Impetigo
Ia adalah sejenis jangkitan kulit yang sering dijangkiti oleh kanak-kanak.

Impetigo adalah jangkitan kulit yang sering dijangkiti oleh kanak-kanak. Ia boleh menyebabkan luka kemerahan, meleleh dan berkerak. Jangkitan ini juga boleh merebak ke bahagian badan lain jika anda menggaru kudis itu. Selain itu, penyakit ini berlaku disebabkan oleh bakteria streptokokus (strep) atau staphylococcus (staph).

Di utara Eropah, Amerika Utara, dan Kanada, ia adalah jangkitan kulit bakteria paling biasa berlaku pada kanak-kanak, namun ia masih boleh berlaku bagi individu di setiap peringkat umur. Ia juga lebih umum berlaku pada individu yang tinggal di persekitaran terkurung, seperti berek tentera atau di iklim yang panas dan lembap.

Di samping itu, jangkitan ini jarang menjadi keadaan yang serius dan selalunya sembuh sendiri dalam masa 2 minggu. Walau bagaimanapun, komplikasi kadangkala boleh berlaku jadi doktor selalunya akan memberikan minyak antibiotik atau pil antibiotik.

 

Jenis Impetigo

Terdapat dua jenis utama Impetigo: Non-bullous dan bullous.

 

– ‘Non-bullous Impetigo’, atau Impetigo ‘contagiosa’

Sekitar 70 peratus kes terjadi daripada jenis ini. Lepuh merah kecil muncul di sekitar mulut dan hidung, atau, kadangkala, di bahagian kaki. Ia kemudiannya pecah dan mengalir cecair atau nanah, meninggalkan kerak yang tebal dan kekuningan.

Setelah kerak menjadi kering, ia akan meninggalkan tanda merah yang biasanya sembuh tanpa parut. Walaupun luka ini tidak menyakitkan, ianya adalah sangat gatal. Jadi, penting untuk individu agar tidak menyentuh atau menggaru lepuh ini bagi mencegah jangkitan merebak ke bahagian lain badan mahupun dijangkiti orang lain.

Dalam kes yang jarang berlaku, gejala mungkin menjadi lebih serius dengan simptom demam dan kelenjar membengkak.

 

– ‘Bullous Impetigo’

Impetigo ‘bullous’ berlaku disebabkan strain dari ‘Staphylococcus aureus’ yang merembeskan jenis toksin dengan sasaran pada lapisan kulit. Ia selalu menjangkiti bayi di bawah umur 2 tahun.

Toksin itu akan menyerang protein yang membantu kulit untuk terikat bersama. Sebaik sahaja protein ini rosak, bakteria boleh merebak dengan cepat.

Cecair dengan saiz sederhana mahupun yang berukuran besar akan muncul pada badan, kaki dan lengan. Kulit di sekitar lepuh juga adalah merah dan gatal, tetapi tidak sakit. Ia sering merebak dengan cepat dan akhirnya pecah, meninggalkan kerak berwarna kuning. Seterusnya, kerak ini biasanya akan sembuh tanpa meninggalkan kesan parut.

Lepuh juga tidak menyakitkan, tetapi ia boleh menjadi sangat gatal. Jadi, pesakit perlu cuba untuk tidak menyentuh atau menggaru mereka. Demam dan kelenjar bengkak adalah simptom biasa bagi individu dengan jenis Impetigo ini.

 

Simptom Impetigo

Tanda-tanda dan simptom bagi keadaan ini boleh melibatkan luka merah yang cepat pecah, meleleh selama beberapa hari dan kemudian membentuk kerak coklat kekuningan. Luka biasanya terjadi di sekitar hidung dan mulut tetapi boleh tersebar ke bahagian tubuh lain melalui jari, pakaian dan tuala. Gatal-gatal dan kesakitan yang dialami individu biasanya ringan dan tidak serius.

Tambahan pula, bentuk kurang biasa yang dikenali sebagai ‘bulluos impetigo’, mungkin melibatkan lepuh yang lebih besar pada badan bayi dan kanak-kanak.

 

Punca Impetigo

Penyakit ini berlaku disebabkan oleh:

  • Staphylococcus aureus (S. aureus)
  • Streptococcus pyogenes (S. pyogenes)

S. aureus wujud pada kulit manusia tetapi tidak membahayakan dan S. pyogenes pula boleh wujud pada bakteria mulut. Walau bagaimanapun, mereka boleh menyebabkan jangkitan apabila berlakunya hirisan atau luka pada badan.

Jangkitan boleh bermula dengan dua cara:

  • Impetigo utama: Bakteria menyerang kulit yang normal, sihat tanpa tapak kemasukan.
  • Impetigo sekunder: Bakteria menyerang kulit kerana jangkitan atau keadaan kulit lain yang telah mengganggu halangan kulit, seperti ekzema atau kudis.

 

Diagnosis Impetigo

Masalah kesihatan ini agak mudah didiagnosis dengan hanya memeriksa kawasan yang terjejas. Doktor mungkin akan menyoal pesakit, ibu bapa atau penjaga tentang apa-apa hirisan, calar, atau gigitan serangga yang berlaku pada kawasan yang terjejas.

Selain itu, doktor juga akan cuba mengetahui sekiranya ia muncul kerana keadaan kulit yang lain, seperti kudis.

Ujian lanjut boleh dilakukan jika:

  • Simptom menjadi serius dan telah merebak ke banyak bahagian badan yang lain.
  • Pesakit tidak bertindak balas terhadap rawatan.
  • Jangkitan itu terus berulang.

Doktor perlahan-lahan akan mengesat kawasan berkulit dengan pengesat untuk melihat kuman mana yang menyebabkan masalah ini serta antibiotik mana yang paling berkesan. Pengesat juga boleh membantu menentukan sama ada terdapat jangkitan lain, seperti kurap atau sirap pada individu.

 

Faktor Risiko Impetigo

Faktor-faktor yang meningkatkan risiko penyakit tersebut termasuk:

  • Umur. Impetigo paling biasa berlaku pada kanak-kanak berumur 2 hingga 5 tahun.
  • Kawasan yang berkerumun. Impetigo mudah tersebar di sekolah dan tempat penjagaan kanak-kanak.
  • Cuaca panas dan lembap. Infeksi Impetigo lebih biasa berlaku pada musim panas.
  • Jenis sukan tertentu. Penyertaan dalam sukan yang melibatkan sentuhan kulit ke kulit, seperti bola sepak atau gusti, meningkatkan risiko anda mengalami Impetigo.
  • Kulit pecah. Bakteria yang menyebabkan Impetigo sering memasuki kulit anda melalui kecederaan kulit kecil, gigitan serangga atau ruam.
  • Orang dewasa dan orang yang menghidap kencing manis atau sistem imun yang lemah lebih cenderung untuk mengembangkan ‘ecthyma’, sejenis Impetigo.

 

Komplikasi Impetigo

Masalah kesihatan ini biasanya tidak berbahaya dan luka dalam bentuk jangkitan ringan umumnya boleh sembuh tanpa parut.

Komplikasi Impetigo jarang berlaku tetapi boleh melibatkan:

  • Selulitis. Jangkitan serius ini berpotensi menjejaskan tisu yang mendasari kulit dan akhirnya boleh merebak ke nodus limfa dan aliran darah anda. Seterusnya, Selulitis yang tidak diubati dengan cepat boleh menjadi ancaman kepada kehidupan.
  • Masalah buah pinggang. Salah satu jenis bakteria yang menyebabkan Impetigo juga boleh merosakkan buah pinggang anda.
  • Parut. Ulser yang dikaitkan dengan ‘ecthyma’ boleh meninggalkan parut.

 

Rawatan Impetigo

Rawatan untuk Impetigo dilakukan bertujuan untuk mempercepatkan penyembuhan, memperbaiki keadan kulit dan mencegah komplikasi dan penyebaran jangkitan.

Jenis rawatan akan bergantung pada jenis Impetigo dan keparahan simptom.

Jika jangkitan adalah ringan, doktor hanya boleh mengesyorkan penjagaan kulit dengan bersih. Namun begitu, jangkitan yang lebih serius mungkin memerlukan rawatan dengan antibiotik.

SUMBER

https://www.mayoclinic.org/diseases-conditions/impetigo/symptoms-causes/syc-20352352#:~:text=Impetigo%20(im%2Dpuh%2DTIE,and%20develop%20honey%2Dcolored%20crusts.

https://www.healthline.com/health/impetigo

https://www.webmd.com/skin-problems-and-treatments/understanding-impetigo-basics

https://www.medicalnewstoday.com/articles/162945

Summary
Impetigo (Impetigo) - Jenis, Simptom, Punca, Diagnosis, Faktor Risiko, Komplikasi dan Rawatan
Article Name
Impetigo (Impetigo) - Jenis, Simptom, Punca, Diagnosis, Faktor Risiko, Komplikasi dan Rawatan
Description
Impetigo adalah jangkitan kulit yang sering dijangkiti oleh kanak-kanak. Ia boleh menyebabkan luka kemerahan, meleleh dan berkerak.
Publisher Name
Ceria Sihat
Tagged: