Diphenoxylate
Diphenoxylate adalah ubat yang digunakan untuk merawat cirit-birit

Pengenalan

Diphenoxylate adalah ubat yang digunakan untuk merawat cirit-birit dalam kalangan individu dewasa dan kanak-kanak yang berumur sekurang-kurangnya 13 tahun.

Ia memberi kesan terhadap tubuh dalam pelbagai cara, seperti mengurangkan kekejangan pada pundi kencing, perut, dan usus.

Selain itu, diphenoxylate juga boleh digunakan untuk tujuan yang tidak disenaraikan dalam panduan ubat ini.

Kegunaan Diphenoxylate

Ubat ini digunakan untuk merawat cirit-birit. Ia membantu mengurangkan bilangan dan kekerapan pembuangan air besar. Ia berfungsi dengan cara melambatkan pergerakan usus. Diphenoxylate berfungsi sama seperti ubat penahan sakit narkotik, tetapi fungsi utamanya adalah melambatkan pergerakan usus.

Sebaliknya, ubat ini tidak boleh digunakan untuk merawat cirit-birit yang disebabkan oleh jangkitan tertentu (seperti cirit-birit yang berkaitan dengan Clostridium difficile selepas rawatan antibiotik). Berbincanglah dengan doktor anda untuk mengetahui maklumat yang lebih lanjut.

Walau bagaimanapun, ubat ini tidak disarankan untuk digunakan bagi kanak-kanak yang berumur di bawah 6 tahun oleh kerana peningkatan risiko kesan sampingan yang serius (seperti masalah pernafasan).

– Cara menggunakan Diphenoxylate

Minum ubat ini secara oral, biasanya sebanyak 4 kali sehari atau seperti yang diarahkan oleh doktor anda. Dos adalah berdasarkan pada keadaan perubatan anda dan tindak balas anda terhadap rawatan. Bagi kanak-kanak, dosnya diberikan mengikut berat badan. Sekiranya anda perlu meneruskan rawatan setelah cirit-birit terkawal, doktor boleh menurunkan dos anda. Jangan meningkatkan dos ubat, mengambilnya dengan lebih kerap, atau menggunakannya lebih lama daripada yang telah ditetapkan oleh doktor anda.

Sekiranya anda menggunakan ubat ini dalam bentuk cecair, sukat dos dengan teliti menggunakan alat / sudu penyukat khas. Jangan gunakan sudu biasa di rumah kerana anda mungkin tidak akan menyukat dos yang tepat.

Ianya adalah penting untuk anda minum cecair dan mineral (elektrolit) dalam jumlah yang cukup untuk mengelakkan kehilangan air dalam badan (dehidrasi). Maklumkan kepada doktor anda dengan segera jika anda mengalami dehidrasi (contohnya, dahaga yang melampau, kekurangan air kencing, kekejangan otot, badan lemah, pengsan). Anda mungkin perlu bertukar kepada diet makanan kisar bagi mengurangkan kerengsaan pada perut / usus anda. Rujuk doktor atau ahli farmasi anda untuk maklumat yang lebih lanjut.

Sekiranya anda berhenti menggunakan ubat ini secara tiba-tiba, anda mungkin akan mengalami simptom pengeluaran (seperti kekejangan perut, loya, muntah). Untuk mengelakkan simptom pengeluaran, doktor boleh mengurangkan dos anda secara perlahan-lahan. Pengeluaran berkemungkinan terjadi sekiranya anda menggunakan ubat ini dalam tempoh yang lama atau menggunakannya dalam dos yang tinggi. Maklumkan kepada doktor atau ahli farmasi anda sekiranya anda berhenti mengambil ubat ini.

Langkah Berjaga-jaga dan Amaran Bagi Penggunaan Diphenoxylate

Sebelum mengambil diphenoxylate, maklumkan kepada doktor atau ahli farmasi anda jika anda pernah mengalami alahan kepada salah satu ubat; atau kepada hyoscyamine; atau jika anda mempunyai alahan lain. Produk ini mungkin mengandungi bahan tidak aktif, yang boleh menyebabkan reaksi alahan atau masalah lain kepada diri anda. Bercakaplah dengan ahli farmasi anda untuk maklumat yang lebih lanjut.

Seterusnya, sebelum menggunakan ubat ini, beritahu doktor atau ahli farmasi mengenai sejarah perubatan anda, terutamanya mengenai: penyakit hati (contohnya, penyakit kuning obstruktif, sirosis), kehilangan air dalam badan yang terlalu banyak (dehidrasi), ketidakseimbangan mineral dalam badan, penyakit usus tertentu (kolitis ulseratif), sejarah peribadi atau keluarga yang mengalami glaukoma.

Ubat ini juga boleh membuatkan anda pening atau mengantuk. Penggunaan alkohol atau ganja boleh menjadikan anda lebih pening atau mengantuk. Jangan memandu, menggunakan mesin, atau melakukan perkara yang memerlukan tumpuan sehingga anda dapat melakukannya dengan selamat. Elakkan minuman beralkohol. Beritahulah doktor anda jika anda mengambil marijuana (ganja).

Produk ini tersedia dalam bentuk cecair yang mungkin mengandungi alkohol. Berhati-hati jika anda mempunyai kebergantungan alkohol atau penyakit hati. Rujuk doktor atau ahli farmasi anda tentang penggunaan produk ini dengan selamat.

Kanak-kanak, terutamanya mereka yang menghidap sindrom Down, mungkin lebih sensitif terhadap kesan sampingan ubat ini. Kesan sampingan yang sangat serius (yang boleh membawa maut) mungkin akan berlaku sekiranya ubat ini diambil dalam dos yang banyak oleh kanak-kanak.

Jika hamil, ubat ini harus digunakan hanya apabila diperlukan sahaja. Bincangkan risiko dan manfaat penggunaannya dengan doktor anda semasa mengandung.

Selain itu, ubat ini juga boleh masuk ke dalam susu ibu. Rujuk doktor anda sebelum menyusukan bayi jika anda mengambil ubat ini.

Kesan Sampingan Diphenoxylate

Diphenoxylate boleh menyebabkan kesan sampingan yang ringan atau serius. Senarai berikut mengandungi beberapa kesan sampingan utama yang mungkin berlaku semasa mengambil Diphenoxylate. Bagaimanapun, senarai ini tidak merangkumi semua kemungkinan kesan sampingan yang mungkin berlaku.

Untuk maklumat lebih lanjut mengenai kemungkinan kesan sampingan Diphenoxylate, berbincanglah dengan doktor atau ahli farmasi anda. Mereka boleh memberi anda petua mengenai cara untuk menangani kesan sampingan yang mungkin mengganggu keadaan anda.

– Kesan sampingan yang biasa berlaku

Kesan sampingan Diphenoxylate yang biasa berlaku termasuk:

  • Sakit kepala
  • Berasa pening atau mengantuk
  • Kulit gatal atau ruam
  • Sakit perut, loya, atau muntah
  • Kulit atau mulut kering
  • Berasa gelisah
  • Malaise (perasaan lemah atau tidak selesa secara umum)
  • Hilang selera makan

Sebahagian besar kesan sampingan ini mungkin akan hilang dalam masa beberapa hari atau beberapa minggu. Sekiranya kesan ini menjadi semakin teruk atau tidak hilang, berbincanglah dengan doktor atau ahli farmasi anda.

Kesan sampingan yang serius

Kesan sampingan yang serius akibat pengambilan Diphenoxylate adalah jarang berlaku, tetapi masih boleh berlaku. Hubungi doktor anda sekiranya anda mengalami kesan sampingan yang serius. Hubungi 999 jika simptom anda seperti mengancam nyawa atau jika anda fikir anda menghadapi kecemasan perubatan.

Kesan sampingan yang serius dan simptomnya termasuk:

Perubahan emosi

Simptom boleh merangkumi:

  • Rasa tertekan (sedih atau putus asa)
  • Rasa gembira (sangat gembira atau teruja)
  • Halusinasi. Gejala boleh merangkumi:
  • melihat atau mendengar sesuatu yang sebenarnya tidak ada

Kesan sampingan opioid dari diphenoxylate. Simptom boleh merangkumi:

  • Kadar degupan jantung yang lebih laju
  • Berasa sangat panas
  • Masalah membuang air kecil
  • Kulit dan mulut kering

Anda mungkin akan tertanya-tanya tentang kekerapan kesan sampingan yang mungkin berlaku dengan pengambilan ubat ini, atau kesan sampingan tertentu yang berkaitan dengan ubat ini. Berikut adalah beberapa perincian mengenai kesan sampingan yang mungkin atau tidak mungkin disebabkan oleh ubat ini.

Tindak balas alahan

Seperti kebanyakan ubat, sesetengah individu boleh mengalami reaksi alergi setelah mengambil Diphenoxylate. Simptom tindak balas alahan ringan boleh merangkumi:

  • Ruam
  • Kegatalan
  • Kemerahan (kehangatan dan kemerahan pada kulit anda)

Reaksi alahan yang lebih teruk jarang berlaku tetapi mungkin juga terjadi. Simptom tindak balas alahan yang teruk boleh merangkumi:

  • Bengkak di bawah kulit anda, biasanya di kelopak mata, bibir, tangan, atau kaki anda
  • Pembengkakan lidah, mulut, tekak, atau gusi anda
  • Kesukaran bernafas

Hubungi doktor anda sekiranya anda mengalami reaksi alahan yang teruk terhadap Diphenoxylate. Hubungi 999 jika simptom anda seperti mengancam nyawa atau jika anda fikir anda menghadapi kecemasan perubatan.

Mengantuk

Anda mungkin akan berasa mengantuk semasa mengambil Diphenoxylate. Sekiranya anda mengambil dos biasa Diphenoxylate, rasa mengantuk yang anda alami adalah ringan. Mengantuk boleh menjadi lebih teruk jika anda mengambil lebih banyak dos Diphenoxylate daripada yang telah ditetapkan oleh doktor anda.

Adalah penting untuk tidak mengambil dos berlebihan daripada yang disarankan kerana ia boleh membawa kepada kesan sampingan yang lebih serius. Pengambilan ubat-ubatan tertentu bersama dengan Diphenoxylate atau penggunaan alkohol semasa mengambil Diphenoxylate boleh menjadikan mengantuk semakin teruk.

Jangan memandu semasa mengambilnya atau melakukan aktiviti lain yang memerlukan kewaspadaan atau tumpuan.

Hubungi doktor anda sekiranya anda berasa sangat mengantuk semasa mengambil Diphenoxylate. Hubungi 999 jika simptom anda seperti mengancam nyawa atau jika anda fikir anda menghadapi kecemasan perubatan.

Loya

Anda mungkin mengalami loya atau muntah semasa mengambil Diphenoxylate. Muntah berkali-kali dalam sehari selama lebih dari satu atau dua hari boleh menyebabkan dehidrasi (kehilangan air dari badan) dan penurunan berat badan. Kesan sampingan muntah ini boleh menjadi serius.

Untuk mengelakkan dehidrasi yang berpunca daripada muntah, minum banyak air dan cecair seperti jus. Minuman elektrolit (vitamin dan mineral), seperti Gatorade untuk individu dewasa atau Pedialyte untuk kanak-kanak juga boleh membantu.

Doktor atau ahli farmasi anda boleh mengesyorkan anda ubat yang selamat diambil untuk melegakan rasa mual semasa anda mengambil Diphenoxylate. Hubungi doktor anda sekiranya anda mengalami penurunan berat badan atau muntah banyak kali dalam sehari selama lebih dari dua hari semasa mengambil Diphenoxylate. Hubungi 999 jika simptom anda seperti mengancam nyawa atau jika anda fikir anda menghadapi kecemasan perubatan.

Kemurungan pernafasan atau kemurungan sistem saraf pusat

Diphenoxylate boleh menyebabkan kemurungan pernafasan (pernafasan lambat) atau kemurungan sistem saraf pusat (kehilangan fungsi otak) dalam kalangan kanak-kanak yang berumur kurang dari 6 tahun. Keadaan ini boleh menyebabkan masalah pernafasan, koma, dan kematian. Diphenoxylate hanya diluluskan untuk penggunaan bagi kanak-kanak yang berumur 13 tahun ke atas.

Sekiranya anak anda mengambil Diphenoxylate dan mula mengalami simptom kemurungan pernafasan (seperti pernafasan yang perlahan) atau kemurungan sistem saraf pusat (seperti mengantuk), berbincanglah dengan doktor. Sekiranya simptom yang dialami semakin teruk, hubungi 999 atau pergi ke pusat kecemasan terdekat.

Kesan sampingan pada kanak-kanak

Kesan sampingan pada kanak-kanak adalah sama dengan kesan sampingan pada individu dewasa. Tablet Diphenoxylate diluluskan untuk individu yang berumur 13 tahun ke atas. Diphenoxylate tidak boleh digunakan pada kanak-kanak di bawah umur 6 tahun kerana ia boleh menyebabkan kesan sampingan yang sangat serius. Ini termasuklah kesukaran bernafas, koma, dan kematian.

Kontraindikasi Diphenoxylate

Kehipersensitifan terhadap Diphenoxylate adalah satu kontraindikasi. Di samping itu, Diphenoxylate tidak boleh digunakan jika anda mengalami keadaan yang berikut:

  • Cirit-birit yang berkaitan dengan enterokolitis membran pseudo atau bakteria penghasil enterotoksin
  • Kehipersensitifan terhadap diphenoxylate atau atropine
  • Penyakit kuning obstruktif

Interaksi Diphenoxylate

Interaksi ubat boleh mengubah cara ubat anda berfungsi atau meningkatkan risiko kesan sampingan yang serius. Dokumen ini tidak mengandungi semua kemungkinan interaksi ubat yang mungkin berlaku. Jadi, impan senarai semua produk yang anda gunakan (termasuk ubat preskripsi / bukan ubat-ubatan dan produk herba) dan kongsikan kepada doktor dan ahli farmasi anda. Jangan mulakan, menghentikan, atau mengubah dos ubat-ubatan tanpa kebenaran doktor anda.

Beberapa produk yang boleh berinteraksi dengan DIPHENOXYLATE adalah: pramlintide, MAO inhibitor (isocarboxazid, linezolid, methylene blue, moclobemide, phenelzine, procarbazine, rasagiline, safinamide, selegiline, tranylcypromine), naltrexone, tablet kalium / kapsul.

Beritahu doktor atau ahli farmasi anda jika anda turut mengambil produk lain yang menyebabkan mengantuk seperti ubat tahan sakit opioid atau ubat yang melegakan batuk (seperti codeine, hydrocodone), alkohol, marijuana (ganja), ubat tidur atau kebimbangan (seperti alprazolam, lorazepam, zolpidem) , penenang otot (seperti carisoprodol, cyclobenzaprine), atau antihistamin (seperti cetirizine, diphenhydramine).

Periksa label pada semua ubat anda (seperti ubat untuk alahan atau batuk dan selesema) kerana ia mungkin mengandungi bahan yang menyebabkan mengantuk. Rujuklah kepada ahli farmasi anda mengenai penggunaan produk tersebut dengan selamat.

Dos Diphenoxylate

Dos Diphenoxylate yang ditetapkan oleh doktor bergantung pada beberapa faktor. Ini termasuk:

  • Jenis dan keparahan keadaan anda
  • Umur
  • Keadaan perubatan lain yang anda alami

Pastikan anda mengambil dos yang ditetapkan oleh doktor pada setiap masa. Doktor anda akan menentukan dos yang terbaik bagi memenuhi keperluan anda.

Bentuk dan kekuatan ubat

  • Diphenoxylate tersedia dalam bentuk tablet. Setiap tablet mengandungi 2.5 mg diphenoxylate hydrochloride dan 0.025 mg atropine sulfate.

– Dos untuk cirit-birit

Apabila anda menggunakan Diphenoxylate, doktor akan menetapkan dua biji tablet sebanyak empat kali sehari. Jangan mengambil lebih daripada lapan tablet (20 mg diphenoxylate) dalam sehari. Teruskan dos ini sehingga cirit-birit anda semakin berkurang (najis menjadi lebih keras), dalam masa 48 jam.

Setelah cirit-birit anda semakin pulih, doktor akan menurunkan dos ]hingga dua tablet sahaja dalam sehari. Anda akan berhenti mengambil Diphenoxylate hanya setelah cirit-birit anda sembuh sepenuhnya.

Sekiranya anda mengambil Diphenoxylate tetapi cirit-birit anda masih tidak pulih dalam masa 10 hari, maklumkan kepada doktor anda. Mereka mungkin akan meminta anda berhenti menggunakan Diphenoxylate dan mencuba rawatan lain.

Dos kanak-kanak

Kanak-kanak yang berumur 13 hingga 17 tahun boleh mengambil Diphenoxylate. Dosnya adalah sama seperti untuk individu dewasa.

Nota: Kanak-kanak di bawah umur 13 tahun tidak boleh mengambil tablet Diphenoxylate.

Bagaimanapun, kanak-kanak yang berumur 2 tahun ke atas boleh mengambil ubat cecair Diphenoxylate diphenoxylate yang hanya boleh didapati sebagai generik. Berbincanglah dengan doktor mereka.

Terlepas dos

Sekiranya anda terlepas dos dan menghampiri waktu untuk dos seterusnya, ambil dos seterusnya sahaja. Abaikan dos yang terlepas dan ambil dos seterusnya pada waktu yang dijadualkan secara berkala.

Untuk memastikan anda tidak terlepas dos, cuba tetapkan peringatan pada telefon anda. Pemasa ubat juga mungkin boleh membantu kejadian tersebut.

Sekiranya anda dan doktor telah menentukan bahawa Diphenoxylate selamat dan berkesan untuk anda guna, anda mungkin mengambilnya dalam jangka masa pendek atau jangka masa panjang bergantung pada jenis cirit-birit yang anda alami.

Beritahu doktor anda jika anda mengambil Diphenoxylate tetapi cirit-birit anda masih tidak sembuh dalam masa 10 hari. Doktor mungkin akan mengesyorkan anda untuk berhenti menggunakan Diphenoxylate dan mencuba rawatan lain.

Sumber:

https://www.webmd.com/drugs/2/drug-2326/diphenoxylate-atropine-oral/details

https://medlineplus.gov/druginfo/meds/a601045.html

https://www.medicinenet.com/diphenoxylate_and_atropine/article.htm

https://en.wikipedia.org/wiki/Diphenoxylate

Summary
Diphenoxylate
Article Name
Diphenoxylate
Description
Diphenoxylate adalah ubat yang digunakan untuk merawat cirit-birit dalam kalangan individu dewasa dan kanak-kanak.
Publisher Name
Ceria Sihat
Tagged: