cozaar
Cozaar ialah ubat yang memastikan saluran darah tidak menyempit, serta menurunkan tekanan darah dan meningkatkan aliran darah.

Pengenalan

Cozaar ialah ubat yang memastikan saluran darah tidak menyempit, serta menurunkan tekanan darah dan meningkatkan aliran darah. Cozaar (losartan) tergolong dalam kumpulan ubat yang dipanggil sebagai reseptor antagonis angiotensin II (kadangkala dipanggil penyekat ARB).

Seterusnya, ia digunakan untuk merawat tekanan darah tinggi (hipertensi) pada orang dewasa dan kanak-kanak yang berusia sekurang-kurangnya 6 tahun. Malah, Cozaar juga digunakan untuk mengurangkan risiko strok pada individu tertentu dengan penyakit jantung.

Di samping itu, Cozaar digunakan untuk memperlahankan kerosakan buah pinggang jangka panjang pada orang dengan diabetes jenis 2 yang juga mempunyai tekanan darah tinggi.

Kegunaan Cozaar

Losartan potassium adalah sejenis penghalang reseptor angiotensin (ARB) yang dikenali dengan nama Cozaar. Para doktor mempreskripsikannya untuk merawat masalah hipertensi dan nefropati yang boleh merosakkan buah pinggang bagi pesakit diabetes jenis 2.

Doktor biasanya mempreskripsikan ubat ini untuk merawat hipertensi pada orang dewasa dan kanak-kanak berusia lebih 6 tahun.

Bagi kebanyakan orang, perubahan gaya hidup seperti diet, senaman dan mengelakkan merokok dan alkohol sudah mencukupi untuk mengurangkan tekanan darah kepada tahap yang sihat. Namun, ada juga individu yang mungkin memerlukan ubat untuk mengawal tekanan darah mereka.

Tekanan darah tinggi yang tidak diatasi boleh menyebabkan kesan kesihatan yang serius. Mengurangkan tekanan darah tinggi dapat melindungi beberapa keadaan kesihatan yang berkaitan, termasuk:

Ubat-ubatan seperti losartan potassium hanyalah salah satu aspek bagi rawatan hipertensi. Kaedahl lain termasuklah termasuk perubahan gaya hidup dan  pemakanan. Kadangkala, individu akan mengambil Cozaar bersama ubat lain, termasuk diuretik, untuk mengawal tekanan darah tinggi mereka.

Orang yang menghidap diabetes pula mungkin mengambil ubat ini untuk melindungi buah pinggang mereka daripada kerosakan yang berlaku akibat penyakit seperti nefropati diabetik.

Langkah Berjaga-jaga dan Amaran Bagi Penggunaan Cozaar

Sebelum menggunakan Cozaar, beritahu pada doktor atau ahli farmasi jika anda alah terhadapnya atau jika anda mempunyai alahan lain. Produk ini mungkin mengandungi ramuan tidak aktif, yang boleh menyebabkan reaksi alahan atau masalah lain. Bercakap dengan ahli farmasi anda untuk mendapatkan maklumat lanjut.

Pastikan anda juga memberitahu doktor atau ahli farmasi anda tentang sejarah perubatan anda, terutamanya seperti penyakit hati, kehilangan air dan mineral badan yang teruk (dehidrasi) sebelum menggunakannya.

Ubat ini boleh membuatkan anda pening. Malah, alkohol atau marijuana (ganja) boleh membuat anda lebih pening. Jangan memandu, gunakan mesin, atau lakukan apa-apa yang memerlukan langkah berjaga-jaga sehinggalah anda boleh melakukannya dengan selamat. Hadkan pengambilan minuman beralkohol. Seterusnya, maklumkan juga kepada doktor jika anda menggunakan marijuana (ganja).

Dalam pada itu, ubat ini boleh meningkatkan paras potassium anda. Sebelum menggunakan suplemen potassium atau pengganti garam yang mengandungi potassium, rujuk pada doktor atau ahli farmasi anda.

Sebelum menjalani pembedahan, beritahu doktor atau doktor gigi tentang semua produk yang anda gunakan (termasuk ubat preskripsi, ubat tidak dipreskripsi, dan produk herba).

Ubat ini tidak disarankan bagi kegunaant semasa kehamilan kerana terdapat risiko yang boleh membahayakan bayi belum lahir. Rujuk doktor anda untuk mendapatkan maklumat lebih lanjut.

Bagi ibu yang menyusukan bayi pula, ianya tidak diketahui jika ubat ini boleh masuk ke dalam susu ibu atau tidak. Jadi, sekali lagi pastikan anda mendapatkan kepastian daripada pakar perubatan terlebih dahulu.

Kesan Sampingan Cozaar

Gejala pening atau sakit kepala boleh berlaku kerana badan anda sedang menyesuaikan diri dengan pengambilan ubat ini. Jika mana-mana kesan ini berterusan atau bertambah teruk, maklumkan pada doktor atau ahli farmasi dengan segera.

Untuk mengurangkan risiko berlakunya simptom pening dan sakit kepala, bangun secara perlahan-lahan apabila naik dari posisi duduk atau baring.

Ingat bahawa doktor anda mempreskripsikan ubat ini kerana dia telah menilai bahawa manfaat yang ditawarkan oleh ubat ini adalah lebih besar berbanding kesan sampingannya yang boleh terjadi. Ramai individu yang menggunakan ubat ini tidak mempunyai kesan sampingan yang serius.

Beritahu doktor anda dengan segera jika mana-mana kesan sampingan yang jarang tetapi mungkin serius berlaku: pengsan, gejala paras darah kalium yang tinggi (seperti kelemahan otot, degupan jantung perlahan/ tidak teratur).

Walaupun Cozaar boleh digunakan untuk mencegah masalah buah pinggang atau merawat orang yang mengalami masalah buah pinggang, ia juga jarang menyebabkan masalah buah pinggang yang serius atau menjadikannya lebih teruk. Doktor akan memeriksa fungsi buah pinggang anda sementara anda mengambil Cozaar. Maklumkan pada doktor dengan segera jika anda mempunyai tanda-tanda masalah buah pinggang seperti perubahan jumlah air kencing.

Reaksi alergi yang sangat serius terhadap ubat ini jarang berlaku. Walau bagaimanapun, dapatkan bantuan perubatan dengan segera jika anda perhatikan apa-apa gejala tindak balas alahan yang serius, termasuklah ruam, gatal-gatal/ bengkak (terutama muka/ lidah/ kerongkong), pening yang teruk, masalah pernafasan.

Ini bukanlah senarai lengkap bagi kesan sampingan Cozaar yang boleh berlaku. Jika anda mengesan kesan lain yang tidak disenaraikan di atas, hubungi doktor atau ahli farmasi anda.

Kontraindikasi Cozaar

Hipersensitiviti adalah satu kontraindikasi terhadap penggunaan ubat Cozaar. Di samping itu, ia tidak boleh digunakan jika anda mempunyai keadaan yang berikut:

  • Menyusukan bayi
  • Hipersensitiviti
  • Hamil
  • Tidak menggunakan emetik

Interaksi Cozaar

Interaksi ubat boleh mengubah cara ubat anda berfungsi atau meningkatkan risiko anda mendapatkan kesan sampingan yang serius. Sentiasa simpan senarai semua produk yang anda gunakan (termasuk ubat preskripsi/ bukan preskripsi dan produk herba) dan maklumkan pada doktor dan ahli farmasi anda. Jangan mulakan, hentikan, atau ubah dos ubat-ubatan tanpa kelulusan doktor anda.

Sesetengah produk yang boleh berinteraksi dengan ubat ini termasuklah aliskiren, litium, ubat-ubatan yang boleh meningkatkan kadar potassium dalam darah (seperti perencat ACE termasuk benazepril/ lisinopril, pil kawalan kehamilan yang mengandungi drospirenone).

Selain itu, sesetengah produk mempunyai bahan-bahan yang boleh meningkatkan tekanan darah atau memburukkan lagi masalah kegagalan jantung anda. Beritahu ahli farmasi anda mengenai produk yang anda gunakan, dan bertanyakan tentang cara penggunaannya dengan selamat (terutama bagi produk demam dan batuk, alat bantuan diet atau NSAID seperti ibuprofen / naproxen).

Dos Cozaar

Cozaar boleh didapati dalam bentuk tablet dalam tiga dos:

  • 25 miligram (mg)
  • 50 mg
  • 100 mg

Dos bagi Cozaar yang perlu diambil oleh seseorang bergantung kepada beberapa faktor. Doktor akan menetapkan dos yang diperlukan berdasarkan umur, berat badan, keadaan, dan kesihatan keseluruhannya.

Garis panduan umum untuk dos Cozaar adalah seperti berikut:

  • Hipertensi. Biasanya, individu akan mengambil 50 mg sekali sehari, walaupun sesetengah individu mungkin memerlukan 100 mg setiap hari. Doktor juga boleh menetapkan ubat hipertensi lain atau diuretik selain Cozaar.
  • Nefropati pada individu dengan diabetes jenis 2. Orang yang menghidap diabetes biasanya bermula dengan 50 mg setiap hari, yang mungkin meningkat kepada 100 mg sehari bergantung kepada tindakbalas mereka terhadap ubat ini.
  • Hipertensi pada orang dengan hipertrofi ventrikel kiri. Dos permulaan biasanya adalah 50 mg, dan ini boleh meningkat kepada 100 mg setiap hari.
  • Hipertensi pada kanak-kanak. Kanak-kanak berumur 6 tahun ke atas boleh memulakan penggunaan dos yang sangat rendah. mereka Mereka jarang sekali memerlukan sehingga 50 mg Cozaar sehari, namun ianya bergantung kepada tindak balas terhadap tekanan darah mereka.

Sentiasa ambil Cozaar sama seperti yang disarankan oleh doktor. Telan tablet dengan segelas air, dengan atau tanpa makanan. Ambil dos yang terlepas secepat mungkin, tetapi jangan ambil 2 dos dalam masa yang berdekatan. Hanya ambil satu dos pada satu masa sahaja.

SUMBER

https://www.drugs.com/cozaar.html

https://www.medicalnewstoday.com/articles/324028#how-effective-is-losartan-potassium

https://www.webmd.com/drugs/2/drug-11528/cozaar-oral/details

https://www.tabletwise.com/philippines/cozaar-xq-tablet?#contraindications

Summary
Cozaar
Article Name
Cozaar
Description
Cozaar ialah ubat yang memastikan saluran darah tidak menyempit, serta menurunkan tekanan darah dan meningkatkan aliran darah.
Publisher Name
Ceria Sihat
Tagged: