ENDOKRINOLOGI
Endokrinologi adalah bidang penyakit yang berkaitan dengan hormon. Pakar endokrinologi dapat mendiagnosis dan merawat masalah hormon dan komplikasi yang timbul disebabkannya. Hormon mengatur metabolisme, pernafasan, pertumbuhan, pembiakan, persepsi deria dan pergerakan.

Pengenalan

Endokrinologi adalah bidang penyakit yang berkaitan dengan hormon. Pakar endokrinologi dapat mendiagnosis dan merawat masalah hormon dan komplikasi yang timbul disebabkannya. Hormon mengatur metabolisme, pernafasan, pertumbuhan, pembiakan, persepsi deria dan pergerakan. Ketidakseimbangan hormon adalah sebab yang mendasari bagi pelbagai keadaan perubatan.

Selain itu, bidang endokrinologi ini menumpukan pada hormon dan banyak kelenjar serta tisu yang menghasilkannya.

Kepakaran pakar endokrin

Kelenjar dalam badan seseorang akan mengeluarkan hormon. Jadi, pakar endokrinologi merawat individu yang menderita dengan masalah ketidakseimbangan hormon, biasanya daripada kelenjar pada sistem endokrin atau jenis kanser tertentu. Tujuan keseluruhan rawatan adalah untuk mengembalikan keseimbangan hormon yang normal dalam tubuh pesakit.

Sebilangan besar kerja yang dilakukan oleh pakar endokrinologi berfungsi sebagai asas untuk penyelidikan secara berterusan. Sebilangan mereka pula hanya bekerja sebagai doktor penyelidikan. Matlamat penyelidikan ini adalah untuk mencari kaedah baru untuk mengatasi masalah ketidakseimbangan hormon dengan lebih baik, termasuk pengembangan ubat baru.

Pakar endokrinologi biasanya merawat keadaan berikut:

  • diabetes
  • osteoporosis
  • menopaus
  • gangguan metabolik
  • penyakit tiroid
  • pengeluaran hormon yang berlebihan atau tidak mencukupi
  • beberapa jenis kanser
  • masalah ketinggian
  • kemandulan

Bila anda perlu dapatkan rawatan

Sebilangan besar orang berjumpa dengan pakar endokrinologi ketika doktor rawatan utama merujuk mereka untuk melakukan penilaian atau rawatan. Anda mungkin perlu berjumpa pakar endokrinologi jika anda atau doktor anda mengesyaki adanya gangguan endokrin, seperti:

  • Diabetes

Diabetes adalah gangguan endokrin yang paling biasa termasuk diabetes jenis 1, diabetes jenis 2 dan diabetes kehamilan. Individu yang menghidap diabetes mesti menguruskan tahap gula dalam darah mereka untuk mengawal gejala, termasuk rasa dahaga, keletihan dan penglihatan kabur.

  • Kanser kelenjar endokrin

Kanser kelenjar endokrin merangkumi kanser tiroid, kanser paratiroid, kanser adrenal dan kanser pituitari. Jenis kanser-kanser ini boleh mempengaruhi tahap hormon. Biasanya, individu dengan jenis kanser ini akan bekerjasama dengan pakar endokrinologi dan pakar onkologi.

  • Gangguan tiroid

Hormon tiroid mengatur metabolisme anda seperti seberapa cepat sistem badan anda berfungsi. Hormon tiroid yang terlalu banyak boleh menyebabkan badan anda bekerja secara berlebihan. Apabila anda mempunyai hormon tiroid yang terlalu sedikit pula, badan anda menjadi lembap. Hipotiroidisme atau tahap hormon tiroid yang rendah adalah kes lebih biasa daripada hipertiroidisme iaitu tahap hormon tiroid yang tinggi.

  • Osteoporosis

Osteoporosis merujuk kepada penipisan tulang. Apabila hormon seks menurun seiring dengan pertambahan usia, ini boleh menimbulkan risiko bagi beberapa orang untuk mengalami osteoporosis. Faktor genetik dan ubat-ubatan juga berperanan dalam perkembangan osteoporosis.

  • Testosteron rendah

Testosteron rendah boleh mempengaruhi berjuta-juta lelaki di seluruh dunia. Walaupun banyak orang menganggap bahawa hormon testosteron rendah hanya menjadi masalah ketika zaman muda, ia juga boleh memberi kesan negatif bagi orang dewasa yang lebih tua. Malah, ia boleh menyebabkan gejala seperti keletihan, kemurungan, kelemahan otot dan keguguran rambut.

Wanita dengan maslaah PCOS mempunyai tahap androgen (hormon lelaki) dan insulin yang lebih tinggi, dan boleh menyebabkan ovari yang lebih besar, tempoh haid tidak teratur, masalah metabolik dan sista. Pada usia lebih muda, PCOS boleh menyukarkan kehamilan. Seiring dengan pertambahan usia, mereka mungkin akan mengalami lebih banyak kesan sampingan metabolik, termasuk kenaikan berat badan dan pertumbuhan rambut yang berlebihan.

  • Kemandulan

Individu yang menghadapi masalah kemandulan perlu berjumpa dengan pakar  endokrinologi khusus, yang disebut sebagai pakar endokrinologi pembiakan. Golongan ini mempunyai latihan untuk mendiagnosis penyebab kemandulan dan mengesyorkan rawatan yang sesuai.

Prosedur rawatan endokrinologi

Pakar endokrinologi mungkin akan bertanyakan tentang gejala yang nampaknya tidak berkaitan, atau yang kelihatan seperti tidak diperlukan. Ini adalah kerana tahap hormon boleh mempengaruhi banyak sistem berbeza dalam tubuh sehingga hanya perubahan kecil dalam satu kelenjar sahaja sudah dapat mempengaruhi bahagian tubuh yang jauh dari lokasi kelenjar itu sendiri.

Mereka akan memeriksa degupan jantung dan tekanan darah pesakit, serta melihat keadaan kulit, rambut, gigi dan mulut mereka. Sampel darah dan air kencing juga boleh diambil.

Selepas diagnosis, pakar endokrinologi akan mencadangkan pelan rawatan yang sesuai. Ini bergantung pada keadaan yang mendasari dan menyebabkan gejala.

Rawatan insulin (Diabetes)

Semua orang yang menghidap diabetes, termasuk diabetes jenis 1, diabetes jenis 2, dan diabetes kehamilan perlu memantau tahap gula darah mereka. Individu dengan diabetes jenis 1 mesti menggunakan insulin kerana mereka tidak dapat menghasilkannya sendiri. Untuk diabetes jenis 2, rawatan termasuk membuat perubahan gaya hidup dan diet, menurunkan berat badan dan menggunakan ubat secara oral dan mungkin juga menggunakan insulin.

Rawatan hormon (kanser kelenjar endokrin)

Pakar endokrinologi dapat membantu merawat kanser endokrin dengan mengatur tahap hormon. Ini biasanya melibatkan penurunan tahap hormon yang terlalu tinggi. Tetapi, mereka juga boleh menggunakan hormon untuk menghentikan pertumbuhan tumor. Dalam beberapa kes, penggantian hormon diperlukan setelah membuang kelenjar kanser.

Ubat / rawatan hormon (Gangguan tiroid)

Ubat dapat menggantikan tahap hormon tiroid yang rendah atau menyekat pengeluaran hormon. Kadangkala, doktor akan mengesyorkan iodin radioaktif untuk memusnahkan tiroid yang terlalu aktif. Ini bermakna k,elenjar tidak lagi dapat menghasilkan hormon tiroid yang mencukupi. Anda mungkin perlu melakukan penggantian hormon jika ini berlaku. Penggantian hormon tiroid biasanya merupakan terapi sepanjang hayat.

Rawatan penggantian ubat / hormon (Osteoporosis)

Rawatan utama adalah penggunaan ubat untuk menguatkan tulang dan mengurangkan kehilangan tulang. Kadangkala, penggantian hormon dapat membantu. Walau bagaimanapun, ini mempunyai risiko tertentu, termasuk kanser dan pembekuan darah. Pakar endokrinologi dapat menjelaskan pilihan dan membimbing keputusan rawatan anda. Malah, perubahan gaya hidup juga dapat membantu melambatkan atau menghentikan kehilangan tulang dan mencegah patah tulang.

Terapi testosteron (testosteron rendah)

Terapi testosteron dapat merawat masalah testosteron rendah ketika ujian makmal mengesahkan masalah hormon. Ianya adalah penting untuk berjumpa dengan ahli endokrinologi berpengalaman untuk terapi testosteron kerana prosedur ini boleh menyebabkan kesan sampingan berbahaya tanpa pemantauan yang tepat.

Rawatan hormon (sindrom ovari polisistik – PCOS)

Seperti gangguan endokrin lain, rawatan ini melibatkan keseimbangan hormon. Ini mungkin termasuk menggunakan ubat-ubatan yang mengatur insulin dan androgen, kawalan kelahiran hormon dan penurunan berat badan yang diawasi secara perubatan. Perubahan gaya hidup juga dapat membantu mengurangkan gejala.

Ubat hormon (Kemandulan)

Punca kemandulan boleh terjadi disebabkan masalah pembiakan wanita, masalah pembiakan lelaki, atau gabungan kedua-duanya. Rawatan bergantung pada penyebabnya, tetapi ubat hormon adalah perkara biasa yang dilakukan. Hormon dapat membantu merangsang ovulasi dan menyiapkan rahim wanita untuk ‘insemination’ buatan dan teknologi pembiakan dibantu (ART).

Anggaran kos

Biasanya, jika anda dapatkan rawatan di klinik atau hospital kerajaan, kosnya tidaklah begitu mahal jika dibandingkan dengan rawatan di tempat swasta. Kadangkala, pemeriksaan kesihatan hanya dicaj dengan harga RM1 namun ia mungkin berubah mengikut keadaan kesihatan anda.

Jika di tempat swasta, kosnya boleh mencecah sehingga RM200 bagi setiap sesi. Ini termasuklah rawatan seperti rawatan insulin dan rawatan hormon. Jika rawatan hormon dibuat untuk merawat masalah kemandulan, ia mungkin boleh mencecah ratusan dan ribuan ringgit bergantung pada seberapa banyak sesi yang anda perlukan.

SUMBER

https://www.medicalnewstoday.com/articles/248679

https://www.hormone.org/what-is-endocrinology

https://www.healthgrades.com/right-care/endocrinology-and-metabolism/8-reasons-to-see-an-endocrinologist

http://familyprivatecarellc.com/6-reasons-to-see-an-endocrinologist/

Summary
Endokrinologi
Article Name
Endokrinologi
Description
Endokrinologi adalah bidang penyakit yang berkaitan dengan hormon. Pakar endokrinologi dapat mendiagnosis dan merawat masalah hormon dan komplikasi yang timbul.
Author
Publisher Name
Ceria Sihat
Tagged: