mengawal kemarahan
Mengawal kemarahan sewaktu PKP sangat penting kerana ini saat sangat sukar bagi seluruh warga Malaysia.

Mengawal kemarahan sewaktu PKP sangat penting kerana ini saat sangat sukar bagi seluruh warga Malaysia yang terpaksa duduk kekal di rumah. Dengan majoriti rakyat perlu berada di rumah untuk mengamalkan penjarakan sosial dan membantu mengurangkan penularan COVID-19, ibu bapa mendapati diri mereka berada dalam keadaan tertekan.

Meluangkan masa berhari-hari sebagai penjaga utama anak anda boleh menjadi satu tugas yang sukar, tambahan lagi dengan tanggungjawab pekerjaan, kebimbangan mengenai kewangan, anak-anak yang aktif, di samping ketakutan terhadap virus itu sendiri dan segala penderitaan yang disebabkan olehnya. Jadi, adalah tidak mustahil jika ramai individu sukar untuk menyesuaikan diri dan bertahan dalam keadaan ini.

Tekanan dalam kalangan ibu bapa boleh membawa kepada perasaan marah

Sekiranya anda berasa sangat tertekan pada waktu ini, anda tidak keseorangan. Jika semua tekanan ini membuatkan anda mudah marah, ia boleh difahami. Tempoh sebegini tidak dapat dielakkan dan ramai yang menyedari bahawa kesihatan mental mereka tejejas.

Tekanan boleh membuatkan anda hilang sabar dengan mudah. Anda mungkin cepat marah dan menjerit dengan lebih kerap. Malah, anda juga mungkin menghadapi masalah untuk mengawal kemarahan anda.

Walaupun marah adalah sejenis reaksi emosi yang boleh difahami terhadap tekanan, adalah penting untuk anda tidak terbawa-bawa dengan perasaan tersebut.

Menaikkan suara terhadap anak-anak anda sekali-sekala tidak mengapa. Walau bagaimanapun jika anda terlalu kerap memarahi anak-anak dengan tengkingan, memalukan mereka, dan mencipta persekitaran hidup yang menakutkan, ia boleh memberi kesan berpanjangan kepada anak-anak anda. Selain itu, memukul dan hukuman korporal juga didapati boleh menjejaskan anak-anak anda.

Kadangkala, kemarahan juga boleh mengambil alih diri anda. Apabila perkara ini berlaku, anda perlu mencari cara untuk menguruskannya dengan serta-merta. Berita baiknya adalah, dengan cara mengetahui kemarahan anda sebagai satu masalah, anda boleh mengatasinya. Daripada itu, anda boleh berusaha untuk mencari kaedah yang lebih sihat untuk menyesuaikan diri, yang kemudiannya boleh memberi manfaat kepada anda dan anak-anak anda.

1. Memahami dan mengenalpasti pencetus kemarahan

Langkah pertama dalam mengawal kemarahan anda adalah memahaminya, menyedarinya dan mengenalpasti perkara yang mencetuskannya.

Kemarahan adalah keadaan perasaan negatif yang dikaitkan dengan pemikiran permusuhan, rangsangan fisiologi dan tingkah laku maladaptif.

Kemarahan bukan melibatkan keadaan emosi sahaja. Anda boleh berasa marah sebagai reaksi fizikal daripada dalam badan yang boleh disebabkan oleh hormon “lawan atau lari” seperti adrenaline. Kadangkala, anda mungkin mengalami tindakbalas tersebut sebelum anda mengetahuinya.

Kebiasaannya, perasaan marah berkembang akibat tindakbalas kepada perbuatan dan tingkahlaku individu yang rapat dengan diri anda, sebagai contoh, pasangan atau anak-anak anda. Jika anda mempertimbangkan fakta tersebut, adalah tidak mustahil anak-anak anda mudah membuat anda marah.

– Simptom kemarahan:

  • Denyutan nadi yang laju
  • Fikiran yang tidak menentu
  • Fikiran ingin membalas dendam
  • Tekanan otot dan sakit kepala
  • Meninggikan suara dan bergaduh
  • Menggenggam penumbuk
  • Keganasan fizikal

2. Kenali diri anda

Kemarahan adalah berbeza bagi setiap individu. Segelintir individu cenderung melampiaskannya kepada orang lain atau hilang kawalan apabila kemarahan mengambil alih diri mereka, namun anda mungkin tidak mempunyai sifat-sifat tersebut.

Memahami dan mengawal kemarahan anda boleh membantu mengatasinya. Setelah anda menyedari bagaimana kemarahan anda bermula, anda boleh melihat dengan lebih jelas akan pencetusnya.

Apabila dikaitkan dengan anak-anak anda, terdapat pelbagai situasi yang boleh mencetus kemarahan termasuklah:

  • Apabila anak anda tidak mendengar kata
  • Apabila anak anda membuat sepah, bising dan tidak boleh mengawal emosi mereka
  • Apabila anak anda bertingkahlaku buruk di depan orang ramai dan anda dilihat seperti ibu bapa yang kurang baik
  • Apabila anak anda tidak mahu makan makanan yang telah disediakan atau tidak mahu memakai pakaian, mengemas bilik dan sebagainya.
  • Apabila anak anda melampiaskan kemarahan kepada diri anda atau tidak menghormati anda
  • Lain-lain keadaan

Kanak-kanak sering menunjukkan emosi mereka sewaktu mereka mengalami tekanan tersendiri (seperti dikuarantin daripada bertemu kawan-kawan, keluarga dan rutin harian biasa). Perangai buruk mereka itu, boleh mencetuskan kemarahan bagi ibu bapa yang tertekan.

Memahami tingkahlaku anak yang mencetuskan kemarahan boleh membantu anda mengenalpasti kaedah paling berkesan untuk mengawal kemarahan anda.

Tip mengawal kemarahan

Tips pertama untuk mengawal kemarahan anda ialah dengan menyedari situasi yang mencetuskan kemarahan anda. Ini juga bermaksud anda mengambil langkah-langkah proaktif dalam hidup untuk mengawal kemarahan anda dan mempunyai medium yang sesuai untuk membantu anda mengawalnya setiap kali ia berlaku.

– Mendapatkan sokongan daripada ibu bapa lain

Kadangkala, kesusahan anda dengan anak-anak boleh membuatkan anda berasa sunyi. Anda mungkin akan mula berfikir bahawa anda memiliki anak yang sangat teruk dalam dunia ini. Fikiran sebegini boleh meningkatkan tekanan dan kemarahan anda.

Bercakap mengenai pengalaman anda dengan orang lain boleh menenangkan diri anda bahawa anda tidak bertarung seorang diri. Ramai lagi ibu bapa lain yang mengalami keadaan yang sama seperti anda.

– Melepaskan kesempurnaan

Kehidupan sebagai ibu bapa bermaksud anda perlu menguruskan banyak perkara yang tidak boleh dikawal. Namun, pada masa yang sama, kebanyakan individu memiliki idea tentang ‘keluarga yang sempurna’ dan anda berusaha serta bersusah payah untuk menjadikan keluarga anda sebegitu.

Keadaan ini boleh mengakibatkan kekecewaan dan harapan yang tidak tercapai, di mana kesemuanya boleh mencetuskan kemarahan anda. Jika anda boleh menerima realiti bahawa kehidupan sebagai seorang ibu bapa boleh menjadi tidak teratur dan tidak dijabgka, perubahan perspektif ini boleh mengurangkan tekanan anda.

– Meluahkan perasaan anda

Anda lebih cenderung untuk marah sekiranya anda membendung semua perasaan anda sendiri. Kemarahan cenderung berlaku akibat letusan perasaan yang dibendung tersebut. Semakin banyak anda meluahkan perasaan anda adalah lebih baik.

Berjumpa dengan ahli terapi juga boleh menjadi sesuatu yang berguna. Selain itu, rancang rutin mingguan atau harian bersama seseorang yang dipercayai juga boleh membantu anda.

– Refleksi diri sebelum bertindak

Kadangkala, apa yang diperlukan untuk menghentikan keparahan reaksi marah anda ialah denagn berhenti seketika dan tarik nafas dalam-dalam. Apabila anda telah memiliki pemahaman yang sepatutnya mengenai kemarahan anda, anda boleh mula memikirkan tindakbalas anda terhadapnya.

– Mengambil angin seketika

Dalam sesetengah keadaan, perasaan marah anda mengambil-alih diri anda dan saat itu, tidak banyak perkara yang boleh dilakukan untuk menghentikannya. Sekiranya anda berasa seperti anda hampir memarahi terhadap anak anda, adalah ‘okay’ untuk meninggalkan bilik tersebut buat beberapa saat (sehingga anak anda selamat).

Jika ada individu dewasa lain di sekeliling, minta tolong mereka memerhatikan anak-anak anda sewaktu anda mengambil angin segar di luar rumah. Disamping memastikan anak anda selamat dan tidak berada dalam ketakutan, meninggalkan bilik tersebut kadangkala adalah pilihan terbaik buat mereka.

Adalah penting untuk anda berusaha membina teknik mengawal kemarahan dan penjagaan diri anda sendiri, tetapi terdapat juga perkara yang anda boleh lakukan untuk membuatkan suasana rumah anda lebih harmoni. Melakukan perubahan tersebut boleh menurunkan tahap tekanan setiap individu sewaktu tempoh yang mencabar ini.

– Struktur, struktur, struktur

Adalah penting untuk membina struktur dalam kehidupan berkeluarga, walaupun dalam keadaan yang tidak dijangka ini. Kanak-kanak bergantung pada rutin dan biasanya bertingkahlaku lebih baik jika hidup mereka boleh dijangka.

Walaupun anda tersekat dan terpaksa berada di rumah selama beberapa bulan, anda masih boleh mengikuti rutin harian yang sama. Sebagai contoh, pastikan anak anda sentiasa mematuhi waktu tidur dan bangun dari tidur.

Anda tidak semestinya mengikuti 100% jadual tersebut setiap hari, tetapi mempunyai hala tuju harian yang teratur boleh menguruskan emosi semua orang.

– Sentiasa pantau emosi harian anda

Bukan diri anda sahaja yang memerlukan pemantauan emosi, anak anda turut memerlukannya terutamanya apabila mereka menghadapi perubahan hidup dan berjuta pertanyaan yang tidak diketahui. Malah, anda juga boleh bercakap mengenai emosi bersama anak anda yang paling muda.

Peranan utama anda sebagai seorang ibu bapa adalah untuk menjadi pendengar yang baik. Biarkan anak anda tahu bahawa emosi mereka adalah penting. Seorang kanak-kanak yang berasa didengari akan lebih gembira dan berperangai baik. Hal ini akan membuatkan hidup anda lebih mudah.

SUMBER

https://www.hmetro.com.my/sihat/2020/05/573954/mengurus-emosi-mental-ketika-pkp

http://www.astroawani.com/gaya-hidup/peranan-ibu-bapa-terhadap-anak-semasa-pkp-236366

Summary
Cara Mengawal Kemarahan Sewaktu PKP
Article Name
Cara Mengawal Kemarahan Sewaktu PKP
Description
Mengawal kemarahan sewaktu PKP sangat penting kerana ini saat sangat sukar bagi seluruh warga Malaysia.
Publisher Name
Ceria Sihat
Tagged: