Borang Nikah
Foto: www.sbxs.com.my

Borang nikah adalah item yang paling mustahak untuk dilengkapkan, Jika tiada borang nikah, maka proses pernikahan yang rasmi tidak dapat dilangsungkan.

Umumnya, perkahwinan merupakan ikatan suci yang menghalalkan perhubungan antara lelaki dan perempuan. Ia suatu yang amat dituntut dalam Islam kerana menerusinya keperluan fitrah manusia dapat disalurkan secara halal selain bertujuan meneruskan zuriat dan keturunan bagi mendapat keredaan Allah SWT.

Terdapat lima rukun nikah, iaitu pengantin lelaki (suami), pengantin perempuan (isteri), wali, saksi dan lafaz (ijab dan qabul).

Justeru, upacara akad nikah merupakan upacara yang paling penting dalam majlis perkahwinan kerana menerusinya, ikatan antara seorang lelaki dan seorang perempuan menjadi sah sebagai pasangan suami isteri dan perhubungan antara mereka menjadi halal.

Prosedur Pentadbiran Perkahwinan

Kursus Pra Perkahwinan Modul Bersepadu Kursus Pra Perkahwinan Islam (MBKPPI)

Pendaftar Perkahwinan, Perceraian dan Ruju’ hendaklah memastikan pasangan bagi warganegara Malaysia yang mengemukakan permohonan mereka untuk mendapatkan kebenaran berkahwin telah menghadiri kursus dan memiliki Sijil Kursus Pra Perkahwinan MBKPPI.

Ujian Saringan HIV Di Klinik Kesihatan Kerajaan

Permohonan Kebenaran Berkahwin yang telah mendapat pengesahan dari Penolong Pendaftar hendaklah dihantar semula ke Jabatan Agama Islam ditempat masing-masing bersama dengan keputusan Ujian Saringan HIV yang telah disahkan oleh Pegawai Perubatan Kerajaan.

Sekiranya keputusan ujian adalah NEGATIF, proses permohonan kebenaran berkahwin akan diteruskan. Sekiranya keputusan HIV adalah POSITIF, maka:

  1. Pemohon perlu menjalani sesi khidmat nasihat di Jabatan Agama sebelum meneruskan permohonan kebenaran berkahwin.
  2. Pemohon, pasangan dan keluarga akan diberi pendedahan tentang implikasi HIV.
  3. Pemohon dan pasangan akan diminta membuat keputusan sama ada mahu meneruskan perkahwinan atau sebaliknya.
  4. Sekiranya pemohon dan pasangan membuat keputusan untuk meneruskan perkahwinan, maka permohonan kebenaran berkahwin akan diproses.
  5. Pemohon dan pasangan perlu merujuk kepada Pakar Perubatan Keluarga dan Klinik Penyakit Berjangkit untuk penjagaan kesihatan seterusnya.

Permohonan Untuk Kebenaran Berkahwin

Pengesahan Permohonan Berkahwin

  1. Penolong Pendaftar hendaklah memastikan pemohon yang membuat permohonan kebenaran berkahwin adalah tinggal atau bermastautin di kawasan kariahnya.
  2. Penolong Pendaftar hendaklah memastikan permohonan untuk berkahwin menggunakan borang yang ditetapkan.
  3. Penolong Pendaftar hendaklah memastikan borang permohonan atau borang nikah yang diberikan di isi dengan lengkap oleh pemohon.
  4. Penolong Pendaftar hendaklah memastikan borang permohonan kebenaran berkahwin dilampirkan bersama dokumen-dokumen berkaitan seperti berikut:
    • Salinan Sijil Kelahiran.
    • Salinan Kad Pengenalan.
    • Sijil Kursus Pra Perkahwinan MBKPPI
    • Keputusan Saringan HIV kedua-dua bakal pengantin.
    • Surat akuan teruna yang dikeluarkan oleh majikannnya atau surat akuan sumpah teruna sekiranya beliau tidak mempunyai majikan (jika pemohon seorang lelaki).
    • Surat perakuan cerai (jika pemohon bercerai hidup).
    • Surat perakuan mati (jika pemohon bercerai mati).
    • Surat akuan memeluk agama Islam (jika saudara baru).
    • Surat kebenaran daripada Jabatan polis (jika pemohon anggota polis).
    • Surat kebenaran dari angkatan Tentera (jika pemohon anggota tentera).
  5. Setelah berpuashati Penolong Pendaftar hendaklah mengesahkan status pemohon di dalam ruang yang disediakan dalam borang permohonan perkahwinan berkenaan.

Kebenaran Permohonan Berkahwin

  1. Pendaftar hendaklah menerima permohonan yang telah disahkan oleh penolong pendaftar kecuali bagi sub peraturan (iii).
  2. Pendaftar hendaklah memastikan borang perkahwinan diterima selewatnya tujuh hari sebelum tarikh perkahwinan yang dicadangkan.
  3. Pendaftar boleh menerima borang permohonan perkahwinan bagi kes-kes tertentu.
  4. Setelah berpuashati Pendaftar hendaklah mengeluarkan kebenaran berkahwin melalui catatan dalam borang permohonan bagi perkahwinan dalam negeri.
  5. Manakala bagi permohonan perkahwinan luar negeri dan tempat lain dikeluarkan melalui surat kebenaran.

Tempoh Sah Kebenaran Berkahwin

  1. Pendaftar hendaklah mengeluarkan kebenaran kahwin bagi tempoh sembilan puluh (90) hari dari tarikh dikeluarkan.
  2. Pendaftar boleh dengan permohonan melanjutkan tempoh sah kebenaran berkahwin selama sembilan puluh (90) hari lagi bagi kes-kes tertentu.
  3. Pendaftar hendaklah memastikan bahawa kebenaran berkahwin lanjutan dibuat dalam tempoh empat belas (14) hari dari tarikh tamat kebenaran berkahwin kali pertama.
  4. Pendaftar hendaklah memastikan permohonan lanjutan kebenaran berkahwin dibuat di pejabat Pendaftar di mana kebenaran asal dikeluarkan.
  5. Pendaftar hanya boleh menerima permohonan kebenaran berkahwin yang baru setelah tamat tempoh lanjutan kebenaran berkahwin.

Prosedur Pendaftaran Perkahwinan Pendaftaran Perkahwinan Dalam Negeri

  1. Selepas upacara nikah Pendaftar hendaklah mendaftarkan perkahwinan tersebut dengan segera sebagaimana yang ditetapkan oleh undangundang yang sedia ada.
  2. Pendaftar hendaklah mengeluarkan Surat Akuan Nikah dalam tempoh tiga puluh (30) hari dari tarikh pendaftaran perkahwinan.

SUMBER

https://www.sppim.gov.my/pdf/panduan/panduan_akad_nikah-2013

https://www.islam.gov.my/images/garis-panduan/Garis-Panduan-Bagi-Prosedur-Pentadbiran-Perkahwinan-Penceraian-dan-Ruju.pdf

Summary
Prosedur Pendaftaran Pernikahan Dan Borang Nikah
Article Name
Prosedur Pendaftaran Pernikahan Dan Borang Nikah
Description
Borang nikah adalah item yang paling mustahak untuk dilengkapkan, Jika tiada borang nikah, maka proses pernikahan yang rasmi tidak dapat dilangsungkan.
Publisher Name
CeriaSihat
Tagged: