Solat Sunat Awwabin

Solat sunat awwabin, perkataan awwabin membawa maksud orang-orang yang bertaubat dan kembali kepada Allah s.w.t, dalam keadaan penuh dengan keikhlasan dalam ketaatan mereka terhadapNya dan meninggalkan perkara yang terdorong dengan hawa nafsu insani semata-mata keranaNya.

Nama lain bagi solat ini adalah solat sunat Ghaflah (kelalaian) kerana orang muslim melaksanakannya dengan bertaubat, mengingati serta kembali kepada Allah SWT tatkala ada orang lain yang masih lalai dari mengingatiNya pada waktu tersebut kerana sibuk melakukan perkara sampingan.

Seperti menjamu selera ataupun kerana kesibukan menyediakannya, beristerirehat, tidur dan sebagainya. Para sahabat Rasullullah yang mengerjakan solat sunat awwabin ini antaranya ialah Abdullah bin Mas‘ud, Abdullah bin ‘Amru, Salman Al-Farisi, Abdullah bin ‘Umar dan Anas bin Malik r.a.

Waktu untuk mengerjakan solat awwabin

Solat Awwabin dilaksanakan diantara waktu Maghrib dan Isya’, iaitu selepas solat sunat Ba’diah atau adalah lebih baik dilaksanakan sebaik sahaja selesai solat sunat ba’diah maghrib tanpa bercakap-cakap dan berakhir setelah masuknya solat fardhu Isya’.

Untuk pengetahuan anda, ulama ada menyatakan waktu di antara dua sembahyang fardhu Maghrib dan Isya’ adalah waktu yang paling baik melakukan solat sunat kerana itu adalah antara waktu yang paling mulia untuk dipenuhi dengan amal ibadat dan menjauhi perkara-perkara yang lalai seperti merenung smartphone, menonton ataupun sembang kosong.

Fadilat solat

Terdapat hadis yang menyatakan pahalanya sama dengan beribadah selama 12 tahun,

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ قَالَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ مَنْ صَلَّى بَعْدَ الْمَغْرِبِ سِتَّ رَكَعَاتٍ لَمْ يَتَكَلَّمْ فِيمَا بَيْنَهُنَّ بِسُوءٍ عُدِلْنَ لَهُ بِعِبَادَةِ ثِنْتَيْ عَشْرَةَ سَنَةً

Dari Abu Hurairah RA, Nabi SAW telah bersabda; “Sesiapa yang bersembahyang enam rakaat sesudah Maghrib tiada diselang antaranya dengan sesuatu bicara nescaya samalah pahalanya dengan ibadat dua belas tahun.” (Riwayat Ibnu Majah, Ibn Khuzaimah dan At-Tarmizi)

Kaifiyat solat

Anda boleh memilih untuk melaksanakan solat ini sebanyak 4 rakaat (2 salam) atau 6 rakaat (3 salam). Turut terdapat doa yang sunat dibaca sebelum melaksanakan solat awwabin

Daripada Abu Hurairah r.a katanya, Rasulullah SAW bersabda:

Sesiapa yang solat selepas Maghrib enam rakaat, maka disamakan untuk orang itu ibadah selama 12 tahun – Riwayat Tirmizi

Cara melaksanakan solat sunat Awwabin

Lafaz niat pada 2 rakaat pertama

Lafaz niat

أصَلِّي سُنَّةَ حِفْظِ الِإيْمَانِ مَعَ الأَوَّابِينَ رَكَعَتَيْنِ لِلهِ تَعالىَ

Sahaja Aku solat sunat Awwabin serta memelihara iman, 2 rakaat kerana Allah Taala

Bacaan surah yang dianjurkan selepas membaca Al-Fatihah pada rakaat pertama adalah:

  • Surah Al-Qadr sekali
  • Surah Al-Ikhlas 6 kali
  • Surah Al-Falaq sekali
  • Surah An-Naas sekali

Doa selepas solat

اَللَّهُمَّ إِنِّي أَسْتَوْدِعُكَ إِيْمَانِي فِي حَيَاتِي وَعِنْدَ مَمَاتِي وَبَعْدَ مَمَاتِي

فَاحْفَظْهُ عَلَيَّ إِنَّكَ عَلَى كُلِّ شَئٍ قَدِير

Ya Allah! Sesungguhnya Aku menyerahkan imanku kepada peliharaan Mu, maka imanku itu,semasa hidupku, semasa matiku, dan selepas matiku. Sesungguhnya Engkau Maha Kuasa atas segala sesuatu.

Pada 2 rakaat yang kedua

Lafaz niat

أصَلِّي سُنَّةَ َ الأَوَّابِينَ رَكَعَتَيْنِ لِلهِ تَعالىَ

Sahaja aku solat sunat awwabin 2 rakaat kerana Allah Ta’ala.

Selepas membaca Al-Fatihah pada rakaat pertama, bacalah surah Al-Kaafirun, dan pada rakaat yang kedua, bacalah surah Al-Ikhlas selepas membaca Al-Fatihah.

Pada 2 rakaat yang ketiga

Lafaz niat

أصَلِّي سُنَّةَ الأَوَّابِينَ مَعَ الإِسْتِخَارَةِ رَكَعَتَيْنِ لِلهِ تَعالىَ

Sahaja aku solat sunat awwabin serta istikharah 2 rakaat kerana Allah Taala

Bacaan surah Selepas membaca Al-Fatihah pada rakaat pertama, bacalah surah Al-Kaafirun, dan pada rakaat yang kedua, bacalah surah Al-Ikhlas selepas membaca Al-Fatihah.

Kelebihan Solat Sunat Awwabin

Terdapat hadis yang diriwayatkan oleh Rabi‘ah bin Ka‘ab al-Aslami, bahwasanya Rasulullah Sallallahu ‘alaihi Wasallam telah bersabda kepadanya yang maksudnya: “Pohonlah sesuatu (kepadaku). Lalu aku (Rabi‘ah) berkata: Aku memohon kepada Tuan untuk menemani Tuan di syurga. Lalu Baginda bersabda: Ada lagi? Lalu aku (Rabi‘ah) menjawab: Itu sahaja. Baginda bersabda: Bantulah aku (untuk memperbaiki) dirimu dengan memperbanyakkan sujud (sembahyang sunat).” – Hadis riwayat Imam Muslim

Imam Ahmad pula meriwayatkan daripada Abu Hurairah, bahwasanya Rasulullah Sallallahu ‘alaihi Wasallam telah bersabda yang maksudnya,

“Sesungguhnya yang pertama sekali akan dihisab segala amal perbuatan manusia pada hari kiamat ialah tentang sembahyangnya. Allah berfirman kepada MalaikatNya, sedang Dia Lebih Mengetahui: Periksalah sembahyang hambaKu, apakah cukup ataupun kurang? Kalau cukup catatlah cukup, dan kalau kurang (sembahyang fardhu mereka), maka Allah berfirman lagi: Periksalah adakah hambaKu ini mempunyai amalan (sembahyang) sunat? Jika ternyata terdapat amalan sembahyang sunatnya, lalu Allah berfirman lagi: Cukupkanlah kekurangan sembahyang fardhu hambaKu itu dengan amalan sembahyang sunatnya. Kemudian diperhitungankanlah amal perbuatannya itu menurut cara sedemikian.”– Hadis riwayat Imam Ahmad

Sesungguhnya Allah SWT amat sayang kepada hambaNya. Kita sebagai hamba perlulah berasa bersyukur dan menghargai masa dan nikmat yang telah Allah SWT kurniakan kepada kita. Alangkah indahnya kehidupan akhirat kita jika kita hidupkan amalan yang berguna di dunia ini. Sesungguhnya jalan ke syurga itu lebih mudah berbanding ke neraka. Wallahu’alam!

SUMBER:

http://kembara-ilmu-cinta-ilahi.blogspot.com/2011/09/himpunan-solat-sunat.html

https://shafiqolbu.wordpress.com/solat-sunat/solat-sunat-awwabin/

https://akuislam.com/blog/ibadah/solat-sunat-awwabin/

Summary
Cara Melakukan Solat Sunat Awwabin
Article Name
Cara Melakukan Solat Sunat Awwabin
Description
Solat sunat awwabin, perkataan awwabin membawa maksud orang-orang yang bertaubat dan kembali kepada Allah s.w.t, dalam keadaan penuh dengan keikhlasan dalam ketaatan mereka terhadapNya dan meninggalkan perkara yang terdorong dengan hawa nafsu insani semata-mata keranaNya.
Publisher Name
Ceria Sihat
Tagged: