penyebaran covid-19 oleh individu tanpa simptom
Bolehkah coronavirus disebarkan melalui individu yang tidak mempunyai sebarang simptom?

Penyebaran COVID-19 berlaku jika anda dijangkiti COVID-19. Tetapi, bolehkah anda menyebarkannya tanpa mempunyai sebarang simptom?

Akibat penularan wabak Coronavirus yang semakin meningkat di serata dunia, ia menimbulkan ketakutan terhadap semua individu dari pelbagai latar belakang masyarakat. Menurut Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO – World Health Organization), COVID-19, iaitu penyakit pernafasan yang disebabkan oleh coronavirus telah menyerang ratusan ribu orang di seluruh dunia.

Individu yang mempunyai COVID-19 telah menunjukkan barisan simptom yang hampir sama seperti selesema, termasuklah demam, batuk kering, keletihan, sakit tekak, sakit badan, dan sakit kepala. Dalam kes-kes yang lanjut, pesakit boleh mengalami kesukaran untuk bernafas. Selain itu, COVID-19 juga boleh membawa kepada komplikasi seperti pneumonia dan bronkitis.

Pada saat ini, pesakit dianggap sebagai sangat berjangkit apabila mereka menunjukkan banyak simptom COVID-19. Namun begitu, sesetengah penularan juga boleh berlaku sebelum seseorang menunjukkan simptomnya.

Akan tetapi, apabila kajian baru dikeluarkan, pihak pakar mula tertanya-tanya sama ada individu yang mempunyai simptom ringan atau tiada simptom langsung, merupakan penular utama wabak Coronavirus. Kini, ia dipercayai sebagai sejenis organisma yang sangat berjangkit.

Kebiasaannya, Coronavirus disebarkan melalui individu yang dijangkiti kepada individu lain melalui titisan pernafasan yang bertebaran ke udara apabila mereka batuk atau bersin. Titisan-titisan tersebut seterusnya dihidu oleh individu lain, secara tidak langsung menjangkiti mereka juga. Selain itu, Coronavirus juga boleh merebak melalui hubungan secara langsung seperti sentuhan atau bersalaman.

Malah, anda juga boleh mendapat virus ini apabila menyentuh permukaan yang tercemar dan menyentuh mulut, hidung dan mata sebelum anda membasuh tangan dengan sabun dan air. Walaupun ini bukanlah cara utama penularan wabak tersebut, pihak pakar tidak menafikan kemungkinannya.

Kajian yang dilakukan oleh The New England Journal of Medicine telah menemukan bahawa Coronavirus boleh hidup selama 3 jam dalam udara, 4 jam pada kuprum, sehingga 24 jam pada cardboard dan selama 2 hingga 3 hari pada plastik dan keluli tahan karat (stainless steel).

Berapa lamakah tempoh inkubasi bagi novel Coronavirus?

Tempoh inkubasi Coronavirus dianggarkan antara 2 hingga 14 hari. Maksudnya, seseorang boleh dijangkiti oleh virus ini selama 2 minggu sebelum mereka menunjukkan sebarang simptomnya. Secara purata, majoriti pesakit mempunyai tempoh inkubasi selama 10 hari.

Bolehkah seseorang menyebarkan Coronavirus sebelum mereka menunjukkan sebarang simptom?

Coronavirus, yang secara rasminya digelar sebagai SARS-CoV2, baru sahaja ditemui menjangkiti manusia dan masih banyak perkara yang tidak diketahui mengenainya. Walau bagaimanapun, kajian baru menunjukkan ciri-ciri impak penularan asimptomatik.

Sebagai contoh, laporan kes yang diterbitkan dalam New England Journal of Medicine menjelaskan bagaimana seorang wanita dari Shanghai pergi ke Jerman untuk lawatan bisnes pada tarikh antara 19 januari dan 22 Januari. Tetapi, beliau tidak mempunyai sebarang simptom COVID-19 pada waktu itu dan hanya sakit setelah berada dalam penerbangan balik ke China. Beliau hanya didiagnosis dengan COVID-19 pada tarikh 26 Januari.

Namun begitu, seorang ahli perniagaan yang bertemu dengan wanita tersebut pada tanggal 20 dan 21 Januari telah mula menunjukkan simptom Coronavirus pada 24 Januari. Beliau kembali bertugas pada 27 Januari dan kemudiannya disahkan positif COVID-19. Para penyelidik membuat kesimpulan bahawa penularan virus tersebut mungkin boleh berlaku daripada seseorang yang tidak menunjukkan sebarang petanda atau hanya menunjukkan simptom ringan jangkitan tersebut.

Dalam kajian yang disiarkan di medRxiv, dan masih belum diulas, para penyelidik menyatakan bahawa sebanyak 8% jangkitan yang telah dikaji di Singapura berkemungkinan ditularkan oleh individu yang tidak sakit atau masih belum didiagnosis dengan jangkitan tersebut. Di negara China, mereka percaya bahawa 62% kes berlaku disebabkan individu yang membawa Coronavirus tanpa sebarang simptom yang ketara.

Kajian baru yang telah diterbitkan dalam sebuah makalah Science, turut menemui majoriti kes di China disebarkan melalui “jangkitan yang tidak direkodkan” dalam tempoh sebelum negara terbabit menyekat perjalanan di daerah Hubei pada 23 Januari. Dalam kebanyakan kes jangkitan ini, ramai di antara mereka berkemungkinan tidak menunjukkan simptom yang teruk namun telah memudahkan penyebaran virus tersebut di seluruh China.

Penularannya dipercayai sebagai asimptomatik, terutamanya dalam kalangan golongan muda yang dijangkiti. Apa yang merisaukan adalah, mereka boleh menjangkiti orang lain. Coronavirus merupakan pandemik yang datang sekali dalam satu abad dan mengejutkan semua manusia. Angka pesakit yang terjejas tidak dapat dikawal dan amatlah membimbangkan.

Oleh sebab itu, setiap individu perlu mengikuti langkah-langkah mencegahnya dengan betul. Buat masa ini, vaksin masih belum dihasilkan, jadi, cara yang terbaik untuk mengurangkan risiko jangkitan COVID-19 adalah mengelakkan diri daripada terdedah dengan virus ini. Ianya adalah amat penting untuk anda menjaga kebersihan serta menjarakkan diri anda daripada orang lain bagi mengekang penularannya.

Berikut adalah langkah-langkah keselamatan yang boleh anda ikuti:

  • Mengelakkan menyentuh mata, mulut atau hidung.
  • Mengelakkan hubungan rapat dengan sesiapa yang kelihatan sakit.
  • Membasuh tangan dengan kerap menggunakan sabun dan air selama 20 saat.
  • Menggunakan hand-sanitiser yang mengandungi alkohol sekiranya tiada air atau sabun.
  • Menutup mulut ketika bersin atau batuk dengan tisu dan buang tisu tersebut ke dalam tong sampah.
  • Membasuh dan menyahjangkitkan objek atau permukaan yang sering disentuh.
  • Berhubung dengan doktor sekiranya anda menunjukkan simptom selama 14 hari selepas pulang dari negara yang diserang wabak COVID-19.
  • Tinggal di rumah sekiranya anda mempunyai simptom demam dan selesema.
  • Elakkan melawat kawasan aktif COVID-19.
  • Lawati laman web Kementerian Kesihatan Malaysia untuk mengetahu perkembangan terkini yang sahih.

Sekiranya pihak berkuasa mengarahkan anda berada di rumah pada setiap masa, adalah amat penting untuk mengikuti arahan mereka tersebut. Seperti yang ditemui daripada kajian-kajian di atas, ia tidak mustahil bagi anda untuk membawa Coronavirus walaupun masih berasa sihat. Mungkin, anda secara tidak sengaja akan menyebarkannya kepada individu lain pula (termasuklah yang tergolong dalam kumpulan berisiko tinggi seperti orang tua).

Kesimpulannya, masih banyak perkara lagi yang perlu dikaji mengenai Coronavirus. Walau bagaimanapun, kita semua perlu memainkan peranan bagi membendung penularannya.

SUMBER

https://www.cnet.com/health/can-asymptomatic-people-spread-coronavirus/

https://www.healthline.com/health-news/even-asymptomatic-people-can-spread-covid-19-within-a-room

https://www.statnews.com/2020/06/09/who-comments-asymptomatic-spread-covid-19/

Summary
Article Name
Bolehkah Individu Tanpa Sebarang Simptom COVID-19 Menyebarkan Coronavirus?
Description
Penyebaran COVID-19 berlaku jika anda dijangkiti COVID-19. Tetapi, bolehkah anda menyebarkannya tanpa mempunyai sebarang simptom?
Publisher Name
Ceria Sihat
Tagged: