fenomena gerhana matahari
Negara Malaysia dikatakan sangat bertuah kerana dapat menyaksikan fenomena menakjubkan iaitu fenomena gerhana matahari yang berlaku sekali dalam beberapa tahun sahaja.

Negara Malaysia dikatakan sangat bertuah kerana dapat menyaksikan fenomena menakjubkan iaitu fenomena gerhana matahari yang berlaku sekali dalam beberapa tahun sahaja. Ia menjadi lebih mengagumkan kerana kali terakhir fenomena ini dapat dilihat adalah pada tahun 1998, iaitu 21 tahun yang lalu!

Rata-rata masyarakat tidak melepaskan peluang untuk melihat dan merakam kejadian ini dalam bentuk fotografi dan video. Anda boleh melihat banyak gambar menarik yang ditangkap di pelbagai platform media sosial seperti Facebook, Twitter dan Instagram.

Bermula pada jam 11.20 pagi, bulan secara perlahan telah melalui matahari dan menunjukkan satu kejadian yang sangat luar biasa. Namun begitu, fenomena gerhana matahari ini mempunyai pandangan yang berbeza dalam kepelbagaian kaum yang ada di negara ini. Ada yang mengatakan bahawa ia memberi petanda buruk namun ada juga yang berpendapat bahawa kejadian sebegini adalah tanda kebesaran pencipta manusia yang harus dikagumi.

Jadi, adakah anda merupakan antara individu yang sempat melihat fenomena gerhana matahari ini tempoh hari? Jika ya, adakah anda melihatnya secara terus tanpa sebarang perlindungan mata seperti kaca mata hitam?

Pasti anda tertanya-tanya mengapa kita harus memakai perlindungan mata dalam tempoh itu kerana ia dilihat seperti kejadian awan yang biasa sahaja bukan? Di sinilah isu ini akan dibincangkan dengan lebih lanjut.

Melihat pada matahari mahupun apa-apa kejadian berkaitan matahari seperti fenomena gerhana matahari secara terus boleh menyebabkan kerosakan kekal pada mata anda. Ia boleh menyebabkan keadaan ‘kebutaan gerhana’ (eclipse blindness) atau pembakaran retina yang juga dikenali sebagai retinopati solar (solar retinopathy).

Selain itu, pendedahan kepada cahaya secara terus boleh menyebabkan kerosakan atau merosakkan sel-sel retina (di bahagian belakang mata). Biasanya, anda hanya akan sedar mengenai kerosakan mata yang berlaku setelah beberapa jam atau beberapa hari melihat fenomena gerhana matahari tersebut.

Sekiranya anda mempunyai simptom seperti di bawah selepas melihat fenomena gerhana matahari tersebut, pergi berjumpa dan dapatkan rawatan daripada pakar mata dengan segera.

  • Kehilangan penglihatan pusat (retinopati solar).
  • Penglihatan yang berbelit.
  • Penglihatan terhadap warna yang berubah.

Jadi, bagaimanakah kita boleh melihat fenomena gerhana matahari ini dengan lebih selamat sekiranya kita berpeluang untuk menyaksikannya lagi?

  • Elakkan melihat gerhana matahari melalui telefon bimbit kerana anda berkemungkinan untuk melihat matahari secara terus semasa sedang mencari posisi yang sesuai untuk menangkap gambar. Ia juga mungkin boleh merosakkan kamera telefon anda juga.
  • Gunakan projektor yang mudah dibuat menggunakan kadbod. Ini adalah cara paling selamat dan murah untuk melihat fenomena ini.
Gunakan projektor yang mudah dibuat
  • Saksikan fenomena ini di dalam tempat tertutup seperti dari dalam rumah, pejabat, kedai atau sebagainya. Anda juga boleh melihatnya pada kaca televisyen mahupun berdasarkan gambar-gambar yang telah ‘viral’ di media sosial sekiranya ini lebih memudahkan anda.

Walaupun anda begitu teruja untuk melihat fenomena menakjubkan ini depan mata, pastikan anda mengambil langkah berjaga-jaga yang betul agar ia tidak memberi kesan lain pada diri anda. Saksikanlah fenomena gerhana matahari dengan panduan yang betul agar anda boleh menikmati pemandangan itu dengan selamat.

SUMBER

https://preventblindness.org/solar-eclipse-and-your-eyes/#:~:text=Exposing%20your%20eyes%20to%20the,you%20see%20to%20the%20brain.

https://www.webmd.com/eye-health/news/20170822/did-you-damage-your-eyes-viewing-the-eclipse

https://www.washingtonpost.com/lifestyle/kidspost/ever-wondered-why-you-shouldnt-look-at-the-sun/2017/08/07/9c68843c-7856-11e7-8839-ec48ec4cae25_story.html

https://time.com/4890397/solar-eclipse-damage-eyes-protect/

Summary
Fenomena gerhana matahari: Bagaimanakah ia memberi kesan kepada mata kita?
Article Name
Fenomena gerhana matahari: Bagaimanakah ia memberi kesan kepada mata kita?
Description
Malaysia adalah sangat bertuah kerana dapat menyaksikan fenomena gerhana matahari yang berlaku sekali dalam beberapa tahun sahaja.
Publisher Name
Ceria Sihat
Tagged: