darah nifas
Darah yang anda lihat selepas melahirkan disebut sebagai ‘lochia’ atau pendarahan selepas bersalin (darah nifas).

Apakah itu darah nifas?

Tubuh anda mengalami banyak perubahan semasa fasa kehamilan. Malah, perubahan tersebut tidak semestinya berhenti pada saat anda melahirkan. Tubuh anda memerlukan masa untuk pulih, yang bermaksud anda mungkin masih mempunyai beberapa gejala selama beberapa hari atau bahkan beberapa minggu selepas melahirkan bayi.

Salah satu gejala tersebut adalah pendarahan selepas bersalin atau juga dikenali sebagai darah nifas. Namun, ia adalah normal jika terdapat pendarahan faraj selepas bersalin. Ini adalah pendarahan paling berat pada beberapa hari pertama selepas bayi anda dilahirkan. Tetapi, jika pendarahan berat berterusan selepas itu, anda mungkin perlu menghubungi doktor anda.

Faktor yang menyebabkan darah nifas

Darah yang anda lihat selepas melahirkan disebut sebagai ‘lochia’ atau pendarahan selepas bersalin (darah nifas). Ini adalah sejenis pelepasan yang serupa dengan darah haid, dan biasanya berlangsung selama empat hingga enam minggu selepas bersalin. Ia mengandungi:

  • darah
  • kepingan lapisan rahim
  • lendir
  • sel darah putih

Seperti tempoh haid, pendarahan ini berlaku disebabkan penumpahan dan pemulihan lapisan rahim anda.

Pada mulanya, kebanyakan darah nifas adalah darah. Seiring berlangsungnya hari dan minggu, anda mungkin akan melihat lebih banyak lendir berbanding darah.

Fasa dalam tempoh pengeluaran darah nifas

Terdapat tiga peringkat bagi pendarahan selepas bersalin (darah nifas).

  • Lochia rubra – Pendarahan hari ke-2 hingga ke-4 yang paling berat pada beberapa hari pertama selepas melahirkan. Darah akan berwarna merah terang dan sangat banyak. Ia juga adalah normal untuk melihat gumpalan pada darah nifas anda semasa peringkat ini. Selagi gumpalan anda tidak melebihi saiz dari seperempat atau saiz plum kecil, ini adalah sebahagian daripada pendarahan selepas bersalin yang normal. Anda mungkin berasa kekejangan dan kontraksi rahim ketika rahim anda kembali ke ukuran biasa.
  • Lochia serosa – Hari ke-4, dan berlangsung sekitar 2 minggu yang mana aliran darah anda akan mula mereda. Warnanya akan berubah dari merah menjadi merah jambu berair. Di samping itu, plasenta anda mungkin masih berdarah, tetapi adalah jauh lebih ringan berbanding beberapa hari pertama selepas melahirkan.
  • Lochia alba – Dalam tempoh 2 hingga 6 minggu selepas bersalin, darah nifas akan berubah dari warna merah jambu menjadi warna keputihan kekuningan. Anda mungkin masih mendapat tompokan darah. Tahap pendarahan selepas bersalin ini kebanyakannya melibatkan sel darah putih yang meninggalkan badan setelah ia membantu menyembuhkan rahim anda selepas kelahiran.

Adakah terdapat perbezaan antara darah nifas dan darah haid?

Darah nifas atau ‘lochia’ adalah sama seperti darah haid anda, tetapi darah nifas biasanya adalah lebih berat dan (selalunya banyak) tahan lama. Ia juga mempunyai beberapa komponen yang tidak ditemui pada darah haid asas, seperti lendir dan tisu dari rahim anda, yang mana kebanyakannya datang dari tempat plasenta dilekatkan.

Pendarahan yang paling berat akan berlangsung selama kira-kira tiga hingga 10 hari selepas melahirkan, dan kemudian akan mereda hingga menjadi lebih ringan selepas kehamilan. Anda akan melihat perbezaan warnanya, dari warna merah pekat hingga merah jambu, kemudian coklat dan akhirnya menjadi putih kekuningan.

Selain itu, darah nifas harus berhenti mengalir sekitar empat hingga enam minggu setelah melahirkan, walaupun ia dapat berakhir lebih cepat atau lambat bergantung pada wanita dan kehamilannya.

Siapakah yang berisiko mendapat darah nifas?

Sebilangan wanita berisiko lebih tinggi untuk mengalami pendarahan selepas bersalin berbanding yang lain. Keadaan yang boleh meningkatkan risiko termasuk:

  • Gangguan plasenta. Ini adalah penanggalan awal plasenta dari rahim.
  • Plasenta previa. Ini berlaku ketika plasenta menutupi atau berdekatan dengan pembukaan serviks.
  • Pembengkakan rahim. Ini berlaku ketika rahim bersaiz lebih besar daripada biasa kerana terlalu banyak air ketuban atau bayi yang bersaiz besar.
  • Kehamilan dengan lebih dari satu bayi
  • Gangguan tekanan darah tinggi semasa kehamilan
  • Mempunyai banyak kelahiran terdahulu
  • Proses kelahiran yang berpanjangan
  • Jangkitan
  • Obesiti
  • Penggunaan ‘forceps’ atau kelahiran dengan bantuan vakum
  • Berasal dari etnik Asia atau Hispanik

Apa yang perlu dilakukan dalam fasa ini

Pada mulanya, pendarahan mungkin cukup berat sehingga anda perlu memakai pad hospital. Jururawat anda mungkin memberikan anda beberapa pad penyerap tambahan apabila anda sudah dibenarkan pulang ke rumah.

Semasa pendarahan mula berkurangan, anda boleh beralih ke pad haid biasa. Pastikan anda menukar pad dengan kerap untuk mengelakkan jangkitan. Jangan gunakan tampon sehingga dibenarkan oleh doktor. Setelah pendarahan sudah cukup ringan, atau anda hanya melihat pelepasan biasa, anda sudah boleh beralih untuk memakai pelapik seluar dalam sahaja.

Bila anda harus menghubungi doktor anda

Pendarahan berat setelah kelahiran atau darah nifas biasanya mempengaruhi sehingga 5% wanita yang melahirkan. Ia berkemungkinan besar berlaku pada 24 jam pertama selepas bersalin. Tetapi, ia masih boleh berlaku pada bila-bila masa dalam tempoh 12 minggu pertama selepas bayi anda dilahirkan.

Pendarahan selepas bersalin adalah serius. Ia boleh menyebabkan penurunan tekanan darah. Sekiranya tekanan menjadi terlalu rendah, organ anda tidak akan mendapat cukup darah. Ini boleh berlaku secara mengejutkan, dan boleh menyebabkan kematian. Itulah sebabnya mengapa ia sangat penting untuk mendapatkan bantuan perubatan dengan segera.

Beritahu doktor jika anda mempunyai gejala atau tanda berikut:

  • Pendarahan dengan warna merah terang melebihi hari ketiga selepas kelahiran
  • Pembekuan darah lebih besar daripada saiz buah plum
  • Pendarahan yang berat dan menggunakan lebih dari satu pad sejam serta tidak berkurangan atau berhenti
  • Penglihatan kabur
  • Menggigil
  • Kulit lembap
  • Denyutan jantung yang cepat
  • Pening
  • Kelemahan
  • Loya
  • Perasaan seperti mahu pengsan

Walaupun darah nifas adalah suatu keadaan yang biasa, namun jika anda mengalami pendarahan luar biasa atau simptom tidak normal, dapatkan bantuan perubatan dengan segera. Ia mungkin memberi kesan lebih buruk jika tidak ditangani dengan segera.

SUMBER

https://www.healthline.com/health/pregnancy/is-postpartum-bleeding-normal#TOC_TITLE_HDR_1

https://www.webmd.com/women/vaginal-bleeding-after-birth-when-to-call-doctor#1

https://www.whattoexpect.com/pregnancy/symptoms-and-solutions/postpartum-bleeding.aspx

https://alwaysdiscreet.com/en-us/incontinence-advice-support/incontinence-and-pregnancy/postpartum-bleeding-stages

https://www.stanfordchildrens.org/en/topic/default?id=postpartum-hemorrhage-90-P02486

Summary
Darah nifas: Adakah ia normal dan Apa yang perlu anda tahu tentangnya?
Article Name
Darah nifas: Adakah ia normal dan Apa yang perlu anda tahu tentangnya?
Description
Darah yang anda lihat selepas melahirkan disebut sebagai ‘lochia’ atau pendarahan selepas bersalin (darah nifas).
Author
Publisher Name
Ceria Sihat
Tagged: