doula
Doula adalah individu yang memberikan sokongan emosi dan fizikal ketika anda bersalin dan selepas melahirkan anak.

Doula atau penjaga kesihatan adalah individu yang memberikan sokongan emosi dan fizikal ketika anda bersalin dan selepas melahirkan anak. Mereka bukan pakar perubatan, mereka tidak menyambut bayi atau menyediakan penjagaan perubatan.

Mereka yang diiktiraf menjalani program latihan dan melepasi ujian tentang bagaimana membantu menguruskan wanita hamil dan keluarganya bagi memastikan mereka merasakan pengalaman mencabar tetapi menyeronokkan ini.

Perkataan doula adalah daripada perkataan Yunani yang membawa maksud pembantu wanita. Hubungan anda terbina sebelum tarikh bersalin kerana anda berdua merancang bagaimana keadaan proses bersalin berlaku, dan membantu anda memahami sebarang jawapan bagi pelbagai persoalan anda.

Tugas dan Peranan Doula

Doula memainkan peranan dalam pelbagai peranan, bergantung kepada keperluan anda.

Doula kelahiran memberikan anda sokongan berterusan ketika bersalin. Tugas utama mereka untuk berada di sisi anda memberikan teknik bukan perubatan ketika bersalin seperti, cara bernafas, urutan dan membantu anda bergerak kepada beberapa posisi badan berbeza.

Mereka juga boleh memberikan sokongan emosi dan menyokong anda. Tidak kira apa jua cara bersalin yang anda lalui, mereka akan sentiasa di sisi anda membuatkan anda berasa selamat dan bertenaga.

Doula antepartum membantu wanita yang mengalami risiko yang tinggi atau masalah kehamilan untuk menghalang masalah ketika bersalin. Mereka membantu dari segi melakukan kerja rumah dan menguruskan anak-anak.

Doula postpartum membantu ibu baru pada beberapa minggu pertama selepas bersalin. Mereka membantu menjaga, memberi makan bayi dan melakukan kerja rumah.

Selepas bersalin, doula postpartum membantu si ibu sembuh daripada proses bersalin. Ini termasuklah menjaga bayi dan membimbing si ibu melalui proses penyusuan.

Mereka memainkan peranan penting di dalam rumah anda, terutama sekali jika anda mempunyai anak yang lebih tua di rumah.

Skop Tugas Doula

Sebelum bersalin, mereka akan selalunya:

  • Berjumpa anda pada trimester kedua atau ketiga untuk berkenalan
  • Mengajar anda teknik pernafasan dan cara untuk bertenang
  • Menjawab segala persoalan anda tentang proses kelahiran
  • Membantu anda memahami prosedur bersalin dan kemungkinan komplikasi
  • Membantu anda merangka kelahiran

Ketika bersalin, mereka akan:

  • Sentiasa bersama anda untuk memberikan sokongan dan keselesaan yang berterusan
  • Mengunakan urutan dan sentuhan untuk membantu anda bertenang dan berehat
  • Membantu anda berada pada posisi yang selesa
  • Membantu anda mendapatkan keperluan nutrisi yang mencukupi
  • Membantu anda bercakap tentang keperluan anda pada staf perubatan
  • Menyenangkan bakal bapa agar tidak tertekan pada proses getir ini

Selepas bersalin, mereka akan:

  • Memberikan sokongan dan galakan kepada anda suami isteri selepas membawa anak anda pulang ke rumah
  • Mengajar anda suami isteri tentang cara menjaga bayi yang baru lahir
  • Membimbing tentang cara penyusuan yang betul
  • Menyokong suami dan anak anda yang lain selain mengajar mereka cara untuk membantu anda
  • Memastikan anda mendapatkan rehat yang cukup, makan mengikut masa, kekal hidrat dan selesa

Kelebihan Mengambil Doula

Doktor fokus untuk memastikan bayi anda lahir dengan selamat tetapi doula hanya fokus terhadap si ibu. mereka memastikan semua perkara berjalan lancar dan membantu komunikasi di antara si ibu dan bapa agar tidak mengalami masalah komunikasi atau sebarang tekanan, kata Ami Burns, pengajar kelahiran anak dan doula di Chicago dan pengasas Birth Talk.

Penjaga kesihatan pula akan bersama dengan pasangan si ibu, memberikan sokongan sepanjang bersalin pada ibu agar pasangan si ibu dapat rehat apabila memerlukannya. Mereka faham betapa pentingnya pengalaman bersalin, jadi mereka bertujuan untuk memastikan setiap memori si bakal ibu dan bapa sebaik mungkin adalah indah.

Berdasarkan kajian pada tahun 1999, Journal of Women’s Health and Gender Based Medicine menyatakan bahawa doula membantu mengurangkan risiko perubatan. Wanita yang mempunyai doula semasa melahirkan anak terdorong mempunyai tempoh persalinan yang pendek dengan komplikasi yang rendah dan tidak memerlukan caesar, pitocin dan penggunaan perubatan lain, seperti ubat sakit atau epidural.

Doula VS Bidan

Terdapat perbezaan besar di antara doula dan bidan. Doula adalah pembantu bukan perubatan yang memberikan sokongan emosi dan fizikal pada ibu, bapa dan juga bayi melalui tempoh bersalin atau kelahiran.

Selain itu, mereka juga bertindak sebagai orang ketiga di antara pakar perubatan dan keluarga. Mereka mengetahui prosedur hospital dan boleh membantu keperluan si ibu untuk bersalin. Mereka juga akan melindungi ruang bersalin si ibu.

Namun begitu, berbeza dengan bidan iaitu individu yang menguruskan urusan bersalin dan melakukan tugas berkaitan perubatan. Mereka tidak memberikan sokongan emosi terhadap ibu. Namun begitu, adalah lebih baik untuk dapatkan khidmat persalinan daripada doktor bertauliah.

Kerjasama Bersama Pegawai Perubatan

Jika diperlukan, ketika anda bersalin atau selepas melahirkan, mereka boleh membantu anda berkomunikasi dengan pasukan perubatan. Doula tidak menggantikan jururawat atau staf perubatan lain. Mereka tidak boleh memeriksa anda, melakukan ukuran atau melakukan tugasan klinikal lain.

Pegasas Hospital Wanita dan Kanak-Kanak Andorra, Dr Khamsiah Muda mengatakannya dalam Hmetro bahawa peranan doula juga adalah penting.

Mereka sebenarnya boleh jadi sesiapa sahaja sama ada suami atau keluarga terdekat. Mereka boleh membantu memberikan sokongan pada anda dan menemani anda sepanjang proses kelahiran.

Doula biasanya boleh dibayar perkhidmatannya dan bukan sebahagian daripada keluarga. Namun begitu, menjadi isu apabila mereka bertindak lebih daripada doktor atau jururawat. Mereka sama sekali tidak boleh melibatkan diri dalam peranan klinikal termasuklah memberikan nasihat seperti doktor.

Terdapat pertubuhan dan badan berkuasa yang memantau aktiviti doula di luar negara bagi memastikan mereka mematuhi garis panduan yang telah ditetapkan dan tidak boleh menjangkaui bidang tugasnya.

Memandangkan tiada pertubuhan yang diwujudkan di Malaysia, sebarang aktiviti di Malaysia adalah tidak diiktiraf. Namun begitu di Andorra, doula merujuk kepada kakitangan pembantu perubatan yang dilatih untuk membantu doktor pakar, jururawat di bilik bersalin dan wad bersalin. Sama seperti fungsi penting doula, mereka dilatih dengan kemahiran tambahan memberikan sokongan emosi dan fizikal pada bakal ibu ketika bersalin.

SUMBER

https://www.webmd.com/baby/what-is-a-doula

https://www.healthline.com/health/pregnancy/doula-vs-midwife#doula

https://www.bellybelly.com.au/pregnancy/what-is-a-doula/

https://www.parents.com/pregnancy/giving-birth/doula/what-is-a-doula

http://sihatmalaysia.my/what-is-a-doula/

https://www.hmetro.com.my/hati/2019/08/488859/rasa-tenang-ditemani-doula

Summary
Doula - Pembantu Bidan untuk Ibu Berpantang
Article Name
Doula - Pembantu Bidan untuk Ibu Berpantang
Description
Doula adalah individu yang memberikan sokongan emosi dan fizikal ketika anda bersalin dan selepas melahirkan anak.
Publisher Name
Ceria Sihat
Tagged: