CTEV
Kaki bengkok clubfoot atau ‘congenital talipes equinovarus’ (CTEV) menerangkan pelbagai kelainan kaki yang biasanya berlaku semasa kelahiran (kongenital) di mana kaki bayi seperti dibengkok daripada bentuk atau kedudukan normal. Bagi keadaan kaki bengkok, tisu yang menghubungkan otot ke tulang (tendon) adalah lebih pendek daripada biasa.

Kaki bengkok clubfoot atau ‘congenital talipes equinovarus’ (CTEV) menerangkan pelbagai kelainan kaki yang biasanya berlaku semasa kelahiran (kongenital) di mana kaki bayi seperti dibengkok daripada bentuk atau kedudukan normal. Bagi keadaan kaki bengkok, tisu yang menghubungkan otot ke tulang (tendon) adalah lebih pendek daripada biasa. Seterusnya, clubfoot pula adalah kecacatan kelahiran yang agak biasa dan biasanya merupakan masalah terpencil bagi bayi baru lahir yang sihat.

Clubfoot boleh menjadi keadaan yang ringan atau serius. Kira-kira separuh daripada kanak-kanak dengan keadaan ini memilikinya di kedua-dua belah kaki. Sekiranya anak anda mempunyai clubfoot, dia akan lebih sukar untuk berjalan seperti biasa. Justeru itu, doktor secara amnya mengesyorkan keadaan ini dirawat sejurus selepas kelahiran.

Doktor biasanya dapat merawat masalah clubfoot dengan jayanya tanpa pembedahan, walaupun kadangkala ada kanak-kanak yang memerlukan pembedahan susulan di kemudian hari.

Simptom CTEV

Bagi keadaan kaki bengkok clubfoot, tendon di bahagian dalam kaki dipendekkan, di mana tulang mempunyai bentuk yang tidak biasa dan tendon Achilles diketatkan.

Sekiranya tidak dirawat, individu tersebut akan kelihatan berjalan di pergelangan kaki atau sisi kaki mereka.

Pada bayi yang dilahirkan dengan masalah clubfoot:

  • bahagian atas kaki memusing ke bawah dan ke dalam.
  • lengkungan adalah lebih jelas dan tumit berpusing ke dalam.
  • dalam kes yang serius, kaki boleh kelihatan seolah-olah terbalik.
  • otot betis cenderung menjadi kurang berkembang.
  • jika hanya satu belah kaki yang terkesan, ia biasanya adalah sedikit lebih pendek daripada lagi satu, terutama pada bahagian tumit.

Individu yang mempunyai masalah clubfoot biasanya tidak berasa tidak selesa atau sakit ketika berjalan. Seorang pakar penjagaan kesihatan biasanya boleh mengesan keadaan ini ketika bayi dilahirkan. Kadangkala, ia dapat dikesan sebelum bayi dilahirkan.

Sebilangan besar kanak-kanak hanya akan mengalami masalah kaki bengkok clubfoot dan tiada keadaan lain, tetapi kadangkala, ia boleh berlaku dengan masalah lain seperti spina bifida.

Punca CTEV

Kebanyakan punca bagi keadaan CTEV ini tidak diketahui (idiopatik). Perkara utama yang perlu diingat adalah bahawa puncanya tidak berkaitan dengan si ibu. Walau bagaimanapun, terdapat kecenderungan bahawa penyakit ini boleh diwarisi (diturunkan dari keluarga biologi) melalui gen.

Terdapat juga banyak gangguan atau sindrom yang berkaitan seperti perkembangan displasia pinggul, spina bifida, ‘arthrogryposis’ atau distrofi myotonik. Pakar ortopedik pediatrik akan mengambil sejarah lengkap dan melakukan ujian menyeluruh untuk menentukan sama ada ujian atau rujukan lain diperlukan pada lawatan pertama.

Diagnosis CTEV

Keadaan ini dapat dikesan dengan segera semasa kelahiran. Ia juga dapat dikesan sebelum kelahiran dengan ultrabunyi, terutama jika kedua-dua belah kaki terjejas. Sekiranya ia dikesan sebelum kelahiran, rawatan tidak mungkin dilakukan sehingga selepas bayi dilahirkan.

Sama ada keadaannya dikesan semasa kehamilan atau selepas kelahiran, doktor akan mengesyorkan lebih banyak ujian dilakukan untuk memeriksa masalah kesihatan lain, seperti spina bifida dan distrofi otot.

Sinar-X dapat membantu melihat kecacatan dengan lebih terperinci.

Faktor Risiko CTEV

Faktor risiko untuk keadaan clubfoot ini termasuk:

  • Jantina lelaki
  • Sejarah keluarga dengan penyakit CTEV, seperti ibu bapa atau adik beradik dengan keadaan sama
  • Merokok semasa hamil
  • Menggunakan ubat rekreasi semasa kehamilan
  • Cecair ketuban terlalu sedikit yang mengelilingi bayi semasa hamil, iaitu ‘oligohydramnios’
  • Kecacatan kelahiran rangka lain

Memandangkan doktor tidak pasti apa yang menyebabkan keadaan ini, ianya adalah penting untuk mengurangkan faktor risiko yang boleh dikendalikan, termasuk tidak merokok dan tidak menggunakan ubat semasa hamil.

Rawatan CTEV

Tulang, sendi dan tendon bayi baru lahir adalah sangat fleksibel, jadi rawatan untuk masalah kaki bengkok clubfoot biasanya bermula pada satu atau dua minggu pertama selepas kelahiran. Matlamat rawatan adalah untuk memperbaiki cara dan penampilan kaki anak anda sebelum belajar berjalan, dengan harapan ia dapat mencegah kecacatan jangka panjang.

Pilihan rawatan yang ada termasuk:

  • Regangan dan memakai pelindung (kaedah Ponseti)
  • Pembedahan

Regangan dan memakai pendakap khas (kaedah Ponseti)

Peregangan dan memakai pendakap khas (kaedah Ponseti)

Ini adalah rawatan yang paling biasa untuk masalah kaki bengkok clubfoot. Doktor anda akan:

  • Menggerakkan kaki bayi ke posisi yang betul dan kemudian meletakkannya di dalam pendakap khas untuk menahan kedudukannya di situ.
  • Mengubah kedudukan semula dan mengubah pendakap kaki bayi anda seminggu sekali selama beberapa bulan.
  • Melakukan prosedur pembedahan kecil untuk memanjangkan tendon Achilles (tenotomi Achilles perkutaneus) menjelang akhir proses ini.

Setelah bentuk kaki bayi anda diluruskan, anda perlu menjaganya dengan satu atau lebih perkara berikut:

  • Melakukan senaman regangan dengan bayi anda.
  • Memakai anak anda dengan kasut dan pendakap khas.
  • Memastikan anak anda memakai kasut dan pendakap selama yang diperlukan – biasanya sepenuh masa selama tiga bulan, dan kemudian pada waktu malam dan semasa tidur siang hingga tiga tahun kemudian.

Bagi membolehkan kaedah ini berjaya dilakukan, anda perlu menggunakan pendakap mengikut arahan doktor agar kaki tidak kembali ke kedudukan asal. Sebab utama mengapa prosedur ini kadangkala tidak berfungsi adalah kerana pendakap tidak digunakan seperti yang diarahkan.

Pembedahan

Sekiranya kaki bayi anda adalah teruk atau tidak bertindak balas terhadap rawatan bukan pembedahan, pembedahan yang lebih invasif mungkin diperlukan. Pakar bedah ortopedik dapat memanjangkan atau menyusun semula tendon dan ligamen untuk membantu meringankan kaki ke posisi yang lebih baik.

Selepas pembedahan, anak anda akan menggunakan pelindung sehingga dua bulan, dan kemudian perlu memakai pendakap selama setahun atau lebih untuk mengelakkan kaki daripada bergerak ke kedudukan asal. Walaupun dengan rawatan, masalah CTEV ini mungkin tidak dapat dibetulkan sepenuhnya. Tetapi, dalam kebanyakan kes, bayi yang dirawat lebih awal boleh  memakai kasut biasa dan menjalani kehidupan yang aktif dan penuh.

SUMBER

https://www.mayoclinic.org/diseases-conditions/clubfoot/symptoms-causes/syc-20350860

https://www.medicalnewstoday.com/articles/183991

https://www.nationwidechildrens.org/conditions/clubfoot-talipes-equinovarus

https://www.healthgrades.com/right-care/foot-health/clubfoot

Summary
CTEV - Kaki Bengkok Clubfoot (Congenital Talipes Equinovarus) – Simptom, Punca, Diagnosis, Faktor Risiko dan Rawatan
Article Name
CTEV - Kaki Bengkok Clubfoot (Congenital Talipes Equinovarus) – Simptom, Punca, Diagnosis, Faktor Risiko dan Rawatan
Description
CTEV menerangkan pelbagai kelainan kaki yang biasanya berlaku semasa kelahiran (kongenital) di mana kaki bayi seperti dibengkok daripada bentuk atau kedudukan normal.
Publisher Name
Ceria Sihat
Tagged: