Benarkah Stevia Bermanfaat Sebagai Pemanis Semulajadi?
Stevia dijajakan sebagai bahan pengganti gula yang boleh memaniskan makanan tanpa sebarang kesan sampingan buruk terhadap kesihatan yang selalu dikaitkan dengan gula halus biasa.

Stevia dijajakan sebagai bahan pengganti gula yang boleh memaniskan makanan tanpa sebarang kesan sampingan buruk terhadap kesihatan yang selalu dikaitkan dengan gula halus biasa. Ia juga mempunyai pelbagai manfaat menakjubkan terhadap kesihatan seperti mengurangkan pengambilan kalori, tahap gula darah dan risiko kaviti. Walau bagaimanapun, wujud kebimbangan terhadap aspek keselamatan stevia terutamanya bagi individu yang mungkin lebih sensitif terhadap kesannya.

Artikel ini menerangkan dengan lebih lanjut mengenai manfaat sebenar stevia.

Apakah itu stevia?

Stevia adalah sejenis pemanis semulajadi yang dihasilkan daripada daun tumbuhan stevia (stevia rebaudiana). Oleh kerana ia tisak mengandungi kalori tetapi 200 kali ganda lebih manis daripada gula halus biasa, ia merupakan pilihan terkenal bagi setiap individu yang ingin mengurangkan pengambilan gula dan menurunkan berat bada. Pemanis semulajadi ini juga telah dikaitkan dengan beberapa manfaat kesihatan termasuklah tahap gula darah dan kolesterol yang rendah.

Namun begitu, produk stevia komersial berbeza dari segi kualiti. Malah, kebanyakan produk stevia di pasaran diproses dan dicampur dengan pemanis lain seperti erythritol, dextrose, dan maltodextrin, yang mungkin mengubah kesannya terhadap kesihatan anda.

Stevia yang kurang diproses pula mungkin mempunyai kajian keselamatan yang tidak mencukupi.

Jenis stevia

Stevia boleh didapati dalam beberapa variasi dan setiap variasi tersebut adalah berbeza dari segi teknik pemprosesan dan bahannya.

Bagi produk campuran stevia (stevia blend) yang banyak diproses, sewaktu pemprosesan, daun stevia akan direndam dalam air dan melalui penapis beralkohol bagi mengasingkan Reb A. Seterusnya, daun stevia dikeringkan, dikristalkan dan dicampur dengan pemanis atau gula alkohol yang lain.

Ekstrak stevia tulen (pure extract) yang hanya dihasilkan daripada Reb A turut tersedia dalam bentuk cecair dan serbuk. Apabila dibandingkan dengan campuran stevia, ekstrak tulen turut melalui proses yang sama seperti campuran stevia namun, ia tidak dicampurkan dengan pemanis atau gula alkohol lain.

Manakala, daun hijau stevia (green leaf stevia) pula adalah jenis yang diproses paling sedikit. Ia diperbuat daripada seluruh daun stevia yang telah dikeringkan dan ditumbuk.

Walaupun produk daun hijau stevia dianggap sebagai bentuk stevia yang paling asli, ia masih belum dikaji secara mencukupi dari segi aspek keselamatannya.

Aspek keselamatan stevia dan dos stevia

Steviol glycoside, iaitu ekstrak halus stevia seperti Reb A telah dilabelkan selamat oleh pihak Pentadbiran Makanan Dan Dadah, maksudnya ia boleh digunakan dalam produk makanan dan dijual dalam pasaran tempatan. Dalam sudut pandangan yang lain pula, penggunaan daun stevia dan ekstrak stevia mentah dalam makanan masih belum diluluskan oleh pihak Pentadbiran Makanan dan Dadah kerana kekurangan kajian mengenai kandungannya.

Mereka menegaskan bahawa kadar pengambilan harian steviol glycoside yang selamat adalah sebanyak 4 mg bagi setiap kilogram berat badan.

Aspek keselamatan stevia bagi sesetengah individu

Walaupun kebanyakan produk stevia dikenali sebagai selamat, beberapa kajian menunjukkan bahawa pemanis tanpa kalori ini mungkin memberi kesan terhadap setiap individu secara berbeza bergantung kepada keadaan kesihatan, umur, dan kumpulan tertentu. Mereka perlu berhati-hati dalam mengambil dos stevia dalam diet mereka.

Kencing Manis

Stevia adalah bermanfaat bagi pesakit kencing manis, tetapi, anda perlu berhati-hati akan jenis stevia yang sesuai bagi keadaan anda.

Beberapa kajian menunjukkan bahawa stevia mungkin selamat dan merupakan cara yang berkesan untuk mengawal tahap gula darah dalam kalangan individu yang mempunyai kencing manis tahap 2. Malah, satu kajian kecil yang dijalankan ke atas 12 orang yang mempunyai keadaan ini menunjukkan bahawa pengambilan pemanis ini disamping hidangan boleh mengurangkan tahap gula darah dengan banyak berbanding kumpulan kawalan yang diberikan dos kanji jagung yang sama.

Perlu diingat juga, beberapa campuran stevia mungkin mengandungi pemanis lain seperti dextrose dan maltodextrine, yang boleh meningkatkan gula darah.

Menggunakan produk-produk ini dalam jumlah yang sederhana atau memilih ekstrak stevia tulen boleh membantu mengawal tahap gula darah yang normal sekiranya anda mempunyai penyakit kencing manis.

– Kehamilan

Bukti keselamatan penggunaan stevia bagi individu hamil adalah sangat terhad.

Menurut satu kajian yang dijalankan, pemanis ini yang didapati dalam bentuk steviol glycoside seperti Reb A, tidak mempunyai kesan negatif terhadap kesubuan atau kelahiran apabila digunakan secara bersederhana. Tambahan lagi, beberapa agensi kawalan telah menganggap steviol glycoside selamat untuk digunakan oleh individu dewasa termasuklah sewaktu hamil.

Walau bagaimanapun, kajian terhadap penggunaan daun stevia dan ekstrak stevia tulen adalah terhad. Jadi, sewaktu kehamilan, adalah lebih baik untuk anda menggunakan produk yang dilabelkan selamat oleh FDA yang mengandungi steviol glycoside berbanding daun stevia atau produk tulen.

Kanak-kanak

Stevia boleh membantu mengurangkan pengambilan gula tambahan bagi kanak-kanak.

Pengambilan gula yang tinggi boleh meningkatkan risiko penyakit jantung di kalangan kanak-kanak dengan cara mengubah triglyceride dan tahap kolestrol serta menyumbang kepada kenaikan berat badan. Menggantikan gula tambahan dengan stevia mungkin boleh mengurangkan risiko tersebut.

Namun begitu, anda masih perlu mengehadkan pengambilannya terhadap anak-anak anda bagi mengelakkan sebarang kesan sampingan yang tidak diingini berlaku.

Kesimpulannya,

Penggunaan stevia mempunyai pelbagai manfaat baik terhadap kesihatan terutama sekali mengawal kadar gula dalam darah. Namun, ia perlulah diambil dalam kadar yang sederhana kerana masih kurang kajian yang jelas mengenai keberkesannya terhadap kesihatan secara menyeluruh.

Sumber

https://www.healthline.com/health/food-nutrition/stevia-side-effects

https://www.medicalnewstoday.com/articles/287251

https://www.webmd.com/food-recipes/what-is-stevia

https://www.everydayhealth.com/diet-nutrition/diet/stevia-health-benefits-safety-info-top-sellers-more

Summary
Benarkah Stevia Bermanfaat Sebagai Pemanis Semulajadi?
Article Name
Benarkah Stevia Bermanfaat Sebagai Pemanis Semulajadi?
Description
Stevia dijaja sebagai bahan pengganti gula yang boleh memaniskan makanan tanpa sebarang kesan sampingan buruk terhadap kesihatan. Benarkah?
Publisher Name
Ceria Sihat
Tagged: