Cara Terbaik Untuk Menghilangkan Parut Jerawat
Apabila Jerawat muncul pada kulit anda, secara khususnya ia merupakan sejenis keradangan.

Setiap kali muka anda berjerawat, anda mungkin mahu menyembuhkannya dengan segera. Walau bagaimanapun, kadangkala, jerawat akan meninggalkan kesan bintik gelap pada kulit walapun selepas jerawat anda hilang. Keadaan ini amat mengecewakan, tetapi ia merupakan perkara biasa.

Bintik-bintik gelap akibat jerawat digelar sebagai “Parut jerawat”. Untuk menghilangkan parut jerawat, anda perlu memahami apa yang menyebabkannya terlebih dahulu.

Apabila jerawat muncul pada kulit anda, secara khususnya ia merupakan sejenis keradangan. Sebaik sahaja kulit anda pulih, sel kulit baru akan terbentuk untuk mengembalikan tekstur asal kulit anda. Namun begitu, terdapat juga kemungkinan bahawa kulit baru tersebut mengandungi banyak kandungan melanin.

Melanin adalah bahan yang memberi warna kepada kulit anda, dan apabila sel-sel kulit tertentu mengandungi lebih banyak melanin berbanding yang lain, hasilnya adalah kulit yang lebih gelap daripada kulit asal anda. Keadaan ini dirujuk sebagai hiperpigmentasi selepas keradangan (jerawat).

Sebarang tindakan yang anda lakukan yang boleh menyebabkan keradangan bertahan lebih lama adalah seperti memicit atau memecahkan jerawat. Kedua-dua ini boleh meningkatkan risiko anda untuk mempunyai parut jerawat.

Individu yang memiliki warna kulit yang lebih gelap cenderung memiliki keadaan sebegini. Jadi, teruskan membaca untuk mengetahui lebih lanjut mengenai cara hilangkan parut jerawat dan bagaimana untuk mengelakkannya pada masa akan datang.

Rawatan Mudah Dari Rumah

Jika anda ingin merawat dan hilangkan parut jerawat, anda boleh mulakan dengan remedi di rumah. Malangnya, hampir semua rawatan yang boleh dibuat di rumah ini tidak mempunyai banyak bukti kajian tentang keberkesanannya. Tetapi, ianya tidak salah untuk anda mencubanya.

  • Vitamin C

Jus lemon kaya dengan vitamin C, dan boleh mencerahkan kulit dan parut jerawat. Vitamin C telah dikategorikan sebagai ejen depigmentasi yang berkesan yang mengurangkan pembentukan melanin dan mencerahkan kulit.

  • Lidah Buaya

Jika anda melihat video di internet mengenai lidah buaya, anda pasti mendapati bahawa ramai Influncer terkenal menggunakan lidah buaya sebagai sebahagian daripada rutin kecantikan mereka. Memang benar, lidah buaya adalah agen penyembuhan yang luar biasa, terutamanya apabila kulit anda meradang.

Kajian mendapati bahawa penggunaan lidah buaya secara konsisten dapat menstabilkan paras melanin dalam sel, namun lebih banyak kajian diperlukan untuk mengetahui kesannya dengan lebih lanjut.

  • Ekstrak Grapeseed

Ekstrak Grapeseed adalah produk semulajadi lain yang berkesan untuk membantu mencerahkan parut jerawat.

Walau bagaimanapun, tiada kajian yang mengesahkan mengenai keberkesanan penggunaan topikal ekstrak grapeseed bagi tujuan ini. Tetapi, ada kajian yang menunjukkan bahawa pengambilan ekstrak grapeseed selama 6 bulan bermanfaat bagi individu yang mengalami keadaan kulit Melasma, yang lebih kurang serupa dengan parut jerawat.

Perlindungan Matahari

Menurut penyelidikan, mana-mana rawatan parut jerawat harus bermula dengan rutin perlindungan matahari. Memakai pelindung matahari dengan sekurang-kurangnya SPF 30 setiap hari, tidak kira sama ada hari cerah atau mendung, akan membantu mencegah sebarang kerosakan pada kulit anda.

Produk Farmasi

Terdapat banyak rawatan farmasi bagi memudarkan parut jerawat sekiranya rawatan di rumah tidak membantu. Ramuan aktif untuk jenis produk ini adalah berbeza-beza, tetapi sesetengahnya telah terbukti lebih berkesan daripada yang lain.

Berundinglah dengan doktor anda terlebih dahulu sebelum menggunakan mana-mana produk ini. Sebaik sahaja anda menerima jawapan yang positif daripada doktor anda, carilah produk yang mengandungi beberapa campuran bahan berikut:

  • Retinoid (Vitamin A)
  • Vitamin E (Tocopherol)
  • Hydroquinone
  • Alpha Hydroxy Acids (AHA), seperti Mandelic Acid
  • Kojic Acid
  • Azelaic Acid

Rawatan Dermatologi

Sebagai langkah seterusnya selepas rawatan ubat-ubatan farmasi, anda mungkin ingin mencuba rawatan lain yang hanya boleh didapati di pusat-pusat dermatologi.

Pengelupasan Kimia

Prosedur ini dilakukan untuk mengeluarkan sel-sel kulit yang rosak dan mendedahkan kulit yang baru atau muda. Kos rawatan boleh berubah-ubah.

Pengelupasan Kimia melibatkan penggunaan larutan asid topikal yang berbeza untuk wajah anda. Kulit kemudian dikeluarkan dan lapisan sel kulit akan ditarik sekali.

– Kelebihan

  • Pengelupasan Kimia yang ringan tidak memerlukan banyak masa
  • Pengelupasan Kimia sederhana dan mendalam memerlukan dua hingga tiga minggu masa pemulihan
  • Prosedur boleh berlangsung dari 30 minit hingga 90 minit

Terdapat tiga jenis Pengelupasan Kimia yang boleh anda dapatkan. Ini termasuklah:

  • Pengelupasan Kimia Ringan. Menggunakan asid ringan seperti asid alpha-hydroxy untuk mengelupaskan kulit dengan perlahan. Ia hanya menembusi lapisan paling luar kulit.

  • Pengelupasan Kimia Sederhana. Menggunakan asid trikloroasetik atau glikolik untuk mencapai lapisan tengah dan luaran. Ini menjadikannya lebih berkesan untuk mengeluarkan sel-sel kulit yang rosak.

  • Pengelupasan Kimia Dalam. Menembusi lapisan tengah kulit sepenuhnya untuk menghilangkan sel-sel kulit yang rosak. Prosedur ini sering menggunakan asid fenol atau tricholoracetic.

Pengelupasan Kimia biasanya dilakukan di klinik dermatologi manakala, pengelupasan Kimia Dalam pula dapat dilakukan sebagai pembedahan pesakit luar. Sebelum prosedur, doktor mungkin akan mengikat rambut anda. Wajah anda akan dibersihkan, dan dipakaikan perlindungan mata seperti cermin mata.

Doktor anda mungkin menyuntik anda dengan anestetik topikal, terutamanya jika anda menjalani Pengelupasan Kimia Dalam. Untuk itu, doktor anda juga boleh menggunakan anestetik tempatan. Selain itu, anda juga akan diberi cecair Intravena (IV), dan kadar jantung anda akan dipantau dengan teliti.

– Pengelupasan Kimia Ringan

Semasa prosedur ini dijalankan, bola kapas, kain kasa, atau berus akan digunakan bagi meletakkan larutan kimia seperti asid salisilik ke kawasan yang dirawat. Kawasan kulit yang gelap akan mula berkurang, dan anda mungkin berasa sedikit sensasi yang menyengat. Apabila telah selesai, larutan kimia tersebut akan dibuang atau larutan peneutralan akan ditambah.

– Pengelupasan Kimia Sederhana

Semasa rawatan ini, doktor akan menggunakan kain kasa, iaitu span khusus  untuk meletakkan larutan kimia ke wajah anda. Larutan ini mungkin mengandungi asid glycolic atau asid trichloroacetic. Warna biru mungkin ditambah kepada asid trikloroasetik, menjadikannya dikenali sebagai pengelupasan biru. Kulit anda akan mula mencerah dan doktor akan meletakkan mampatan sejuk pada kulit tersebut. Anda mungkin merasa sensasi terbakar selama 20 minit. Tiada larutan peneutralan diperlukan, namun beliau mungkin akan memberikan anda kipas tangan untuk menyejukkan kulit anda. Sekiranya anda menjalani pengelupasan biru, pewarna biru pada kulit anda mungkin akan luntur setelah beberapa hari selepas prosedur dijalankan.

– Pengelupasan Kimia Dalam

Semasa Pengelupasan Kimia Dalam, anda akan dibius. Doktor akan menggunakan aplikator kapas untuk meletakkan sejenis kimia bernama fenol pada kulit anda. Ini akan menjadikan kulit anda bertukar ke warna putih atau kelabu. Prosedur ini akan dilakukan dalam 15-minit, untuk mengehadkan pendedahan kulit kepada asid.

Microdermabrasion

Microdermabrasion menggunakan peranti atau alat berlian berlipat yang digosok di atas kulit anda. Ia berfungsi dengan meletupkan zarah-zarah kecil pada bahagian tertentu di kulit anda

Microdermabrasion adalah rawatan pengelupasan yang bertujuan untuk menghilangkan ketidaksempurnaan dan meninggalkan kulit anda licin dan rata.

Ia sering digunakan untuk parut jerawat atau bintik-bintik gelap. Rawatan ini dianggap berisiko rendah dengan kadar invasif yang minimum.

Prosedur

Microdermabrasion dilakukan di klinik dermatologi atau spa. Walaupun anda tidak semestinya perlu mempersiapkan diri untuk menjalani prosedur, anda perlu memastikan anda tidak memakai sebarang solekan.

Pakar dermatologi anda akan menggunakan sama ada ‘diamond-tip wand’ atau delivery device/ vacuum, yang berfungsi meniup kristal halus pada kulit anda. Kemudian, sisa kulit akan disedut daripada kulit.

Semasa prosedur, anda mungkin berasa sensasi seperti dicakar. Tetapi, peranti yang digunakan juga mungkin mempunyai kesan mengurut pada kulit anda atau menghasilkan sensasi sedutan ringan.

Setiap sesi berlangsung selama 30 minit dan anda memerlukan beberapa sesi untuk mencapai kesan yang dikehendaki.

Laser

Rawatan laser menggunakan pelbagai jenis laser untuk membuang kulit mati daripada wajah anda sambil menggalakkan sel-sel baru tumbuh di lapisan kulit yang lebih dalam. Laser boleh menjadi salah satu cara untuk memecahkan tisu Parut Jerawat dan memperbaiki bintik hitam yang disebabkan oleh Jerawat.

Keselamatan

Prosedur ini memerlukan anestetik topikal untuk menghilangkan rasa sakit pada kulit. Kadangkala, bius juga diperlukan.

Rawatan laser untuk parut dikategorikan sebagai prosedur pesakit luar. Oleh itu, ia hanya boleh dilakukan oleh ahli dermatologi yang diperakui oleh Kementerian Kesihatan.

Kesan sampingan yang ringan dari prosedur ini termasuklah kesakitan, bengkak, kemerahan, dan rembesan lendir buat sementara waktu. Kesan sampingan ini biasanya hilang dalam beberapa hari. Kos rawatan laser untuk parut adalah berbeza-beza bergantung kepada saiz parut dan peringkat rawatan.

– Kelebihan

Penyembuhannya adalah sekejap dan mengambil masa selama 3 hingga 10 hari.

– Keberkesanan

Walaupun parut jerawat tidak dapat dihilangkan sepenuhnya, kajian telah menunjukkan bahawa terapi laser secara berkesan dapat mengurangkan penampilan dan ketebalan parut jerawat.

Prosedur

Semasa perundingan dengan doktor, beliau akan menentukan prosedur yang terbaik untuk memperbaiki parut jerawat anda. Pilihan rawatan laser anda termasuklah berikut:

  1. Ablative Laser

Rawatan jenis ini memperbaiki penampilan parut, ketuat, dan kedutan. Ia menghilangkan lapisan luar kulit dan sel-sel kulit yang rosak di permukaan kulit. Doktor akan menggunakan laser karbon dioksida (CO2) untuk parut yang lebih dalam, atau laser erbium untuk parut di permukaan.

  1. Fractionated Laser

Laser menembusi lapisan kulit yang lebih dalam untuk mengeluarkan sel pigmentasi yang gelap. Prosedur ini juga merangsang pengeluaran kolagen dan pembaharuan sel kulit, serta boleh membuatkan parut anda kelihatan kurang ketara.

  1. Non-Ablative Laser

Laser haba inframerah menembusi lapisan dalaman kulit. Selain itu, kaedah ini juga merangsang pengeluaran kolagen dan pembaharuan sel untuk menggantikan sel-sel kulit yang rosak.

Rawatan laser untuk parut adalah prosedur pesakit luar. Walau bagaimanapun, tempoh prosedur adalah berbeza. Anda boleh berasa sedikit tidak selesa semasa rawatan. Oleh itu, doktor akan menggunakan anestetik topikal untuk menghilangkan kesakitan. Anda juga boleh meminta dos bius apabila merawat parut yang lebih besar.

Dermarolling/ Microneedling

Seperti namanya, microneedling menggunakan jarum halus yang menusuk ke dalam kulit anda. Semasa proses penusukan kulit ini, kulit anda akan menghasilkan lebih banyak kolagen dalam usaha untuk menyembuhkan luka-luka kecil daripada jarum microneedling.

Teori yang dipercayai adalah kolagen baru yang terbentuk boleh membantu melicinkan penampilan kulit anda serta membantu mengurangkan garis halus, kedut, dan parut.

Menurut Akademi Dermatologi, microneedling sangat berkesan untuk parut jerawat yang rata. Kesan ini mempunyai dengan penghasilan kolagen tambahan seperti yang dinyatakan di atas. Jika anda mempunyai parut jerawat yang timbul, anda sudahpun mempunyai kolagen yang berlebihan di kawasan tersebut.

Tambahan lagi, sesetengah kajian juga telah menyatakan bahawa kesan bagi microneedling adalah lebih baik jika digabungkan dengan vitamin C.

Berbeza dari rawatan pembetulan kulit yang invasif seperti rawatan laser, microneedling dianggap selamat untuk tona kulit yang lebih gelap. Ini kerana ia tidak merosakkan atau mengeluarkan lapisan luar kulit. Microneedling juga dianggap selamat untuk kulit nipis dan sensitif.

Sumber

https://www.healthline.com/health/acne-scars

https://www.medicalnewstoday.com/articles/324784

https://www.everydayhealth.com/acne/remove-acne-scars.aspx

https://www.mayoclinic.org/diseases-conditions/acne/expert-answers/acne-scars/faq-20058101

Summary
Cara Terbaik Untuk Menghilangkan Parut Jerawat
Article Name
Cara Terbaik Untuk Menghilangkan Parut Jerawat
Description
Bintik-bintik gelap akibat Jerawat digelar sebagai Parut Jerawat. Untuk menghilangkannya, anda perlu memahami puncanya terlebih dahulu.
Publisher Name
Ceria Sihat
Tagged: