cidb malaysia

CIDB Malaysia merupakan salah satu agensi kerajaan Malaysia yang diletakkan dibawah tadbir urus Kementerian Kerja Raya Malaysia. CIDB atau nama penuhnya iaitu Construction Industry Development Board atau dalam bahasa Melayunya Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan ditubuhkan dan diberi kuasa di bawah penguatkuasaan Akta Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan 1994 (Akta 520).

Misi, Visi dan Objektif CIDB

Menurut laman web dan portal rasmi Kementerian Kerja Raya Malaysia (KKR Malaysia), CIDB ditubuhkan untuk mencapai misi, visi dan objektif seperti berikut.

Misi utama CIDB ialah untuk mengawal selia, membangunkan dan memudahcara industri pembinaan di Malaysia. Perkara ini dijalankan melalui penerapan nilai profesionalisme dalam menghasilkan persekitaran pembinaan yang produktif, mampan serta sangat berkualiti.

CIDB juga ditubuhkan dengan visi untuk menjadi organisasi kerajaan yang unggul dalam mencapai tahap pembinaan yang sangat cemerlang di negara Malaysia ini.

Agensi ini sangat penting dalam industri pembinaan kerana dengan adanya agensi ini, CIDB dapat digunakan oleh pemain sektor industri pembinaan untuk membina kapasiti dan kemampuan industri pembinaan melalui penaiktarafan kualiti dan produktiviti dengan memberi fokus kepada inovasi, pengetahuan ke arah kehidupan yang berkualiti dan profesionalisme.

Fungsi CIDB mengikut Akta Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan 1994

Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan ini sebenarnya berfungsi bagi menjalankan tugas-tugas seperti:

  1. Memajukan dan menggalakkan industri pembinaan serta pembaikan dan bertanggungjawab mengembangkan industri
  2. Bertindak sebagai penasihat dan pemberi saranan kepada Kerajaan tentang apa-apa yang berkaitan dengan industri pembinaan
  3. Membuat kemajuan, memberi galakan serta meningkatkan usaha penyelidikan yang berkaitan dalam industri pembinaan
  4. Membuat kemajuan, memberi galakan serta memberikan bantuan untuk membuat eksport perkhidmatan dalam bidang industri pembinaan ke luar negara
  5. Menjadi platform dan badan yang memberi nasihat serta perkhidmatan perundingan yang berkaitan dalam industri pembinaan
  6. Berusaha dalam meningkatkan proses jaminan kualiti hasil projek industri pembinaan
  7. Menaiktaraf standard dan teknik pembinaan serta kualiti bahan binaan
  8. Membuat penyelenggaraan serta mendaya usahakan sistem maklumat dalam industri maklumat
  9. Menganjurkan serta menaiktaraf dan membuat kajian semula program-program latihan yang dilaksanakan oleh pusat latihan pembinaan awam dan swasta yang melibatkan pemberian latihan kepada pekerja pembinaan mahir dan penyelia tapak
  10. Memberikan akreditasi dan mentadbir proses pendaftaran kontraktor industri pembinaan serta perkara ini termasuklah dalam menguatkuasakan pembatalan, penggantungan dan kemasukan semula pendaftaran kontraktor di Malaysia
  11. Memberikan akreditasi dan mentadbir proses pendaftaran pekerja pembinaan mahir dan penyelia tapak serta perkara ini termasuklah dalam menguatkuasakan pembatalan, penggantungan dan kemasukan semula pendaftaran pekerja pembinaan mahir dan penyelia tapak di Malaysia

Siapa di sebalik CIDB Malaysia?

Untuk masa sekarang, Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan dipengerusikan oleh YB Ir. Haji Yusuf Bin Haji Abdul Wahab. Di bawah beliau, ada sepuluh orang profesional yang dilantik sebagai ahli lembaga. Mereka ialah Dato’ Dr. Syed Omar Sharifuddin bin Syed Ikhsan (Setiausaha Agung Kementerian Kerja Raya Malaysia), Datuk Zainal Abidin Bin Abu Hassan (Setiausaha Agung Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan), Dato’ Jamil bin Rakon (Setiausaha Agung Kementerian Sumber Manusia), Dato’ Zamzuri bin Abdul Aziz (Di Bawah Setiausaha Jabatan Perolehan Kerajaan), Dato’ Ir. Soam Heng Choon (Presiden Persatuan Pembangun Hartanah dan Perumahan), Tan Sri Dato Sri Sufri bin Haji Mohd Zin (Presiden Persatuan Master Builder Malaysia), Datuk Nik Airina Binti Nik Jaffar (Pengarah Pengurusan Projek UEM Group), Datuk Haji Azman Bin Haji Yusoff (Presiden Persatuan Kontraktor Bumiputera Malaysia), Dr. Roland Chia Ming Shen (Setiausaha Politik Ketua Menteri Sabah) dan Tuan Haji Ir. Alhadi Bin Ibrahim (Pengarah Pengurusan Konsortium Malaysia).

Manakala di peringkat pengurusan tertinggi, CIDB ini dikendali oleh Datuk Ir. Ahmad Asri Abdul Hamid (Ketua Eksekutif CIDB Malaysia), Datuk Ir. Elias Ismail (Timbalan Ketua Eksekutif 1), Megat Kamil Azmi Megat Rus Kamarani (Timbalan Ketua Eksekutif 2), Razuki Ibrahim (Pengurus Agung Senior Sektor Penguatkuasaan), Sr Mohd Zaid Zakaria (Pengurus Agung Senior Sektor Pembangunan Teknologi dan Kontraktor serta Sektor Levi), Ahmad Farrin Mokhtar (Pengurus Agung Senior Sektor Polisi dan Korporat) dan Ir. Raslim Salleh (Pengurus Agung Senior Sektor Kakitangan Pembinaan).

Melalui senarai di atas dapat kita lihat CIDB sebenarnya mempunyai fungsi yang sangat spesifik dalam pelbagai sektor yang memainkan peranan penting dalam industri pembinaan negara kita ini.

Perkhidmatan CIDB Malaysia

Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan  ini kita boleh dapatkan untuk membuat tiga perkhidmatan mereka yang utama iaitu:

  1. Pendaftaran Kontraktor Tempatan
  2. Pendaftaran Personel Binaan (Kad Hijau/Green Card)
  3. Pengisytiharan Kerja Pembinaan dan Pengenalan Levi
  4. Pensijilan Produk dan Bahan Binaan (CCPM)
  5. Portal Maklumat Pembinaan
  6. Carian Kontraktor Berdaftar
  7. Penyediaan Kursus dan Latihan untuk Pemain Industri Pembinaan

Untuk anda yang baru nak mengenali dan berjinak dalam bidang industri pembinaan ini, semoga artikel ini sedikit sebanyak boleh membantu anda dalam usaha memahami fungsi dan kepentingan CIDB dalam memainkan dan memajukan industri pembinaan di dalam negara kita. Hal ini sangat penting kerana hal dan perihal yang melibatkan undang-undang di negara kita seperti pengesahan akreditasi personel pembinaan dan kontraktor dalam bidang ini amat penting dalam menjamin keselamatan semua yang terlibat semasa dan selepas pembinaan ini siap. Dalam masa yang sama, teknologi dan inovasi baru dalam bidang pembinaan juga dapat dicapai secara menyeluruh di Malaysia ini.

SUMBER

https://ms.wikipedia.org/wiki/Lembaga_Pembangunan_Industri_Pembinaan

https://cidb.gov.my/index.php/en/about-us/corporate-info/about-cidb

http://www.kkr.gov.my/ms/node/119

https://static.wixstatic.com/media/d721a9_6fe019fd8eab4b5b8936d04acfeb1081~mv2.jpg/v1/fill/w_478,h_296,al_c,lg_1,q_80/kad-personel-binaan-baru-cidb.webp

https://1.bp.blogspot.com/-_ESIp_QwxAQ/XzK7a7qnycI/AAAAAAAAjjI/rX0E-9Ze39gRl-3Sdil08ETNguV15FrEACLcBGAsYHQ/s1600/PicsArt_08-11-11.38.07.jpg

https://www.mycidb.com/new

Tagged: