gangguan personaliti skizotipal
Gangguan Personaliti Skizotipal salah satu gangguan personaliti yang dianggap ‘aneh’ mengalami gangguan ini sering kelihatan ganjil dan pelik.

Gangguan Personaliti Skizotipal salah satu gangguan personaliti yang dianggap ‘aneh’ mengalami gangguan ini sering kelihatan ganjil dan pelik. Mereka selalunya menunjukkan corak pemikiran dan tingkah laku yang luar biasa.

Ramai di antara mereka memiliki kepercayaan yang ganjil. Selain itu, mereka juga tidak dapat membentuk hubungan yang erat dengan individu lain dan sering mencampuradukkan realiti. Oleh sebab itu, gangguan ini dianggap sama seperti Skizofrenia ringan, iaitu sejenis gangguan otak yang mengubah corak pemikiran, kelakuan, emosi, pandangan terhadap realiti dan kebolehan mengaitkan diri dengan individu lain. Dalam beberapa kes yang jarang berlaku, Skizotipal boleh berkembang menjadi gangguan Skizofrenia.

Simptom Gangguan Personaliti Skizotipal

Individu yang mengalami Gangguan Personaliti Skizotipal memaparkan gabungan kelakuan, pola ucapan, pemikiran, dan persepsi yang ganjil. Ramai individu menggambarkan pesakit Skizotipal sebagai seseorang yang pelik atau aneh.

Ciri-ciri tambahan bagi pesakit yang mengalami Gangguan Personaliti Skizotipal ini termasuklah yang berikut:

  • Menjadi curiga dan ‘paranoid’ terhadap sesuatu
  • Perasaan yang tidak selesa atau bimbang dalam situasi sosial disebabkan oleh sifat mereka yang tidak mempercayakan orang lain
  • Mempunyai kitaran sosial yang kecil dan sedikit, serta tidak selesa dengan keintiman.
  • Cenderung menyalahtafsir realiti atau menimbulkan persepsi yang menyimpang seperti mendengar bunyi bising yang dianggap sebagai suara.
  • Memiliki kepercayaan yang ganjil dan merasakannya sebagai ajaib sebagai contoh, mempercayai sesuatu yang tahyul atau memikirkan diri mereka sebagai seorang psikik.
  • Selalu berfantasi dan mengelamun.
  • Berkelakuan kaku dan janggal ketika berhubungan dengan orang lain.
  • Memaparkan perangai yang dingin terhadap individu lain, suka memencilkan diri atau tidak menunjukkan sebarang emosi.
  • Berpakaian, bercakap, atau bertindak dengan cara yang ganjil atau pelik

Punca Gangguan Personaliti Skizotipal

Personaliti adalah gabungan pemikiran, emosi dan tingkah laku yang menjadikan anda seorang yang unik. Begitulah cara anda melihat, memahami dan mengaitkan diri dengan dunia luar serta persepsi anda terhadap diri sendiri. Personaliti dibentuk sewaktu zaman kanak-kanak melalui interaksi dengan individu lain serta persekitaran. Oleh itu, gangguan ini boleh juga diwarisi dan bergantung kepada faktor persekitaran.

Dalam perkembangan yang normal, selalunya kanak-kanak belajar dari masa ke semasa untuk berinteraksi dengan individu sewajarnya. Melalui interaksi tersebut mereka belajar untuk mentafsir isyarat-isyarat sosial dan menyesuaikan diri dengan situasi sosial.

Sebaliknya, apa yang berlaku kepada pesakit yang mengalami Gangguan Personaliti Skizotipal adalah kemungkinan terdapat perubahan dalam cara otak mereka berfungsi, genetik, pengaruh dari persekitaran dan tingkah laku yang dipelajari.

Diagnosis Gangguan Personaliti Skizotipal

Kebanyakan pesakit yang didiagnosis dengan gangguan personaliti skizotipal menerima diagnosis sewaktu mereka dewasa. Jika doktor mengesyaki anda mengalami gangguan personaliti ini, beliau akan melakukan pemeriksaan fizikal bagi mengesan keadaan fizikal anda yang boleh menjadi punca kepada simptom yang anda alami. Selain itu, doktor juga akan bertanya tentang simptom yang dialami dengan lebih lanjut serta sekiranya anda memiliki ahli keluarga yang mengalami sebarang gangguan personaliti.

Doktor boleh merujuk anda kepada pakar psikiatri atau psikologi untuk penilaian psikiatri yang lebih mendalam. Anda mungkin akan ditanya mengenai perkara-perkara berikut:

  • Bilakah simptom anda bermula?
  • Bagaimanakah simptom anda mempengaruhi kehidupan harian anda?
  • Bagaimanakah perasaan anda sewaktu berada dalam situasi sosial
  • Pengalaman anda semasa besekolah dan bekerja
  • Zaman kanak-kanak anda

Pakar psikiatri atau psikologi mungkin bertanya sama ada anda pernah terfikir untuk menyakiti diri sendiri atau orang lain. Beliau juga akan bertanya mengenai perihal keluarga anda sama ada ahli keluarga anda pernah menegur atau terjejas oleh tingkah laku anda. Jawapan yang anda berikan kepada setiap soalan yang ditanya akan membantu pakar psikiatri dan psikologi melakukan diagnosis yang tepat terhadap anda.

Faktor Risiko Gangguan Personaliti Skizotipal

Anda berisiko tinggi untuk mengalami Gangguan Personaliti Skizotipal ini sekiranya terdapat individu dalam kalangan ahli keluarga yang mempunyai Skizofrenia atau gangguan psikotik yang lain.

Rawatan Gangguan Personaliti Skizotipal

Sekiranya doktor telah mengesahkan anda mengalami Gangguan Personaliti Skizotipal, anda akan diberikan ubat atau menjalani terapi untuk merawat simptom gangguan yang dialami. Malangnya, masih belum ada ubat yang khas untuk merawat dan menyembuhkan gangguan personaliti ini sepenuhnya. Namun begitu, sesetengah individu yang mengalami gangguan ini memberikan tindak balas yang positif kepada ubat antipsikotik atau antidepresan dan boleh mengawal simptom serta gejala yang dialami dengan baik.

Beberapa jenis terapi telah dikenalpasti boleh membantu merawat Gangguan Personaliti Skizotipal. Antaranya:

  • Psikoterapi atau terapi percakapan. Terapi jenis ini mengajar pesakit cara untuk menjalinkan hubungan dengan individu lain. Kebiasaanya pesakit akan menjalani terapi ini diiringi dengan latihan kemahiran sosial untuk membiasakan diri dalam situasi sosial.
  • Terapi perilaku kognitif. Dikenali juga sebagai ‘cognitive behavioral therapy’, ia boleh membantu pesakit menangani beberapa tingkah laku yang berkaitan dengan gangguan personaliti skizotipal. Ahli terapi akan mengajar pesakit bagaimana untuk bertindak dalam situasi sosial tertentu dan cara bertindak balas terhadap isyarat sosial yang ditunjukkan oleh individu lain. Mereka juga boleh membantu pesakit belajar mengenali pemikiran yang ganjil atau berbahaya dan langkah-langkah untuk mengubahnya.

Sumber:

https://www.psychologytoday.com/intl/conditions/schizotypal-personality-disorder

https://www.mayoclinic.org/diseases-conditions/schizotypal-personality-disorder/symptoms-causes/syc-20353919

https://en.wikipedia.org/wiki/Schizotypal_personality_disorder

https://www.healthline.com/health/schizotypal-personality-disorder

Summary
Gangguan Personaliti Skizotipal (Schizotypal Personality Disorder) - Simptom, Punca, Diagnosis, Faktor Risiko dan Rawatan
Article Name
Gangguan Personaliti Skizotipal (Schizotypal Personality Disorder) - Simptom, Punca, Diagnosis, Faktor Risiko dan Rawatan
Description
Gangguan Personaliti Skizotipal salah satu gangguan personaliti yang dianggap ‘aneh’ mengalami gangguan ini sering kelihatan ganjil dan pelik.
Publisher Name
Ceria Sihat
Tagged: