Dexchlorpheniramine
Dexchlorpheniramine adalah sejenis antihistamin.

Pengenalan

Dexchlorpheniramine adalah sejenis antihistamin. Ia menyekat kesan-kesan kimia histamin yang berlaku secara semulajadi di dalam badan anda.

Selain itu, ia digunakan untuk merawat bersin dan gejala-gejala seperti hidung berair, kegatalan, mata berair, ruam dan gejala alergi lain serta selesema biasa.Malah, ia juga mungkin boleh digunakan untuk tujuan selain yang disenaraikan.

Kegunaan Dexchlorpheniramine

Dexchlorpheniramine adalah antihistamin yang digunakan untuk melegakan gejala alahan, demam dan selesema. Gejala ini termasuklah ruam, mata berair, mata/ hidung/ tekak/ kulit yang gatal, batuk, hidung berair dan bersin.

Ubat ini berfungsi dengan menghalang bahan semulajadi tertentu (histamine) yang dihasilkan oleh tubuh semasa tindak balas alergi seperti acetylcholine. Menyekat acetylcholine boleh membantu mengurangkan gejala seperti mata berair dan hidung berair.

Produk demam dan selesema belum terbukti selamat atau berkesan digunakan bagi kanak-kanak berumur kurang 6 tahun. Usah gunakan produk ini untuk merawat gejala demam pada kanak-kanak pada usia ini kecuali diarahkan secara khusus oleh doktor. Sesetengah produk (seperti tablet/ kapsul) tidak disarankan digunakan pada kanak-kanak berusia kurang 12 tahun. Bertanyakan pada doktor atau ahli farmasi anda untuk mendapatkan maklumat lanjut mengenai penggunaan produk anda dengan selamat.

Produk ini tidak dapat menyembuhkan atau memendekkan tempoh selesema biasa serta boleh menyebabkan kesan sampingan yang serius. Untuk mengurangkan risiko terhadap kesan sampingan yang serius, berhati-hati dan ikut semua panduan dos dengan betul. Jangan gunakan produk ini untuk membuatkan anak mengantuk. Serta, jangan berikan ubat-ubatan batuk dan selesema lain yang mengandungi bahan yang sama atau serupa. Bertanyakan pada doktor atau ahli farmasi mengenai cara lain yang boleh melegakan gejala batuk dan selesema (seperti minum air yang mencukupi, menggunakan pelembap atau titisan/ semburan saline hidung).

Langkah Berjaga-jaga dan Amaran Bagi Penggunaan Dexchlorpheniramine

Sebelum mengambil Dexchlorpheniramine, beritahu doktor atau ahli farmasi jika anda alah kepadanya, atau kepada chlorpheniramine ataupun jika anda mempunyai alahan terhadap ubat lain. Produk ini mungkin mengandungi ramuan tidak aktif, yang boleh menyebabkan reaksi alahan atau masalah lain. Rujuk dengan ahli farmasi anda untuk maklumat lanjut.

Selain itu, pastikan anda memaklumkan pada doktor atau ahli farmasi mengenai sejarah perubatan anda, terutamanya keadaan seperti masalah pernafasan (asma, emphysema), glaukoma, masalah jantung, tekanan darah tinggi, penyakit hati, kejang, masalah perut/ usus (penyakit ulser, penyumbatan), tiroid yang terlalu aktif (hipertiroidisme), masalah pundi kencing (berpunca disebabkan pembesaran prostat).

Ubat ini mungkin menjadikan anda pening, mengantuk atau menyebabkan penglihatan menjadi kabur. Alkohol atau marijuana (ganja) boleh membuatkan anda lebih pening atau mengantuk. Jangan memandu, menggunakan mesin, atau lakukan apa sahaja yang memerlukan perhatian atau penglihatan yang jelas sehingga anda boleh melakukannya dengan selamat. Hadkan pengambilan minuman beralkohol. Maklumkan pada doktor jika anda menggunakan marijuana (ganja).

Produk cecair mungkin boleh mengandungi alkohol, gula, dan/ atau aspartam. Anda dinasihatkan untuk mengehadkan/ mengelakkan bahan-bahan ini dalam diet anda jika anda mempunyai penyakit kencing manis, penyakit hati, fenilketonuria (PKU), atau apa-apa keadaan lain.

Sebelum menjalani pembedahan, beritahu doktor atau doktor gigi tentang semua produk yang anda gunakan (termasuk ubat preskripsi, ubat tanpa preskripsi, dan produk herba).

Tambahan pula, orang dewasa yang lebih berusia mungkin adalah lebih sensitif terhadap kesan sampingan ubat ini, terutamanya simptom seperti mengantuk, pening, kekeliruan, sembelit, atau masalah kencing. Keadaan seperti mengantuk, pening, dan kekeliruan dapat meningkatkan risiko mereka untuk jatuh.

Bagi golongan kanak-kanak pula, mereka juga mungkin boleh menjadi lebih sensitif terhadap kesan sampingan ubat ini. Ubat ini biasanya boleh menyebabkan keseronokan pada kanak-kanak kecil dan bukannya menyebabkan mereka mengantuk.

Seterusnya, jika digunakan semasa mengandung, ia harus digunakan hanya jika diperlukan dengan jelas. Bincangkan risiko dan manfaat dengan doktor anda. Bagi ibu yang menyusukan bayi pula, ubat ini boleh masuk ke dalam susu ibu dan mungkin mempunyai kesan tidak diingini terhadap bayi yang disusukan. Rujuk doktor anda sebelum menyusu.

Kesan Sampingan Dexchlorpheniramine

Dapatkan bantuan perubatan kecemasan jika anda mempunyai tanda-tanda tindak balas alergi seperti ruam gatal, kesukaran bernafas, bengkak pada muka, bibir, lidah, atau kerongkong anda.

Berhenti menggunakan Dexchlorpheniramine dan hubungi doktor anda sebaik sahaja jika anda mengalami:

  • Sakit dada, denyutan nadi laju, kadar denyutan jantung yang cepat atau tidak sekata
  • Kekeliruan, halusinasi, kegelisahan yang teruk
  • Menggeletar, sawan (kejang)
  • Pengeluaran air kencing yang sedikit atau tiada langsung.
  • Mudah lebam atau berdarah, kelemahan luar biasa.
  • Tekanan darah tinggi yang berbahaya (sakit kepala teruk, telinga berdengung, keresahan, sesak nafas).

Kesan sampingan yang biasa termasuk:

  • Pening, mengantuk, penglihatan kabur.
  • Hidung atau mulut kering.
  • Loya, sakit perut, sembelit, hilang selera makan.
  • Masalah dengan memori atau tumpuan.
  • Berasa gelisah atau teruja (terutama pada kanak-kanak).

Kontraindikasi Dexchlorpheniramine

Hipersensitiviti adalah satu kontraindikasi bagi penggunaan Dexchlorpheniramine. Di samping itu, ia tidak boleh digunakan jika anda mengalami keadaan yang berikut:

  • Hamil
  • Ibu yang menyusukan

Interaksi Dexchlorpheniramine

Ubat ini mungkin menjejaskan pemikiran atau reaksi anda. Berhati-hati jika anda memandu atau melakukan apa sahaja yang memerlukan pemerhatian yang baik. Pengambilan alkohol boleh meningkatkan kesan sampingan tertentu Dexchlorpheniramine.

Tanya doktor atau ahli farmasi sebelum menggunakan ubat lain untuk demam, alergi, atau tidur. Dexchlorpheniramine banyak terkandung dalam kebanyakan ubat gabungan. Mengambil produk tertentu bersama boleh menyebabkan anda mendapat dadah tertentu dengan terlalu banyak. Periksa label untuk mengetahui sama ada ubat itu mengandungi antihistamin atau dekongestan.

Ini termasuklah jika anda mengambil apa-apa ubat lain, termasuk ubat preskripsi dan tidak dipreskripsi, vitamin dan produk herba. Sesetengah ubat boleh menyebabkan kesan tidak diingini atau berbahaya apabila digunakan bersama.

Mengambil ubat ini dengan ubat-ubatan lain yang boleh membuatkan anda mengantuk atau memperlahankan pernafasan boleh memburukkan lagi kesan-kesan ini. Bertanyakan pada doktor sebelum mengambil Dexchlorpheniramine dengan pil tidur, ubat sakit narkotik, penenang otot, atau ubat untuk kegelisahan, kemurungan, atau sawan.

Dos Dexchlorpheniramine

Gunakan dos dengan tepat seperti yang diarahkan pada label, atau seperti yang ditetapkan oleh doktor anda. Jangan gunakan dalam jumlah yang lebih besar, lebih kecil atau lebih lama daripada yang disyorkan. Ubat demam biasanya diambil hanya untuk waktu yang singkat sehingga gejala anda hilang.

Jangan berikan ubat ini kepada kanak-kanak berumur kurang 4 tahun. Sentiasa bertanya pada doktor sebelum memberikan ubat batuk atau demam kepada kanak-kanak. Kematian boleh berlaku disebabkan penyalahgunaan ubat-ubatan batuk dan demam pada kanak-kanak kecil.

Sukat ubat cecair dengan sudu pengukur dos khas atau cawan ubat, bukannya dengan sudu makan biasa. Sekiranya anda tidak mempunyai peranti mengukur dos ubat, minta satu dengan ahli farmasi anda. Sentiasa simpan ubat pada suhu bilik dan pastikan ia terlindung dari kelembapan dan haba.

Seterusnya, hubungi doktor jika gejala anda tidak bertambah baik selepas 7 hari rawatan, atau jika anda mengalami demam dengan simptom sakit kepala, batuk, atau ruam kulit.

Oleh kerana ubat demam hanya diambil sekiranya diperlukan, anda mungkin tidak mempunyai jadual penggunaan dos yang tetap. Jika anda tidak mengambil ubat secara berkala, ambil dos yang terlepas sebaik sahaja anda mengingatinya. Abaikan dos terlepas jika sudah hampir masa untuk dos yang dijadualkan seterusnya. Jangan ambil ubat tambahan untuk menggantikan dos yang terlepas.

SUMBER

https://www.drugs.com/dexchlorpheniramine.html

https://www.webmd.com/drugs/2/drug-10321/dexchlorpheniramine-maleate-oral/details

https://www.everydayhealth.com/drugs/dexchlorpheniramine-pseudoephedrine

https://www.tabletwise.com/medicine/caffeine-dexchlorpheniramine-maleate

Summary
Dexchlorpheniramine
Article Name
Dexchlorpheniramine
Description
Dexchlorpheniramine adalah sejenis antihistamin. Ia menyekat kesan-kesan kimia histamin yang berlaku secara semulajadi di dalam badan anda.
Publisher Name
Ceria Sihat
Tagged: