Dopamin
Dopamin adalah sejenis pengutus saraf atau ‘neurotransmitter’. Tubuh anda menghasilkannya dan sistem saraf anda kemudian menggunakannya untuk menghantar mesej antara sel saraf.

Apakah itu Dopamin

Dopamin adalah sejenis pengutus saraf atau ‘neurotransmitter’. Tubuh anda menghasilkannya dan sistem saraf anda kemudian menggunakannya untuk menghantar mesej antara sel saraf. Itulah sebabnya kadangkala ia dipanggil sebagai utusan kimia (chemical messenger).

Bahagian otak melepaskannya ketika individu makan makanan yang diingini atau ketika melakukan hubungan seksual, yang mana ia menyumbang kepada perasaan kesenangan dan kepuasan sebagai sebahagian daripada sistem ganjaran. Neurokimia penting ini meningkatkan emosi, motivasi dan perhatian serta membantu mengatur pergerakan, pembelajaran dan tindak balas emosi.

Fungsi Dopamin

Dopamin berperanan dalam mengawal pergerakan seseorang, dan juga tindak balas emosi mereka. Keseimbangan dopamin yang betul adalah sangat penting bagi kesejahteraan fizikal dan mental.

Fungsi otak vital yang mempengaruhi emosi, tidur, ingatan, pembelajaran, tumpuan, dan kawalan motor dipengaruhi oleh tahap dopamin dalam tubuh seseorang. Kekurangan hormon ini mungkin berkaitan dengan keadaan perubatan tertentu, termasuk kemurungan dan penyakit Parkinson.

Perlu diingatkan juga bahawa hormon ini juga tidak bertindak sendiri. Tetapi, ia berfungsi dengan ‘neurotransmitter’ dan hormon lain, seperti serotonin dan adrenalin.

Sumber Dopamin

Dopamin terhasil di otak melalui proses dua langkah. Pertama, ia mengubah asid amino ‘tyrosine’ menjadi bahan yang disebut ‘dopa’, dan kemudian menjadi dopamin.

Tubuh anda menyebarkannya di sepanjang empat laluan utama di otak. Seperti kebanyakan sistem lain di badan, anda tidak akan menyedarinya (atau mungkin juga mengetahuinya) sehingga adanya masalah yang timbul.

Masalah berkaitan dengan terlalu banyak Dopamin

Tahap hormon penting ini yang sangat tinggi dapat membuatkan anda berasa seperti berada di puncak dunia, sekurang-kurangnya untuk sementara waktu. Ia juga boleh menjadikan anda terlalu banyak bergerak.

Dengan tahap yang berlebihan, ini mungkin menjadi faktor penyumbang bagi keadaan:

  • mania
  • halusinasi
  • khayalan

Terlalu banyak hormon ini juga boleh memainkan peranan dalam masalah seperti:

  • obesiti
  • ketagihan
  • skizofrenia

Masalah berkaitan tahap Dopamin yang tidak mencukupi

Kekurangan dopamin boleh terjadi disebabkan penurunan jumlah hormon yang terhasil atau adanya masalah dengan reseptor di otak. Tahap yang rendah adalah salah satu sebab anda mungkin tidak berada dalam emosi yang terbaik. Anda juga mungkin mempunyai:

  • kurang kewaspadaan
  • kesukaran untuk menumpukan perhatian
  • kurang motivasi dan semangat
  • koordinasi yang lemah
  • kesukaran untuk bergerak

Beberapa keadaan yang mungkin dikaitkan dengan tahap hormon ini yang rendah adalah:

  • Penyakit Parkinson; gejala termasuk gegaran, pergerakan perlahan dan kadangkala psikosis.
  • Kemurungan; gejala termasuk kesedihan, masalah tidur dan perubahan kognitif.
  • Sindrom kekurangan pengangkut dopamin; juga dikenali sebagai ‘parkinsonism-dystonia’ bayi, di mana keadaan ini menyebabkan kelainan pergerakan yang serupa dengan penyakit Parkinson.

Bagaimana untuk mengimbangkan tahap Dopamin

Anda boleh meningkatkan tahap rendah hormon ini dengan menangani puncanya. Ini mungkin merangkumi penyakit mental, tekanan, tidak cukup tidur, penyalahgunaan dadah, masalah obesiti, atau pengambilan terlalu banyak gula dan lemak tepu. Dopamin yang rendah juga boleh berlaku disebabkan masalah dengan kelenjar adrenal.

Anda boleh meningkatkan kadar hormon secara semula jadi dengan makan makanan yang sihat, termasuk makanan yang kaya dengan L-Tyrosine (protein yang diperlukan untuk menghasilkan dopamin). Ini termasuk badam, alpukat, pisang, daging lembu, ayam dan telur. Suplemen kunyit, vitamin D, magnesium dan omega-3 juga dikatakan dapat meningkatkan kadar dopamin.

Selain itu, terdapat banyak cara lain untuk mengaktifkan pelepasan hormon ini secara semula jadi dalam badan anda.

Mengurangkan tekanan

Tekanan adalah faktor utama ketidakseimbangan ‘neurotransmitter’ yang sebenarnya dapat diatasi. Kurang tidur, terlalu banyak bekerja, terlalu banyak bersenam dan memiliki hubungan dan fikiran negatif semuanya boleh mempengaruhi ‘neurotransmitter’ anda. Jadi, cuba tangani masalah anda dan kurangkan tekanan yang ada agar ia tidak memberi kesan kepada penghasilan dopamin dalam otak.

Senaman

Menjadi aktif sememangnya cukup baik untuk otak, badan, emosi dan segalanya. Aktiviti fizikal yang teratur dapat meningkatkan emosi dan dapat meningkatkan kadar dopamin. Walaupun lebih banyak kajian diperlukan untuk membuktikan hubungannya secara langsung, setakat ini kajian menunjukkan bahawa latihan seperti yoga dikatakan dapat meningkatkan penghasilan dopamin secara signifikan.

Elakkan lemak tepu

Kajian menunjukkan bahawa pengambilan lemak tepu, seperti makanan yang didapati dalam produk haiwan, minyak sawit dan mentega boleh mengganggu pembacaan isyarat dopamin otak apabila diambil dalam jumlah besar. Kajian yang dilakukan pada tikus mendapati bahawa tikus yang mengambil 50% kalori mereka dari lemak tepu mengalami penurunan tahap pemberian isyarat dopamin di otak.

Tidur yang mencukupi

Kekurangan tidur dapat menyebabkan penurunan motivasi dan kurang kreativiti, yang mana kedua-duanya juga berkaitan dengan penurunan kadar dopamin. Mengatur rutin tidur yang sihat dapat membantu menjaga kuantiti dopamin. Justeru itu, doktor mengesyorkan individu untuk mendapatkan antara 7 hingga 9 jam tidur setiap hari dan menjaga waktu yang ditetapkan untuk tidur dan bangun.

SUMBER

https://www.webmd.com/mental-health/what-is-dopamine#1

https://www.psychologytoday.com/intl/basics/dopamine

https://www.medicalnewstoday.com/articles/320637

https://www.healthline.com/health/dopamine-effects

https://www.healthdirect.gov.au/dopamine

https://www.euroweeklynews.com/2020/03/12/what-is-dopamine-and-how-to-maintain-healthy-dopamine-levels/

Summary
Dopamin (Dopamine)
Article Name
Dopamin (Dopamine)
Description
Dopamin adalah sejenis pengutus saraf atau ‘neurotransmitter’ yang dihasilkan kemudian digunakan untuk menghantar mesej antara sel saraf.
Publisher Name
Ceria Sihat
Tagged: