Batang Buruk

Kuih batang buruk merupakan sejenis kuih tradisi yang popular di Malaysia. Ia merupakan sejenis kuih yang dibuat daripada tepung gandum dicampur dengan tepung beras dan tepung kelapa yang diuli buat menjadi doh dan dibentuk membentuk silinder bulat berongga, dan disi dengan serbuk kacang hijau yang di goreng.

Sekiranyaa dibandingkan dengan kuih muih tradisi yang lain, pastilah Kuih Batang Buruk adalah yang paling tidak menarik. Masakan tidak, kuihnya saja berbentuk seperti batang buruk yang diselaputi tepung. Walaupun rupanya tidak menarik, jangan terkejut sekiranya Kuih Batang Buruk mempunyai reputasinya tersendiri di kalangan penggemarnya.

Bagaimana rasanya? Bagi yang tidak pernah merasa kuih tradisional ini, kuih ini agak ringan dan mempunyai tekstur ‘berdebu’ hasil salutan tepung kacang hijau. Apabila dimakan, ianya rangup dan mudah cair di dalam mulut. Tepung Kacang Hijau yang menjadi asas resepi ini menjadikan rasanya manis berlemak. Ianya sejenis kuih yang, apabila sudah makan pasti nak lagi, menurut penggemarnya.

Tidak ada banyak sumber berkenaan asal-usul kuih ini. Akan tetapi terdapat sumber yang mengatakan bahawa kuih tradisional ini berasal daripada Kerajaan Bintan. Bintan atau Pulau Bintan adalah merupakan sebuah Pulau di Gugusan Kepulauan Riau, Indonesia.

Asal Usul

Dikatakan sekitar 450 tahun yang lampau, ketika Raja Tua memerintah Kerajaan Bintan, Puteri Sulung Baginda, Wan Sendari telah mencipta resepi Kuih Batang Buruk ini. Resepi ini dicipta pada ketika Wan Sendari berusaha mengusir kegalauan hatinya akibat cinta yang bertepuk sebelah tangan. Putera idaman Wan Sendari iaitu Raja Andak, yang digelar Panglima Muda Bintan telah memilih pujaan hatinya, Wan Inta yang merupakan adik kandung Wan Sendari.

Apabila percubaan mereka resepi Batang Buruk ini berhasil, Wan Sendari telah memohon kepada ayahnya, Raja Tua, untuk menyajikan kuih tersebut kepada orang di istana dan juga para tetamu kerajaan. Kebetulan antara tetamu yang diundang adalah Raja Andak. Ketika para tetamu menikmati kuih Batang Buruk tersebut, kebanyakan mereka berasa malu lantaran serpihan kuih yang berjatuhan sehingga mengotori baju dan mulut mereka. Tetapi hal ini tidak terjadi kepada Raja Andak. Tiada satu serpihan kuih pun yang mengotori bajunya ketika Raja Andak menikmati kuih tersebut.

batang buruk

Menurut sumber, Panglima muda Bintan tersebut berpegang teguh dengan falsafah Kerajaan Bintan, “Biar pecah di mulut, asal jangan pecah di tangan”. Hal ini menggambarkan bagaimana seorang bangsawan beretika ketika makan. Apabila seorang bangsawan terburu-buru, ini menggambarkan buruk tingkah laku bangsawan tersebut. Ternyata, melalui kuih ini, Wan Sendari tidak salah dalam memilik lelaki idamannya meskipun hanya bertepuk sebelah tangan.

Kaedah Pembuatan Tradisional

Kaedah pembuatan tradisional kuih ini terbahagi kepada 2 penyedian; kulit dan inti. Terdapat beberapa variasi resepi bagi pembuatan kulit luar. Bahan utama bagi penyediaan kulit adalah tepung gandum, tepung beras, tepung kelapa, dan telur. Walau bagaimanapun terdapat juga resepi yang menggunakan santan, bukan tepung kelapa.Resepi yang lain pula menggunakan  kelapa parut.Tidak dapat dipastikan samada tepung kelapa, santan atau kelapa parut bahan asalnya. Akan tetapi, resepi asli atau tradisional Kuih Batang Buruk memasukkan rasa kelapa dalam pembuatan kulit Batang Buruk.

Bahan-bahan kulit Batang buruk yang telah diadun akan diuli sehingga doh tidak melekat pada tangan dan kemudian dibiarkan selama satu jam dengan ditutup kain bersih.  Setelah itu doh akan dicanai dan dibentuk mengikut bentuk kelonsong. Kelonsong yang telah dibentuk akan digoreng di dalam minyak panas. Ada juga yang menjemur kelonsong (bukan cahaya matahari terus) dahulu sebelum digoreng. Cara ini ada logiknya juga. Ini kerana tujuan penjemuran adalah untuk mengurangkan kelembapan yang ada dalam bentuk kelonsong. Kelonsong yang kering akan menjadi rangup apabila digoreng.

Bagi intinya pula, kacang hijau disangai sehingga kekuningan, lalu dibuat tepung. Tepung kacang hijau ini kemudiannya dicampur dengan gula dan sedikit garam dan adunan ini dikisar sehingga halus supaya kuih mudah disalut dan senang dimakan.

Kaedah Pembuatan Moden

Seiring dengan arus kemodenan terdapat usaha ‘memodenkan’ kuih ini. Masih menggunakan bahan asas dan penyediaan yang sama, iaitu tepung kacang hijau, akan tetapi kaedah pembuatan kulit Batang Buruk menggunakan kulit popia.

Pada zaman sekarang, banyak kulit popia segera yang dijual di pasaran. Tidak perlu bersusah payah menguli tepung dan mencanai doh sehingga nipis berkat usaha sesetengah peniaga yang mengkomersialkan jualan kulit popia. Kulit popia pada asalnya dijual untuk memudahkan sesiapa yang ingin membuat Kuih Popia. Kesan penjualan kulit Popia sejuk beku yang semakin popular, masyarakat begitu kreatif mereka pelbagai resepi menggunakan kulit Popia, dan ini termasuk dalam penghasilan kuih Batang Buruk.

Penghasilan Kuih Batang Buruk moden tidak ada bezanya dengan pembuatan secara tradisional. Berbeza hanya pada kulit Batang Buruk yang menggantikan dengan kulit Popia. Walau bagaimanapun, perlu diingatkan, kulit Popia tidak mempunyai rasa lemak santan atau kelapa. Rasanya pasti sedikit berbeza daripada Kuih Batang Buruk Tradisional.

Daripada maklumat diatas, dapat dikenal pasti beberapa faktor resepi kuih tradisional diubah sedikit kepada cara moden. Antaranya :

  1. Gaya Hidup

Gaya hidup masa kini menuntut kita untuk sentiasa bergerak laju kehadapan. Ini tidak terkecuali dalam hal masakan. Dengan menggantikan adunan doh Batang Buruk Asli kepada kulit Popia, masa memasak dapat dipendekkan dan pembuatan menjadi lebih mudah.

2. Faktor Sosial

Kemunculan jualan kulit Popia secara sejuk beku telah menjadikan masyarakat lebih kreatif dalam mencipta dan juga mengubah resepi menurut cita rasa mereka.

3. Dipengaruhi gaya barat

Kuih Batang Buruk memang ada peminat tegarnya tersendiri. Akan tetapi kita tidak dapat tidak mengendahkan fakta bahawa anak muda masa kini kurang mengenali dan meminati kuih tradisional yang kebanyakannya dibuat berasaskan kelapa dan kacang hijau. Anak muda masa kini lebih menikmati kuih muih yang berasaskan coklat dan keju yang dibawa daripada Barat. Atas sebab itu kebarangkalian pengubahan resepi menurut cita rasa anak muda terhadap kuih tradisional adalah tinggi. Sekiranya yang membuat kuih tidak suka rasa kelapa dalam kuih maka pembuat kuih tersebut mungkin akan menukar dengan bahan yang lain. Antara contoh lain yang boleh dilihat kini adalah Tart Coklat Cadbury yang merupakan pengubahsuaian daripada Tart Nenas.

Akhir kata, resepi kuih Batang Buruk tradisional atau moden, “tepuk dada, tanya selera”.

SUMBER:

https://ms.wikipedia.org/wiki/Kuih_batang_buruk

https://www.astroawani.com/gaya-hidup/puteri-mandi-badak-berendam-tahi-minyak-mana-datang-namanama-kuih-ini-208360

https://www.indonesia.go.id/kategori/pariwisata/2397/kisah-kue-cinta-putri-kerajaan-bintan

https://www.anekaresipi.com/2017/07/resepi-kuih-batang-buruk-asli.html

https://daridapur.com/resepi-batang-buruk/

Tagged: