doa kesembuhan

Mengapa kita perlu mengamalkan doa kesembuhan untuk orang lain? Apakah hikmahnya? Pasti anda tertanya tanya akan soalan tersebut.

Jawapannya ialah kerana Islam merupakan agama yang sangat indah. Islam juga sangat menitikberatkan hubungan sesama sesama manusia.

Oleh itu, kita sebagai manusia yang hidup dalam kehidupan masyarakat, kita mempunyai pelbagai tanggungjawab di antara manusia yang perlu kita laksanakan.

Antaranya ialah menziarahi orang sakit lebih lebih lagi orang yang dekat dengan kita seperti keluarga dan jiran jiran kita.

Mengapa Umat Islam Wajib Menziarahi Orang Sakit?

Daripada Abu Hurairah R.A., Nabi S.A.W. bersabda yang bermaksud: “Hak muslim ke atas muslim enam perkara: Dikatakan (sahabat bertanya): Apakah ia wahai Rasulullah S.A.W.? Rasulullah berkata: Apabila kamu bertemu dengannya, maka ucapkanlah salam ke atasnya. Apabila kamu diundang maka penuhilah. Apabila dia meminta nasihat kepadamu, maka berilah nasihat kepadanya. Apabila bersin, maka ucapkanlah hamdalah serta balaslah (dengan doa: يرحمك الله). Apabila dia sakit, maka ziarahilah dia. Apabila dia meninggal, maka hantarlah jenazahnya ke kubur.” – HR Muslim (2162).

Berdasarkan hadis di atas, jelas menunjukkan bahawa agama Islam mendidik umatnya untuk membiasakan amalan menziarahi orang yang sakit. Hal ini kerana menziarahi orang sakit banyak hikmahnya.

Apakah Hukum Melawat Orang Sakit?

Hukum menziarah orang sakit dalam Islam ialah sunat muakkad yang mana merupakan perkara yang sangat digalakkan oleh Islam.

Mengunjungi orang sakit adalah salah satu hak orang Islam berbanding orang Islam yang lain.

Apakah Tujuan Menziarahi Orang Sakit?

Terdapat pelbagai tujuan menziarahi orang sakit di dalam Islam. Antaranya ialah dengan menziarahi orang sakit ini, kita dapat:

  • Mengeratkan hubungan antara saudara seIslam
  • Membantu orang yang memerlukan dari segi wang atau alat kesihatan
  • Melahirkan rasa syukur atas kesihatan yang Allah kurniakan pada kita
  • Supaya kita tidak angkuh dan bongkak atas rezeki kesihatan yang Allah kurniakan
  • Sentiasa merendah diri
  • Memberi ketenangan kepada orang yang sakit

Adab Menziarahi Orang Sakit

1. Memilih waktu yang sesuai

Kita haruslah memilih waktu yang sesuai untuk menziarahi orang sakit supaya kita tidak menganggu masa masa penting beliau.

Apa yang kita boleh lakukan ialah kita boleh menelefon penjaga pesakit dahulu sebelum ke rumah atau ke hospital tempat mereka berada. Sekurang kurangnya dengan menelefon dahulu, kita dapat mengelakkan daripada memilih waktu yang tidak sesuai.

Disebabkan itu, hospital mempunyai waktu pelawat supaya kita tidak menganggu mereka berehat.

2. Tidak menziarahi terlalu lama

Antara adab yang sering kita lupa untuk lakukan ialah tidak menziarahi pesakit terlalu lama. Jika kita melawat pesakit di rumah, kita akan menganggu urusan tuan rumah.

Manakala jika kita terlalu lama berziarah di hospital, kita mungkin menganggu tugas doktor dan jururawat untuk merawat pesakit.

Selain itu, orang sakit juga tidak mampu untuk duduk berbual terlalu lama kerana mereka sedang sakit dan tidak mempunyai tenaga yang banyak.

3. Menjaga pandangan

Apabila kita menziarahi pesakit di rumahnya, pasti akan ada ahli keluarga beliau yang lain. Oleh itu, kita hendaklah menjaga pandangan daripada melihat aurat mereka secara sengaja atau tidak sengaja.

Selain itu, jika mereka sedang bertelingkah atau bertengkar, kita tidak perlu masuk campur dan diam sahaja.

4. Tidak bertanya berlebihan

Sebagai orang sakit, mereka mestilah tidak mempunyai tenaga yang banyak untuk melayan soalan kita. Oleh itu, kita sebagai si sihat haruslah berpada pada dalam bertanya.

5. Bertanya keperluan pesakit

Apabila kita menziarahi pesakit, kita perlu bertanya akan keperluan mereka daris egi ubat ubatan atau duit untuk membuat rawatan mereka.

Sekiranya kita mampu, kita hendaklah menolong mereka dengan memberikan sumbangan kepada pesakit dan ahli keluarga.

6. Prihatin terhadap pesakit

Selain bekalan ubat-ubatan dan rawatan, pesakit juga memerlukan kata kata semnagat dan semangat positif dari orang sekeliling.

Oleh itu, kita hendaklah memberikan mereka semangat dan tidak bersikap lemah di hadapan mereka.

7. Mendoakan pesakit

Kita sebagai umat Islam wajib mendoakan orang sakit. Kita harus doa agar mereka diberikan kesembuhan dan kesihatan.

Kita juga tidak patut mendoakan yang buruk buruk untuk mereka.

Doa Kesembuhan Untuk Orang Sakit

Daripada Ummu Salamah R.A, Nabi S.A.W. bersabda yang bermaksud: “Apabila kamu menghadiri (menziarahi) orang sakit, maka katakanlah perkara-perkara yang baik. Ini kerana, malaikat akan mengaminkan setiap yang kamu ucapkan.” – HR Muslim (919).

Berdasarkan hadis di atas, jelas menunjukkan kita harus memberi doa kesembuhan kepada orang sakit.

Antara doa yang boleh diamalkan ialah:

  • “Azhibil ba’s rabbannas, washfi anta shafi, la shifa a illa shifauk, shifa alla yughodiru saqoma”

Maksudnya: “Hilangkanlah kesakitan wahai Tuhan manusia, sembuhkanlah kerana Engkau Maha Penyembuh, tiada kesembuhan kecuali kesembuhan engkau, sembuh yang tidak membawa kepada sebarang sakit.“

  • “Laa ba’-sa thahuurun insyaaallah”

Maksudnya: Tidak mengapa, semoga sakitmu ini membersihkanmu dari dosa-dosa, insyaallah

  • “As Alullaahal ‘Azhiim Rabbal ‘Arsyil ‘Azhiim An Yasyfiyaka”

Maksudnya: Aku memohon kepada Allah yang Maha Agung, Tuhan bagi ‘arasy yang agung, semoga Ia berkenan untuk menyembuhkanmu.

Oleh itu, di atas merupakan beberapa doa kesembuhan yang kita boleh amalkan.

Kesimpulannya, sakit ialah ujian daripada Allah untuk orang sakit itu sendiri dan kita orang sihat. Kita sebagai orang sihat haruslah sentiasa mensyukuri segala nikmat yang Allah berikan kepada kita.

Sumber

https://akumuslim.asia/adab-ziarah-orang-sakit-doa/

https://today.salamweb.com/ms/adab-menziarahi-orang-sakit/

https://akuislam.com/blog/akhlak/adab-menziarah-orang-sakit/

https://sinarplus.sinarharian.com.my/agama/nak-ziarah-orang-sakit-jangan-semberono-saja-ketahui-adab-adab-yang-diajar-oleh-islam/

Tagged: