Demam reumatik
Ia adalah komplikasi streptokokus yang berbahaya kerana boleh membawa kepada kerosakan jantung yang juga dikenali sebagai penyakit jantung reumatik

Demam reumatik adalah komplikasi streptokokus. Ia adalah berbahaya kerana boleh membawa kepada kerosakan jantung yang juga dikenali sebagai penyakit jantung reumatik. Selain itu, demam reumatik jarang berlaku kerana masalah streptokokus boleh dirawat dengan mudah.

 

Simptom Demam Reumatik

Simptom demam ini adalah berbeza-beza. Anda mungkin mempunyai sedikit atau beberapa simptom, dan simptom ini boleh berubah sepanjang tempoh anda menghidapnya. Permulaan demam reumatik biasanya berlaku kira-kira dua hingga empat minggu selepas jangkitan streptokokus berlaku.

Tanda-tanda dan simptom ini yang boleh mengakibatkan keradangan pada jantung, sendi, kulit atau sistem saraf pusat termasuklah:

  • Demam.
  • Sakit dan lemah sendi – selalunya pada lutut, pergelangan kaki, siku dan pergelangan tangan.
  • Sakit dari satu sendi ke sendi yang lain.
  • Sendi kemerahan, pijar atau bengkak.
  • Benjolan kecil (nodul) yang tidak menyakitkan di bawah kulit.
  • Sakit dada.
  • Degupan jantung mendesir.
  • Keletihan.
  • Ruam yang rata atau seperti membengkak, tidak menyakitkan dan bergerigi tidak rata (erythema marginatum).
  • Pergerakan badan yang tidak dapat dikawal (Sydenham chorea, atau tarian St Vitus) – selalunya pada tangan, kaki dan muka.
  • Tingkah laku luar biasa secara mendadak, seperti menangis atau ketawa pada waktu yang tidak sesuai, yang diikuti dengan keadaan Sydenham chorea.

 

Punca Demam Reumatik

Demam ini boleh berlaku selepas adanya jangkitan tekak dengan bakteria yang dikenali sebagai streptokokus kumpulan A. Jangkitan streptokokus kumpulan A pada tekak boleh menyebabkan masalah streptokokus atau, demam kemerahan yang jarang terjadi. Seterusnya, jangkitan streptokokus kumpulan A pada kulit atau bahagian-bahagian badan yang lain jarang mencetuskan demam tersebut.

Hubungan antara jangkitan streptokokus dan demam ini adalah tidak jelas, tetapi bakteria ternyata mampu menipu sistem kekebalan tubuh. Bakteria streptokokus mengandungi sejenis protein yang sama seperti yang terdapat dalam tisu badan tertentu. Oleh itu, sel-sel sistem imun yang biasanya mensasarkan bakteria melihat tisu badan seperti agen berjangkit terutamanya seperti tisu jantung, sendi, kulit dan sistem saraf pusat. Reaksi sistem imun ini boleh mengakibatkan keradangan.

Di samping itu, jika anak anda menerima rawatan segera dengan antibiotik untuk menghilangkan bakteria streptokokus dan mengambil semua ubat seperti yang telah ditetapkan, peluang untuk mengalami demam reumatik adalah tipis sahaja. Namun, jika anak anda mengalami satu atau lebih kali masalah streptokokus atau demam kemerahan yang tidak dirawat atau yang tidak dirawat sepenuhnya, dia kemungkinan akan mengalami demam reumatik.

 

Diagnosis Demam Reumatik

Walaupun tiada cara untuk menguji demam reumatik, diagnosis boleh dijalankan berdasarkan sejarah perubatan, ujian fizikal dan keputusan ujian tertentu.

– Ujian darah

Jika anak anda telah didiagnosis dengan jangkitan streptokokus, doktor mungkin tidak akan melakukan ujian tambahan bagi bakteria. Sekiranya doktor anda melakukan ujian, ia kemungkinan besar menjadi ujian darah yang dapat mengesan antibodi kepada bakteria streptokokus yang beredar dalam darah. Bakteria sebenar mungkin tidak dapat dikesan dalam tisu tekak atau darah anak anda.

Di samping itu, doktor juga mungkin memeriksa keradangan dalam darah anak anda dengan mengukur protein C-reaktif dan kadar pemendapan eritrosit (erythrocyte).

 

– Elektrokardiogram (EKG)

Ujian ini juga dikenali sebagai EKG yang merekodkan isyarat elektrik, ketika ia bergerak melalui jantung anak anda. Doktor boleh mencari corak di antara isyarat-isyarat ini yang menunjukkan keradangan jantung atau fungsi jantung yang lemah.

– Ekokardiogram

Dengan menggunakan gelombang bunyi untuk menghasilkan imej tindakan jantung secara langsung, ujian ini membolehkan doktor mengesan keabnormalan jantung.

 

Faktor Risiko Demam Reumatik

Faktor-faktor yang boleh meningkatkan risiko demam reumatik termasuk:

  • Sejarah keluarga. Sesetengah individu membawa satu gen atau beberapa gen yang mungkin menjadikan mereka lebih cenderung untuk mengalami demam reumatik.
  • Jenis bakteria streptokokus. Sesetengah jenis bakteria streptokokus lebih cenderung menyumbang kepada demam reumatik berbanding jenis lain.
  • Faktor persekitaran. Risiko demam reumatik yang lebih besar dikaitkan dengan kesesakan, kebersihan yang kurang baik dan keadaan lain yang boleh mengakibatkan jangkitan atau pendedahan berganda kepada bakteria streptokokus dengan cepat.

 

Rawatan Demam Reumatik

Matlamat untuk rawatan demam reumatik adalah untuk memusnahkan sisa bakteria streptokokus kumpulanA, melegakan simptom, mengawal keradangan dan mencegah pengulangan masalah sama.

Rawatan termasuklah:

  • Antibiotik. Doktor akan menetapkan penisilin atau antibiotik lain untuk menghilangkan sisa bakteria streptokokus.

Selepas anak anda telah selesai dengan rawatan antibiotik secara penuh, doktor anda akan memulakan pengambilan satu lagi antibiotik untuk mencegah demam reumatik. Rawatan pencegahan ini kemungkinan akan berterusan sehingga usia 21 tahun atau sehingga anak anda menyelesaikan kursus rawatan minimum selama lima tahun, atau mengikut rawatan mana yang lebih lama.

Individu yang mengalami keradangan jantung semasa demam reumatik mungkin dinasihatkan untuk mengambil rawatan antibiotik pencegahan selama 10 tahun atau lebih.

  • Rawatan anti-radang. Doktor akan menetapkan ubat penahan sakit, seperti aspirin atau naproxen (Naprosyn), untuk mengurangkan keradangan, demam dan kesakitan. Jika gejala menjadi serius atau anak anda tidak bertindak balas terhadap ubat-ubatan anti-radang, doktor mungkin akan menetapkan kortikosteroid.
  • Ubat ‘anticonvulsant’. Bagi pergerakan tidak terkawal yang serius akibat ‘Sydenham chorea’, doktor mungkin akan menetapkan ubat ‘anticonvulsant’, seperti asid valproic (Depakene) atau carbamazepine (Carbatrol, Tegretol, yang lain).

SUMBER

https://www.mayoclinic.org/diseases-conditions/rheumatic-fever/symptoms-causes/syc-20354588#:~:text=Rheumatic%20fever%20is%20an%20inflammatory,%2DKOK%2Dus)%20bacteria.

https://www.healthline.com/health/rheumatic-fever

https://www.medicalnewstoday.com/articles/176648

https://www.webmd.com/a-to-z-guides/understanding-rheumatic-fever-basics

Summary
Demam Reumatik (Rheumatic fever) - Simptom, Punca, Diagnosis, Faktor Risiko dan Rawatan
Article Name
Demam Reumatik (Rheumatic fever) - Simptom, Punca, Diagnosis, Faktor Risiko dan Rawatan
Description
Demam reumatik adalah komplikasi streptokokus dan berbahaya kerana boleh menyebabkan kerosakan jantung yang juga dikenali sebagai penyakit jantung reumatik.
Publisher Name
Ceria Sihat
Tagged: