diet paleo
Diet Paleo adalah sejenis diet yang berasaskan pemakanan masyarakat pada zaman Paleolitik iaitu zaman yang dikenali sebagai zaman batu prasejarah dalam perkembangan tamadun manusia. Teori di sebalik diet ini

Diet Paleo adalah sejenis diet yang berasaskan pemakanan masyarakat pada zaman Paleolitik iaitu zaman yang dikenali sebagai zaman batu prasejarah dalam perkembangan tamadun manusia. Teori di sebalik diet ini adalah evolusi teknologi terutamanya dalam bidang pertanian yang berkembang terlalu cepat dan memerlukan penyesuaian segera oleh manusia.

Walaupun diet Paleo kelihatan baru di Malaysia, ia sebenarnya telah wujud selama beberapa dekad. Diet ini bermula sekitar tahun 1970-an, diperkenalkan oleh seorang ahli gastroenterologi bernama Walter Voegtlin dengan idea beliau bahawa nenek moyang semasa zaman Paleolitik boleh mengajar masyarakat moden cara untuk makan dengan betul dan sihat.

Selain itu, diet ini melibatkan pemakanan seperti daging, ikan, buah-buahan dan sayur-sayuran yang dikatakan mudah untuk didapati daripada aktiviti perburuan dan pengumpulan. Ia juga tidak melibatkan kekacang, bijirin, produk tenusu, gula halus, pemanis rendah kalori dan makanan yang diproses.

Ramai individu yang telah mencuba diet ini memberi ulasan positif bahawa ia membantu mereka menjalani kehidupan yang lebih baik. Satu komen daripada ahli sebuah kumpulan diet ini di Facebook menyatakan bahawa diet ini telah membantunya untuk menjadi lebih sihat, aktif dan bertenaga. Walaupun individu ini tidak mengikuti diet Paleo secara ketat dan masih mengambil roti dan kentang sekali-sekala, namun beliau memastikan makanan tersebut bersumberkan dari bahan organik. Jadi, tiada rasa kesal akan dirasai apabila beliau mengambil makanan kegemarannya tersebut. Seorang lagi pengikut diet Paleo, Mila Consley pula mengatakan bahawa diet ini membuatkannya berasa lebih bernyawa.

Sekiranya anda berminat dengan diet ini, mari ketahui maklumat tentang diet Paleo dengan lebih lanjut!

Kandungan

  1. Diet Paleo
  2. Kelebihan kesihatan yang ditawarkan oleh diet Paleo
  3. Kesan sampingan diet Paleo
  4. Makanan yang boleh dimakan dalam diet Paleo
  5. Makanan yang perlu dielakkan dalam diet Paleo
  6. Sampel menu bagi diet Paleo
  7. Langkah untuk mulakan diet Paleo
  8. Soalan lazim tentang diet Paleo

Apakah diet Paleo sebenarnya?

Diet ini juga dikenali sebagai diet manusia zaman batu, pada dasarnya merupakan sejenis diet yang tinggi dengan kandungan protein dan serat serta menjanjikan kesan penurunan berat badan tanpa perlu mengehadkan pengambilan kalori.

Individu yang mengamalkan diet ini secara amnya hanya mengambil makanan seperti daging, lemak dan telur bersama sayur-sayuran. Secara keseluruhan, diet Paleo tinggi dengan kandungan protein, mempunyai kandungan lemak yang sederhana (terutamanya daripada sumber lemak tidak tepu), rendah kandungan karbohidrat (terutama karbohidrat dengan indeks glisemik tinggi) serta tinggi kandungan serat dan rendah natrium dan gula halus.

Walaupun diet ini menekankan pengambilan makanan sihat seperti buah-buahan, sayur-sayuran, daging tanpa lemak, ikan dan bijian, diet ini mengehadkan bijirin, kekacang, produk tenusu dan makanan lain yang sebenarnya masih boleh diambil dalam pola pemakanan sihat secara menyeluruh.

Namun, diet ini mungkin berkesan bagi segelintir individu sahaja. Sekiranya ia tidak bersesuaian dengan diri anda, kekal positif dan cuba pendekatan diet lain yang mungkin lebih sesuai dengan jadual dan pilihan makanan anda. Ingat bahawa diet ini bukanlah satu-satunya diet yang ada tetapi anda boleh cuba dan lihat keberkesanan dan keserasiannya terlebih dahulu sebelum membuat keputusan.

Jadi, bagaimanakah diet Paleo memberi manfaat kepada individu?

Diet Paleo menumpukan pada makanan menyeluruh yang tidak diproses. Jadi, ini secara tidak langsung akan mengurangkan dan menyingkirkan pengambilan dan penggunaan bahan pengawet, pewarna, perasa tiruan, gula tersembunyi dan juga natrium dalam makanan anda. Hasilnya, anda dapat menyingkirkan toksin dan meningkatkan pengambilan nutrien dalam badan.

Kebanyakan individu mengalami penurunan berat badan dan pertumbuhan otot semasa mengamalkan diet Paleo serta mengekalkan gaya hidup yang aktif. Proses metabolisme, kesihatan usus, pengurusan tekanan juga menjadi lebih baik dengan bantuan pembakaran lemak dalam badan.

Kelebihan diet ini yang lain termasuklah:

  • Peningkatan sensitiviti terhadap insulin.
  • Kesihatan jantung yang betambah baik.
  • Peningkatan tenaga.
  • Mengurangkan masalah keradangan.

Lihat senarai penuh manfaat yang anda boleh dapati daripada diet Paleo di sini.

Adakah makanan tertentu untuk diambil dan dielakkan?

Diet ini direka untuk menyerupai apa yang dimakan oleh nenek moyang kita beribu tahun dahulu.

Walaupun ianya mustahil untuk mengetahui makanan sebenar yang diambil oleh masyarakat terdahulu di bahagian dunia yang berlainan, namun pengkaji mempercayai bahawa pemakanan mereka merangkumi makanan menyeluruh seperti daging, lemak dan telur daripada sumber haiwan yang sama.

Oleh itu, diet Paleo haruslah merangkumi aspek seperti:

  • Tiada makanan berproses.
  • Pengambilan sayur-sayuran tidak berkanji yang banyak.
  • Pengambil protein sihat seperti daging dan ikan.
  • Pengambilan lemak sihat daripada buah avokado, daging dan ikan.
  • Pengambilan makanan berkanji dan bergula yang sedikit.

Berikut adalah makanan asas yang boleh anda makan serta yang perlu dielakkan:

  • Boleh makan: Daging, ikan, telur, sayur-sayuran, buah-buahan, bijian, herba, rempah ratus, lemak dan minyak yang menyihatkan.

  • Harus dielakkan: Makanan diproses, gula, minuman ringan, bijirin, kebanyakan produk tenusu, kekacang, pemanis tiruan, minyak sayuran, mentega dan lemak trans.

Sedikit garis panduan buat anda, jika makanan tertentu kelihatan seperti diproses di kilang, elakkannya. Cuba pilih makanan bersumberkan haiwan yang hanya memakan rumput dan organik sekiranya berkemampuan. Jika ia sukar untuk dilakukan, pastikan anda selalu memilih makanan yang tidak diproses sahaja.

Seterusnya, pastikan anda mengambil tahu tentang makanan yang boleh dimakan dan makanan yang harus dielakkan dalam diet Paleo dengan betul.

Bolehkah diet ini memberi kesan sampingan kepada saya?

Apabila mengamalkan diet ini, anda perlu mengelak atau mengurangkan pengambilan makanan tertentu. Namun begitu, gabungan pengambilan karbohidrat yang lebih rendah boleh memberikan kesan sampingan pada badan anda sebelum ia dapat menyesuaikan diri dengan perubahan yang baharu ini.

Kesan sampingan tersebut termasuklah:

  • Kadar gula dalam darah yang rendah (hipoglisemia).
  • Keinginan terhadap makanan tertentu.
  • Nafas berbau.

Selain daripada yang diatas, diet Paleo juga dikaitkan dengan banyak kesan sampingan lain. Namun, biasanya kesan-kesan ini bersifat sementara dan boleh diminimumkan dengan langkah berjaga-jaga tertentu.

Jadi, mari kita mula amalkan diet Paleo!

Kunci bagi diet ini adalah untuk meniru kumpulan makanan yang diambil oleh nenek moyang kita terdahulu melalui sumber makanan moden di pasaran.

Sekiranya anda baharu sahaja mengikuti konsep diet ini, berikut adalah beberapa langkah yang anda boleh ikuti:

  1. Tambahkan pengambilan sayur-sayuran dan buah-buahan.
  2. Tambahkan pengambilan lemak yang sihat.
  3. Makan dengan kerap dan seimbang.

Terdapat banyak lagi petua yang anda boleh dapatkan di sini. Pastikan anda mencuba segalanya terlebih dahulu sebelum membuat sebarang keputusan. Diet pemakanan terbaik adalah diet yang berfungsi dan sesuai buat badan anda. Di samping itu, lihat juga sampel pemakanan Paleo yang boleh disediakan dengan mudah.

Sediakan diri anda dengan pemahaman yang lebih mendalam terhadap diet ini melalui beberapa soalan lazim tentang diet Paleo yang mungkin tidak disentuh dalam artikel ini.

SUMBER

https://www.healthline.com/nutrition/paleo-diet-meal-plan-and-menu

https://www.mayoclinic.org/healthy-lifestyle/nutrition-and-healthy-eating/in-depth/paleo-diet/art-20111182

Summary
Diet Paleo
Article Name
Diet Paleo
Description
Diet Paleo adalah sejenis diet yang berasaskan pemakanan masyarakat pada zaman Paleolitik iaitu zaman yang dikenali sebagai zaman batu prasejarah dalam perkembangan tamadun manusia.
Publisher Name
Ceria SIhat
Tagged: