Bariatrik
Bariatrik bermaksud "berkaitan dengan atau khusus dalam rawatan obesiti".

Pengenalan

Bariatrik bermaksud “berkaitan dengan atau khusus dalam rawatan obesiti”. Apabila anda mendengar istilah “bariatrik” dalam bidang perubatan, ini merujuk pada rawatan, pencegahan dan penyebab obesiti.

Obesiti adalah keadaan kesihatan serius yang dicirikan oleh lemak badan berlebihan dan boleh mempengaruhi kesihatan anda. Ia dikaitkan dengan senarai panjang penyakit kronik seperti diabetes jenis 2, penyakit jantung, tekanan darah tinggi,  apnea tidur, osteoporosis dan strok.

Seseorang individu boleh diklasifikasikan sebagai obesiti dan disebut sebagai pesakit bariatrik apabila mereka mempunyai indeks jisim badan (BMI) yang sama dengan atau lebih tinggi daripada 30. BMI digunakan untuk mengukur berat badan berkaitan dengan ketinggian.

Kepakaran pakar bariatrik

Apabila memikirkan bidang bariatrik, anda mungkin akan mengaitkannya dengan pembedahan bariatrik, yang juga dikenali sebagai pembedahan metabolik atau penurunan berat badan. Pembedahan bariatrik adalah istilah yang disebut sebagai sekumpulan prosedur penurunan berat badan yang membantu seseorang menurunkan berat badan tambahan. Pembedahan adalah satu pilihan yang ada jika kaedah lain seperti diet, senaman dan prosedur kosmetik tidak invasif gagal memberikan hasil yang baik. Malah, prosedur tersebut dilakukan oleh pakar bedah terlatih menggunakan teknik terbuka atau laparoskopi untuk pembedahan.

Walaupun pembedahan bariatrik dapat memberikan banyak manfaat, semua bentuk pembedahan bagi menurunkan berat badan adalah prosedur utama yang dapat menimbulkan risiko dan kesan sampingan yang serius. Anda juga mesti melakukan perubahan sihat yang tetap pada diet anda dan melakukan senaman secara berkala untuk memastikan kejayaan jangka panjang dapat dicapai.

Hari ini, kebanyakan jenis pembedahan bariatrik dilakukan secara laparoskopi. Laparoskop adalah alat tiub kecil dengan kamera padanya. Ia dimasukkan melalui hirisan kecil di perut di mana kamera kecil di hujung laparoskop membolehkan pakar bedah melihat dan membedah dalam perut anda tanpa membuat hirisan besar tradisional.

Selain itu, pembedahan laparoskopi dapat mencepatkan proses pemulihan anda, tetapi ia tidaklah sesuai untuk semua orang.

Bila anda perlu dapatkan rawatan

Berikut adalah kriteria yang digunakan oleh doktor ketika mempertimbangkan pesakit sebelum dibolehkan menjalani prosedur penurunan berat badan ini:

  • Anda mempunyai berat badan berlebihan sebanyak 20kg atau lebih.
  • BMI anda lebih tinggi daripada 37.
  • BMI anda lebih tinggi daripada 32 dan anda mempunyai sekurang-kurangnya satu keadaan kesihatan yang berkaitan dengan obesiti (diabetes mellitus, tekanan darah tinggi, sakit belakang kronik dan sakit sendi, apnea tidur, hiperkolesterolemia, dan lain-lain).
  • Anda berumur antara 16 hingga 65 tahun. Sebilangan doktor tidak suka melakukan pembedahan ini pada individu berumur kurang 16 tahun.
  • Anda telah benar-benar mencuba segala-galanya, termasuk diet dan senaman.
  • Anda memahami risikonya.
  • Anda memahami apa yang dapat dijangkakan dan anda bersikap realistik mengenainya.

Anda juga harus bersedia untuk mengubah tabiat anda selepas pembedahan, yang merangkumi:

  • lawatan susulan
  • senaman
  • diet sihat
  • vitamin

Prosedur rawatan bariatrik

Pembedahan bariatrik dilakukan di hospital menggunakan anestesia umum. Ini bermakna anda tidak akan sedarkan diri semasa prosedur. Pengkhususan pembedahan anda bergantung pada keadaan individu, jenis pembedahan penurunan berat badan yang bakal dilakukan, dan prosedur yang ditetapkan oleh hospital atau doktor. Beberapa pembedahan penurunan berat badan dilakukan dengan hirisan tradisional yang besar atau terbuka di perut anda.

Pembedahan biasanya boleh memakan masa selama beberapa jam. Selepas pembedahan, anda akan tersedar di bilik pemulihan, di mana kakitangan perubatan memantau anda untuk melihat jika berlakunya sebarang komplikasi. Bergantung pada prosedur anda, anda mungkin perlu tinggal selama beberapa hari di hospital.

Dalam memilih prosedur yang betul, doktor akan membimbing dan memberitahu anda mengenai kebaikan dan keburukan setiap prosedur. Selain itu, doktor juga harus menyenarai pendek prosedur yang sesuai dengan keadaan anda berdasarkan keperluan dan keadaan kesihatan anda. Walau bagaimanapun, keputusan muktamad biasanya akan datang dari anda. Berikut adalah beberapa jenis pembedahan bariatrik yang ada.

Pembedahan jalur gastrik (Gastric banding surgery)

Ini adalah pendekatan invasif minimum yang dapat dilakukan menggunakan teknik laparoskopi iaitu dengan hirisan kecil, kamera kecil dan instrumen khas. Jalur yang boleh dikembungkan diletakkan di sekitar perut untuk membuat dua bahagian – kantung kecil dan lebihan perut. Ia dapat diketatkan atau dilonggarkan dengan menyuntik atau membuang larutan garam, bergantung pada penurunan berat badan dan keperluan pemakanan.

Gastrektomi lengan (Sleeve gastrectomy)

Dalam pembedahan ini, kira-kira 80 peratus bahagian perut dikeluarkan dan lebihan perut kelihatan seperti kantung tiub atau pisang. Ini adalah prosedur yang tidak boleh dibalikkan dan dapat membantu seseorang menurunkan lebih daripada 50% bagi berat badan berlebihan.

Pintasan gastrik (Gastric bypass)

Ini adalah prosedur pembedahan yang melibatkan dua komponen. Pertama, pakar bedah membuat kantung perut kecil dengan membahagikan bahagian atas daripada bahagian perut yang lain. Kemudian, pakar bedah akan membahagikan bahagian pertama usus kecil, dan bahagian bawah usus kecil yang disambungkan ke kantung perut kecil. Ini adalah kaedah yang berkesan dan dapat membantu seseorang menurunkan kira-kira 60 hingga 80% berat badan berlebihan mereka.

Anggaran kos

Ianya sudah jelas bahawa prosedur pembedahan itu adalah mahal. Bagi mereka yang mampu atau mempunyai polisi insurans perubatan untuk menampung perbelanjaan perubatan, hospital swasta cenderung mempunyai tarikan yang lebih besar kerana menawarkan perkhidmatan dan kemudahan pelanggan yang lebih baik.

Oleh itu, mari kita lihat anggaran kos pembedahan bariatrik di hospital kerajaan dan swasta di Malaysia. Tetapi, ia bukanlah kos yang tetap, jadi pastikan anda mendapatkan maklumat daripada pihak hospital anda terlebih dahulu.

Walaupun tiada anggaran kos khusus untuk pelbagai jenis pembedahan bariatrik yang tersedia di hospital kerajaan, biasanya kosnya adalah sekitar RM500 hingga RM 5000. Ia juga mungkin adalah lebih tinggi bergantung pada keadaan anda dan caj yang ditetapkan oleh hospital itu sendiri.

Bagi hospital swasta, harganya lebih tinggi kerana anda akan mendapat rawatan yang lebih baik dengan perkhidmatan yang pantas. Berdasarkan tiga jenis pembedahan yang ada, anggaran kosnya adalah:

  • Pembedahan jalur gastrik – RM 35,000+
  • Gastrektomi lengan – RM 32,000+
  • Pintasan gastrik – RM 35,000 +

SUMBER

https://www.pennmedicine.org/updates/blogs/metabolic-and-bariatric-surgery-blog/2019/april/what-does-bariatric-mean

https://www.mayoclinic.org/tests-procedures/bariatric-surgery/about/pac-20394258

https://www.health-tourism.com/bariatric-surgery/malaysia/#Hospitals

http://www.bariatricmalaysia.com/is-bariatric-surgery-for-you/

https://www.lyfboat.com/hospitals/bariatric-surgery-hospitals-and-costs-in-malaysia/

Summary
Bariatrik
Article Name
Bariatrik
Description
Bariatrik bermaksud "berkaitan dengan atau khusus dalam rawatan obesiti". Ia merujuk pada rawatan, pencegahan dan penyebab obesiti.
Author
Publisher Name
Ceria Sihat
Tagged: