encephalomalacia
Encephalomalacia adalah sejenis kerosakan otak serius yang boleh mengakibatkan pelembutan atau kehilangan tisu otak.

Encephalomalacia adalah sejenis kerosakan otak serius yang boleh mengakibatkan pelembutan atau kehilangan tisu otak. Penyebab keadaan ini biasanya dikaitkan dengan keradangan atau pendarahan disebabkan infarksi serebral, iskemia serebral, jangkitan, kecederaan ‘craniocerebral’ atau kecederaan lain.

Ia juga adalah gangguan otak yang sangat serius dan boleh menyebabkan kerosakan tisu kekal, seperti parut otak atau kehilangan tisu. Malah, encephalomalacia boleh menyebabkan kerosakan otak yang merosakkan fungsi dan kesihatan, serta menyebabkan penyakit dan gangguan tertentu.

Jenis Encephalomalacia

Terdapat dua cara bagaimana encephalomalaci dapat memberi kesan pada individu. Setiap bentuk boleh mempengaruhi individu dengan cara yang sangat berbeza, kerana ia berlaku di kawasan otak yang berbeza. Berikut adalah gambaran keseluruhan bagi kedua-duanya:

  • Polioencephalomalacia, atau nekrosis cerebrocortical. Ini mengakibatkan kerosakan pada bahan kelabu otak, iaitu komponen sistem saraf pusat. Keorsakan di bahagian otak ini boleh menyebabkan kerosakan pada memori, emosi, ucapan, persepsi deria dan kawalan otot.

  • Leukoencephalomalacia. Bentuk ini merosakkan bahan putih otak, atau kawasan otak yang bertanggungjawab untuk tujuan pembelajaran dan fungsi otak. Bahan putih dikenali untuk mempertahankan tindakan sukarela tubuh, yang meliputi pernafasan, degupan jantung, pengaturan suhu tubuh dan tekanan darah. Ia juga membawa isyarat saraf ke seluruh otak dan bahagian otak yang berlainan. Kerosakan pada bahan putih boleh menyebabkan kecacatan kognitif.

Simptom Encephalomalacia

Seperti mana-mana penyebab kerosakan otak, tanda dan gejala yang berlaku sangat bergantung pada kawasan otak yang terjejas. Ini boleh menyebabkan penurunan fungsi pada satu sisi badan atau mungkin juga menghilangkan rasa sakit dan sensasi suhu. Walau bagaimanapun, tanda-tanda awal encephalomalacia boleh berlaku tanpa mengira kawasan yang mengalami kerosakan.

Gejala ini boleh merangkumi:

  • Sakit kepala yang serius
  • Sensasi kepala berpusing dan vertigo
  • Kehilangan ingatan dan perubahan emosi jika lobus depan terjejas
  • Cemerkap dan koordinasi yang berkurang
  • Gangguan penglihatan yang mungkin berkekalan atau sementara
  • Mengantuk yang melampau

Gejala boleh jadi berbeza bagi setiap individu yang mana ia sering muncul dengan cara yang unik bergantung pada tahap keparahan dan tahap kerosakan. Kes encephalomalacia yang melampau mungkin berpotensi menyebabkan koma terminal, bergantung pada kawasan pelembutan otak.

Punca Encephalomalacia

Pelbagai penyakit dan keadaan kesihatan boleh menyebabkan masalah otak ini. Gangguan ini biasanya berlaku akibat strok atau kecederaan serius di kepala yang boleh menyebabkan pendarahan ke otak.

Dalam beberapa kes, bahagian otak tertentu mungkin mengalami pelembutan kerana aliran darah yang tidak mencukupi. Gangguan dalam aliran darah mungkin disebabkan oleh:

Strok

Strok dianggap sebagai penyebab encephalomalacia yang paling biasa, yang mana ia berlaku disebabkan bekalan darah yang terganggu ke otak sama ada melalui kekurangan bekalan darah ke tisu otak atau kerana pendarahan saluran darah otak. Darah yang beroksigen sangat penting untuk fungsi dan pemeliharaan sel otak, yang boleh menjadi rosak atau mati jika bekalan darah tidak segera dipulihkan.

Pengumpulan darah tidak normal

Ini berlaku apabila aliran darah di otak terganggu. Ini mungkin terjadi disebabkan pembengkakan otak tidak normal atau penghapusan tumor otak yang mengakibatkan kerosakan otak.

Tisu parut

Kerosakan tisu otak kerana keadaan seperti strok boleh mengakibatkan pembentukan tisu parut. Kawasan tisu ini mengalami kontraksi dan akhirnya membentuk encephalomalacia di dalam otak.

Kecederaan otak

Trauma daya tumpul pada tengkorak akan menyebabkan penyusutan dan kemungkinan kerosakan otak jika kekuatannya cukup kuat. Bentuk trauma penembusan lain, seperti dari pisau atau peluru ke tengkorak, juga boleh menyebabkan perkembangan encephalomalacia.

Sebab-sebab lain

Encephalomalacia juga mungkin terjadi disebabkan:

  • Kemerosotan otak
  • Kerosakan otak
  • Strok atau jangkitan serebrum
  • Sekatan bekalan darah ke otak
  • Iskemia serebral
  • Patogen biologi yang mengeluarkan racun kimia dan boleh menjangkiti otak
  • Sista leptomeningeal
  • Pembedahan

Diagnosis Encephalomalacia

Bagi mendiagnosis encephalomalacia, doktor mesti menggunakan imbasan MRI untuk melihat gambaran otak yang jelas. Apabila encephalomalacia hadir, gambar otak akan menunjukkan adanya pelembutan tisu.

Kemudian, imbasan CT akan memberikan diagnosis yang lebih mendalam mengenai bila pelembutan serebrum bermula. Ia juga akan menunjukkan di mana tisu menjadi kurang padat berbanding tisu sihat di sekitarnya. Selain itu, imbasan ini juga akan menunjukkan jumlah tisu yang hilang dan di mana ia berlaku.

Seorang doktor akan menilai tahap ensephalomalacia berdasarkan warna kerosakan:

  • Tisu otak boleh menjadi lembut dan kekuningan jika terdapat penumpukan plak aterosklerotik di arteri ke otak. Limfa kuning akan terbentuk di otak, mewujudkan pigmentasi kuning.

  • Warna merah menandakan infark hemoragik, atau kematian tisu kerana kekurangan oksigen disebabkan urat tersumbat di otak. Sel darah merah menyebabkan kemerahan pada tisu otak.

Faktor-faktor risiko Encephalomalacia

Ramai saintis berpendapat bahawa keadaan ini berlaku kerana kecederaan otak traumatik. Keadaan tumpul, serta kecederaan yang menembusi semasa kemalangan atau serangan dapat meningkatkan risiko berlakunya kelembutan tisu otak.

Kecederaan kepala juga boleh terjadi sekiranya pukulan keras ke kepala menyebabkan otak terkena tengkorak. Ia juga boleh terjadi sekiranya luka berlaku kerana senjata tajam. Tisu otak malah boleh meradang akibat kecederaan semasa prosedur pembedahan.

Rawatan Encephalomalacia

Tiada penawar yang boleh merawat masalah encephalomalacia. Malangnya, apabila sesuatu merosakkan tisu otak, tiada cara untuk mendapatkan kembali apa yang hilang. Ini bermakna pesakit boleh mengalami kerosakan kekal disebabkan pelembutan serebrum.

Rawatan yang dibuat bergantung pada pengesanan awal masalah, dan pemahaman mengenai penyebabnya. Doktor mungkin dapat merawat tisu otak yang mendasari, atau membuang tisu otak yang rosak melalui pembedahan. Ini berkemungkinan dapat membantu fungsi dan sensasi bertambah baik di kawasan otak yang tidak terjejas.

Rawatan encephalomalacia selalunya melibatkan perkara berikut:

  • Menentukan sebarang keadaan yang mendasari perubahan tisu otak
  • Pembuangan tisu otak yang rosak dalam kes yang serius. Namun, ia tidak menjamin berlakunya pengembalian fungsi tubuh
  • Terapi sel stem

Pada masa ini, terdapat kemungkinan berlakunya kekurangan neurologi secara kekal, terutama pada bayi dengan masalah ini. Orang dewasa mempunyai prognosis yang lebih baik, dan boleh hidup lebih lama walaupun mengalami kehilangan tisu otak dan adanya kemungkinan timbulnya gangguan.

SUMBER

https://www.belmarrahealth.com/encephalomalacia-causes-types-treatment/

https://kitaylaw.com/what-is-encephalomalacia/

Summary
Encephalomalacia
Article Name
Encephalomalacia
Description
Encephalomalacia adalah sejenis kerosakan otak serius yang boleh mengakibatkan pelembutan atau kehilangan tisu otak.
Author
Publisher Name
Ceria Sihat
Tagged: