E-PCB adalah merupakan inisiatif yang disediakan oleh pihak kerajaan melalui Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia untuk memudahkan pembayaran cukai melalui sistem potongan secara online. Sistem e-PCB diwujudkan bagi membantu majikan yang tidak mempunyai sistem penggajian berkomputer.
Fungsi e-PCB
Sistem e-PCB (Potongan Cukai Bulanan) menggunakan aplikasi laman web dan mempunyai beberapa fungsi utama untuk memudahkan majikan.
Sistem ini berfungsi untuk membantu majikan menyimpan data pekerja dan mengetahui status bayaran PCB untuk membolehkan data bayaran tersebut di hantar kepada LHDNM secara online. Selain itu, sistem ini juga dapat menjimatkan masa majikan untuk mengira cukai yang perlu dibayar pada setiap bulan dengan tepat.
Cara Mudah Untuk Login e-PCB
Berikut adalah cara mudah untuk akses ke sistem e-PCB yang boleh dilakukan dengan mudah walaupun hanya menggunakan telefon bimbit anda.
Sila baca dengan teliti dan fahami arahan dengan betul agar anda tidak tersilap langkah.
Pertama sekali, layari laman sesawang khas Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia untuk akses ke sistem e-PCB di https://ekls.hasil.gov.my/. Anda akan melihat paparan halaman utama seperti gambar di bawah.
- Pengguna kali pertama:
- Untuk pengguna kali pertama dan tidak pernah mendaftar, sila klik “Pengguna Baru” untuk membuat pendaftaran.
- Dihalaman seterusnya, anda akan diminta untuk mengisi Maklumat Pendaftaran Majikan (Nombor Majikan).
- Kemudian, anda dikehendaki melengkapkan maklumat peribadi anda seperti nama, tangunggan dan lain-lain. Setelah selesai mengisi semua maklumat dengan lengkap, sila klik “hantar” untuk proses selanjutnya.
- Sebaik sahaja pendaftaran berjaya, satu pautan untuk mengaktifkan akaun anada akan dihantar melalui emel yang anda berikan. Sila periksa peti emel anda termasuk bahagian spam.
- Kemudian, klik pada pautan yang diberikan untuk mengaktifkan akaun anda. Atau, sekiranya terdapat sebarang masalah, sila hubungi pusat khidmat pelanggan LHDNM di talian 1800-88-LHDN (5436) untuk mengaktifkan akaun anda.
- Setelah akaun diaktifkan, pengguna boleh mengakses Sistem e-PCB dengan memasukkan nama pengguna dan kata laluan yang telah tetapkan di laman masuk Sistem e-PCB.
- Pengguna bukan kali pertama:
- Sekiranya anda sudah pernah mendaftar, sila masukkan ID Pengguna dan Kata Laluan yang anda telah tetapkan sebelum ini. Seterusnya klik “Hantar” untuk langkah selanjutnya.
- Terlupa kata laluan:
- Klik “Lupa Kata Laluan” sekiranya anda terlupa kata laluan yang telah ditetapkan. Emel akan dihantar bersama pautan khas untuk mengemaskini kata laluan yang baru.
- Anda akan diminta untuk melakukan pengesahan (kod keselamatan) sebelum beralih ke paparan halaman selanjutnya.
Setelah anda berjaya login, anda akan dibawa ke halaman “Maklumat Majikan”. Di halaman ini, anda boleh memilih 4 pilihan seterusnya; Kemaskini Majikan, Tukar Kata Laluan, Kumpulan Pekerja, Manual Sistem e-PCB.
Sila klik pilihan anda mengikut kesesuaian urusan anda.
- Kemaskini Majikan: Klik sekiranya anda hendak mengubah atau kemaskini maklumat anda.
- Tukar Kata Laluan: Klik sekiranya anda hendak mengubah kata laluan anda yang sedia ada.
- Kumpulan Pekerja: Klik sekiranya anda hendak mendaftar baru/menambah senarai kumpulan pekerja anda.
- Manual Sistem e-PCB: Klik sekiranya anda hendak mengetahui lebih lanjut mengenai sistem e-PCB.
Mendaftar Senarai Kumpulan Pekerja Di Sistem e-PCB.
- Untuk mendaftar senarai kumpuluan pekerja, klik “Kumpulan Pekerja” di halaman Maklumat Majikan (bahagian kanan).
- Kemudian, klik “Tambah Kumpulan Pekerja” seperti yang tertera di dalam gambar di bawah. Anda boleh menamakan kumpulan pekerja anda mengikut nama jabatan, jawatan, gred gaji dan sebagainya.
- Lengkapkan maklumat yang diperlukan dan klik “Hantar”.
- Anda boleh edit kembali maklumat anda dengan klik mana-mana pilihan yang berkaitan; kemaskini, hapus, pilih pekerja.
Setelah mendaftarkan senarai kumpulan pekerja, anda perlu menambah pekerja-pekerja anda ke dalam senarai tersebut.
Menambah Pekerja Ke Dalam Senarai Kumpulan Pekerja.
- Pergi ke halaman “Maklumat Majikan” (halaman sebelum ini) dan lihat pilihan yanh terdapat pada bahagian atas.
- Klik “Pekerja”, kemudian pilih “Tambah Pekerja” untuk menambah pekerja-pekerja anda ke dalam senarai yang anda telah buat tadi. Seterusnya, anda akan dibawa ke halaman berikutnya.
- Isi maklumat yang diperlukan dengan lengkap dan klik “Simpan”
Cara Mengira PCB Secara Automatik Melalui Sistem e-PCB.
- Pergi ke halaman “Maklumat Majikan”, kemudian pilih “Kira PCB/CP38” di bahagian pilihan atas halaman tersebut.
- Di halaman seterusnya, pilih kumpulan, bulan, dan tahun yang anda inginkan. Klik “Hantar”.
- Kemudian, anda akan dibawa ke halaman seterusnya. Lihat pilihan di bahagian sebelah kiri. Klik “Kira PCB” untuk mengira nilai PCB yang anda inginkan.
- Anda akan dibawa ke halaman “‘Pengiraan PCB”. Sekali lagi, klik “Kira” untuk proses selanjutnya. Penting: Untuk pekerja baru, sila jangan tandakan kotak kecil di bahagian maklumat.
- Akhirnya, amaun PCB yang anda kehendaki akan dipaparkan secara automatik.
Bila Masa Yang Tepat Untuk Mula Mendaftar Dan Menggunakan e-PCB?
Anda dinasihatkan untuk mendaftar dan menggunakan sistem e-PCB pada bulan Januari. Hal ini kerana, sistem pengiraan e-PCB mengira purata selama 12 bulan. Dengan ini, kerja anda sebagai majikan lebih mudah dan teratur.
Semoga perkongsian ini berguna buat sesiapa yang memerlukan terutama sekali para majikan. Dengan hanya mengikuti langkah mudah, anda boleh mengurus potongan cukai bulanan melalui sistem yang lebih sistemaik. Tambahan pula, akses ke e-PCB boleh dilakukan pada bila-bila masa.
Untuk sebarang pertanyaan atau mengetahui maklumat lanjut, sila rujuk di kaunter LHDMN berdekatan anda.
Sekian, terima kasih.