fistula rektovaginal
Fistula rektovaginal adalah keadaan di mana terdapat penyambungan yang tidak normal antara bahagian bawah usus besar, iaitu rektum anda dan faraj anda.

Fistula rektovaginal adalah keadaan di mana terdapat penyambungan yang tidak normal antara bahagian bawah usus besar, iaitu rektum anda dan faraj anda. Kandungan usus boleh bocor melalui fistula tersebut sehingga membolehkan gas atau najis melalui vagina anda.

Fistula rektovaginal mungkin berpunca dari:

  • Kecederaan semasa melahirkan bayi
  • Menghidap penyakit Crohn atau penyakit radang usus lain
  • Pernah menjalani rawatan radiasi atau kanser di kawasan pelvik
  • Komplikasi selepas pembedahan di kawasan pelvik

Penyakit ini boleh menganggu emosi dan menyebabkan ketidakselesaan fizikal yang boleh menjejaskan imej diri dan hubungan intim.

Simptom Fistula Rektovaginal

Simptom dialami bergantung kepada saiz dan lokasi fistula. Anda mungkin mengalami simptom ringan atau besar, seperti masalah kebersihan dan keupayaan menahan air kencing. Berikut merupakan tanda dan simptom fistula rektovaginal:

  • Gas, najis atau nanah keluar dari faraj
  • Cairan faraj yang berbau
  • Mengalami jangkitan faraj dan saluran kencing secara berulang
  • Berasa sakit pada vulva, faraj dan kawasan antara faraj dan dubur (perineum)
  • Sakit sewaktu melakukan hubungan intim

Sekiranya anda mengalami sebarang tanda atau simptom fistula rektovaginal, sila jumpa doktor anda. Ia mungkin merupakan amaran pertama bagi masalah yang lebih serius seperti jangkitan, kawasan dipenuhi nanah (abscess) atau kanser. Mengenalpasti punca fistula boleh membantu doktor menentukan rawatan yang perlu dijalankan.

Punca Fistula Rektovaginal

Punca fistula rektovaginal yang paling utama adalah:

  • Komplikasi semasa bersalin. Semasa proses bersalin yang lama atau sukar, perineum boleh terkoyak atau doktor anda mungkin memotong perineum (episiotomi) bagi memudahkan proses kelahiran bayi.
  • Penyakit radang usus (Irritable Bowel Disorder). Penyakit Crohn dan kolitis ulseratif adalah sejenis penyakit radang usus. Ia menyebabkan keradangan di saluran penghadaman anda. Walaupun jarang berlaku, keadaan ini boleh meningkatkan risiko anda menghidapi fistula.
  • Kanser atau pendedahan radiasi pada pelvis. Kanser dalam faraj, serviks, rektum, rahim, atau dubur boleh menyebabkan fistula rektovaginal. Radiasi untuk merawat kanser tersebut juga boleh mendorong kehadiran fistula.
  • Pembedahan. Melakukan pembedahan pada faraj, rektum, perineum, atau dubur anda boleh mengakibatkan kecederaan atau jangkitan yang menyebabkan pembukaan yang tidak normal pada kawasan tersebut.

Punca-punca lain yang mungkin berkaitan termasuklah:

  • Jangkitan pada dubur atau rektum anda
  • Kantung dalam usus anda dijangkiti (diverticulitis)
  • Terdapat najis yang tersekat pada rektum anda (impak najis)
  • Jangkitan akibat HIV
  • Mengalami serangan seksual

Diagnosis Fistula Rektovaginal

Jika anda mengalami penyakit ini, ia mungkin sukar untuk membincangkannya dengan sesiapa seperti keluarga, rakan-rakan atau kenalan anda. Namun, anda perlu memberitahu doktor tentang simptom yang anda alami supaya ia dapat dirawat.

Pada peringkat awal diagnosis, doktor akan bertanya mengenai simptom yang anda alami dan melakukan ujian fizikal. Dengan menggunakan sarung tangan, doktor akan memeriksa faraj, anus, dan perineum anda. Alat yang dipanggil spekulum mungkin dimasukkan ke dalam faraj anda untuk meluaskannya supaya doktor dapat melihat kawasan tersebut dengan lebih jelas. Proktoskop pula boleh membantu doktor anda memeriksa dubur dan rektum anda.

Ujian yang doktor akan lakukan kepada anda  untuk membantu mendiagnosis fistula rektovaginal termasuklah:

  • Ultrabunyi anorektal atau transvaginal. Semasa ujian ini, instrumen kecil dimasukkan ke dalam dubur dan rektum anda atau ke dalam faraj anda. Ultrabunyi menggunakan gelombang bunyi untuk menghasilkan gambar dari dalam pelvik anda.
  • Enema metilena. Tampon dimasukkan ke dalam faraj anda. Kemudian, pewarna biru disuntik pada rektum anda. Selepas 15 hingga 20 minit, jika tampon bertukar menjadi biru, anda disahkan menghidap fistula.
  • Barium enema. Anda akan diberi pewarna kontras yang boleh membantu doktor anda melihat fistula pada X-ray dengan lebih jelas.
  • Pemeriksaan tomografi berkomputer (CT scan). Ujian ini menggunakan X-ray berkuasa canggih untuk menghasilkan gambar terperinci di dalam pelvik anda.
  • Pengimejan resonans magnetik (MRI). Ujian ini menggunakan magnet yang kuat dan gelombang radio untuk menghasilkan gambar dari dalam pelvis anda. Ia boleh menunjukkan fistula atau masalah lain dalam organ anda, seperti tumor.

Faktor risiko Fistula Rektovaginal

Anda lebih cenderung untuk menghidapi fistula rektovaginal jika:

  • Anda pernah melalui proses bersalin yang lama dan sukar
  • Perineum atau faraj anda koyak atau dipotong dengan menggunakan episiotomi semasa bersalin
  • Anda menghidapi penyakit Crohn atau kolitis ulseratif
  • Anda mengalami jangkitan seperti abses atau diverticulitis
  • Anda menghidapi kanser pada faraj, serviks, rektum, rahim, atau dubur, atau pernah terdedah kepada radiasi untuk merawat kanser tersebut
  • Anda pernah menjalani pembedahan histerektomi atau pembedahan lain di kawasan pelvik

Rawatan Fistula Rektovaginal

Simptom fistula rektovaginal boleh mengakibatkan kesakitan kepada diri anda. Tetapi rawatan yang dijalankan sering kali berkesan mengurangkan simptom yang dialami.  Rawatan untuk fistula bergantung kepada punca, saiz, lokasi dan kesannya pada tisu berhampiran.

– Ubat-ubatan

Doktor anda boleh mengesyorkan beberapa ubat untuk membantu merawat fistula dan melegakan simptom:

  • Antibiotik. Sekiranya kawasan sekitar fistula anda dijangkiti, anda mungkin diberi antibiotik sebelum pembedahan. Antibiotik juga boleh disyorkan kepada wanita dengan penyakit Crohn yang menghidapi fistula.
  • Infliximab. Infliximab (Remicade) boleh membantu mengurangkan keradangan dan menyembuhkan fistula pada wanita yang menghidap penyakit Crohn.

– Pembedahan

Kebanyakan pesakit memerlukan pembedahan untuk menutup atau membaiki fistula rektovaginal.

Sebelum pembedahan dilakukan, kulit dan tisu lain di sekitar fistula mestilah sihat, tanpa sebarang jangkitan atau keradangan. Doktor anda mungkin mengesyorkan untuk menunggu selama tiga hingga enam bulan sebelum amda menjalani pembedahan untuk memastikan tisu di sekeliling fistula sihat dan sama ada  fistula akan tertutup sendiri.

Pembedahan untuk menutup fistula boleh dilakukan oleh pakar bedah ginekologi, pakar bedah kolorektal atau kedua-duanya bekerja sebagai satu pasukan. Matlamatnya adalah untuk mengeluarkan saluran fistula dan menutup pembukaan dengan menjahit tisu yang sihat pada kawasan terjejas. Pilihan pembedahan termasuklah:

  • Jahitan palam fistula dubur atau jahitan tisu biologi ke fistula. Untuk membolehkan tisu anda berkembang dan menyembuhkan fistula, jahitan ini akan dilakukan pada tisu yang sihat.
  • Menggunakan graf tisu yang diambil dari bahagian badan anda. Graf tisu diambil dari bahagian badan berhampiran atau lipatan tisu sihat akan diletakkan pada pembukaan fistula untuk menutupnya.
  • Membaiki otot sphincter dubur jika ia telah dirosakkan oleh fistula. Pembedahan untuk membaiki otot ini akan dilakukan sekiranya otot tersebut dirosakkan oleh fistula atau parut atau kerosakan tisu berpunca dari radiasi atau penyakit Crohn.
  • Melakukan kolostomi sebelum membaiki fistula dalam kes-kes yang kompleks atau berulang. Bertujuan untuk mengalihkan najis melalui pembukaan di abdomen dan bukan melalui rektum anda. Selalunya, pembedahan ini tidak diperlukan.
    Tetapi anda mungkin memerlukannya jika anda mengalami kerosakan tisu atau parut dari pembedahan sebelumnya atau pernah menjalani rawatan radiasi, jangkitan yang berterusan, pencemaran najis, tumor kanser atau abses. Jika kolostomi diperlukan, pakar bedah anda akan menunggu selama 8 hingga 12 minggu sebelum membaiki fistula yang anda alami.
    Biasanya selepas kira-kira tiga hingga enam bulan fistula anda telah disahkan sembuh, prosedur kolostomi boleh dibalikkan dan fungsi usus yang normal kembali pulih.

Sumber imej diambil dari: https://healthjade.net/wp-content/uploads/2019/09/rectovaginal-fistula.jpg


SUMBER

https://www.mayoclinic.org/diseases-conditions/rectovaginal-fistula/symptoms-causes/syc-20377108

https://www.healthline.com/health/rectovaginal-fistula

https://www.winchesterhospital.org/health-library/article?id=577663

Summary
Fistula Rektovaginal (Rectovaginal Fistula) - Simptom, Punca, Diagnosis, Faktor Risiko dan Rawatan
Article Name
Fistula Rektovaginal (Rectovaginal Fistula) - Simptom, Punca, Diagnosis, Faktor Risiko dan Rawatan
Description
Fistula rektovaginal adalah keadaan di mana terdapat penyambungan yang tidak normal pada kawasan rektum dan faraj anda.
Publisher Name
Ceria Sihat
Tagged: