Apakah itu buah zakar
Buah zakar atau testis, dengan panggilan jamaknya iaitu ‘testes’ atau ‘testicles’ adalah organ yang menghasilkan sperma, sel pembiakan lelaki dan androgen (hormon lelaki). Pada manusia, buah zakar adalah sepasang organ berbentuk bujur.
Ia mempunyai dua fungsi yang sangat penting bagi sistem pembiakan lelaki iaitu menghasilkan ‘gametes’, atau sperma serta mengeluarkan hormon, terutamanya testosteron.
Anatomi buah zakar
Buah zakar, juga dikenali sebagai ‘gonad’ lelaki, terletak di belakang zakar di dalam kantung kulit yang disebut sebagai skrotum. Ia bergerak bebas di skrotum tetapi setiap buah zakar melekat pada dinding badan dengan tali nipis yang disebut tali spermatik, yang melewati rongga di pelvis dan ke perut.
Tali kod mengandungi saraf dan saluran darah untuk buah zakar dan juga ‘vas deferens’, yang membawa sperma dari buah zakar ke dalam uretra. Uretra adalah laluan ke bahagian luar badan bagi sperma semasa proses ejakulasi.
Seterusnya, organ ini terletak di luar badan dan dijaga pada suhu kira-kira 2°C lebih rendah daripada suhu teras badan. Ini berlaku kerana pengeluaran dan kualiti sperma adalah optimum pada suhu yang lebih rendah ini.
Bagaimana buah zakar berfungsi
Buah zakar mempunyai dua fungsi iaitu untuk menghasilkan sperma dan menghasilkan hormon, terutama testosteron.
Sperma dihasilkan dalam ‘seminiferous tubules’ bagi testis. Terdapat kira-kira 700 tiub ini di setiap testis, yang mana masing-masing adalah sepanjang sebelah lengan dan selebar beberapa hekai rambut.
Sebaik sahaja sperma dihasilkan, ia masuk ke dalam epididimis, tiub bergelung panjang di mana sperma menjadi matang ketika melalui di sepanjangnya. Ia kemudian bersedia untuk dilepaskan semasa proses ejakulasi melalui ‘vas deferens’.
Seterusnya, androgen utama yang dihasilkan oleh buah zakar adalah testosteron. Pengeluaran testosteron dirangsang oleh hormon ‘luteinizing’ (LH), yang dihasilkan oleh ‘anterior pituitary; dan bertindak melalui reseptor pada permukaan sel Leydig. Rembesan LH dirangsang oleh hormon pelepas gonadotropin (GnRH), yang dilepaskan dari hipotalamus, dan dikawal oleh testosteron yang juga menghalang rembesan GnRH.
Di samping itu, rembesan GnRH dan rembesan LH mesti berdenyut untuk mengekalkan pengeluaran testosteron yang normal. Pengeluaran GnRH secara berterusan boleh mengakibatkan penurunan rembesan LH serta penurunan rembesan testosteron.
Keadaan kesihatan biasa berkaitan buah zakar
Beberapa keadaan biasa yang mempengaruhi buah zakar termasuk kecederaan buah zakar, kilasan (torsion) buah zakar, kanser buah zakar, epididimitis, hipogonadisme dan banyak lagi.
Kecederaan buah zakar
Kecederaan pada organ ini boleh menyebabkan kesakitan yang teruk, lebam dan/ atau bengkak. Dalam kebanyakan kes, testis yang terhasil dari bahan ‘spongy’ dapat menyerap kejutan kecederaan tanpa kerosakan serius. Jenis trauma testis yang jarang berlaku, iaitu kepecahan buah zakar berlaku apabila buah zakar menerima pukulan langsung atau diramas ke tulang keras pelvis.
Kilasan buah zakar
Kilasan buah zakar berlaku apabila tali spermatik berpusing dan memutuskan bekalan darah ke testis. Ia adalah keadaan kecemasan perubatan yang memerlukan rawatan segera untuk menyelamatkan buah zakar. Walaupun pembedahan tidak menjamin bahawa buah zakar masih boleh diselamatkan, tidak menjalani rawatan dalam tempoh enam jam selepas kejadian biasanya selalu mengakibatkan kerosakan kekal yang memerlukan pembuangan testis.
Kanser buah zakar
Sekiranya ada kanser, ia berlaku apabila sel-sel di organ ini mengalami mutasi yang menyebabkannya “tidak berfungsi”. Sel-sel itu mungkin membahagi secara berlipat ganda secara melulu dan menyerang kawasan-kawasan di mana mereka tidak berada. Bagi kanser testis, proses ini biasanya menimbulkan ketulan atau ketegangan yang tidak menyakitkan dalam satu belah testis.
Epididimitis
Epididimitis adalah keradangan atau jangkitan epididimis, yang merupakan tiub panjang yang terletak di sepanjang testis. Ia boleh berlaku disebabkan penyakit kelamin, kecederaan, kesan sampingan dari vasektomi dan masalah lain. Gejala epididimitis mungkin termasuk sakit (dari ringan hingga teruk), pembengkakan buah zakar atau skrotum, mual dan muntah serta demam.
Hipogonadisme
Hipogonadisme adalah keadaan yang timbul apabila buah zakar tidak menghasilkan hormon testosteron yang mencukupi. Kekurangan testosteron pada lelaki boleh menyebabkan masalah seperti disfungsi ereksi, pengurangan keinginan terhadap hubungan seksual, kemandulan, osteoporosis, peningkatan tisu payudara, penurunan bulu badan dan janggut, kemurungan, keletihan dan kilat panas (hot flushes).
‘Hydrocele’
‘Hydrocele’ adalah penumpukan cecair di sekitar buah zakar. Ia boleh mempengaruhi satu atau kedua-dua belah buah zakar, dan boleh menyebabkan pembengkakan di kawasan skrotum dan pangkal paha. Selain itu, keadaan ini biasanya tidak menyakitkan atau berbahaya, dan mungkin tidak memerlukan rawatan. Namun begitu, sekali-sekala, ia dapat menyebabkan gejala selain pembengkakan, seperti sakit yang ringan, kelembutan, atau kemerahan pada skrotum.
‘Spermatocele’
‘Spermatocele’, atau dikenali sebagai sista spermatik adalah sista berisi cecair yang terbentuk di epididimis. Sista kecil ini biasanya tidak menyebabkan kesakitan. Sebaliknya, sista besar boleh menyebabkan rasa sakit atau rasa berat pada buah zakar yang terjejas dan bengkak di bahagian atas dan di belakang testis.
‘Orchitis’
‘Orchitis’ adalah keradangan pada satu atau kedua-dua bahagian buah zakar. Selalunya, ia berlaku disebabkan jangkitan bakteria atau virus. Beguk adalah penyebab ‘orchitis’ yang biasa. Jangkitan kelamin, seperti ‘gonorrhea’ dan ‘clamydia’, boleh menyebabkan keadaan ini apabila ia menyebabkan epididimitis (jangkitan epididimis).
Cara menjaga buah zakar anda
Cuba kaedah berikut untuk menjaga kesihatan buah zakar anda:
1. Lakukan ujian kendiri secara bulanan
Gulung setiap buah zakar di skrotum anda menggunakan jari anda. Periksa sekiranya ada benjolan dan kawasan yang bengkak atau lembut.
2. Mandi dengan kerap
Mandi setiap hari untuk menjaga kebersihan di seluruh kawasan kemaluan anda. Ini boleh mengurangkan risiko jangkitan yang boleh menyebabkan komplikasi lain. Pastikan kawasan zakar dan skrotum anda kering selepas mandi. Kelembapan yang terperangkap di kawasan ini dapat menjadi tempat pembiakan bakteria dengan cepat.
3. Pakai pakaian yang longgar dan selesa
Cuba elakkan memakai seluar dalam dan seluar yang ketat. Biarkan skrotum anda tergantung secara semula jadi dari badan untuk membantu menjaga suhu skrotum rendah dan mencegah berlakunya kecederaan.
4. Pakai perlindungan ketika melakukan hubungan seks
Pakai kondom semasa melakukan sebarang aktiviti seksual yang melibatkan zakar. Ini membantu mencegah penyakit kelamin yang boleh mempengaruhi skrotum dan buah zakar anda.
SUMBER
https://www.britannica.com/science/testis
https://www.livescience.com/58838-testicle-facts.html
https://www.beaumont.org/conditions/scrotal-testicular-conditions-types
https://www.yourhormones.info/glands/testes
https://www.healthline.com/health/human-body-maps/testis#health-tips