gangguan afektif bermusim
Gangguan Afektif Bermusim adalah sejenis kemurungan yang juga dikenali sebagai ‘Seasonal Affective Disorder’, Kemurungan Bermusim atau Kemurungan Musim Sejuk.

Gangguan Afektif Bermusim menyebabkan pesakit sering mengalami perubahan mood dan mempunyai simptom yang sama seperti kemurungan. Kemurungan Bermusim atau Kemurungan Musim Sejuk. Pesakit yang menghidap gangguan ini sering mengalami perubahan mood dan mempunyai simptom yang sama seperti kemurungan. Simptom-simptom penyakit  biasanya berlaku sewaktu musim luruh dan musim sejuk apabila terdapat kurang cahaya matahari. Pesakit akan pulih dengan ketibaan musim bunga. Bulan yang paling sukar untuk individu yang menghidapi gangguan ini adalah pada bulan Januari dan Februari. Walaupun ia kurang biasa, sesetengah individu mengalami gangguan ini pada musim panas.

Gangguan Afektif Bermusim adalah lebih daripada sekadar “kemurungan musim sejuk.” Simptomnya termasuklah boleh menyedihkan atau menggembirakan seorang pesakit dan ia boleh mengganggu fungsi harian. Walau bagaimanapun, ia boleh dirawat. Kira-kira 5% individu dewasa mengalami gangguan ini ia berlangsung selama sekitar 40% sepanjang tahun. Gangguan ini cenderung berlaku di kalangan wanita berbanding lelaki.

Gangguan ini juga telah dikaitkan dengan ketidakseimbangan biokimia dalam otak yang disebabkan oleh waktu siang yang lebih pendek dan kurang cahaya matahari pada musim sejuk. Individu akan mengalami perubahan dari segi jam dalaman semulajadi (body clock) atau ‘irama circadian’ yang boleh menyebabkan mereka tidak berfungsi dengan betul mengikut jadual harian mereka. Gangguan Afektif Bermusim lazimnya berlaku pada individu yang tinggal jauh dari garisan khatulistiwa di mana terdapat kekurangan waktu siang pada musim sejuk.

Simptom Gangguan Afektif Bermusim

Simptom Gangguan Afektif Bermusim biasanya hampir sama dengan simptom kemurungan dan kadang-kadang sukar untuk diketahui jika seseorang individu mengalami gangguan afektif bermusim (kemurungan bermusim) atau jenis kemurungan yang lain. Simptom yang lebih biasa bagi kemurungan bermusim ini adalah mengidam karbohidrat, nafsu makan meningkat, mengantuk yang berlebihan, dan penambahan berat badan. Diagnosis bagi kemurungan jenis ini boleh dilakukan selepas pesakit mengalami dua kemurungan berturut-turut yang berlaku dan berakhir pada masa yang sama dalam setiap tahun.

Simptom khusus Gangguan Afektif Bermusim termasuklah:

  • Kemurungan: kesengsaraan, rasa bersalah, kehilangan harga diri, rasa putus asa minat yang berkurangan dalam melakukan aktiviti, dan sikap tidak peduli
  • Kebimbangan: mengalami ketegangan dan ketidakupayaan untuk bertolak ansur sewaktu berhadapan dengan tekanan
  • Perubahan emosi: perubahan mood yang melampau, menjadi mania pada musim bunga dan musim panas
  • Kesukaran untuk tidur: keinginan untuk tidur lebih lama dan sukar untuk bangun pagi, tidur terganggu dengan terjaga secara tiba-tiba atau bangun pagi terlalu awal.
  • Lethargi: perasaan keletihan dan ketidakupayaan untuk menjalankan rutin harian yang normal
  • Makan berlebihan: keinginan untuk makan makanan berkanjii dan manis sehinggalah menyebabkan peningkatan berat badan
  • Masalah sosial: mudah marah dan tiada keinginan untuk terlibat dalam hubungan sosial
  • Masalah seksual: kehilangan libido dan penurunan minat terhadap hubungan fizikal

Punca Gangguan Afektif Bermusim

Punca utama Gangguan Afektif Bermusim masih tidak diketahui. Beberapa faktor yang boleh memainkan peranan termasuklah:

  • Jam biologi anda (Irama Sirkadian). Kekurangan cahaya matahari pada musim luruh dan musim sejuk boleh menyebabkan gangguan ini berlaku pada musim sejuk. Kekurangan cahaya matahari ini boleh mengganggu jam dalaman badan anda dan membawa kepada Gangguan Kemurungan.
  • Tahap serotonin. Penurunan serotonin iaitu sejenis kimia dalam otak (neurotransmitter) yang boleh menjejaskan mood mungkin memainkan peranan dalam perkembangan gangguan afektif bermusim. Pengurangan cahaya matahari juga boleh menyebabkan penurunan serotonin yang boleh mencetuskan kemurungan.
  • Tahap melatonin. Perubahan musim boleh mengganggu keseimbangan tahap melatonin badan yang memainkan peranan dalam pola tidur dan mood.

Diagnosis Gangguan Afektif Bermusim

Walaupun melalui penilaian menyeluruh, kadangkala adalah sukar bagi doktor atau pakar kesihatan mental untuk mendiagnosis Gangguan Afektif Bermusim kerana jenis kemurungan atau keadaan kesihatan mental yang lain juga boleh menyebabkan simptom yang sama.

Untuk mendiagnosis gangguan, doktor atau pakar kesihatan mental boleh melakukan penilaian secara menyeluruh, yang biasanya termasuk:

  • Ujian fizikal. Doktor anda boleh melakukan ujian fizikal dan bertanya soalan yang mendalam mengenai kesihatan anda. Dalam sesetengah kes, kemurungan mungkin dikaitkan dengan masalah kesihatan fizikal yang mendasari.
  • Ujian makmal. Sebagai contoh, doktor anda akan melakukan ujian darah yang dikenali sebagai jumlah darah lengkap (Complete Blood Count) atau memeriksa tiroid anda untuk memastikan ia berfungsi dengan baik.
  • Penilaian psikologi. Bagi memeriksa sebarang simptom kemurungan, doktor atau pakar kesihatan mental akan bertanya mengenai simptom, fikiran, perasaan dan corak tingkah laku anda. Anda juga perlu mengisi soal selidik untuk membantu menjawab soalan-soalan tersebut.
  • DSM-5. Pakar kesihatan mental anda boleh menggunakan kriteria untuk episod kemurungan bermusim yang telah disenaraikan dalam Manual Diagnostik dan Statistik Gangguan Mental (DSM-5) yang diterbitkan oleh Persatuan Psikiatri Amerika.

Faktor Risiko Gangguan Afektif Bermusim

Gangguan Afektif Bermusim lebih banyak didiagnosis terhadap wanita berbanding lelaki. Gangguan ini juga kerap berlaku pada individu dewasa muda berbanding dengan individu dewasa yang lebih tua.

Faktor-faktor yang boleh meningkatkan risiko Gangguan Afektif Bermusim termasuklah:

  • Sejarah keluarga. Individu yang mengalami gangguan ini lebih berkemungkinan mempunyai saudara darah yang menghidapi dengan Gangguan Afektif Bermusim atau bentuk Kemurungan yang lain.
  • Mengalami Kemurungan Utama atau Gangguan Bipolar. Simptom Kemurungan boleh menjadi lebih teruk dan memburukkan lagi Gangguan Afektif Bermusim jika anda pernah mengalami atau menghidapi salah satu daripada keadaan ini.
  • Menetap jauh dari kawasan khatulistiwa. Gangguan Afektif Bermusim lebih biasa berlaku dalam kalangan individu yang tinggal jauh di utara atau di selatan khatulistiwa. Ia berpunca dari kekurangan cahaya matahari semasa musim sejuk dan pagi yang lebih lama semasa musim panas.

Rawatan Gangguan Afektif Bermusim

Gangguan Afektif Bermusim boleh dirawat dengan berkesan melalui beberapa cara, termasuklah terapi cahaya, ubat antidepresan, terapi perbualan atau beberapa kombinasi ini. Walaupun simptom gangguan ini akan sembuh dengan sendirinya dengan perubahan musim, simptom yang dialami boleh pulih lebih cepat dengan rawatan.

  • Terapi cahaya melibatkan pesakit duduk di hadapan kotak terapi cahaya yang memancarkan cahaya yang sangat terang (dan menyaring sinaran ultraviolet (UV) yang berbahaya). Ia biasanya memerlukan 20 minit atau lebih dalam sehari, biasanya perkara pertama yang dilakukan pada waktu pagi, semasa musim sejuk. Ramai pesakit telah melaporkan peningkatan yang baik daripada terapi cahaya ini dalam tempoh satu atau dua minggu selepas memulakan rawatan. Untuk mengekalkan faedah dan mencegah gangguan ini dari berulang, rawatan biasanya diteruskan semasa tempoh musim sejuk. Sesetengah pesakit mungkin memulakan terapi cahaya pada awal musim luruh untuk mengelakkan gejala dari berlaku.
  • Terapi perbualan, terutamanya terapi perilaku kognitif, boleh merawat gangguan aektif bermusim dengan berkesan. Inhibitor serotonin reuptake selektif (SSRIs) adalah sejenis antidepresan yang biasa digunakan untuk merawat gangguan afektif bermusim.
  • Pendedahan kepada cahaya matahari yang banyak. Bagi sesetengah individu pula, peningkatan pendedahan kepada cahaya matahari dapat membantu memperbaiki simptom gangguan ini yang mereka alami. Sebagai contoh, menghabiskan masa di luar atau mengatur rumah atau pejabat anda supaya anda terdedah kepada cahaya dari tingkap pada siang hari. Walau bagaimanapun, pendedahan kepada cahaya UV dari matahari boleh meningkatkan risiko kanser kulit anda. Bincanglah dengan doktor anda tentang risiko serta faedahnya.
  • Menjaga kesihatan dan kesejahteraan umur sendiri. Selain itu, langkah ini juga boleh membantu dalam hal tersebut. Anda boleh melakukan senaman yang teratur, makan makanan yang sihat, mendapatkan tidur yang cukup, dan kekal aktif dalam berkomunikasi dengan orang lain (seperti menyertai program sukarela, mengambil bahagian dalam aktiviti kumpulan dan berkumpul bersama rakan dan keluarga) juga boleh membantu.

Jika anda merasakan anda mempunyai simptom Gangguan Afektif Bermusim, dapatkan pertolongan daripada pakar perubatan yang terlatih. Sama seperti bentuk kemurungan yang lain, ia adalah penting untuk memastikan tiada keadaan perubatan lain yang menyebabkan simptom anda.

Gangguan ini boleh disalah diagnosis sebagai Hipotiroidisme, Hipoglikemia, mononucleosis berjangkit, dan jangkitan virus lain. Jadi, membuat penilaian yang betul adalah penting. Pakar kesihatan mental boleh mendiagnosis keadaan dan membincangkan pilihan terapi untuk andaa. Dengan rawatan yang betul, Gangguan Afektif Bermusim boleh diuruskan.

SUMBER

https://www.mayoclinic.org/diseases-conditions/seasonal-affective-disorder/symptoms-causes/syc-20364651

https://www.webmd.com/depression/guide/seasonal-affective-disorder#1

https://my.clevelandclinic.org/health/diseases/9293-seasonal-depression

Summary
Gangguan Afektif Bermusim (Seasonal Affective Disorder)  - Simptom, Punca, Diagnosis, Faktor Risiko dan Rawatan
Article Name
Gangguan Afektif Bermusim (Seasonal Affective Disorder) - Simptom, Punca, Diagnosis, Faktor Risiko dan Rawatan
Description
Gangguan Afektif Bermusim menyebabkan pesakit sering mengalami perubahan mood dan mempunyai simptom yang sama seperti kemurungan.
Publisher Name
Ceria Sihat
Tagged: