Now Reading
Haji – Mari ketahui Tujuan Kita Menunaikannya

Haji – Mari ketahui Tujuan Kita Menunaikannya

haji

Haji dari segi istilah boleh ditakrifkan sebagai ziarah suci yang dilakukan umat Islam ke Makkah. Untuk pengetahuan semua terutama yang bukan muslim, dalam islam menunaikan haji adalah rukun ke-5 yang wajib dilaksanakan seperti yang tertakluk dalam Rukun Islam.

Kewajipan ini hendaklah dilakukan oleh umat Islam sekurang-kurangnya sekali dalam seumur hidup mereka bagi yang berkemampuan dan mampu mengerjakannya. Haji ditunaikan bagi menunjukkan perpaduan dan persaudaraan dalam kalangan Muslim serta penyerahan jiwa kepada Allah.

Mengapa mesti umat islam berhaji? Menurut muftiwp.gov.my berhaji merupakan salah satu rukun Islam yang kelima, yang wajib dilaksanakan oleh setiap muslim yang mukallaf. Justeru, setiap muslim mestilah menanam di dalam hati serta berazam untuk berhaji dan sentiasa berusaha sedaya mungkin dalam melaksanakan perintah Allah SWT tersebut. Hal ini jelas seperti mana firman Allah SWT di dalam Surah Ali-Imran seperti berikut:

وَلِلَّـهِ عَلَى النَّاسِ حِجُّ الْبَيْتِ مَنِ اسْتَطَاعَ إِلَيْهِ سَبِيلًا

Maksudnya: “Dan Allah mewajibkan manusia berhaji dengan mengunjungi Baitullah iaitu sesiapa yang mampu sampai kepadanya.”

 (Surah Ali-Imran: 97)

Menurut Syeikh al-Maraghi dalam menafsirkan ayat di atas, ia menerangkan bahawa berhaji ini diwajibkan kepada setiap orang muslim mukallaf yang berkemampuan. Hal ini kerana, perintah haji merupakan satu penghormatan besar kepada Baitullah bermula dari zaman Nabi Ibrahim A.S sehinggalah ke zaman Nabi Muhammad SAW. Justeru, berhaji dan umrah mampu menjadi mercu tanda dan bukti pengabdian setiap hamba kepada Penciptanya. (Rujuk Tafsir al-Maraghi, 2/853)

Seterusnya, Nabi SAW turut menegaskan berkenaan hal tersebut di dalam sabdanya yang berikut:

بُنِيَ الإِسْلاَمُ عَلَى خَمْسٍ شَهَادَةِ أَنْ لاَ إِلَهَ إِلاَّ اللَّهُ وَأَنَّ مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُولُهُ وَإِقَامِ الصَّلاَةِ وَإِيتَاءِ الزَّكَاةِ وَحَجِّ الْبَيْتِ وَصَوْمِ رَمَضَانَ

Maksudnya: “Islam didirikan di atas lima perkara: Bersaksi bahawa tiada Tuhan yang disembah melainkan Allah SWT dan Nabi Muhammad SAW adalah hambaNya dan pesuruhNya, mendirikan solat, mengeluarkan zakat, berhaji ke Baitullah, dan berpuasa di bulan Ramadhan.”

riwayat Muslim (16)

Merujuk kepada persoalan di atas, hukum mengerjakan berhaji dan umrah adalah wajib dikerjakan sekali seumur hidup bagi mereka yang berkemampuan. Namun, berhaji dan umrah ini dikira sunat untuk dikerjakan secara berulang-ulang kali. Ini kerana terdapat banyak kelebihan yang telah dijanjikan kepada sesiapa yang berhaji dan umrah dengan penuh keikhlasan dan ketaqwaaan.

Daripada Abu Hurairah R.A, Rasulullah SAW bersabda:

الْعُمْرَةُ إِلَى الْعُمْرَةِ كَفَّارَةٌ لِمَا بَيْنَهُمَا وَالْحَجُّ الْمَبْرُورُ لَيْسَ لَهُ جَزَاءٌ إِلاَّ الْجَنَّةُ

Maksudnya: “Ibadah umrah kepada umrah berikutnya adalah kaffarah (penghapusan dosa) di antara kedua-duanya. Dan haji yang mabrur tiada balasan (bagi pelakunya) melainkan syurga.”

Riwayat Al-Bukhari (1773) dan Muslim (1449)

See Also
syafakallah

Hadith di atas jelas menunjukkan kepada kita bahawa pensyariatan berhaji dan umrah merupakan satu pensyariatan yang agung di sisi Allah SWT. Hal ini jelas dapat dilihat berdasarkan hadith yang telah dinyatakan seperti di atas. Nabi SAW telah menjanjikan balasan syurga kepada sesiapa yang mencapai tahap mabrur dalam pelaksanaan ibadah hajinya. Begitu juga kepada sesiapa yang melaksanakan ibadah umrah secara berulang kali, dosa-dosa kecil mereka akan dihapuskan sepanjang tempoh jarak ibadah umrah tersebut.

( Dipetik dari website mufti wilayah )

Pada pendapat penulis, berhaji adalah tanggungjawab setiap muslim. Kita tahu bahawa menunaikan haji memerlukan kos yang tinggi dan tidak ramai yang mampu untuk melakukannya. Namun disini, penulis berpendapat bahawa dispilin dalam penyimpanan wang amat diperlukan jika seseorang telah berniat untuk menunaikannya. Dalam islam juga, jika seseorang telah meninggal dunia tanpa sempat menunaikannya maka dibolehkan untuk anak atau saudara mara terdekat melakukan upah haji di mana ianya boleh dibuat melalui orang yang berkelayakan.

Justeru kita dapat lihat betapa islam menjaga umatnya. Jika berkemampuan untuk berhaji, tunaikanlah dengan segera dan bagi yang tidak mampu, kita sama-sama boleh berdoa, berpuasa dan menyambut Hari Raya Qurban dalam keadaan gembira bersama keluarga. Insyaallah semoga doa kita dimakbulkan .

Sumber:

https://muftiwp.gov.my/en/artikel/bayan-li-al-haj/719-bayan-li-al-haj-siri-2-hukum-mengerjakan-haji-dan-umrah

https://ms.wikipedia.org/wiki/Haji

error: Content is protected !!