gangguan bipolar
Gangguan bipolar yang dahulunya dipanggil kemurungan manik, adalah keadaan kesihatan mental yang menyebabkan perubahan mood yang melampau yang merangkumi tahap emosi tinggi (manik atau hipomanik) dan rendah (kemurungan).

Gangguan bipolar yang dahulunya dipanggil kemurungan manik, adalah keadaan kesihatan mental yang menyebabkan perubahan mood yang melampau yang merangkumi tahap emosi tinggi (manik atau hipomanik) dan rendah (kemurungan).

Apabila individu yang menghidap gangguan bipolar berasa tertekan (stress), mereka  mungkin berasa sedih atau putus asa dan hilang minat untuk melakukan sebarang aktiviti. Semasa mereka beralih ke fasa ‘manik’, individu tersebut akan berkelakuan berbeza biasanya bertenaga, seperti marah atau gembira yang luar biasa. Sewaktu manik, mereka sering membuat keputusan tanpa berfikir dan mengendahkan akibat dari keputusan mereka itu. Biasanya, fasa ini menyebabkan keperluan tidur mereka berkurang. Seterusnya, dalam fasa kemurungan pula, mereka akan mudah menangis, mempunyai pandangan negatif terhadap hidup dan tidak dapat mengekalkan hubungan mata dengan individu lain.

Pesakit gangguan bipolar mempunyai risiko yang tinggi untuk membunuh diri dan mencederakan diri. Penyakit ini turut berkaitan dengan isu kesihatan mental lain seperti gangguan kebimbangan (anxiety disorder) dan penyalahgunaan bahan (drugs).

Jenis Gangguan Bipolar

Beberapa jenis gangguan bipolar telah direkodkan oleh pakar psikologi seluruh dunia. Antaranya:

Gangguan bipolar I

Untuk diagnosis bipolar I:

• Sekurang-kurangnya individu menunjukkan satu episod manik, sama ada terdapat fasa kemurungan atau tidak.         

• Individu tersebut juga mungkin mengalami fasa kemurungan sebelum episod manik bermula. Segelintir pesakit telah didiagnosis mempunyai kemurungan (Major Depressive disorder) pada awalnya sebelum disahkan menghidap gangguan bipolar.         

• Pesakit bipolar jenis ini boleh menunjukkan gejala psikosis, halusinasi dan delusi

Gangguan Bipolar II

Untuk diagnosis bipolar II:

  • Pesakit akan melalui fasa hipomanik dan kemurungan. Mereka tidak pernah melalui fasa mania. Ciri-ciri episod hipomanik adalah kurang tidur daripada biasa dan menjadi seorang yang peramah dan bertenaga.
  • Ia selalunya dianggap sebagai jenis bipolar yang ringan, tetapi hakikatnya kesannya terhadap pesakit adalah sama seperti bipolar I.
  • Fasa kemurungan yang dialami pesakit mestilah mengikut kritera gangguan kemurungan utama (major depressive disorder) dan bukan kesedihan biasa, iaitu pesakit berasa sedih secara berpanjangan selama dua minggu atau lebih.

Cyclothymia

  • Cyclothymia melibatkan episod kemurungan peringkat rendah yang berselang dengan tempoh hipomania.
  • Cyclothymia telah dikategorikan secara berasingan daripada gangguan bipolar oleh The DSM-V, kerana perubahan emosi dialami pesakit kurang dramatik.  

Individu yang didiagnosis menghidap gangguan bipolar akan mengalaminya dalam jangka masa panjang. Walaupun ada masa tertentu mereka berada dalam keadaan stabil, mereka akan sentiasa kembali ke fasa gangguan bipolar.

Simptom Gangguan Bipolar

Simptom mungkin termasuk:

• Menunjukkan emosi yang sangat gembira atau marah       

• Lebih bertenaga dan banyak melakukan aktiviti fizikal dan mental daripada kebiasaan     

• Berlumba untuk memberi idea    

• Banyak bercakap dan bercakap dengan laju

• Membuat rancangan besar tanpa berfikir        

• Mengambil risiko   

• Melakukan sesuatu perkara mengikut gerak hati (penyalahgunaan bahan, seks, perbelanjaan, dll.)         

• Kurang tidur, tetapi tidak berasa letih         

Punca Gangguan Bipolar

Penyebab sebenar gangguan bipolar tidak diketahui tetapi beberapa faktor mungkin terlibat, seperti:

• Perbezaan biologi. Individu yang mengalami gangguan bipolar didapati mempunyai perubahan fizikal dalam otak mereka. Punca perubahan ini masih tidak dapat ditentukan.          

• Genetik. Gangguan bipolar adalah lebih cenderung terjadi pada orang yang mempunyai saudara peringkat pertama, seperti adik beradik atau ibu bapa, mengalami bipolar. Penyelidik masih mencari gen yang terbabit dalam menyebabkan gangguan bipolar.

Diagnosis Gangguan Bipolar

Psikiatri atau ahli psikologi telah menyenaraikan strategi diagnosa pesakit gangguan bipolar dalam Manual Diagnostik dan Statistik, edisi kelima (DSM-5).   

Bagi menentukan seseorang individu menghidap gangguan bipolar, individu itu harus memenuhi kriteria tertentu bagi fasa mania dan kemurungan. Termasuklah berada dalam keadaan emosi yang tinggi seperti marah dan melakukan aktiviti yang luar dari kebiasaan secara berterusan. Keadaan ini harus bertahan selama 7 hari atau kurang sekiranya gejala yang ditunjukkan adalah parah sehingga memerlukan kemasukan ke hospital.

Bantuan dari ahli keluarga, rakan sekerja, guru dan rakan-rakan dapat membantu mengenali pengalaman tingkah-laku pesakit. Selain itu, pakar kesihatan profesional lain juga boleh mengesan tanda-tanda penyakit bipolar dalam diri pesakit.

Bagi mengesahkan penyakit ini, doktor akan menjalankan pemeriksaan fizikal dan beberapa ujian diagnostik, termasuk ujian darah dan air kencing. Ujian-ujian ini dapat membantu mengenalpasti punca seperti penyalahgunaan bahan larangan (dadah).

Keadaan lain yang mungkin berlaku seiring dengan gangguan bipolar adalah:  

• Penggunaan dadah atau alkohol untuk mengatasi gejala         

• Gangguan tekanan selepas trauma (Post-traumatic stress disorder)           

• Gangguan kecemasan (panic disorder)  

• Gangguan hiperaktif kekurangan perhatian (Attention Deficit Hyperactivity Disorder)         

Seseorang lebih cenderung untuk mendapatkan bantuan semasa kemurungan daripada semasa “khayal (high)”. Institut Kesihatan Mental Negara (NIMH) menggesa pengamal kesihatan untuk mencari tanda-tanda mania dalam sejarah seseorang, untuk mengelakkan diagnosis yang tidak tepat

Faktor risiko Gangguan Bipolar

Faktor yang boleh meningkatkan risiko gangguan bipolar atau bertindak sebagai punca bagi episod awal termasuk:

  • Mempunyai saudara yang menghidap gangguan bipolar tahap I, seperti ibu atau bapa.     
  • Berada dalam keadaan tertekan dalam jangka masa lama diakibatkan oleh kematian seseorang yang disayangi atau kejadian traumatik yang lain         
  • Penyalahgunaan dadah atau alkohol         

Rawatan Gangguan Bipolar

Rawatan bertujuan untuk mengurangkan kekerapan episod manik dan depresi, dan untuk mengurangkan keparahan gejala bagi menjamin kehidupan normal dan produktif.  

Jika dibiarkan tanpa rawatan, kemurungan atau manik boleh bertahan sehingga setahun. Dengan rawatan, pemulihan mungkin boleh dilihat dalam masa 3 hingga 4 bulan.

Rawatan melibatkan gabungan terapi, yang mungkin termasuk ubat-ubatan dan campur tangan aspek fizikal dan psikologi.

Pesakit mungkin akan terus mengalami perubahan emosi, tetapi doktor memainkan peranan penting dengan sentiasa berhubung dengan pesakit supaya dapat  mengurangkan gejala dan mengawal keadaan pesakit daripada menjadi lebih teruk.

Rawatan ubat

Litium karbonat adalah ubat jangka panjang yang sering digunakan untuk merawat episod kemurungan dan manik atau hipomanik. Pesakit biasanya mengambil litium sekurang-kurangnya selama 6 bulan.

Ia adalah penting bagi pesakit untuk mengikuti arahan doktor tentang masa dan bagaimana untuk mengambil ubat mereka agar ubat itu berfungsi.

Rawatan lain termasuk:

• Antikonvulsan: Ubat yang digunakan bagi mengembalikan semula kestabilan rangsangan sel saraf supaya dapat mengelakkan kekejangan. Penggunaan lainnya adalah untuk meredakan nyeri diakibatkan oleh gangguan saraf dan juga mengubati gangguan bipolar.

• Antipsikotik : Kelas ubat yang digunakan bagi tujuan merawat psikosis, iaiutu penyakit mental yang mengakibatkan perubahan personaliti dan tidak sedar dengan realiti. Ia berkesan ke atas sistem perhubungan khas komunikasi antara sel-sel otak supaya berhubung dengan normal. Hasilnya, pesakit akan pulih dan bertindak seperti normal. Antara ubat-ubatan yang antipsikotik adalah seperti Aripiprazole, olanzapine, risperidone.

Ubat diberi perlu disesuaikan mengikut peralihan perasaan kerana beberapa ubat mempunyai kesan sampingan terhadap pesakit.

Sesetengah antidepresan yang diberikan kepada pesakit sebelum mereka menjalani diagnosis gangguan bipolar boleh mencetuskan episod manik awal. Oleh itu, doktor yang merawat pesakit kemurungan harus memantau perkara ini.  

Psikoterapi, CBT, dan kemasukan ke hospital

Psikoterapi bertujuan untuk mengurangkan dan membantu pesakit menguruskan gejala.

Jika pesakit boleh mengenal pasti dan mengenali punca utama gangguan bipolar, mereka mungkin dapat meminimumkan kesan sekunder dari keadaan tersebut.

Pesakit boleh belajar mengenali gejala awal yang menunjukkan permulaan episod dan berusaha mengekalkan tempoh “normal” selama mungkin dengan mengambil kira faktor-faktor terbabit. Ia dapat membantu mengekalkan hubungan positif di rumah dan di tempat kerja.

  • Terapi perilaku kognitif (CBT). Gabungan antara terapi perilaku dan terapi kognitif. Kedua-duanya bertujuan untuk mengawal dan mengubah pola pemikiran serta respons pesakit dari negatif ke positif. Selain itu, terapi individu dan terapi keluarga juga dapat membantu mencegah penyakit dari bertambah buruk.
  • Terapi interpersonal dan irama sosial. Sekiranya digabungkan dengan CBT, ia juga boleh membantu mengurangkan gejala depresi. Ia direka khas untuk mmeberi panduan kepada pesakit gangguan bipolar tentang bagaimana untuk mencegah atau menguruskan mood dan tingkah laku. Menurut MayoClinic, terapi ini dibentuk dengan memberi tumpuan ke atas irama harian seseorang, sebagai contoh, bangun, tidur, makan dan sebagainya.
  • Rawatan ke hospital. Pada zaman ini, rawatan ke hospital jarang disyorkan kepada pesakit berbanding zaman terdahulu. Namun demikian, kemasukan sementara ke hospital mungkin dinasihatkan jika terdapat risiko pesakit yang mencederakan diri mereka atau orang lain.
  • Terapi elektrokonvulsif (ECT) . Boleh membantu jika rawatan lain tidak berkesan. Terapi ini menggunakan rangsangan elektrod. Biasanya ia diletakkan pada kulit kepala. Ia pernah digunakan secara meluas untuk merawat pesakit skizofrenia tetapi penggunaannya semakin berkurang kerana terdapat alternatif lain seperti ubat-ubatan dan kebimbangan tentang kesan sampingan ECT dalam jangka panjang.

Sedikit peringatan, mengekalkan rutin tetap dengan diet yang sihat, tidur yang cukup, dan senaman yang teratur dapat membantu pesakit mengekalkan kestabilan.  Sebarang makanan tambahan perlu dibincangkan terlebih dahulu dengan doktor, kerana terdapat beberapa ubat alternatif boleh menunjukkan ketidakserasian dengan ubat-ubatan yang digunakan untuk gangguan bipolar sehingga gejala menjadi lebih serius.

SUMBER

https://www.mayoclinic.org/diseases-conditions/bipolar-disorder/symptoms-causes/syc-20355955

https://www.healthline.com/health/bipolar-disorder

https://www.medicalnewstoday.com/articles/37010

https://www.webmd.com/bipolar-disorder/default.htm

Summary
Gangguan Bipolar (Bipolar Disorder) - Jenis, Simptom, Punca, Diagnosis, Fakto Risiko dan Rawatan
Article Name
Gangguan Bipolar (Bipolar Disorder) - Jenis, Simptom, Punca, Diagnosis, Fakto Risiko dan Rawatan
Description
Gangguan bipolar yang dahulunya dipanggil kemurungan manik, adalah keadaan kesihatan mental yang menyebabkan perubahan mood yang melampau
Publisher Name
Ceria Sihat
Tagged: