cara qada solat

Qada ( قضاء ) bermaksud menunaikan solat diluar waktunya. Terdapat cara qada solat untuk melakukannya. Qada Solat ini adalah bertujuan menggantikan solat yang tertinggal.

Mazhab as-Syafi’e ada menyatakan bahawa seseorang dikira sempat menunaikan solat secara tunai sekiranya dia mampu menghabiskan rakaat yang pertama dalam waktu solat tersebut. Namun apabila sebaliknya hendaklah individu tersebut melaksanakan solat secara qada apabila sudah terlepas waktunya.

Solat yang telah ditinggalkan hendaklah diganti pada waktu yang lain. Bagi orang yang berada dalam keadaan tertidur, gila dan hilang akal ketika murtad diwajibkan untuk mengqadakan solatnya.

Hukum Qada Solat

Muslimin dan muslimat yang meninggalkan solat secara sengaja ataupun tidak sengaja adalah WAJIB menqadakan solat waktu yang telah mereka tinggalkan.

Ibn Mas’ud R.A ada menceritakan bahawa ketika Perang Khandak, Rasulullah SAW telah disibukkan dengan serangan Musyrikin sehingga terbenam matahari sedangkan Baginda tertinggal solat empat waktu. Kemudian Baginda Nabi SAW meminta Bilal melaungkan azan, dan Rasulullah berdiri menunaikan solat Zuhur, kemudian Asar, kemudian Maghrib dan seterusnya Isyak (Riwayat al-Tirmizi, al-Nasa’i dan Ahmad)

Walaupun Allah memberikan kemudahan kepada kita untuk menqada solat tetapi hukum melengah-lengahkan solat tanpa keuzuran (dengan sebab yang benar-benar mendesak), apalagi diluar waktunya, adalah berdosa besar. Dosa meninggalkan solat hanya dimansuhkan dengan mengqadakan solat yang ditinggal. Bagi muslim yang melakukannya hendaklah bertaubat dengan sebenar-benar taubat untuk tidak mengulanginya.

Niat Qada Solat

  • Niat qada solat subuh

 Usolli Fardhos-Subhi Rak’ataini Qadaan Lillahi Ta’ala

Sahaja aku Solat Fardu Subuh dua rakaat qada’ kerana Allah Ta’ala”

  • Niat Qada Solat Zuhur

Usolli Fardhoz-Zuhri Arba’a Raka’atin  Qadaan Lillahi Ta’ala

Sahaja aku solat fardu Zuhur empat rakaat qada’ kerana Allah Ta’ala”

  • Niat Qada Solat Asar

Usolli Fardhol Asri Arba’a Raka’atin Qadaan Lillahi Ta’ala

Sahaja aku solat fardu Asar empat rakaat qadha’ kerana Allah Ta’ala

  • Niat Qada Solat Maghrib

Usolli Fardhol Maghribi Salasa Raka’atin Qadaan Lillahi Ta’ala

Sahaja aku solat fardu maghrib tiga rakaat qada’ kerana Allah Ta’ala”

  • Niat Qada Solat Isyak

Usolli Fardhol isya’i Arba’a Raka’atin Qadaan Lillahi Ta’ala

Sahaja aku solat fardu Isyak empat rakaat qada’ kerana Allah Ta’ala”

Cara Qada Solat Yang Tertinggal

Muslim yang yang telah meninggalkan solat adalah wajib untuk mengqada (menggantikan) solatnya itu dengan segera. Bahkan dibenarkan orang tersebut menunaikan solat pada waktu yang diharamkan solat (waktu tahrim) seperti selepas asar, selepas subuh dan sebagainya.

Cara mengqadakan solat adalah seperti berikut:

1. Solat yang ditinggalkan sewaktu musafir hendaklah diqadakan selepas habis tempoh musafir, maka perlu diqadakan solat secara sempurna (tidak boleh diqasar dan jamak).

2.Solat yang ditinggalkan ketika musafir dan hendaklah diqada ketika masih dalam tempoh musafir.

Solat juga boleh di qada ketika bermusafir pada waktu lain, secara sempurna atau diqasar.

(terdapat khilaf mengenai perkara ini dalam kalangan beberapa ulama)

3.Solat yang ditinggalkan ketika menetap (bermukim) wajib diqada secara sempurna (tamam) dan tidak boleh diqasar meskipun diqada ketika musafir.

4.Bacaan solat boleh dibaca dengan nyaring (untuk imam atau solat seorang diri) sekiranya waktu mengerjakan qada solat pada waktu malam iaitu selepas terbenam matahari hingga terbit matahari. Walaupun solat tersebut adalah bukan dari jenis solat yang dibaca nyaring (seperti Zuhur dan Asar). Namun berbeza bagi solat yang diqadakan pada waktu siang, iaitu sewaktu bermula dari terbit matahari hingga terbenam matahari  bacaan solat dibaca perlahan.

5.Tidak salah mengerjakan qada solat secara berjemaah apabila waktu itu terdapat dua orang atau lebih yang sama-sama mahu mengganti solat mereka.

6.Sunat mengerjakan qada solat secara tertib (mengikut urutan).

Contohnya solat qada Zuhur dahulu, kemudian baru solat qada Asar. Orang yang meninggalkan solat fardu Zuhur dan mahu mengqadanya dalam waktu Asar, sebaik-baiknya mengerjakan qada solat Zuhur dahulu sebelum mengerjakan solat Asar secara tunai.

Kecuali apabila waktu asar itu tinggal sedikit dan dikhuatiri habis waktu sebelum sempat menunaikan solat Asar, wajib untuknya menunaikan solat Asar dahulu diikuti dengan qada solat Zuhur.

Lupa Bilangan Solat Yang Tertinggal Lama

Ulama mazhab Syafi’e menetapkan bagi orang yang mempunyai terlalu banyak solat yang ditinggalkan sehingga tidak ingat atau tahu jumlahnya, hendaklah mengqadakan solat-solat tersebut sehingga diyakini semuanya telah diganti. Bagi muslim yang meninggalkan solat selama 20 atau 30 tahun wajib menggantinya sedikit demi sedikit berdasarkan kemampuannya. Ini dilakukan sehingga kita yakin semuanya telah diganti.

Contohnya:

Bagi seseorang yang telah meninggalkan solat selama 2 tahun boleh menggantikan setiap solat fardu yang ditinggalkan selepas solat tunai.

Misalnya selepas solat subuh ataupun sebelum, dan boleh menggantikan satu ataupun dua solat subuh yang ditinggalkan. Perkara ini dilakukan selama setahun ataupun dua tahun hingga yakin semua solat yang ditinggalkan sudah diganti. Sekiranya dia mampu melakukan lima solat waktu pada setiap waktu tunai, maka dia boleh melakukannya.

Waktu Qada Solat

Wajib untuk meqadakan solat dengan segera. Manakala harus hukumnya melewatkan qada solat apabila pada waktu yang sama seseorang itu berhadapan dengan keperluan lain yang lebih mendesak.

Contohnya dia terpaksa mencari nafkah untuk keluarga dan sebagainya. Dengan kata lain, walaupun sebaik-baiknya dilakukan sesegera mungkin, namun ada kelonggaran untuk mengerjakannya dalam tempoh waktu yang panjang.

Contohnya seorang muslim yang bertahun-tahun meninggalkan solat, insaf dan mahu menebus dosa-dosanya.Wajib untuknya mengerjakan solat lima waktu seperti biasa di samping berusaha mengqada solat yang ditinggalkan.

Apabila tidak pasti jumlahnya, perlu dilakukan solat qada sehingga dirasakan yang tanggungannya telah selesai. Dibolehkan mengqada satu atau lebih jenis solat pada setiap waktu solat. Sama ada selepas atau sebelum ditunaikan solat fardu. Sehingga dirasakan hutang solatnya dengan Allah SWT telah selesai.

Wanita yang haid dan nifas tidak wajib mengganti solat (qada) untuk waktu-waktu yang tertinggal semasa haid dan nifas itu. Tetapi ada beberapa situasi yang perlu diberi perhatian dalam perkara tersebut, iaitu wanita yang telah kering darahnya (haid dan nifas) dalam waktu-waktu tertentu iaitu waktu solat yang boleh dijamak dengan solat yang sebelumnya, seperti Zuhur yang boleh dijamak dengan Asar atau Maghrib dengan Isyak.

Maka wanita berkenaan mesti mengerjakan solat waktu tersebut secara tunai selepas mandi hadas (sekiranya sempat). Dia juga mesti mengerjakan secara qada untuk solat yang sebelumnya. Sebaliknya, apabila dia tidak sempat mengerjakan solat dalam waktu darahnya telah kering atau dia mandi hadas pada hujung waktu, maka dia wajib mengganti solat waktu yang tertinggal dan solat yang sebelumnya.

Dosa besar jika seseorang murtad iaitu keluar daripada agama Islam. Sekiranya dia telah kembali semula kepada Islam, wajib dia mengqada solatnya selama dia murtad. Bahkan wajib keatas  seseorang itu mengqada solatnya selama dia masih Islam sebelum dia murtad dahulu.

Hal ini disebabkan, apabila seseorang telah keluar daripada agama Islam, maka seluruh amalannya sebelum itu terbatal kecuali ibadah haji yang hanya terbatal kerana syirik yang berserta kematian.

Seorang yang minum minuman keras hingga mabuk dan tidak sedarkan diri, memandu dengan cara berbahaya dan berlaku kemalangan hingga tidak sedarkan diri, atau apabila dia melakukan apa-apa sahaja perkara yang membahayakan dengan sengaja hingga menyebabkan hilang akalnya wajib dia mengqada solatnya selama dia hilang akal setelah dia pulih. Akalnya hilang disebabkan perkara yang diharamkan, maka kewajipan tidak akan gugur daripadanya.

Tertib Ketika Menqadha’ Solat-Solat Yang Tertinggal

Disunatkan bagi seseorang untuk menqadha’ solat-solat yang ditinggalkan secara tertib iaitu menqadha’ solat subuh kemudian solat zohor, atau solat zohor kemudian solat asar dan seterusnya. Begitu juga diwajibkan bagi seseorang untuk menqadha’ solat yang ditinggalkan tanpa uzur syar’ie terlebih dahulu ke atas solat yang ditinggalkan kerana uzur syar’ie.

Berkata Imam Khatib al-Syirbini: “Dan disunatkan menjaga tertib pada solat-solat qadha’ yang ditinggalkan, maka hendaklah menqadha’ solat subuh terlebih dahulu kemudian solat zohor, dan hal ini supaya keluar daripada perselisihan ulama’ yang mewajibkan (tertib) tersebut”.

“Dan sekiranya berhimpun solat qadha’ yang ditinggalkan kerana uzur syar’ie dan solat yang ditinggalkan tanpa uzur syar’ie maka wajib ke atas seseorang menqadha’ solat yang ditinggalkan tanpa uzur syar’ie terlebih dahulu”. (Rujuk: Mughni al-Muhtaj, 1/308-309).

Oleh itu, di sisi mazhab Syafie hukum bersegera menqadha’ solat adalah wajib bagi orang yang meninggalkannya tanpa uzur syar’i dan sunat (menqadha’ solat) sekiranya seseorang meninggalkannya kerana uzur syar’ie. Dan keadaan demikian ialah ketika mana dia yakin tidak luput waktu solat fardhu tersebut. Justeru, berbalik kepada persoalan di atas, maka disunatkan untuk bersegera menqadha’ solat terlebih dahulu kemudian mengerjakan solat fardhu tunai, dan hal itu tidaklah wajib baginya kerana luput waktu solat tersebut disebabkan oleh uzur syar’ie.

Di sisi mazhab Syafie hukum bersegera menqadha’ solat adalah wajib bagi orang yang meninggalkannya tanpa uzur syar’i seperti tertinggal solat kerana sibuk bermain chess dan sunat (menqadha’ solat) sekiranya seseorang meninggalkannya kerana uzur syar’ie seperti tertidur atau lupa yang tidak melampaui batas.

Dan keadaan demikian ialah ketika mana dia yakin tidak luput waktu solat fardhu tersebut iaitu yakin mendapat sekurang-kurangnya satu rakaat daripada solat fardhu tunai dalam waktu tersebut.

Disunatkan menjaga tertib solat ketika menqadha’ solat-solat yang tertinggal seperti menqadha’ solat subuh terlebih dahulu kemudian solat zohor dan seterusnya.

Diwajibkan menqadha’ solat yang ditinggalkan tanpa uzur syar’ie terlebih dahulu daripada solat yang ditinggalkan kerana uzur syar’ie.

Semoga memberi pedoman dan bermanfaat. Wallahu’alam!

SUMBER:

https://akuislam.com/blog/ibadah/cara-qada-solat/#h-niat-qada-solat-subuh

https://muftiwp.gov.my/artikel/al-kafi-li-al-fatawi/4186-al-kafi-1608-mana-lebih-utama-mendahulukan-qadha-solat-fardhu-dahulu-atau-mengerjakan-solat-fardhu-tunai

https://www.muftiwp.gov.my/artikel/al-kafi-li-al-fatawi/1741-qada-solat-atau-solat-sunat-mana-lebih-utama

Summary
Cara Qada Solat Dan Tertibnya
Article Name
Cara Qada Solat Dan Tertibnya
Description
Qada ( قضاء ) bermaksud menunaikan solat diluar waktunya. Terdapat cara qada solat untuk melakukannya. Qada Solat ini adalah bertujuan menggantikan solat yang tertinggal.
Publisher Name
Ceria Sihat
Tagged: