Now Reading
Hipopituitarisme (Hypopituitarism) – Simptom, Punca, Diagnosis dan Rawatan

Hipopituitarisme (Hypopituitarism) – Simptom, Punca, Diagnosis dan Rawatan

hipopituitarisme

Hipopituitarisme adalah keadaan di mana kelenjar pituitari (kelenjar kecil di pangkal otak) tidak menghasilkan satu atau lebih hormonnya atau penghasilan yang tidak mencukupi. Ia mungkin berlaku kerana penyakit dalam pituitari atau hipotalamus (sebahagian daripada otak yang mengandungi hormon bagi mengawal kelenjar pituitari). Apabila terdapat pengeluaran hormon pituitari yang rendah atau tiada langsung, keadaan itu dipanggil seabagai “panhipopituitarisme”. Keadaan ini juga boleh menjejaskan golongan kanak-kanak atau orang dewasa.

Kelenjar pituitari menghantar isyarat kepada kelenjar lain, misalnya kelenjar tiroid untuk menghasilkan hormon seperti hormon tiroid. Hormon yang dihasilkan oleh kelenjar pituitari dan kelenjar lain mempunyai kesan yang signifikan terhadap fungsi badan, seperti proses pertumbuhan, pembiakan, tekanan darah dan metabolisme individu. Apabila satu atau lebih hormon ini tidak dihasilkan dengan mencukupi, fungsi normal badan boleh terjejas. Sesetengah masalah hormon, seperti kortisol atau hormon tiroid mungkin memerlukan rawatan dengan segera. Namun, ada juga kes lain yang mungkin tidak mengancam nyawa.

Simptom Hipopituitarisme

Tanda-tanda dan gejala hipopituitarisme biasanya berkembang secara beransur-ansur dan menjadi lebih parah dari masa ke masa. Tandanya kadangkala tidak jelas dan boleh diabaikan selama berbulan-bulan ataupun bertahun. Tetapi, bagi sesetengah orang, tanda-tanda dan gejala boleh berkembang secara tiba-tiba.

Selain itu, gejala bagi penyakit ini mungkin berbeza mengikut individu, bergantung kepada hormon-hormon pituitari yang terjejas dan sejauh mana ia telah memberi kesan. Bagi orang yang mengalami masalah kekurangan lebih daripada satu hormon pituitari, kekurangan kedua mungkin akan meningkat atau dalam beberapa kes, ia boleh disembunyikan oleh gejala kekurangan yang pertama.

Kekurangan hormon pertumbuhan (growth hormone – GH)

Bagi kanak-kanak, kekurangan GH boleh menyebabkan masalah pertumbuhan dan postur yang pendek. Kebanyakan orang dewasa yang mengalami kekurangan hormon ini mungkin tidak mempunyai sebarang gejala, namun bagi sesetengah orang dewasa ia boleh menyebabkan:

  • Keletihan.
  • Kelemahan otot.
  • Perubahan dalam komposisi lemak badan.
  • Kurang bercita-cita.
  • Pengasingan sosial.

Kekurangan hormon ‘Luteinizing’ (LH) dan hormon yang menstabilkan folikel (FSH)

Kekurangan hormon ini, yang dipanggil gonadotropin boleh mempengaruhi sistem pembiakan. Bagi wanita, kekurangan hormon ini dapat mengurangkan pengeluaran telur dan estrogen daripada ovari. Sebaliknya, bagi individu lelaki, kekurangannya akan mengurangkan pengeluaran sperma dan testosteron daripada buah zakar. Di samping itu, wanita dan lelaki mungkin mengalami nafsu seks yang rendah, ketidaksuburan atau keletihan. Bagi golongan kanak-kanak dan remaja, ia boleh menyebabkan penangguhan akil baligh.

Wanita juga mungkin mempunyai gejala seperti:

  • Rasa panas secara tiba-tiba di muka, leher dan dada (hot flashes).
  • Haid tidak teratur atau tiada haid.
  • Kehilangan bulu kemaluan.
  • Ketidakupayaan untuk menghasilkan susu untuk penyusuan susu.

Lelaki pula mungkin mempunyai gejala seperti:

  • Disfungsi erektil.
  • Kekurangan bulu pada muka atau badan.
  • Perubahan emosi.

Kekurangan hormon tiroid-stimulasi (TSH)

Hormon ini mengawal kelenjar tiroid. Kekurangan TSH boleh mendorong berlakunya tahap hormon tiroid yang rendah (hipotiroidisme). Ini menyebabkan gejala seperti:

  • Keletihan.
  • Penambahan berat badan.
  • Kulit kering.
  • Sembelit.
  • Sensitif kepada sejuk atau sukar untuk memanaskan badan.

Kekurangan hormon ‘adrenocorticotropic’ (ACTH)

Hormon ini membantu kelenjar adrenal anda berfungsi dengan betul, dan membantu badan anda bertindak balas terhadap stres. Gejala-gejala kekurangan ACTH termasuk:

  • Keletihan yang serius.
  • Tekanan darah rendah yang boleh menyebabkan pengsan.
  • Jangkitan yang kerap dan berpanjangan.
  • Mual, muntah atau sakit perut.
  • Kekeliruan.

Kekurangan hormon anti-diuretik (ADH)

Hormon ini yang juga dipanggil ‘vasopressin’, membantu badan anda mengimbangi paras cecairnya. Kekurangan ADH boleh menyebabkan gangguan dipanggil diabetes insipidus dan mendorong berlakunya simptom seperti:

  • Kencing manis yang berlebihan.
  • Haus yang melampau.
  • Ketidakseimbangan elektrolit.

Kekurangan prolaktin

Prolaktin adalah hormon yang mengarahkan tubuh bila ia boleh mula menghasilkan susu ibu. Kadar prolaktin yang rendah boleh menyebabkan wanita menghadapi masalah untuk menghasilkan susu bagi tujuan penyusuan bayi.

Punca Hipopituitarisme

Hipopituitarisme mempunyai beberapa punca. Dalam kebanyakan kes, hipopituitarisme terjadi disebabkan tumor kelenjar pituitari. Jika tumor pituitari semakin meningkat, ia dapat memampatkan dan merosakkan tisu pituitari, lalu mengganggu pengeluaran hormon. Tumor juga boleh memampatkan saraf optik dan menyebabkan gangguan visual.

Selain tumor, penyakit atau kejadian tertentu yang menyebabkan kerosakan pada kelenjar pituitari juga boleh mencetuskan hipopituitarisme. Contohnya termasuk:

  • Kecederaan kepala.
  • Pembedahan otak.
  • Rawatan radiasi di kepala atau leher.
  • Kekurangan aliran darah ke otak atau kelenjar pituitari (strok) mahupun pendarahan ke otak atau kelenjar pituitari.
  • Ubat-ubatan tertentu seperti narkotik, kortikosteroid dos tinggi atau ubat-ubatan kanser tertentu yang dikenali sebagai inhibitor pemeriksaan.
  • Keradangan kelenjar pituitari yang terjadi kerana tindak balas sistem imun yang tidak normal (hipofisitis).
  • Jangkitan otak seperti meningitis atau jangkitan yang boleh merebak ke otak seperti tuberkulosis atau sifilis.
  • Penyakit infiltratif yang menjejaskan pelbagai bahagian badan, termasuk sarkoidosis, penyakit keradangan yang berlaku di pelbagai organ; Histiositosis sel Langerhans, di mana sel-sel tidak normal menyebabkan parut dalam pelbagai bahagian badan dan hemokromatosis pula menyebabkan penampalan zat besi berlebihan dalam hati dan tisu lain
  • Kehilangan darah yang serius semasa kelahiran dan boleh menyebabkan kerosakan pada bahagian depan kelenjar pituitari (sindrom Sheehan atau nekrosis pituitari selepas bersalin)

Diagnosis Hipopituitarisme

Jika doktor mengesyaki berlakunya masalah dengan hormon pituitari anda, anda mungkin perlu menjalankan beberapa ujian untuk memeriksa tahap hormon di dalam badan dan mencari puncanya.

Doktor boleh menjalankan ujian seperti:

  • Ujian darah. Ujian ini mengukur tahap hormon anda. Sebagai contoh, ujian darah boleh mengenal pasti tahap rendah tiroid, hormon adrenal atau seks. Ia boleh menentukan sama ada tahap rendah ini dikaitkan dengan pengeluaran hormon pituitari atau tidak.
  • Stimulasi atau ujian dinamik. Ujian ini juga mengukur tahap hormon anda. Doktor mungkin menyarankan anda pergi ke klinik yang khusus dalam keadaan endokrin untuk melakukan ujian ini. Selain itu, ia boleh memeriksa paras hormon badan selepas anda mengambil ubat tertentu untuk merangsang pengeluaran hormon.
  • Pengimejan otak. Imbasan resonans magnetik (MRI scan) atau imbasan tomografi berkomputer tinggi (CT scan) otak anda boleh mengesan tumor pituitari atau masalah kelenjar pituitari yang lain.
  • Ujian penglihatan. Ujian ini boleh menentukan jika pertumbuhan tumor pituitari telah merosakkan penglihatan atau medan visual anda.

Rawatan Hipopituitarisme

Langkah pertama dalam merawat hipopituitarisme adalah pengambilan ubat untuk membantu mengembalikan hormon anda pada tahap yang normal. Ini biasanya dipanggil sebagai penggantian hormon kerana dos ditetapkan untuk memadankan jumlah yang dihasilkan oleh tubuh anda jika ia tidak mempunyai masalah pituitari. Anda juga mungkin perlu mengambil ubat untuk sepanjang hayat anda.

Dalam beberapa kes, rawatan bagi memulihkan hipopituitarisme boleh membawa kepada pemulihan lengkap atau separa berdasarkan keupayaan tubuh anda untuk menghasilkan hormon pituitari.

Ubat-ubatan

Ubat gantian hormon mungkin termasuk:

  • Kortikosteroid. Ubat-ubat ini, seperti ‘hydrocortisone’ (Cortef) atau ‘prednisone’ (Rayos) akan menggantikan hormon adrenal yang tidak dihasilkan kerana kekurangan hormon adrenokortikotropik (ACTH). Ia boleh diambil melalui mulut.
  • Levothyroxine (Levoxyl, Synthroid, lain-lain). Ubat ini merawat kadar hormon tiroid yang rendah (hipothyroidism) yang menyebabkan masalah kekurangan hormon tiroid-stimulasi (TSH).
  • Hormon seks. Ini termasuk testosteron pada lelaki dan estrogen ataupun gabungan hormon estrogen dan progesteron pada wanita. Testosteron akan diberikan sama ada secara suntikan mahupun melalui kulit dengan tampalan atau gel. Penggantian hormon wanita pula boleh dilakukan dengan pengambilan pil, gel atau tampalan.
  • Hormon tumbesaran. Ini juga dipanggil sebagai somatropin (Genotropin, Humatrope, lain-lain), hormon pertumbuhan ini diberikan melalui suntikan di bawah kulit anda. Ia akan menggalakkan pertumbuhan yang membantu memberikan ketinggian yang lebih tinggi pada kanak-kanak. Orang dewasa dengan gejala ini juga boleh mendapat manfaat daripada penggantian hormon pertumbuhan, namun tidak akan bertambah tinggi.
  • Hormon kesuburan. Jika anda mengalami masalah kesuburan, gonadotropin boleh diberikan dengan suntikan untuk merangsang ovulasi pada wanita dan pengeluaran sperma pada lelaki.

Pemantauan dan penyesuaian ubat

Seorang doktor yang pakar dalam gangguan endokrin (endocrinologist) boleh memantau gejala dan tahap hormon-hormon ini dalam darah anda untuk memastikan anda mendapat jumlah hormon yang sesuai.

Jika anda mengambil kortikosteroid, anda perlu bekerjasama dengan doktor untuk menyesuaikan dos ubat bagi masa-masa anda mengalami tekanan fizikal atau emosi yang utama. Pada masa ini, badan anda biasanya menghasilkan hormon kortisol tambahan untuk membantu anda menguruskan tekanan.

Jenis rawatan yang sama mungkin diperlukan apabila anda mengalami selesema, cirit-birit atau muntah mahupun sedang menjalani prosedur pembedahan atau pergigian. Pelarasan dos mungkin juga diperlukan semasa wanita hamil atau mengalami perubahan berat badan yang ketara.

Pembedahan atau prosedur lain

Anda mungkin memerlukan pemeriksaan CT atau MRI berkala untuk memantau tumor pituitari atau penyakit lain yang boleh menyebabkan hipopituitarisme. Rawatan untuk tumor pituitari mungkin melibatkan pembedahan untuk menghapuskan pertumbuhan. Dalam sesetengah kes, rawatan radiasi atau pengambilan ubat-ubatan boleh disyorkan untuk mengawal puncanya.

SUMBER

https://www.mayoclinic.org/diseases-conditions/hypopituitarism/symptoms-causes/syc-20351645

https://emedicine.medscape.com/article/122287-overview

https://www.healthline.com/health/hypopituitarism

error: Content is protected !!