Dalam sesebuah perkahwinan, kelahiran zuriat anda sendiri pastinya sesuatu berita yang dinanti-nantikan oleh setiap pasangan. Pelbagai cara akan diusahakan bagi mendapatkan zuriat sama ada dari segi kaedah perubatan moden mahupun tradisional.
Malah, terdapat banyak petua yang anda boleh dapati di Internet yang mengatakan keberkesanan sesetengah kaedah atau langkah-langkah yang perlu dibuat untuk hamil dengan cepat.
Salah satunya adalah buah ini dikatakan boleh membantu wanita untuk hamil. Namun, sejauh manakah kebenaran ini terbukti?
Jom baca lebih lanjut tentangnya dalam artikel ini.
Apakah itu buah zuriat?
Namanya mungkin tidaklah begitu dikenali seperti yang lain, namun ada juga sesetengah yang mungkin mengenalinya sebagai “buah Adam dan Hawa”. Ia dinamakan sedemikian kerana merupakan buah daripada pohon yang banyak terdapat di tanah Arab, iaitu di Mekah dan Madinah.
Malah, ia juga turut dikenali sebagai doum fruit atau dengan nama saintifiknya iaitu, Hyphaene thebaica.
Benarkah buat ini baik untuk mengatasi masalah kesuburan?
Walaupun belum ada kajian saintifik tertentu untuk membuktikan bahawa buah ini berkesan untuk mempercepatkan kehamilan, namun kandungannya yang penuh dengan nutrisi sangatlah bagus untuk diamalkan.
Ia mempunyai kandungan antioksida tinggi yang secara tidak langsung boleh menghasilkan sel reproduksi. Ini sememangnya diperlukan bagi membantu individu wanita untuk hamil dengan lebih cepat.
Kelebihan buah zuriat yang anda perlu tahu
Antara kelebihan buah ini adalah:
1. Mengurangkan plak lemak
Para pengkaji menemui kandungan ‘phenol’ seperti tyrosol 3-OH, asid E-Vanillic, catechin dan asid klorogenik. Malah, buah ini juga mengandungi kandungan asid alpha-coumaric, asid cinnamic dan asid p-coumaric. Kandungan ‘phenol’ dalam buah zuriat dikatakan dapat mengurangkan keadaan hiperlipidemia iaitu sindrom nefrotik dan baik untuk menurunkan risiko penebalan arteri.
2. Meningkatkan kualiti sperma
Antara kelebihan buah zuriat yang ada termasuklah meningkatkan kesuburan. Pada individu lelaki, buah ini dipercayai dapat meningkatkan kualiti sperma. Kajian yang dibuat menunjukkan bahawa pengambilan buah zuriat dapat meningkatkan hormon seksual. Ini dikatakan boleh mempengaruhi pengeluaran dan kualiti sperma yang merupakan aspek penting bagi membantu seorang wanita untuk hamil.
3. Meningkatkan kesuburan wanita
Sama seperti kelebihannya pada individu lelaki, buah zuriat juga sangat bagus buat kesuburan wanita. Peningkatan hormon seksual juga boleh berlaku pada golongan wanita. Dengan ini, tahap kesuburan boleh meningkat dan membantu wanita untuk hamil dengan lebih cepat.
4. Menguatkan rahim
Selain meningkatkan hormon seksual pada wanita, buah ini juga dipercayai bermanfaat untuk menguatkan rahim. Kelebihan inilah yang menjadikan ia buah yang amat baik bagi mereka yang sedang mencuba untuk hamil. Rahim yang kuat dipercayai lebih bersedia untuk hamil.
5. Mengurangkan kadar kolesterol
Kelebihan buah ini yang seterusnya adalah dapat membantu menurunkan kadar kolesterol dalam darah. Terdapat kajian yang menunjukkan bahawa ekstraknya dapat mengurangkan kadar lemak darah secara keseluruhan. Ini secara tidak langsung membantu mengurangkan risiko bagi keadaan kesihatan lain yang berkaitan dengan kadar kolesterol darah tinggi.
6. Membantu melawan penyakit kencing manis
Buah zuriat bukan sahaja mengurangkan kadar kolesterol, malah ia juga boleh menurunkan jumlah trigliserida dan jumlah lemak. Secara mudahnya, buah zuriat dikatakan mempunyai aktiviti anti-diabetes. Ia membantu mengurangkan kadar gula dalam darah tanpa memberikan kesan sampingan berbahaya pada badan.
Cara mengambil buah zuriat
Biasanya, anda boleh mengambil buah ini dengan cara meminum air rebusannya. Anda hanya perlu mengetuk buahnya dan terus basuh. Kemudian rebusnya dan masukkan sedikit air lebih kurang jumlah 3 cawan. Biarkan ia mendidih sehingga tinggal lebih kurang 1 cawan sahaja.
Kredit: Gambar diambil daripada sumber https://www.encikshino.com/khasiat-buah-zuriat-rahsia-pasangan-yang-mahukan-anak/
SUMBER
https://my.theasianparent.com/kelebihan-buah-zuriat
https://hellodoktor.com/kehamilan/rancang-kehamilan/buah-zuriat-fakta-atau-mitos-kehamilan/