batu karang hempedu
Batu karang hempedu merupakan deposit keras daripada cecair pencernaan yang terbentuk di pundi hempedu anda. Pundi hempedu adalah organ yang kecil, berbentuk pir di sebelah kanan abdomen anda, di bawah hati.

Batu karang hempedu merupakan deposit keras daripada cecair pencernaan yang terbentuk di pundi hempedu anda. Pundi hempedu adalah organ yang kecil, berbentuk pir di sebelah kanan abdomen anda, di bawah hati. Pundi hempedu menyimpan cecair pencernaan yang dipanggil hempedu, dirembeskan oleh usus kecil anda.

Batu karang dengan saiz yang sekecil butir pasir sehinggalah sebesar bola golf. Sesetengah individu membentuk 1 batu karang hempedu sahaja manakala individu lain mungkin membentuk batu karang hempedu yang banyak dalam satu masa.

Individu yang mengalami simptom batu karang hempedu selalunya memerlukan pembedahan untuk membuang pundi hempedu. Batu karang hempedu yang tidak memberikan sebarang tanda dan simptom biasanya tidak memerlukan rawatan.

Kenapa batu karang hempedu terbentuk?

Batu karang hempedu boleh terbentuk disebabkan beberapa perkara termasuklah :

  • Kepekatan kolesterol atau bilirubin yang kritikal di dalam hempedu
  • Pundi hempedu yang tidak berfungsi dengan betul dan tidak kosongkan hempedu sepenuhnya

Berlaku di kalangan individu yang mengalami keadaan seperti :

  • Hati sirosis
  • Gangguan darah
  • Kehamilan
  • Penurunan berat badan secara mendadak

Simptom

Simptom akut termasuk :

  • Sakit perut di atas perut, selalunya di bahagian kanan di bawah tulang rusuk
  • Sakit di bahagian kanan bahu atau belakang badan
  • Perut sakit
  • Muntah
  • Masalah pencernaan lain termasuklah ketidakhadaman, pedih hulu hati dan bergas

Berjumpalah dengan doktor anda atau pergi ke hospital jika anda mengalami tanda – tanda jangkitan atau keradangan serius :

  • Sakit perut sehingga berjam – jam lamanya
  • Demam dan menggigil
  • Kulit atau mata berwarna kuning
  • Air kencing berwarna gelap dan najis berwarna cerah

Punca

Tidak jelas bagaimana sebenarnya batu karang terbentuk. Ia dilihat terbentuk disebabkan :

  • Hempedu mengandungi terlalu banyak kolesterol. Biasanya, hempedu anda mengandungi bahan kimia yang cukup untuk melarutkan kolesterol yang dirembeskan oleh hati anda. Tetapi jika hati anda merembeskan lebih banyak kolesterol daripada apa yang hempedu anda boleh larutkan, kolesterol berlebihan boleh terbentuk menjadi kristal dan akhirnya menjadi batu.
  • Kandungan bilirubin terlalu banyak. Apabila sel darah merah terpecah, bilirubin akan dihasilkan. Sirosis hati antara keadaan yang menyebabkan hati anda menghasilkan bilirubin terlalu banyak, begitu juga jangkitan saluran hempedu dan gangguan darah tertentu. Lebihan bilirubin menyebabkan pembentukan batu karang hempedu.
  • Pundi hempedu tidak kosong sepenuhnya. Sekiranya pundi hempedu anda tidak kosong sepenuhnya atau penuh sepenuhnya dengan kerap, hempedu akan menjadi sangat pekat, menyebabkan pembentukan batu karang.

Jenis batu karang hempedu

Jenis batu karang yang boleh terbentuk di pundi hempedu termasuklah:

  • Batu karang kolesterol. Batu karang kolesterol adalah yang sering ditemui dengan warna kuning. Ia terdiri daripada kolesterol yang tidak larut, tetapi kandungan bahan lain.
  • Batu karang pigmen. Apabila hempedu anda mengandungi terlalu banyak bilirubin, batu – batu berwarna hitam dan coklat gelap akan terbentuk

Faktor risiko

Terdapat banyak faktor risiko batu karang hempedu yang berkaitan dengan diet serta faktor yang tidak dapat dielakkan. Ini merupakan antara faktor risikonya :

– Gaya hidup

  • berat badan berlebihan atau obesiti
  • makan hidangan yang tinggi lemak, kolesterol atau rendah serat
  • penurunan berat badan yang mendadak dalam jangka masa yang singkat
  • menghidap diabetes mellitus

– Faktor risiko yang tidak terkawal

  • seorang wanita
  • mempunyai sejarah keluarga menghidap batu karang hempedu
  • berumur 60 tahun ke atas

– Perubatan

  • menghidap sirosis
  • sedang hamil
  • mengambil ubat tertentu untuk menurunkan kolesterol
  • mengambil ubat yang mempunyai kandungan estrogen yang tinggi

Walaupun ubat-ubatan boleh meningkatkan risiko batu karang, jangan berhenti mengambilnya melainkan anda telah membincangkannya dengan doktor dan mendapat persetujuan mereka.

Komplikasi

Pelbagai komplikasi boleh timbul disebabkan oleh batu karang hempedu seperti :

  • Keradangan pundi hempedu (kolesistitis akut). Batu yang menyekat pundi hempedu menyebabkan pundi hempedu anda tidak boleh kosong sepenuhnya. Kemudian, menyebabkan anda rasa sakit dan demam dalam satu tempoh yang lama. Akibatnya, pundi hempedu anda akan pecah atau rosak jika anda tidak mendapatkan rawatan segera.
  • Saluran pundi hempedu tersekat. Ini boleh menyebabkan demam, menggigil, dan kulit dan mata menjadi warna kuning (penyakit kuning). Sekiranya batu karang tersebut menyekat saluran ke pankreas, keradangan akan berlaku (pankreatitis).
  • Saluran pundi hempedu dijangkiti (kolangitis akut). Apabila saluran tersumbat ia akan dijangkiti. Sekiranya bakteria merebak ke dalam saluran darah ia kemudiannya menyebabkan keadaan yang berbahaya iaitu sepsis.
  • Kanser pundi hempedu. Walaupun jarang berlaku, tetapi batu karang meningkatkan risiko anda menghidapi kanser.

Diagnosis

Ujian dan prosedur yang digunakan untuk mendiagnosis batu karang hempedu dan komplikasi batu karang termasuk:

  • Abdominal Ultrasound. Ujian ini sering digunakan untuk mencari tanda – tanda pembentukan batu karang hempedu. Melalui ultrasound ini sebuah peranti bergerak yang bernama transducer akan digerakkan melintasi kawasan perut anda. Transduser menghantar isyarat ke komputer menunjukkan imej struktur di dalam perut anda
  • Ultrasound endoskopi (EUS). Prosedur ini dapat membantu mengenal pasti batu-batu kecil yang mungkin terlepas pada ultrasound perut. Semasa EUS, doktor anda memasukkan tiub nipis dan fleksibel (endoskop) melalui mulut dan saluran pencernaan anda. Peranti ultrasound kecil (transduser) di dalam tiub menghasilkan gelombang bunyi yang membuat gambaran tepat mengenai tisu sekitarnya.
  • Ujian pengimejan lain. Ujian tambahan ini merangkumi cholecystography oral, imbasan asid hepatobiliary iminodiacetic (HIDA), tomografi berkomputer (CT), magnetic resonance cholangiopancreatography (MRCP) atau retrograde cholangiopancreatography endoskopi (ERCP). Apabila batu karang ditemui ketika ERCP ia boleh dibuang semasa proses dijalankan.
  • Ujian darah. Melalui ujian darah jangkitan, penyakit kuning, pankreatitis atau komplikasi lain yang disebabkan oleh batu karang boleh diketahui.

Rawatan

Sebilangan besar individu yang mengalami batu karang hempedu tanpa sebarang simptom tidak akan memerlukan rawatan. Doktor anda akan menentukan sama ada rawatan untuk batu karang diperlukan berdasarkan simptom anda dan hasil ujian diagnostik.

Doktor anda mungkin mengesyorkan agar anda memerhati simptom komplikasi batu karang, seperti rasa sakit di bahagian kanan atas perut meningkat. Sekiranya tanda – tanda dan simptom batu karang hempedu berlaku pada masa akan datang, anda perlu menjalani rawatan.

Antara pilihan rawatan yang anda boleh jalani :

Pembedahan untuk membuang pundi hempedu (kolesistektomi)

Doktor anda mungkin mengesyorkan pembedahan untuk membuang pundi hempedu kerana jika dibiarkan batu karang hempedu akan berulang. Setelah pundi hempedu anda dikeluarkan, hempedu akan mengalir daripada hati terus ke usus kecil dan bukannya disimpan di pundi hempedu.

Anda tidak memerlukan pundi hempedu untuk hidup, dan penyingkiran pundi hempedu tidak mempengaruhi keupayaan anda untuk mencerna makanan. Namun begitu, ia boleh menyebabkan cirit-birit tetapi selalunya hanyalah sementara.

Pengambilan ubat bagi melarutkan batu karang hempedu

Ubat yang anda ambil secara oral boleh membantu melarutkan batu karang hempedu. Tetapi mungkin memerlukan rawatan selama berbulan-bulan atau bertahun-tahun untuk menyingkirkan batu karang sepenuhnya, dan batu karang mungkin akan terbentuk semula sekiranya rawatan dihentikan.

Kadangkala ubat tidak berfungsi. Ubat jarang digunakan dan selalunya digunakan untuk individu yang tidak dapat menjalani pembedahan.

SUMBER

https://www.mayoclinic.org/diseases-conditions/gallstones/diagnosis-treatment/drc-20354220

https://www.webmd.com/digestive-disorders/gallstones

https://www.healthline.com/health/gallstones

https://my.clevelandclinic.org/health/diseases/7313-gallstones

Summary
Batu Karang Hempedu : Simptom, Punca, Faktor Risiko, Diagnosis, Rawatan
Article Name
Batu Karang Hempedu : Simptom, Punca, Faktor Risiko, Diagnosis, Rawatan
Description
Batu karang hempedu merupakan deposit keras daripada cecair pencernaan yang terbentuk di pundi hempedu anda. Pundi hempedu adalah organ yang kecil, berbentuk pir di sebelah kanan abdomen anda, di bawah hati.
Publisher Name
Ceria Sihat
Tagged: