berangin
Berangin dalam perut adalah hasil biasa daripada makanan yang anda makan. Apabila sistem pencernaan anda melakukan prosesnya, ia akan menghasilkan gas.

Pengenalan

Rasa berangin dalam perut adalah hasil biasa daripada makanan yang anda makan. Apabila sistem pencernaan anda melakukan prosesnya, ia akan menghasilkan gas.

Biasanya, anda menyingkirkan gas melalui mulut anda (sendawa) atau melalui anus anda (kentut). Seseorang individu boleh menyingkirkan gas kira-kira 20 kali sehari. Ini adalah perkara biasa, tetapi ia boleh menjadi perkara yang menyakitkan dan memalukan.

Anda menghasilkan gas dalam dua cara: apabila anda menelan udara dan apabila bakteria dalam usus besar anda membantu proses pencernaan makanan. Selain itu, tidak semua orang akan mendapatkan gas dari makanan yang sama.

Makanan yang tidak diserap bergerak dari usus kecil ke usus besar. Apabila ia sampai di sana, bakteria akan mula bekerja dan menghasilkan hidrogen, karbon dioksida dan metana, yang kemudian meninggalkan tubuh anda.

Anda juga boleh menelan udara apabila anda makan dan minum. Ini membantu dalam penghasilan gas. Anda biasanya melepaskan udara yang ditelan dengan membebaskannya. Apa pun yang tidak dibebaskan dalam bentuk sendawa akan melalui usus kecil atau besar dan kemudian akan dikeluarkan sebagai kentut.

Penerangan

Perut berangin boleh menyebabkan sejumlah gejala pencernaan, dan mungkin berbeza-beza dari individu ke individu. Gejala biasa termasuk:

  • Sendawa.
  • Kekejangan perut.
  • Perut kembung atau rasa kenyang.
  • Tekanan, atau peningkatan saiz abdomen.
  • Sakit dada.

Keadaan bergas boleh menjadi sesuatu yang tidak menyelesakan, namun ia biasanya tidak serius. Dalam kebanyakan kes, gejala yang berlaku tidak memerlukan perhatian perubatan dan akan sembuh sendiri dalam masa beberapa minit hingga beberapa jam.

Penyebab yang berkemungkinan

Kehadiran gas boleh bertambah di dalam perut atau saluran usus anda. Gas di dalam perut sering kali disebabkan oleh menelan terlalu banyak udara semasa makan atau minum. Ini juga boleh berlaku jika anda:

  • Minum soda atau minuman berkarbonat.
  • Menghisap gula-gula keras.
  • Makan gul-gula getah.
  • Merokok.

Di samping itu, pemakaian gigi palsu yang longgar juga boleh menyebabkan anda menelan lebih banyak udara daripada biasa.

Dalam senario sedemikian, sendawa adalah cara tubuh anda mengeluarkan gas perut. Sekiranya cara ini tidak dapat melepaskan gas, udara akan bergerak ke usus, di mana ia akan dikeluarkan dari dubur sebagai kentut.

Gas di usus besar berkembang apabila bakteria normal memecahkan beberapa jenis makanan yang tidak dicerna. Sesetengah makanan lebih mudah dicerna daripada yang lain. Namun, terdapat juga karbohidrat tertentu seperti gula, serat dan beberapa jenis kanji yang tidak dicerna dalam usus kecil.

Sebaliknya, makanan ini bergerak ke usus besar di mana mereka dipecahkan oleh bakteria biasa. Proses semulajadi ini kemudian menghasilkan hidrogen, karbon dioksida dan kadangkala gas metana, yang dilepaskan dari rektum.

Oleh itu, anda mungkin mengalami lebih banyak gejala gas setelah makan makanan tertentu. Makanan yang boleh menimbulkan kembung perut dan gejala lain termasuk:

  • Kacang Brussels
  • Brokoli
  • Kacang
  • Kobis
  • Asparagus
  • Keju
  • Roti
  • Ais krim
  • Susu
  • Pemanis tiruan
  • Kentang
  • Mi
  • Kacang polong
  • Buah epal
  • Buah prun
  • Buah pic
  • Minuman ringan
  • Gandum

Bila perlu menghubungi doktor

Berjumpa dengan doktor jika keadaan berangin anda adalah terlalu kuat atau teruk sehingga boleh mengganggu keupayaan anda berfungsi dengan baik dalam kehidupan seharian. Kesakitan disebabkan keadaan berangin atau gas yang disertai dengan tanda atau gejala lain mungkin menunjukkan keadaan yang lebih serius. Segera berjumpa dengan doktor jika anda mengalami mana-mana tanda atau simptom tambahan ini:

  • Najis berdarah.
  • Perubahan konsistensi najis .
  • Perubahan kekerapan pembuangan air besar.
  • Pengurangan berat badan.
  • Sembelit atau cirit-birit.
  • Mual atau muntah yang berterusan atau berulang.

Dapatkan rawatan segera jika anda mengalami:

  • Kesakitan perut yang berpanjangan.
  • Sakit dada.

Apa yang boleh diharapkan di klinik

Doktor anda mungkin akan menentukan apa yang menyebabkan keadaan berangin anda berdasarkan:

  • Sejarah perubatan.
  • Kajian semula tabiat pemakanan.
  • Pemeriksaan fizikal.

Semasa pemeriksaan fizikal, doktor boleh menyentuh perut anda untuk menentukan sama ada terdapat kelembutan atau jika adanya keabnormalan. Mendengar bunyi perut anda menggunakan stetoskop boleh membantu doktor untuk menentukan sejauh mana saluran pencernaan anda berfungsi.

Bergantung kepada pemeriksaan dan kehadiran tanda-tanda serta gejala lain seperti kehilangan berat badan, darah dalam najis atau cirit-birit, doktor anda boleh menjalankan ujian diagnostik tambahan.

Rawatan

Jika kesakitan ini terjadi disebabkan oleh masalah kesihatan yang lain, merawat keadaan yang berkemungkinan menjadi puncanya dapat memberikan kelegaan. Jika tidak, keadaan berangin ini secara amnya dirawat dengan perubahan pemakanan, pengubahsuaian gaya hidup atau pengambilan ubat-ubatan tidak dipreskripsi. Walaupun penyelesaiannya tidak sama untuk semua orang, dengan sedikit percubaan secara berterusan, kebanyakan orang dapat memperoleh sedikit kelegaan.

– Diet

Perubahan diet boleh membantu mengurangkan jumlah gas yang terhasil dalam badan atau membantu gas bergerak lebih cepat melalui sistem anda. Menyimpan diari diet dan gejala gas akan membantu doktor dan anda dalam menentukan pilihan terbaik bagi proses perubahan diet anda. Anda mungkin perlu menyingkirkan beberapa item atau makan dengan kadar yang lebih sedikit.

Pengurangan atau penyingkiran faktor pemakanan berikut boleh mengurangkan keadaan perut berangin seperti:

  • Makanan serat tinggi. Makanan serat tinggi yang boleh menyebabkan keadaan bergas termasuklah kacang, bawang, brokoli, kacang Brussels, kobis, kubis bunga, artichoke, asparagus, pir, epal, pic, prun, gandum dan bran. Anda boleh membuat percubaan dengan makanan mana yang memberi kesan kepada anda. Selain itu, anda juga boleh mengelakkan makanan serat tinggi selama beberapa minggu dan secara beransur-ansur menambahnya dalam diet anda semula. Berbincanglah dengan doktor untuk memastikan anda mengekalkan pengambilan serat pemakanan yang sihat.
  • Susu. Mengurangkan produk tenusu dari diet juga boleh mengurangkan gejala. Anda juga boleh mencuba produk tenusu yang bebas laktosa atau mengambil produk susu yang ditambahkan dengan laktase untuk membantu penghadaman.
  • Pengganti gula. Elakkan atau kurangkan pengambilan gula, atau cuba pengganti yang berbeza.
  • Makanan bergoreng atau berlemak. Makanan berlemak melewatkan proses pelepasan gas dari usus. Justeru itu, anda digalakkan untuk mengelakkan makanan bergoreng atau berlemak bagi mengurangkan gejala.
  • Minuman berkarbonat. Elakkan atau kurangkan pengambilan minuman berkarbonat anda.
  • Suplemen serat. Sekiranya anda menggunakan suplemen serat, berbincanglah dengan doktor tentang jumlah dan jenis suplemen yang terbaik untuk anda.
  • Air. Bagi membantu mencegah sembelit, minum air selepas makan sepanjang hari dengan tambahan suplemen serat.
  • Rawatan lain.

Produk berikut mungkin boleh mengurangkan gejala bergas untuk sesetengah orang:

  • Alpha-galactosidase (Beano, BeanAssist, lain-lain) membantu memecahkan karbohidrat dalam kacang dan sayur-sayuran lain. Anda boleh mengambil suplemen ini sebelum makan.
  • Suplemen Laktase (Lactaid, Digest Dairy Plus, lain-lain) membantu anda mencerna gula dalam produk tenusu (laktosa). Ini mengurangkan gejala keadaan bergas jika anda tidak toleran terhadap laktosa. Bincang dengan doktor dahulu sebelum menggunakan suplemen laktase jika anda hamil atau menyusu.
  • Simethicone (Gas-X, Mylanta Gas Minis, lain-lain) membantu memecahkan gelembung dalam gas dan boleh membantu gas melalui saluran penghadaman anda. Terdapat sedikit bukti klinikal mengenai keberkesanannya dalam mengurangkan gejala keadaan bergas.
  • Arang yang diaktifkan (Actidose-Aqua, CharoCaps, lain-lain) dan diambil sebelum dan selepas makan boleh mengurangkan simptom, namun penyelidikan yang telah dibuat tidak menunjukkan faedah yang jelas. Pada masa yang sama, ia boleh mengganggu keupayaan tubuh anda untuk menyerap ubat. Arang boleh mencemarkan bahagian dalam mulut dan pakaian anda.

Sumber:

https://www.healthline.com/health/stomach-gas-symptoms

https://www.webmd.com/heartburn-gerd/qa/what-are-symptoms-of-gas

https://www.webmd.com/heartburn-gerd/qa/what-are-symptoms-of-gas

https://www.medicinenet.com/intestinal_gas_belching_bloating_flatulence/article.htm

Summary
Berangin (Gas)
Article Name
Berangin (Gas)
Description
Berangin dalam perut adalah hasil biasa daripada makanan yang anda makan. Apabila sistem pencernaan anda melakukan prosesnya, ia akan menghasilkan gas.
Publisher Name
Ceria Sihat
Tagged: