hantavirus kembali lagi
Seorang lelaki di China maut gara-gara Hantavirus. Belum pun reda wabak COVID-19, virus terkenal dahulu iaitu Hantavirus kembali lagi?

Seorang lelaki di China maut gara-gara Hantavirus. Belum pun reda wabak COVID-19, virus terkenal dahulu iaitu Hantavirus kembali lagi? Penularan wabak COVID-19 yang dikatakan semakin menurun di China kini dikejutkan pula dengan kematian seorang rakyat negara itu disebabkan Hantavirus. Berdasarkan artikel di Berita Harian Online, mangsa adalah lelaki yang berasa dari wilayah Barat Daya Yunnan.

Individu tersebut dikatakan meninggal dunia dalam perjalanan pulang ke wilayah Shandong selepas waktu bekerja di dalam bas sewa. Kesemua penumpang dalam bas itu diminta melakukan ujian saringan, namun keputusannya tidak dimaklumkan.

Anda mungkin tidak begitu mengenali mengenai virus ini berbanding Coronavirus yang sedang terkenal sekarang. Jadi, jom baca beberapa informasi mengenai virus ini.

Apakah itu Hantavirus?

Menurut Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit (CDC), penyakit Hantavirus ini mula dikenal pasti di Amerika Syarikat pada tahun 1993 semasa penularan penyakit sistem pernafasan yang teruk di rantau ‘Four Corners’ (merangkumi sudut Barat Daya Colorado, sudut Tenggara Utah, sudut Timur Laut Arizone dan sudut Barat Laut New Mexico). Ia mempunyai kadar kematian sebanyak 38%.

Penyebaran virus ini kebanyakannya bermula daripada tikus. Jangkitan daripada haiwan ini boleh menyebabkan virus merebak kepada manusia melalui air kencing, tahi atau air liur tikus. Selain itu, gigitan tikus juga dikatakan boleh menyebabkan jangkitan walaupun ia jarang berlaku.

Ia boleh menyebabkan masalah kesihatan yang dikenali sebagai sindrom pulmonari Hantavirus (HPS) dan telah dikenali di seluruh dunia. Sindrom ini adalah satu keadaan kesihatan yang serius dan boleh membunuh. Ia menyerang sistem pernafasan manusia dengan jangkitan Hantavirus. Sesiapa sahaja yang mempunyai hubungan langsung dengan tikus (pembawa Hantavirus) berisiko mendapatkan sindrom ini.

Apakah simptom Hantavirus?

Tanda awal penyakit ini termasuklah kepenatan, demam dan kesakitan otot terutama pada kumpulan otot besar seperti paha, pinggul, belakang badan dan kadangkala bahagian bahu.

Namun, hampir separuh daripada keseluruhan pesakit yang didiagnosis dengan penyakit ini dikatakan mengalami gejala pening kepala, berasa seram sejuk dan masalah abdomen seperti mual, muntah, cirit-birit dan kesakitan abdomen.

Simptom bagi kes yang lewat didiagnosis pula melibatkan batuk dan kesukaran untuk bernafas. Ada juga yang mungkin berasa seperti dada yang semakin mengetat.

JADI,

Sentiasa jaga diri anda di mana sahaja anda berada. Memandangkan semua pihak dikehendaki duduk di rumah sahaja buat masa sekarang, periksa sekeliling rumah anda bagi tanda-tanda kehadiran tikus yang membahayakan. Bukan sahaja ia boleh menyebabkan penyakit yang membawa maut, malah ia juga mungkin boleh menyebabkan kerosakan lain di bahagian rumah tanpa anda sedari.

Pada masa yang sama, jaga kebersihan setiap masa kerana partikel sekecil virus juga boleh menyebabkan kematian begitu sahaja. Jaga kebersihan diri, keluarga, rumah dan juga sekeliling anda dengan baik.

SUMBER

  1. https://www.bharian.com.my/dunia/asia/2020/03/668944/lelaki-dilaporkan-mati-akibat-hantavirus-di-china
  2. https://www.cdc.gov/hantavirus/surveillance/index.html
  3. https://economictimes.indiatimes.com/news/international/world-news/now-hantavirus-surfaces-in-china-amid-coronavirus-challenge/articleshow/74793841.cms
Summary
COVID-19 belum reda, Hantavirus kembali lagi?
Article Name
COVID-19 belum reda, Hantavirus kembali lagi?
Description
Seorang lelaki di China maut gara-gara Hantavirus. Belum pun reda wabak COVID-19, virus terkenal dahulu iaitu Hantavirus kembali lagi?
Publisher Name
Ceria Sihat
Tagged: