Banglo Mewah Milik Selebriti Popular Malaysia ~ Memiliki rumah yang mewah, besar dengan reka bentuk yang menarik memang diidamkan oleh semua orang. Mesti rasa seronok kan tinggal dekat rumah yang besar, mewah dan lengkap dengan segala kemudahan?
Hah, apa kata mari kita lihat banglo mewah yang dimiliki oleh selebriti popular di Malaysia, sekurang-kurangnya bolehlah kita ambil inspirasi daripada reka bentuk rumah mereka kan.
Ok jom!

Banglo Mewah Milik Selebriti Popular Malaysia
Tidak dapat dinafikan lagi kebanyakkan selebriti popular di Malaysia memiliki banglo mewah yang bernilai lebih daripada RM500 ribu mengikut nilai semasa bahkan mencecah jutaan ringgit. Malah, memiliki lebih daripada dua banglo mewah!
- Datuk Seri Siti Nurhaliza
Kita mulakan dengan penyanyi nombor satu negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza. Kejayaan demi kejayaan berjaya diraih sejak usianya belasan tahun lagi. Memiliki syarikat sendiri, serta kerja-kerja sampingan sebagai duta produk dan lain-lain, tidak dapat lagi dinafikan harta yang beliau miliki. Ditambah lagi setelah berkahwin dengan Datuk Khalid, makin bertambah rezeki beliau.
Pasangan Ini bukan ada satu, tapi beberapa buah rumah banglo mewah di Malaysia dan Indonesia! Banglo mewah beliau terletak di lokasi-lokasi yang berbeza. Antaranya ialah, Cameron Highlands, Kuala Lipis, Cheras, Bukit Antarabangsa dan lain-lain.
Banglo mewah beliau yang terletak di Bukit Antarabangsa sering mendapat perhatian media bahkan beliau turut mengkhususkan satu ruangan di banglo ini untuk para wartawan. Di banglo ini juga terdapat bermacam-macam ruangan yang lengkap dengan segala kemudahan yang diperlukan seperti ruangan teater, pusat gym, dan sebagainya.
- Neelofa
Neelofa merupakan satu nama yang tidak asing lagi di Malaysia bahkan di beberapa negara luar. Beliau berjaya mencipta nama melalui bakatnya, personalitinya, serta kerja keras beliau sebagai usahawan muda. Ditambah lagi dengan penampilan baru beliau, ramai yang cukup terinspirasi dengan beliau dan membuka lebih banyak pintu rezeki buat beliau.
Neelofa dikatakan memiliki sebuah banglo mewah yang terletak di lembah Klang. Siap boleh pandang terus ke KLCC lagi. Pemandangan dari tingkat atas rumah Neelofa ni memang cukup menakjubkan. Banglo mewah yang dimiliki oleh Neelofa ini semuanya serba lengkap, siap ada kolam renang lagi. Semoga kita semua ada rezeki juga satu hari nanti untuk miliki rumah yang kita idamkan.
- Wawa Zainal & Aeril Zafrel
Banglo mewah hadiah ulangtahun perkahwinan daripada Aeril kepada Wawa ini cukup menakjubkan. Banglo tersebut dikatakan mempunyai nilai jutaan ringgit Malaysia. Dilengkapi dengan pelbagai teknologi dan ruang-ruang tertentu termasuklah ruang solat yang dihias indah, banglo mewah ini kelihatan menawan dengan tona warna yang romantik dan cukup elegan.
Mahligai mewah dengan dekorasi elegan dan memukau ni dikatakan mengambil masa sehingga hampir setahun untuk siap diubahsuai. Ala-ala hotel pun ada juga banglo mewah mereka berdua ini kalau kita tengok tata riasnya melalui story instagram mereka.
- Ain Edruce
Video “House Tour” banglo mewah milik Ain Edruce sempat viral ketika beliau baru sahaja memuat naik video tersebut di platform YouTube miliknya. Dengan bertemakan reka bentuk Bali, banglo mewah Ain Edruce ini dihiasi dengan macam-macam teknologi moden seperti mesin basuh pinggan, smart peti sejuk, dapur berteknologi tinggi dan lain-lain.
Ruangan bilik utama beliau sahaja hampir menyamai keluasan lima buah bilik ukuran biasa.Selain itu, beliau turut mengkhususkan sebuah bilik untuk baju persalinan serta ruangan mekap beliau.
Apa yang menariknya, banglo mewah milik Ain Edruce ini sentiasa dibiarkan terang dengan rekaan yang mudah untuk dimasuki cahaya kerana menurut beliau rezeki tidak gemar pada rumah yang gelap. Memang sentiasa nampak cerah dan ceria rumah Ain ni seperti tuan punya badan.
- Datuk Aznil Haji Nawawi
Pengacara terkemuka dan berbakat besar ini, Datuk Aznil Haji Nawawi atau dikenali lebih mesra dengan nama Pak Nil memiliki sebuah banglo mewah dan besar bak istana. Susun atur perabot yang beliau miliki daripada koleksi khas Datuk Aliff Syukri benar-benar memukau mata yang memandang.
Siap ada satu ruang istimewa dengan dekorasi ala Marrakesh lagi untuk ahli keluarga berkumpul, berehat atau untuk buat usrah dan solat berjemaah. Class kan?!
- Chef Dato’ Redzuawan (Chef Wan)
Chef Dato’ Redzuawan atau lebih popular dengan nama Chef Wan ini merupakan Chef pujaan seluruh Malaysia dan terkenal juga di peringkat antarabangsa. Selain dari pakar memasak, pengacara dan menulis, Chef Wan juga memiliki kediaman mewah cukup memukau di Aspen Garden Residence, yang terletak di Cyberjaya.
Bnaglo mewah yang dimiliki Chef Wan ini mempunyai tiga tingkat dan setiap tingkap mempunyai ciri khasnya tersendiri. Rekaan dalaman banglo ini dilengkapi dengan pelbagai perabot dan hiasan yang amat mewah termasuk sofa yang ditempah khas dari New York.
Bayangkan, harga pelancaran rumah banglo ni masa lebih 5 tahun lepas pun dah cecah sampai RM4 juta apatahlah lagi sekarang!
- Dato Aliff Syukri
Terkenal dengan personaliti riuh dan unik, Dato Aliff Syukri seringkali menjadi sorotan media. Beliau sering memuat naik pelbagai video aktiviti harian yang selalu viral dekat media sosial. Beliau juga dikenali dengan gelaran ‘abang terlajak laris’.
Beberapa tahun yang lalu, beliau telah berpindah ke mahligai mewah yang tersergam indah di Kota Damansara dengan keluarga tersayang dan pembantu rumahnya sekali. Menurutnya, konten yang selalu beliau muat naik mengenai banglo mewahnya itu bukan untuk menunjuk semata tetapi untuk memberi inspirasi kepada orang lain hasil kerja kerasnya walaupun beliau bukan berasal dari anak orang kaya.
Mahligai mewah Aliff Syukri ini dipercayai bernilai lebih daripada RM20 juta dengan harga tanah yang berharga RM13 juta. Manakala, kos untuk hiasan dalamannya mencecah lebih RM11 juta. Wow! Memang mewah dan besar banglo Dato Aliff ni. Siap ada tangga utama seperti istana yang menjadi tempat utama mereka sekeluarga mengambil gambar keluarga.
- Dato Seri Vida
Dato Seri Vida selaku jutawan kosmetik yang terkenal dengan karakternya tersendiri beserta blink blink pakaiannya juga tidak ketinggalan memiliki beberapa buah banglo mewah di Malaysia.
Menurut satu sumber, Dato Seri Vida mempunyai lebih kurang 17 buah banglo mewah yang terletak di lokasi berbeza-beza dengan nilai mencecah jutaan ringgit. Banglo mewah beliau yang terletak di Ipoh Perak dipercayai bernilai hampir RM20 juta!
Usaha keras yang beliau lakukan membuahkan hasil apabila produknya berjaya mendapat tempat di hati pengguna.
Kesimpulan
Terdapat banyak lagi banglo-banglo mewah di Malaysia yang dimiliki oleh rakyat tempatan. Hal ini membuktikan rakyat Malaysia bukan calang-calang orang. Semoga kita terinspirasi dengan hasil kerja keras mereka untuk berusaha agar dapat memiliki rumah yang kita idamkan suatu hari nanti.
Sekian.
Sumber:
https://www.propertyguru.com.my/property-guides/rumah-banglo-mewah-selebriti-artis-malaysia-15793