demam campak
Campak, atau rubeola, adalah jangkitan virus yang bermula dalam sistem pernafasan.

Demam campak, atau rubeola, adalah jangkitan virus yang bermula dalam sistem pernafasan. Walaupun sudah tersedia vaksin yang selamat dan efektif, ia masih menjadi punca utama kematian di seluruh dunia.

Pada tahun 2017, terdapat kira-kira 110,000 kematian global yang berkaitan dengan campak, kebanyakannya terjadi pada kanak-kanak di bawah umur 5 tahun, menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).

Jenis Demam Campak

Terdapat dua jenis demam campak yang direkodkan:

  • Campak: Ia adalah bentuk biasa yang terjadi disebabkan oleh virus rubeola.
  • Rubella, atau campak Jerman: Ia berpunca oleh virus rubella.

Simptom Demam Campak

Simptom campak biasanya muncul dalam masa 10 hingga 12 hari setelah pendedahan kepada virus. Simptom yang dialami termasuklah:

  • Batuk
  • Demam
  • Hidung berair
  • Mata merah
  • Sakit tekak
  • Kehadiran bintik putih di dalam mulut

Tanda klasik bagi campak ialah ruam pada kulit badan. Ia biasanya muncul dalam masa 14 hari setelah pendedahan kepada virus dan boleh bertahan sehingga 7 hari. Ia biasanya berkembang di atas kepala dan perlahan-lahan menyebar ke bahagian badan lain.

Punca Demam Campak

Demam campak disebabkan oleh jangkitan virus rubeola. Virus ini hidup dalam lendir di hidung dan tekak kanak-kanak atau orang dewasa yang dijangkiti.

Penyakit ini boleh berjangkit selama 4 hari sebelum ruam muncul, dan berterusan selama 4 hingga 5 hari selepas ruam keluar.

Jangkitan disebarkan melalui:

  • Hubungan fizikal dengan individu yang dijangkiti
  • Jarak yang berdekatan dengan individu yang dijangkiti apabila mereka batuk atau bersin
  • Menyentuh permukaan yang telah dijangkiti titisan lendir pesakit dan kemudian meletakkan jari ke dalam mulut, atau menggosok hidung atau mata.

Diagnosis Demam Campak

Doktor biasanya boleh mendiagnosis campak dengan melihat tanda-tanda dan simptom yang anda alami. Ujian darah akan mengesahkan kehadiran virus rubeola.

Di kebanyakan negara, penyakit campak merupakan penyakit yang sangat dikenali oleh orang ramai.

Doktor perlu memberitahu pihak berkuasa sekiranya terdapat kes yang disyaki sebagai campak. Jika pesakit adalah seorang kanak-kanak, doktor juga akan memberitahu sekolah mengenai keadaan pesakit.

Seorang kanak-kanak yang menghidap campak selepas ruam muncul, tidak boleh pergi ke sekolah selama sekurang-kurangnya 5 hari.

Rawatan Demam Campak

Langkah-langkah berikut boleh membantu:

  • Jika suhu kanak-kanak itu tinggi, mereka harus dibiarkan dalam keadaan sejuk, tetapi tidak terlalu sejuk. Tylenol atau ibuprofen boleh membantu mengawal demam dan sakit. Namun begitu, kanak-kanak di bawah 16 tahun tidak boleh mengambil aspirin. Selain itu, doktor akan memberi nasihat mengenai dos acetaminophen yang perlu diambil, kerana dos yang terlalu banyak boleh membahayakan kesihatan kanak-kanak, terutamanya hati mereka. Terdapat beberapa pilihan yang bagus dalam talian (online) jika anda ingin membeli Tylenol atau ibuprofen.
  • Individu lain harus mengelakkan daripada merokok berhampiran kanak-kanak tersebut.
  • Gunakan cermin mata hitam atau membiarkan bilik dalam keadaan gelap akan meningkatkan tahap keselesaan kerana penyakit demam campak meningkatkan kepekaan kepada cahaya.
  • Jika terdapat kerak di sekitar mata, bersihkannya secara perlahan dengan menggunakan kain yang hangat dan lembap.
  • Ubat batuk tidak akan melegakan batuk campak. Sebaliknya, ’humidifier’ atau meletakkan semangkuk air di dalam bilik boleh membantu. Jika kanak-kanak berumur lebih dari 12 bulan, segelas air suam dengan satu sudu jus lemon dan dua sudu madu boleh membantu melegakan simptom. Awas, jangan beri madu kepada bayi.
  • Demam boleh menyebabkan dehidrasi, jadi kanak-kanak harus minum banyak air.
  • Seorang kanak-kanak yang berada dalam tahap berjangkit harus menjauhkan diri dari sekolah dan mengelakkan hubungan rapat dengan individu lain, terutamanya dengan mereka yang tidak diimunisasi atau tidak pernah dijangkiti campak.
  • Mereka yang mengalami kekurangan vitamin A dan kanak-kanak di bawah umur 2 tahun yang dijangkiti campak mungkin mendapat manfaat daripada makanan tambahan vitamin A. Pengambilan vitamin A boleh membantu mencegah komplikasi, tetapi ia hanya perlu diambil dengan persetujuan doktor. Jika anda ingin membeli suplemen vitamin A, terdapat pilihan yang sangat baik dalam talian (online) dengan ribuan ulasan dari pelanggan.

SUMBER

https://www.mayoclinic.org/diseases-conditions/measles/symptoms-causes/syc-20374857

https://www.healthline.com/health/measles

https://www.webmd.com/children/vaccines/what-is-measles

https://www.medicalnewstoday.com/articles/37135

Summary
Demam Campak (Rubeola) - Jenis, Simptom, Diagnosis, dan Rawatan
Article Name
Demam Campak (Rubeola) - Jenis, Simptom, Diagnosis, dan Rawatan
Description
Campak, atau rubeola, adalah jangkitan virus yang bermula dalam sistem pernafasan dan boleh dicegah melalui vaksinasi.
Publisher Name
Ceria Sihat
Tagged: