Now Reading
Bandar Melaka: Bandar Tumpuan 2021

Bandar Melaka: Bandar Tumpuan 2021

bandar melaka

Negeri Melaka walaupun kecil di atas peta tetapi merupakan antara destinasi pelancongan di Malaysia yang paling popular. Rata-rata tempat menarik di Melaka lebih signifikan dengan destinasi bersejarah yang mempunyai senibina unik & ada sesetengahnya pula berusia sehingga ratusan tahun lamanya. Tahukah anda, Bandaraya Melaka diiktiraf oleh UNESCO sebagai salah satu bandar warisan dunia kerana mempunyai banyak tempat-tempat bersejarah yang tinggi nilainya. Hari ini, ayuh kita lihat kesemua destinasi percutian di Melaka yang popular seperti tempat bersejarah, tempat shopping, hiburan keluarga, taman tema air, pantai menarik, hotel atau muzium yang boleh anda lawati bersama keluarga kelak.

Bagi memudahkan percutian anda di Melaka kelak, turut tersedia di dalam senarai tarikan pelancong di Melaka seperti di bawah ini info-info penting untuk pelancong seperti harga tiket, waktu operasi, peta lokasi, pautan rujukan & juga hotel terdekat. Kebanyakan destinasi pelancongan di Melaka yang popular terletak di Bandar Hilir Melaka & apa yang menariknya, lokasi Bandar Hilir Melaka juga sangat dekat dengan kawasan pantai seperti Pantai Klebang & Pantai Puteri.

Tidak hairanlah, ramai pelancong tempatan yang melancong di Melaka dengan kenderaan, lebih berminat untuk mencari penginapan di hotel-hotel tepi pantai yang berdekatan. Waktu petang boleh bersantai dengan keluarga di tepi pantai & melihat keindahan panorama matahari terbenam yang melabuhkan tirai di ufuk barat Selat Melaka.

4 Destinasi Pelancongan Viral Di Melaka 2021

1. Menara Taming Sari Melaka

Sekiranya pertama kali bercuti di Melaka destinasi ini wajib anda lawati bersama anak-anak. Satu tempat menarik di Melaka yang terletak di Bandar Hilir Melaka & sangat mudah untuk anda cari lokasinya. Pengunjung berpeluang menaiki menara ini dengan dek berkaca tertutup yang akan naik ke atas & berpusing 360 darjah secara berterusan. Jangan bimbang, putaran dek ini sangat perlahan & anda tidak akan rasa pening.

Dari puncak menara yang setinggi 80 meter ini anda dapat melihat majoriti tempat menarik di Bandar Hilir Melaka yang berdekatan seperti Muzium Samudera, Dataran Pahlawan, Gereja St Paul, Pulau Melaka, Masjid Pulau Selat dan sebagainya. Waktu paling menarik untuk mencuba aktiviti ini adalah pada waktu petang kerana anda akan berpeluang melihat keindahan panorama matahari terbenam. Pada waktu malam pula, anda boleh melihat keindahan neon warna-warni yang menghiasi di sekitar Bandar Melaka.

Tempoh perjalanan menaiki Menara Taming Sari Melaka ini tidaklah terlalu lama sekitar 7-8 minit sahaja & dalam tempoh tersebut, anda akan berputar 360 darjah sebanyak 2-3 kali. Walaupun sekejap, tetapi pengalaman sebegini memang sangat berharga untuk anda nikmati bersama keluarga ketika bercuti di Melaka kelak. Almaklumlah, menara berpusing sebegini memang susah hendak dicari di Malaysia.

2. Muzium Kapal Selam Melaka

Salah satu muzium di Melaka yang pasti membuatkan anak-anak anda tidak sabar-sabar untuk terokai. Kapal selam yang terletak di Pantai Klebang & bersaiz mega ini dibina pada tahun 1979. Setelah tamat beroperasi kini ianya dijadikan sebuah muzium untuk lawatan orang ramai. Sebaik sampai di kawasan parkir kereta, setiap pengunjung semestinya akan kagum dengan saiznya yang mempunyai panjang sehingga 70 meter. Kadang-kadang membuatkan tertanya-tanya, bagaimana kapal selam sebesar ini boleh menyelam sehingga 300 meter kedalamannya.

Di bawah kapal selam ini pula, terdapat ruangan yang memaparkan video & infografik berkenaan spesifikasi kapal selam ini serta sejarah pembinaanya. Anda pasti terkejut apabila melangkah masuk ke dalamnya kerana saiz laluannya sebenarnya agak sempit. Malah sebaik berada di dalam kapal selam ini, tiada ruang langsung untuk anda berselisih dengan orang hadapan. Tempoh untuk anda melihat keseluruhan bahagian dalam kapal ini mungkin sekitar 4-5 minit sahaja & itupun kalau tidak sesak dengan pengunjung.

Sekiranya tidak puas melihat bahagian dalaman kapal selam ini, anda boleh ‘tawaf’ & mulakan penerokaan dari pintu masuk. Di perkarangan Muzium Kapal Selam Melaka ini juga, terdapat 2 buah replika jet pejuang yang boleh pengunjung lihat dengan lebih dekat. Sekiranya pertama kali melancong ke Melaka, sangat disyorkan untuk anda berkunjung ke Muzium Kapal Selam ini kerana tarikan pelancong sebegini tiada di negeri lain.

3. Casa del Rio Melaka

Memang tidak dinafikan, ramai pelancong yang bercuti di Melaka untuk berbulan madu kerana majoriti aktiviti di sini tidaklah terlalu ‘heavy’ seperti di pulau-pulau. Kebanyakan destinasi di Melaka hanya memerlukan anda berjalan & menghayati keindahan Bandar Melaka yang kaya dengan kesan peninggalan sejarah. Sekiranya anda inginkan tempat penginapan menarik di Melaka yang eksklusif & strategik, salah satu hotel yang sangat disyorkan adalah di Casa del Rio Melaka.

Penginapan ini merupakan sebuah hotel bertaraf 5 bintang & terletak betul-betul di tepi Sungai Melaka. Malah, lokasi hotel ini juga berdekatan dengan majoriti tempat menarik di Bandar Hilir Melaka yang boleh anda terokai hanya dengan berjalan kaki sahaja seperti Muzium Maritim, Melaka River Cruise, Kota A Famosa, Jonker Street Night Market & banyak lagi. Lokasi ke tempat membeli belah yang paling popular di Bandar Hilir Melaka iaitu Dataran Pahlawan Megamall & Mahkota Parade hanya sekitar 800 meter dari hotel.

Apa yang lebih menarik, Casa del Rio Melaka mempunyai fasiliti yang sangat mewah & kolam renang infiti yang pasti membuatkan anda tidak sabar-sabar untuk berenang. Infinity pool ini terletak di kawasan aras bumbung yang membolehkan pengunjung untuk menikmati keindahan Bandar Melaka & Sungai Melaka. Selain itu, terdapat juga kemudahan lain yang sesuai untuk pasangan yang sedang honeymoon di Melaka untuk lakukan seperti makan malam di restoran tepi Sungai Melaka, spa & sebagainya.

4. Melaka River Cruise

Bandar Melaka memang tidak dinafikan mempunyai begitu banyak tempat menarik yang terletak dekat antara satu sama lain. Walaupun anda boleh berjalan kaki sahaja ke tempat-tempat menarik sekitar Bandar Hilir Melaka, tetapi kadang-kadang boleh memenatkan juga. Malah, kalau travel ke Melaka bersama anak-anak yang masih di peringkat bayi, tidak disyorkan untuk berjalan kaki di bawah terik sinaran matahari.

Jangan risau, bagi pelancong yang malas berjalan kaki atau terkekang pergerakan kerana adanya bayi, anda boleh melawati tempat-tempat menarik di Melaka dengan menaiki bot menyelusuri Sungai Melaka. Di sepanjang sungai ini, anda boleh melihat majoriti tempat-tempat menarik yang ada di Melaka seperti Dutch Fort, Muzium Samudera & sebagainya. Malah, di sepanjang sungai juga terdapat banyak mural-mural menarik yang dilukis pada dinding bangunan. Terdapat juga audio yang dimainkan di dalam bot yang memberi informasi setiap kali melewati sesuatu tempat menarik di sepanjang Sungai Melaka.

See Also
Vietnam

Waktu paling menarik untuk menaiki bot ialah pada waktu malam kerana kurang panas & pemandangan di sepanjang sungai juga lebih mengujakan kerana terdapat limpahan cahaya lampu neon berwarna-warni yang menerangi tebing sungai. Tempoh perjalanan juga agak lama sekitar 40-45 minit. Satu alternatif yang unik untuk menikmati keindahan Bandaraya Melaka bagi mereka yang mungkin malas berjalan kaki atau menaiki beca roda tiga.

Melaka mempunyai banyak destinasi makan yang menarik untuk anda terjah bersama keluarga. Malah, lokasi antara destinasi-destinasi ini tidak jauh dari kawasan tumpuan pelancongan di Melaka. Untuk makan malam pula, negeri Melaka terkenal dengan medan-medan ikar bakar yang menawarkan pelbagai pilihan makanan laut yang menarik. Banyak destinasi ikan bakar yang popular di sekitar Melaka yang boleh anda lawati untuk acara makan malam.

Sumber:

1) https://www.caridestinasi.com/tempat-menarik-melaka/

2) https://www.jomjalan.com.my/listings/melaka/tempat-menarik/

3) https://sukamakanjalan.blogspot.com/2018/03/tempat-menarik-di-melaka-waktu-malam.html

error: Content is protected !!