CARA PAKAI TUDUNG BAWAL

Wanita Muslim di Malaysia kebanyakan bertudung di kepala dan ramai juga memakai tudung bawal. Pelbagai cara pakai tudung bawal di gayakan.

Di dalam Bahasa Melayu, terdapat pelbagai istilah yang merujuk kepada tudung. Antaranya,  selendang, kerubung, purdah, mini telekung, kelumbung, selubung, selayah, layah, burka, berguk, merguk, cedak, undung-undung, tukup, tutup kepala dan scarf merupakan antara nama-nama lain bagi merujuk kepada pemakaian tudung (Kamus Dewan Bahasa dan Pustaka, Edisi Kedua).

Oleh sebab itu, seiring dengan peredaran zaman, pelbagai fesyen tudung yang digayakan. Ada yang selesa dengan tudung ‘bawal’. Manakala sesetengah yang lain ingin tampil mudah dan cepat dengan mengenakan selendang atau ‘shawl’. Ada juga yang ingin tampil lebih trendy dengan tudung ala ‘turban’.

Sebelum pemakaian shawl atau selendang menjadi popular, kebanyakan wanita Islam di Malaysia mengenakan tudung Bawal. Terdapat tudung bawal diperbuat dari kain cotton, chiffon, satin dan satin silk. Tudung bawal berbentuk segi empat sama atau berbucu bulat/half-moon. Terdapat beberapa saiz atau bidang bagi tudung bawal. Antara nya bidang 45, bidang 50 dan bidang 60, bergantung kepada saiz atau kelebaran tudung bawal yang anda selesa.

Walau bagaimanapun pemakaian tudung bawal telah dipelbagai variasikan gaya pemakaiannya. Ada yang melilit ke belakang lalu diikat, ada yang melilit ke belakang kepala lalu di pin dan tidak kurang juga gaya sederhana dengan melekatkan pin pada dua sisi bahu si pemakai. Hal ini kadangkala menyebabkan tudung si pemakai kelihatan pendek lalu menonjolkan sebahagian dada.

Para wanita perlu diingatkan bahawa tujuan sebenar pemakaian kerudung di kepala adalah untuk mengikut kewajipan yang digariskan di dalam Al-Quran dan Sunnah Islam itu sendiri. Dalam Hadis Imam Abu Daud, Aisyah RA berkata, Rasulullah SAW bersabda mengenai batasan aurat wanita. Seperti yang tercatat dalam hadis itu, Asma binti Abu Bakar pergi menemui Rasulullah SAW dalam berpakaian nipis.

“Maka, Nabi Muhammad Rasulullah SAW berpaling daripadanya lalu berkata: “Wahai Asma! Sesungguhnya jika seseorang wanita itu telah mencapai masa haid (sudah baligh), tidak baik baginya jika ada bahagian tubuhnya yang terlihat kecuali ini (menunjukkan wajah dan telapak tangannya).“[3]

Pernyataannya itu selari dengan kandungan ayat 31, Surah an-Nur yang menjelaskan, wanita tidak boleh menzahirkan perhiasan tubuh, sebaliknya perlu melabuhkan tudung sehingga menutupi dada.

Di dalam Islam, wanita diibaratkan sebagai perhiasan. Ianya sebagai satu simbolik terhadap sesuatu kecantikan. Justeru bagi menjaga kecantikan tersebut, Allah telah memerintahkan supaya para wanita supaya menutup aurat dengan berpakaian tidak jarang, tidak nipis dan tidak ketat termasuk tudung yang tak menampakkan leher dan dada.

Di sini, kami lampirkan beberapa panduan ringkas memakai tudung bawal patuh syariah untuk panduan para wanita.

Tutup Dada

Tidak kisah apapun pilihan bidang kelebaran tudung bawal pilihan anda, pastikan tudung yang dipakai menutupi dada dengan sempurna. Sekiranya tudung yang dipakai bersaiz normal, elakkan daripada melilit tudung secara kompleks. Hal ini kerana ianya      akan menampakkan sebahagian dada si pemakai.

Memakai ‘inner

Sekiranya tudung bawal yang dipakai berkain agak nipis dan jarang, pastikan anda mengenakan ‘inner’. ‘Inner’ merupakan sehelai kain nipis berbentuk tudung pendek yang digunakan pada bahagian dalam tudung. Ianya bertujuan menghalang pandangan daripada melihat leher si pemakai. Terdapat beberapa gaya ‘inner’ yang dijual di pasaran pada hari ini. Samada ‘inner’ pendek yang melekap dikepala ataupun ‘inner’ nipis, kembang dan mempunyai saiz wajah yang panjang, pilihan terletak di tangan si pemakai untuk memilih ‘inner’ yang selesa mengikut pilihan masing-masing.

Memakai serkup kepala

Bagi mengemaskan pemakaian tudung bawal, pemakaian serkup adalah wajib. Bukan setakat mengemaskan drape tudung akan tetapi mengelakkan rambut daripada terkeluar.

Pada hari ini, terdapat banyak tutorial yang mengajar cara-cara memakai dan menggayakan pelbagai jenis tudung di internet. Tiada alasan untuk tidak belajar dan tidak tahu. Yang ada hanyalah kemahuan yang kuat untuk berubah kearah yang lebih baik.

  Islam tidak menghalang seseorang itu untuk tampil kemas dan cantik pada luaran akan tetapi citra yang ingin ditonjolkan tersebut perlulah tidak berlebihan. Oleh itu, pemakaian tudung Bawal yang menjadi kebiasaan dan keselesaan oleh sebahagian wanita Islam Malaysia, wajib bertepatan dengan syariat Islam itu sendiri.

SUMBER:

https://malaysiagazette.com/2020/07/21/wanita-melayu-dan-hijab-dari-perspektif-sejarah/

https://needacollection.com/perbezaan-tudung-bawal-dan-tudung-shawl/

https://sinarplus.sinarharian.com.my/agama/bertudung-tidak-mengikut-syariat/

Summary
CARA PAKAI TUDUNG BAWAL PATUH SYARIAH
Article Name
CARA PAKAI TUDUNG BAWAL PATUH SYARIAH
Description
Wanita Muslim di Malaysia kebanyakan bertudung di kepala dan ramai juga memakai tudung bawal. Pelbagai cara pakai tudung bawal di gayakan.
Publisher Name
Ceria Sihat
Tagged: