glutathione
Glutathione adalah sejenis bahan yang dihasilkan oleh hati dan boleh didapati daripada buah-buahan, sayur-sayuran, dan daging.

Pengenalan

Glutathione adalah sejenis bahan yang dihasilkan secara semula jadi oleh hati. Malah, ia juga boleh didapati daripada buah-buahan, sayur-sayuran, dan daging.

Ia diambil secara oral untuk merawat katarak dan glaukoma, mencegah penuaan, merawat atau mencegah alkoholisme, asma, kanser, Penyakit jantung (arteriosklerosis dan kolesterol tinggi), hepatitis, penyakit hati, penyakit yang melemahkan sistem pertahanan badan (termasuk AIDS dan sindrom keletihan kronik), hilang ingatan, Penyakit Alzheimer, osteoartritis, dan penyakit Parkinson. Glutathione juga digunakan untuk melindungi sistem pertahanan tubuh (sistem imun) dan melawan keracunan terhadap logam dan dadah.

Selain itu, ubat ini disedut untuk mengubati penyakit paru-paru, termasuklah fibrosis paru-paru idiopatik, fibrosis kistik, dan penyakit paru-paru pada individu dengan HIV.

Kebiasannya, doktor memberikan glutathione dalam bentuk suntikan (melalui suntikan ke dalam otot) untuk mencegah kesan sampingan beracun daripada rawatan kanser (kemoterapi) dan untuk merawat ketidakupayaan untuk melahirkan anak (kemandulan lelaki).

Doktor juga memberikannya secara intravena (melalui suntikan ke dalam vena, oleh IV) untuk mencegah penyakit “darah rendah” (anemia) pada pesakit buah pinggang yang menjalani rawatan hemodialisis, mencegah masalah buah pinggang setelah pembedahan pintasan jantung, merawat penyakit Parkinson, memperbaiki aliran darah dan mengurangka risiko pembekuan pada individu yang mengalami “pengerasan arteri” (arteriosklerosis), merawat kencing manis, dan mencegah kesan sampingan toksik daripada kemoterapi.

Glutathione digunakan dalam kebanyakan proses tubuh, termasuk pembentukan dan pemulihan tisu, pembuatan bahan kimia dan protein yang diperlukan oleh tubuh, dan untuk sistem imunisasi tubuh.

Kegunaan Glutathione

  • Mengurangkan kesan sampingan rawatan kemoterapi untuk kanser.

  • Pengumpulan lemak dalam hati pada individu yang minum sedikit alkohol atau tidak minum alkohol langsung (penyakit hati berlemak tanpa alkohol atau NAFLD – Non alcohol fatty liver disease). Penyelidikan awal menunjukkan bahawa pengambilan glutathione secara oral selama 4 bulan dapat mengurangkan kadar penanda darah bagi kerosakan hati yang digelar sebagai ALT, dan tahap trigliserida pada individu dengan penyakit hati yang tidak berkaitan dengan alkohol. Walau bagaimanapun, glutathione tidak dapat melegakan kekejangan hati pada individu dengan penyakit ini.

  • Penyakit Parkinson. Penyelidikan awal menunjukkan bahawa pengambilan glutathione dalam bentuk semburan hidung sebanyak tiga kali sehari selama 3 bulan tidak menunjukkan sebarang peningkatan terhadap simptom penyakit Parkinson.

Lebih banyak bukti yang diperlukan untuk menilai ubat ini untuk kegunaan seperti berikut:

  • Sekumpulan gangguan mata yang boleh menyebabkan kehilangan penglihatan (glaukoma).
  • Penuaan.
  • Gangguan penggunaan alkohol.
  • Penyakit Alzheimer.
  • Anemia.
  • Asma.
  • Prestasi atletik.
  • Kanser.
  • Katarak.
  • Sindrom keletihan kronik (CFS – Chronic Fatigue Syndrome).
  • Kemandulan (lelaki)
  • Sistik Fibrosis.
  • Kemerosotan ingatan dan kemahiran berfikir yang berlaku secara normal seiring usia.
  • Kencing manis.
  • Pengerasan arteri (arteriosklerosis).
  • Penyakit jantung.
  • Kolesterol tinggi.
  • HIV / AIDS.
  • Penyakit paru-paru.
  • Memori.
  • Osteoartritis.
  • Mencerahkan kulit.
  • Pembengkakan (radang) hati (hepatitis).
  • Keadaan-keadaan lain.

Kesan Sampingan Glutathione

Glutathione adalah SELAMAT bagi kebanyakan orang dewasa apabila diminum, disedut, atau disuntik  pada otot atau urat. Namun begitu, kesan sampingan yang mungkin berlaku adalah masih tidak diketahui.

  • Kehamilan dan penyusuan susu ibu: Maklumat yang diketahui tentang penggunaan glutathione semasa mengandung dan menyusukan bayi masih belum cukup. Sebaiknya, kekal di sisi yang selamat dan elakkan penggunaannya.

  • Asma: Jangan menyedut glutathione jika anda menghidap asma kerana ia boleh meningkatkan risiko  simptom asma.

Interaksi Glutathione

Acetaminophen dalam dos yang tinggi boleh berinteraksi dengan ubat ini kerana ia dapat mengurangkan glutathione, terutama dalam hati.

Dos Glutathione

Tiada bukti saintifik yang cukup untuk menentukan dos yang tepat ketika mengambil suplemen ini. Ada yang mencadangkan bahawa pengambilan glutathione bersama N-acetyl cysteine (NAC) mungkin lebih berkesan. Pelbagai dos telah dikaji dalam kajian berenaan keadaan perubatan tertentu. Dos yang tepat untuk anda mungkin bergantung pada beberapa faktor, termasuklah usia, jantina, dan sejarah perubatan anda.

Dalam beberapa kes, profesional penjagaan kesihatan memberikannya melalui penggunaan IV. Apabila diberikan secara intravena, glutathione biasanya digunakan untuk mengubati keadaan seperti penyakit Parkinson, aterosklerosis, dan kencing manis. Kadangkala, pemberian melalui IV digunakan untuk merawat kesan sampingan kemoterapi, rawatan hemodialisis, dan pembedahan pintasan.

Sumber:

https://www.webmd.com/vitamins/ai/ingredientmono-717/glutathione

https://www.medicalnewstoday.com/articles/323936

https://www.healthline.com/health/glutathione-benefits

https://en.wikipedia.org/wiki/Glutathione

Summary
Glutathione
Article Name
Glutathione
Description
Glutathione adalah sejenis bahan yang dihasilkan oleh hati dan boleh didapati daripada buah-buahan, sayur-sayuran, dan daging.
Publisher Name
Ceria Sihat
Tagged: