita tetapi boleh digunakan sebagai satu penanda aras yang positif. Lakukan setiap aktiviti dengan sebaik mungkin agar kita tidak menyesal dengan keputusannya di kemudian hari.

SUMBER

https://www.webmd.com/sleep-disorders/ss/slideshow-body-clock

https://www.medicalnewstoday.com/articles/323990

https://www.healthline.com/health-news/what-is-the-best-time-of-day-to-be-sick

https://www.onhealth.com/content/1/biological_clock_sleep_health_body_facts

Tagged: