Hiperplasia prostat
Hiperplasia prostat (BPH) juga disebut sebagai pembesaran kelenjar prostat adalah keadaan biasa yang berlaku apabila individu lelaki semakin tua. Ia dapat menyebabkan gejala kencing yang tidak selesa, seperti menyekat aliran air kencing keluar dari pundi kencing. Malah, keadaan ini juga boleh menyebabkan masalah pada pundi kencing, saluran kencing atau buah pinggang.

Hiperplasia prostat (BPH) juga disebut sebagai pembesaran kelenjar prostat  adalah keadaan biasa yang berlaku apabila individu lelaki semakin tua. Ia dapat menyebabkan gejala kencing yang tidak selesa, seperti menyekat aliran air kencing keluar dari pundi kencing. Malah, keadaan ini juga boleh menyebabkan masalah pada pundi kencing, saluran kencing atau buah pinggang.

Terdapat beberapa rawatan yang berkesan untuk menangani keadaan hiperplasia prostat termasuk ubat-ubatan, terapi invasif dan pembedahan. Bagi memilih pilihan terbaik, anda dan doktor akan mempertimbangkan simptom yang anda alami, ukuran prostat anda, keadaan kesihatan lain yang anda mungkin miliki dan pilihan anda sendiri.

Simptom Hiperplasia prostat

Gejala BPH biasanya adalah sangat ringan pada mulanya, tetapi boleh menjadi lebih serius jika tidak dirawat. Simptom biasa termasuk:

  • pengosongan pundi kencing yang tidak lengkap
  • nokturia, iaitu keperluan membuang air kecil dua kali atau lebih setiap malam
  • titisan di hujung saluran kencing anda
  • inkontinensia, atau kebocoran air kencing
  • keperluan untuk memberi tekanan semasa membuang air kecil
  • aliran kencing yang lemah
  • desakan mendadak untuk membuang air kecil
  • aliran air kencing yang lambat atau perlahan
  • kencing yang menyakitkan
  • darah dalam air kencing

Bercakap dengan doktor jika anda mengalami gejala ini. Ia boleh dirawat, dan rawatannya dapat membantu mencegah komplikasi lebih serius.

Punca Hiperplasia prostat

Penyebab hiperplasia prostat tidak difahami dengan baik, namun ia sering berlaku terutama pada lelaki yang lebih berusia. Ia tidak berkembang pada individu lelaki yang mana testisnya dikeluarkan sebelum baligh. Disebabkan itulah, sebilangan penyelidik percaya bahawa faktor yang berkaitan dengan penuaan dan testis boleh menyebabkan hiperplasia prostat.

Sepanjang hidup, individu lelaki menghasilkan testosteron iaitu hormon lelaki, dan sebilangan kecil estrogen iaitu hormon wanita. Seiring pertambahan usia lelaki, jumlah testosteron aktif dalam darah mereka berkurangan yang menjadikan bahagian estrogen lebih tinggi.

Kajian saintifik menunjukkan bahawa hiperplasia prostat mungkin berlaku kerana jumlah estrogen yang lebih tinggi di dalam prostat dapat meningkatkan aktiviti zat yang mendorong pertumbuhan sel prostat.

Teori lain pula memberi tumpuan kepada ‘dihydrotestosterone’ (DHT), iaitu hormon lelaki yang berperanan dalam perkembangan dan pertumbuhan prostat. Beberapa penyelidikan menunjukkan bahawa walaupun dengan penurunan kadar testosteron dalam darah, golongan lelaki berusia terus menghasilkan dan mengumpulkan kadar DHT yang tinggi di prostat. Pengumpulan DHT ini dapat mendorong sel-sel prostat untuk terus tumbuh.

Diagnosis Hiperplasia prostat

Penyedia perkhidmatan kesihatan boleh mendiagnosis hiperplasia prostat  berdasarkan:

  • sejarah perubatan peribadi dan keluarga
  • ujian fizikal
  • ujian perubatan

Mengambil sejarah perubatan peribadi dan keluarga adalah salah satu perkara pertama yang boleh dilakukan untuk membantu mendiagnosis hiperplasia prostat. Seorang penyedia perkhidmatan kesihatan boleh bertanyakan soalan kepada individu seperti:

  • apakah gejala yang dialami
  • bila gejala bermula dan berapa kerap ia timbul
  • sama ada individu mempunyai sejarah UTI berulang atau tidak
  • apakah ubat yang diambilnya, sama ada secara preskripsi atau tidak
  • berapa banyak cecair yang biasanya diambil setiap hari
  • sama ada individu mengambil kafein dan alkohol
  • mengenai sejarah perubatan amnya, termasuk penyakit atau pembedahan yang ketara

Seterusnya, doktor akan bertanyakan soalan terperinci mengenai gejala anda dan melakukan pemeriksaan fizikal. Pemeriksaan awal ini mungkin merangkumi:

  • Pemeriksaan rektum digital. Doktor akan memasukkan jari ke dalam rektum untuk memeriksa pembesaran prostat anda.
  • Ujian air kencing. Analisis sampel air kencing anda dapat membantu menyingkirkan jangkitan atau keadaan lain yang boleh menyebabkan gejala serupa.
  • Ujian darah. Hasilnya dapat menunjukkan masalah buah pinggang.
  • Ujian darah antigen spesifik prostat (PSA). PSA adalah bahan yang dihasilkan dalam prostat anda. Tahap PSA meningkat apabila anda mempunyai prostat yang membesar. Walau bagaimanapun, peningkatan tahap PSA juga boleh terjadi disebabkan oleh prosedur baru-baru ini, jangkitan, pembedahan atau kanser prostat.

Faktor Risiko Hiperplasia prostat

Lelaki dengan faktor berikut lebih cenderung mengalami hiperplasia prostat :

  • berumur 40 tahun ke atas
  • mempunyai sejarah keluarga dengan hiperplasia prostat
  • mempunyai keadaan perubatan seperti obesiti, jantung dan penyakit peredaran darah, serta diabetes jenis 2
  • kurang melakukan senaman fizikal
  • mengalami keadaan disfungsi ereksi

Rawatan Hiperplasia prostat

Rawatan hiperplasia prostat boleh bermula dengan rawatan diri. Sekiranya gejala tidak reda melalui rawatan diri, penggunaan ubat atau prosedur pembedahan mungkin disyorkan. Umur dan kesihatan umum anda juga boleh mempengaruhi rawatan yang ditetapkan.

Rawatan semula jadi BPH

Rawatan semula jadi boleh merangkumi tindakan tertentu atau perubahan gaya hidup yang dapat dilakukan untuk membantu melegakan gejala bagi keadaan anda. Ini termasuk:

  • membuang air kecil sebaik sahaja anda berasa hendak kencing
  • pergi ke tandas untuk membuang air kecil, walaupun anda tidak berasa terdesak
  • mengelakkan ubat dekongestan atau antihistamin bebas, yang boleh menyukarkan pundi kencing
  • mengelakkan pengambilan alkohol dan kafein, terutama pada waktu selepas makan malam
  • mengurangkan tahap tekanan anda, kerana kegugupan dapat meningkatkan kekerapan membuang air kecil
  • bersenam secara teratur, kerana kurang bersenam boleh memburukkan lagi gejala anda
  • belajar dan lakukan latihan Kegel untuk menguatkan otot pelvis anda
  • kekalkan suhu badan yang suam, kerana cuaca sejuk boleh memburukkan lagi gejala

Sebilangan individu juga menerapkan ubatan semula jadi dalam rawatan semula jadi mereka terhadap BPH. Namun, tiada bukti bahawa ianya berkesan.

Ubat

Ubat adalah rawatan yang paling biasa untuk menangani gejala pembesaran prostat ringan hingga sederhana. Pilihannya merangkumi:

  • Penyekat alpha. Ubat-ubatan ini mengendurkan otot leher pundi kencing dan serat otot di prostat, menjadikan pengeluaran air kencing lebih mudah. Penyekat alpha yang merangkumi alfuzosin (Uroxatral), doxazosin (Cardura), tamsulosin (Flomax) dan silodosin (Rapaflo) biasanya berfungsi dengan cepat pada lelaki dengan saiz prostat yang agak kecil. Kesan sampingan mungkin termasuk pening dan keadaan tidak berbahaya di mana air mani masuk ke dalam pundi kencing dan bukannya keluar dari hujung zakar (ejakulasi ‘retrograde’).
  • Perencat ‘5-alpha reductase’. Ubat-ubatan ini mengecilkan prostat anda dengan mencegah perubahan hormon yang menyebabkan pertumbuhan prostat. Ubat ini yang merangkumi finasteride (Proscar) dan dutasteride (Avodart) mungkin memerlukan masa sehingga enam bulan untuk berkesan. Kesan sampingannya termasuk ejakulasi ‘retrograde’.
  • Terapi ubat gabungan. Doktor mungkin mengesyorkan anda bagi mengambil penyekat alpha dan perencat ‘5-alpha reductase’ pada masa yang sama jika ubat-ubatan ini secara sendirinya tidak berkesan.
  • Tadalafil (Cialis). Kajian menunjukkan bahawa ubat ini yang sering digunakan untuk mengatasi disfungsi ereksi, juga boleh mengatasi masalah pembesaran prostat.

Terapi invasif atau pembedahan minimum

Terdapat pelbagai jenis prosedur pembedahan yang dapat membantu merawat keadaan BPH apabila penggunaan ubat tidak berkesan. Beberapa prosedur tidak invasif atau invasif minimum dan boleh dilakukan di pejabat atau klinik doktor (prosedur pesakit luar). Jenis lain adalah lebih invasif dan perlu dilakukan di hospital (prosedur pesakit dalam).

A) Prosedur pesakit luar

Prosedur pesakit luar melibatkan kemasukan alat ke dalam uretra anda dan ke dalam kelenjar prostat. Ia merangkumi:

  • Ablasi jarum ‘transurethral’ (TUNA): Gelombang radio digunakan untuk mengorek dan mengecilkan tisu prostat.
  • Terapi gelombang mikro ‘transurethral’ (TUMT): Tenaga gelombang mikro digunakan untuk mengeluarkan tisu prostat.
  • Terapi haba perangsang air (WIT): Air yang dipanaskan digunakan untuk memusnahkan tisu prostat yang berlebihan.
  • Ultrasonografi berfokus dengan intensiti tinggi (HIFU): Tenaga bunyi digunakan untuk menghilangkan tisu prostat yang berlebihan.

B) Prosedur pesakit dalam

Prosedur pesakit dalam merangkumi:

  • ‘Resection’ prostat ‘transurethral’ (TURP): Ini merupakan rawatan pembedahan yang paling biasa digunakan untuk BPH. Doktor akan memasukkan alatan kecil melalui uretra anda ke dalam prostat. Prostat kemudiannya dikeluarkan satu demi satu.
  • Prostatektomi sederhana: Doktor akan membuat hirisan di perut atau perineum, yang merupakan kawasan di belakang skrotum anda. Bahagian dalam prostat anda dikeluarkan, meninggalkan bahagian luarnya. Selepas prosedur ini, anda mungkin harus tinggal di hospital sehingga 10 hari.
  • Hirisan prostat ‘transurethral’ (TUIP): Ini adalah serupa dengan TURP, tetapi prostat anda tidak dikeluarkan. Sebaliknya, hirisan kecil dibuat di prostat bagi membesarkan saluran keluar dan uretra pundi kencing anda. Di samping itu, hirisan tersebut juga membolehkan air kencing mengalir dengan lebih bebas. Anda selalunya tidak perlu tinggal di hospital dengan prosedur ini.

SUMBER

https://www.mayoclinic.org/diseases-conditions/benign-prostatic-hyperplasia/symptoms-causes/syc-20370087

https://www.niddk.nih.gov/health-information/urologic-diseases/prostate-problems/prostate-enlargement-benign-prostatic-hyperplasia

https://www.healthline.com/health/enlarged-prostate#symptoms

Summary
Hiperplasia prostat (Benign Prostate Hyperplasia - BPH) - Simptom, Punca, Diagnosis, Faktor Risiko dan Rawatan
Article Name
Hiperplasia prostat (Benign Prostate Hyperplasia - BPH) - Simptom, Punca, Diagnosis, Faktor Risiko dan Rawatan
Description
Hiperplasia prostat (BPH) juga disebut sebagai pembesaran kelenjar prostat adalah keadaan biasa yang berlaku apabila individu lelaki semakin tua.
Author
Publisher Name
Ceria Sihat
Tagged: