diet suku suku separuh
Sudah banyak kaedah yang boleh mengajar anda cara untuk mengamalkan gaya hidup lebih sihat termasuklah mengikuti diet tertentu mahupun bersenam secara kerap.

Sudah banyak kaedah yang boleh mengajar anda cara untuk mengamalkan gaya hidup lebih sihat termasuklah mengikuti diet tertentu mahupun bersenam secara kerap. Bagi pilihan diet yang ada di luar sana, anda pasti khuatir cara untuk memilih diet yang bersesuaian dengan keadaan anda sekarang.

Antara diet yang ada termasuklah diet keto, diet paleo, diet vegan dan bermacam lagi dengan setiap satunya mempunyai kaedah pemakanan yang berbeza. Terdapat juga satu diet iaitu diet suku-suku separuh yang sudah semakin terkenal dalam kalangan masyarakat di negara kita. Ia dikatakan telah membantu ramai individu mengurangkan berat badan dengan berkesan dalam tempoh yang tidak begitu lama.

Jadi, jom lihat lebih lanjut tentang diet suku suku separuh ini.

Apakah itu “Diet Suku Suku Separuh”?

Pemakanan harian kita haruslah seimbang, bervariasi serta tidak terlalu banyak atau terlalu sedikit. Sebenarnya, diet ini adalah berdasarkan ‘Malaysia Healthy Plate’ yang direka bagi membantu masyarakat makan secara sihat dengan kepelbagaian kumpulan makanan yang diperlukan. Malah, ia direka sendiri oleh Bahagian Pemakanan dari Kementerian Kesihatan Malaysia.

Kaedah ‘Malaysia Healthy Plate’ direka sebagai medium untuk memudahkan lagi pemahaman masyarakat tentang Garis Panduan Diet Malaysia 2010 serta Piramid Makanan Malaysia 2010. Dengan visualnya yang menarik, ia berharap akan menarik perhatian pembaca bagi membantu dalam perancangan pelan pemakanan lebih sihat dengan menitik beratkan aspek:

  • Meningkatkan pengambilan sayur-sayuran dan buah-buahan
  • Mengawal saiz makanan bagi makanan berasaskan karbohidrat
  • Menggalakkan pemakanan berasaskan produk bijirin penuh
  • Memastikan pengambilan sumber protein yang mencukupi
  • Menggalakkan pengambilan air kosong
  • Mengurangkan makanan yang mengandungi lemak, gula dan garam

Bagaimana untuk mengikuti diet ini?

Secara amnya, anda harus mengawal bahagian makanan ke dalam tiga bahagian yang berasingan seperti namanya “Diet Suku Suku Separuh”. Kemudian, penuhi pinggan anda dengan betul mengikut kumpulan makanan di bawah.

1. Karbohidrat – suku pinggan

Suku bahagian pinggan anda seharusnya dipenuhi dengan makanan berasaskan karbohidrat. Sebagai rakyat Malaysia, sumber karbohidrat yang paling sinonim pastilah nasi bukan? Jika diambil dalam jumlah begini, pastinya ia dilihat tidak mengenyangkan kerana sudah terbiasa mengambilnya mengikut kemahuan anda.

Tapi, selain nasi, anda juga boleh mengambil makanan seperti roti, mi, oat, pasta dan lain-lain lagi. Jadi, variasikan pilihan makanan yang anda ada dan anda mungkin akan terlepas pandang dengan saiz makanan bagi kumpulan makanan ini. Karbohidrat hanya boleh diambil dalam saiz kecil kerana ia boleh menyumbangkan banyak kalori bagi setiap hidangan yang mana ianya tidak baik buat kandungan badan kita. Justeru itu, pastikan bahagian karbohidrat anda tidak melebihi yang sepatutnya.

2. Protein – suku pinggan

Sekarang, bahagian lauk pula. Pastikan bahagian protein juga dalam kadar yang sama seperti kumpulan karbohidrat iaitu suku pinggan. Terdapat 2 jenis protein iaitu protein haiwan (daging, ikan, telur) dan juga protein tumbuhan. Anda disyorkan mengambil protein haiwan seperti ikan tetapi pilihan yang lebih sihat iaitu ikan salmon dan tuna berbanding ikan-ikan lain kerana kedua-dua ini lebih berkhasiat.

Bagi sumber daging pula, pastikan anda memilih bahagian dengan kurang lemak untuk mengurangkan pengambilan lemak tepu. Jika anda mahukan sumber protein berasaskan tumbuhan seperti soya, kekacang dan tauhu, pengambilan makanan sebegini lebih disyorkan berbanding protein haiwan. Namun, ia boleh ditentukan mengikut selera anda sendiri cuma pastikan ia bukanlah sumber protein yang sama berhari-hari.

3. Serat – separuh pinggan

Sebuah pinggan pastinya tidak lengkap tanpa kumpulan makanan seperti sayur-sayuran dan buah-buahan. Kedua-duanya sahaja sudah merangkumi separuh pinggan anda yang bermakna mereka merupakan kumpulan makanan yang penting bagi mendapatkan kesihatan yang baik. Penuhkan pinggang anda dengan sayuran berdaun seperti bayam, daun salad mahupun makanan seperti tomato, kacang panjang dan sumber-sumber sayuran lain.

Bagi buah-buahan pula, terlalu banyak buah yang bagus buat kita seperti tembikai, strawberi, epal dan lain-lain lagi jadi variasikan pemilihan makanan anda agar anda tidak berasa bosan. Ia mungkin tidak menjadi masalah bagi golongan dewasa namun lain pula ceritanya bagi kanak-kanak. Ramai kanak-kanak yang kurang menggemari 2 kumpulan ini terutamanya sayur-sayuran jadi cuba terapkannya dalam pemakanan mereka sebaik mungkin.

4. Air

Walaupun pengambilan air tidak termasuk dalam 3 bahagian pinggan anda, namun anda sememangnya digalakkan untuk minum air selepas makan. Namun, pastikan pilihan anda adalah air kosong bukannya air bergula seperti air soda, kopi, teh atau minuman lain. Mengambil air dengan cukup adalah penting bagi membantu badan melakukan prosesnya dengan lebih lancar.

JADI,

Secara amnya, konsep diet suku suku separuh ini tidakah begitu sukar untuk diamalkan. Ia mungkin agar sukar untuk diikuti dengan penuh disiplin pada mulanya, namun setelah anda terbiasa akannya, ia akan menjadi senang sahaja. Pastikan anda bertekad untuk mengikuti diet ini sebaik mungkin agar manfaatnya dapat diperoleh dengan baik.

Sekiranya anda mengalami kesan sampingan yang tidak dapat dijelaskan kesan daripada diet ini, berjumpa dengan doktor bagi rawatan lebih lanjut. Dapatkan juga pemahaman baik tentang diet ini sebelum anda memulakannya agar ia tidak memberi kesan negatif kepada anda dalam mana-mana aspek.

SUMBER

http://www.veasenutrition.com/blog/getting-to-know-the-healthy-plate

https://steemit.com/nutrition/@engzp/malaysia-healthy-plate-my-plate

https://www.healthxchange.sg/food-nutrition/food-tips/healthy-eating-what-should-you-put-on-plate

Summary
Cara Amalkan Diet Suku Suku Separuh
Article Name
Cara Amalkan Diet Suku Suku Separuh
Description
Diet suku-suku separuh sudah semakin terkenal dalam kalangan masyarakat dan dikatakan membantu ramai individu mengurangkan berat badan dengan berkesan.
Author
Publisher Name
Ceria Sihat
Tagged: